Author: Admin

  • UMNO boleh berkuasa kembali tapi akan berpecah

    UMNO boleh berkuasa kembali tapi akan berpecah

    PELUANG UMNO kembali berkuasa ketika ini berada di depan mata. UMNO boleh lakukannya. Namun akibat kelemahan strategi, berpecah dan masing-masing punyai kepentingan peribadi menyebabkan UMNO gagal guna kesempatan yang ada.

    Kelemahan paling ketara apabila pimpinan UMNO BERMUSUH DENGAN AHLI PARLIMEN sendiri. Mereka berbalah sama sendiri. Ini sangat ketara .

    Daripada Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung termasuk Setiausaha Agung BN, Ketua Pemuda, Ketua Puteri UMNO, termasuk segelintir Ketua UMNO Bahagian semuanya ambil pendekatan menyerang, mengkritik atau menyindir Menteri,Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen sendiri.

    Semuanya ambil kesempatan mahu popularkan diri sendiri. Ku Li kita tolak tepilah kerana kita tidak tahu apa halatujunya. Jadi kalau  begini pasti sukar untuk mencipta kejayaan.

    Lihat Ketua Pemuda UMNO. Beliau didakwa mengeluarkan arahan agar semua Ketua Pemuda UMNO Negeri dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian seluruh negara yang sealiran dengannya agar menyerang dan membuat pelbagai desakan kepada Ahli Parlimen UMNO dan BN.

    Kalau betul dakwaan itu, kenapa ambil pendekatan begini? Sebagai KP UMNO yang berilmu gunakan kebijaksanaan. Gunalah akal fikiran. Cara begini tidak untungkan UMNO dan BN.

    Malah lebih merugikan cara Timbalan Presiden UMNO sendiri juga menggunakan sosial media. Termasuklah beberapa yang lain. Semua ini hanya mahukan diri sendiri popular.Mengkritik MP UMNO BN supaya ahli UMNO sokongan.

    Agaknya senanglah selepas ini bila bertanding jawatan dalam UMNO. Sebagai pemimpin kenapa anda tidak duduk berbincang dengan Ahli Ahli Parlimen  UMNO sendiri. Atau adakah anda tiada pengaruh dikalangan mereka ? Duduk dan rancang lah sesuatu ?

    Kenapa merancang dalam kalangan pemimpin yang tiada apa apa pengaruh dalam kalangan MP MP UMNO ?. Lebih melemahkan guna “penembak upahan” yang semua mereka ini kalah dalam PRU14 yang menyebabkan UMNO hilang kuasa. Kalau menembak pembangkang tak apa. Ini menembak kawan sendiri. Sebab itu UMNO lemah kerana strateginya carca marba.

    Kalau begini. Apakah GPS,Pas atau parti parti lain yakin dengan UMNO ? Rasanya mereka meluat atau menyampah dengan UMNO. Rakan komponen BN juga nampaknya semakin jauh dengan UMNO.

    Apatah lagi Setiausaha Agung BN yang baru yang dengarnya tidak dihormati oleh majoriti MP UMNO dan BN. Kalau dia berpengaruh dan dihormati takkanlah boleh MIC MCA buat kenyataan sokong PN yang dengarnya tanpa pengetahuan dia. Manakala PPBM pastilah sukar menyokong UMNO jika Presiden mereka dicampak keluar tingkap. Apatah lagi UMNO sudah banyak kali buat kenyataan tidak mahu bersama PPBM.

    Inilah persoalannya apabila pimpinan tertinggi UMNO tiada kesepakatan dan ramai sangat suka bercakap hinggakan ahli dibawahpun keliru. Sebab itu, rakyat melihat UMNO ini semakin bercelaru dan tidak sedar diri. Sudah kalah pun masih tidak mahu berubah.

    Berpakatlah. Kenapa utamakan kepentingan diri. Kalau berterusan begini, UMNO akan terus menjunam. Malah akan lebih teruk berbanding PRU14. Janganlah bangga dengan rekod menang 7 kali pilihanraya kecil sebelum ini.

    Kerana data sikap pengundi berubah begitu cepat. Bayangkan dengan segala kekuatan jentera Kerajaan dan parti semasa PRU14 pun jatuh tersungkur dengan hanya menang 54 kerusi, inilah pula dengan segala kekurangan.

    Kepada yang banyak bercakap dan pandai atur strategi kononnya: Ashraf Wajidi, Rahman Dahlan, Puad Zakarshi, Saberi Chik, Johari Ghani dan ramai  lagi binalah kesepakatan.

    Wujudlah keharmonian. Berpakatlah. Jangan bermusuh dgn MP-MP sendiri. Atau lebih baik kamu semua jaga kawasan masing masing. Semoga kalau kamu yang bertanding nanti menang maka UMNO boleh kembali berkuasa. Waktu orang susah ni jagalah tempat masing masing.

    Ksmi di bawah lihat macam tiada perancangan dari parti. Kalau setakat berbincang dan atur staretgi sebegini rupa, sudahlah. Kami yang dibawahnya ni pun nampak ia tidak akan ke mana ?

    Duduk dan bincanglah dengan kalangan Ahli Parlimen UMNO BN. Jangan entengkan kamampuan Shahidan Kasim, Nazri Aziz, Idris Jusuh, Tajudin Rahman, Mahdzir Khalid, dan beberapa lagi MP UMNO mereka berpengaruh dan ada pengalaman masing-masing. Kamu bantai macamanapun mereka ni memang dalam PRU14. Kamu kalah.

    Bincanglah dengan MIC, MCA, PBRS parti mereka juga ada kepentingan. Rancang lah dengan mereka bagaimana mahu menyusun strategi. Ismail Sabri sekarang TPM dan Bossku pun ada. Kalau disusun betul-betul akan membuahkan hasil yang baik.

    Kami ahli marhein di bawah ni hanya melihat dan sekadar boleh bersuara begini. Janganlah mencipta musuh dengan MP sendiri kerana saat ini mereka sangat penting. UMNO dan BN ada maruah sedikit inipun kerana mereka menang dalam PRU14. Kalau tiada MP UMNO ni, tiada siapa yang akan hormat pun.

    Sedarlah wahai pemimpin UMNO. Parti kamu hanya ada 38 kerusi. 42 kalau termasuk BN. Kalau mahu membentuk kerajaan mesti sekurannya 112 kerusi. Parti mana yang mahu bersama dengan UMNO kalau parti kamu bermasalah. Kalau nak jadi kerajaan UMNO wajib dapat sokongan parti lain.

    Ini bukan dongeng tapi fakta. Sekiranya UMNO berhajat mahu menukar PM dan melantikkan PM baru. Maka PM baru wajib ada kepercayaan majoriti. Jadi persoalannya UMNO ada ke majoriti ? Bincang dan teliti betul betul sebelum minta PM letak jawatan.

    Bukan apa bimbang takut calon PM dari UMNO tiada sokongan majoriti dan  akhirnya elok elok berapa dalam kerajaan kembali akhirnya jadi pembangkang. Atau lebih malang UMNO yang menjadi penyebab PH iaitu PKR,DAP, AMANAH dan sekutunya kembali berkuasa..

    Ingatlah sikit. Kalau paksa MP keluar Kerajaan. Fikir sama kerajaan BN di Johor dan Perak juga Melaka. Kemudian yang kami ni golongan kecil di bawah yang jadi Ahli Majlis. Jadi Ketua kampung  yang dapat tambah pendapatan sekupang dua ni semua kena letak jawatan tau tak ? Nak jadi apa kami ni.

    Nak lawan di PRU macamana ? Apa pun tak ada ? Mana ada orang nak gantung poster percuma zaman sekarang ? Kamu orang besar besar bukan buat kerja ni. Kami yang berjaga malam sampai ke pagi. Minum teh di Bilik Gerakan pun banyak yang pakai duit sendiri. Sedih tengok pemimpin UMNO ni…SEDIH.

    Fikir. Fikir lah.

    ANAK MUDA SAYANG UMNO

    Utara Semenanjung

  • Kompaun ahli Parlimen pembangkang langgar SOP

    Kompaun ahli Parlimen pembangkang langgar SOP

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    TINDAKAN ahli-ahli Parlimen pembangkang
    yang berhimpun di sekitar ibu negara semalam sewajarnya dikenakan kompaun.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, ia perlu memandangkan tindakan mereka itu secara jelas telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

    Oleh itu katanya, mereka yang terlibat patut diambil tindakan undang-undang dan dikompaun ekoran tidak mematuhi peraturan setelah berhimpun serta tidak menjaga penjarakan fizikal.

    “Mereka yang melanggar peraturan, SOP dan tidak menjaga jarak fizikal perlu diambil tindakan kerana apabila berlaku kepada kita (pemimpin kerajaan) mereka kata kita golongan kayangan.

    “Jadi saya harap tidak ada perbezaan dalam melaksanakan undang-undang dan peraturan. Mereka yang melakukan kesalahan perlu dikompaun dan denda,”katanya kepada pemberita di rumahnya di Ajil, malam tadi.

    Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu menyampaikan bantuan kepada 70 tukang gunting di kawasan berkenaan bagi meringankan bebanan golongan itu yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19.

    Rosol turut menyelar sikap pembangkang yang tidak menggunakan tempoh empat hari persidangan bagi menyuarakan pandangan dalam membantu rakyat dan isu Covid-19 sebaliknya mereka hanya membahaskan isu tidak penting.

    “Mereka minta Parlimen perlu bersidang untuk bincang isu Covid-19 tetapi tiada pun idea untuk atasi Covid-19. Ini bermakna mereka hanya ada agenda sendiri.

    Apabila tidak berjaya di Parlimen mereka cuba berarak di jalan raya pula,” katanya.

    Pada Isnin, ahli-ahli Parlimen pembangkang mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10 pagi apabila cubaan mereka untuk memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan pukul 9.30 pagi tidak berjaya.

    Rundingan yang cuba dilakukan bersama pihak polis juga gagal dan akhirnya mereka mengambil keputusan menghentikan perarakan yang berlangsung selama lebih sejam itu dan bersurai.

  • Pengantin perempuan maut ketika disolek sebelum majlis nikah

    Pengantin perempuan maut ketika disolek sebelum majlis nikah

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    KEMERIAHAN majlis pernikahan bertukar sedih apabila pengantin perempuan meninggal dunia akibat sakit jantung ketika disolek oleh jurusolek di Desa Pariti, Kupang, Indonesia pada Sabtu lalu.

    Mangsa, Sita, 31, pada mulanya jatuh pengsan dan keluarga menyangkakan dia kepenatan.

    Jurucakap polis, Deff Wee berkata, petugas perubatan dari Pusat Kesihatan Pariti datang ke rumah mangsa dan mendapati dia sudah tidak bernyawa.

    Katanya, pihak keluarga kemudian membawa mangsa ke Hospital Naibonat bagi mengesahkan keadaan mangsa.

    “Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa mati akibat serangan jantung,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Tribunnews.

    Sepatutnya, semasa kejadian sebanyak tiga acara akan diadakan dari pagi hingga petang iaitu peminangan, pernikahan dan majlis perkahwinan.

    Namun, bakal suami Sita, M Cholid terpaksa menerima suratan takdir apabila hari bahagia itu bertukar menjadi majlis pengebumian.

  • Projek jalan ‘shortcut’  Durian Burung ke Marang RM220 juta

    Projek jalan ‘shortcut’ Durian Burung ke Marang RM220 juta

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PENGGUNA jalan raya daripada Pulau Rusa dan Batu Enam tidak perlu lagi memasuki kawasan bandar Kuala Terengganu untuk ke Marang apabila siapnya pembinaan projek Kuala Terengganu Bypass yang juga dikenali sebagai ‘jalan shorcut’ tidak lama lagi.

    Projek pembinaan jalan raya yang menghubungkan Kuala Ibai ke Durian Burung sejauh enam kilometer beserta dengan jambatan dan ‘calvert’ itu kini dalam proses kerja-kerja persiapan terakhir.

    Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Dr Mamad Puteh memberitahu, kerja-kerja bagi projek tersebut kini di sekitar 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun hadapan.

    Menurut Dr Mamad, pada awalnya kos pembinaan jalan ini adalah sekitar RM160 juta, tetapi telah ditambah RM60 juta lagi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM220 juta. 

    “Projek ini terpaksa mengambil masa untuk disiapkan disebabkan beberapa faktor termasuk masalah pengambilan tanah dan juga perubahan skop kerja melibatkan tanah lembut dan beberapa perkara lain,”ujarnya.

    Dr Mamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang memberitahu demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Kuala Terengganu Bypass, baru-baru ini. 

    Menurut beliau, apabila projek ini siap kelak, ia bukan sahaja dapat memudahkan urusan orang ramai, tetapi juga membantu mengatasi masalah kesesakan jalan raya.

    Ini kerana katanya, selepas ini pengguna jalan raya daripada Pulau Rusa, Batu Enam tidak perlu lagi memasuki kawasan bandar Kuala Terengganu untuk ke Marang sebaliknya mereka boleh memasuki ‘jalan shortcut’ dengan keluar di Kuala Ibai.
     
    “Kita berharap projek ini akan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, untuk memberi manfaat kepada kita semua” katanya.

  • Pemimpin UMNO minta Puad Zarkashi tidak jadi batu api

    Pemimpin UMNO minta Puad Zarkashi tidak jadi batu api

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KETUA Bahagian UMNO Kuala Krai, Datuk Zulkepli Omar meminta Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi tidak menjadi batu api dalam parti, sebaliknya berusaha keras membantu UMNO memulihkan kepercayaan rakyat dan mampu mentadbir semula negara.

    Beliau berkata, persengketaan dan percakaran sesama sendiri sepatutnya diketepikan pemimpin di semua peringkat dan ahli akar umbi, sebaliknya mencari peluang sebanyak mungkin untuk menang pilihan raya umum akan datang.

    Justeru kata Zulkepli, adalah lebih elok sekiranya Mohd. Puad memberi sokongan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana UMNO amat memerlukan kapasiti jawatan itu membantu parti demi menjaga rakyat di kawasan masing-masing.

    Datuk Zulkepli Omar

    “Kita sepatutnya bertolak-ansur dan bekerjasama antara satu sama lain, dalam situasi sekarang, sekiranya UMNO bercakaran sesama sendiri sudah pasti kepercayaan rakyat sudah tidak ada kepada UMNO.

    “Maka sebab itu saya amat berharap agar UMNO kembali bersatu dan buang persengketaan sesama kita dan fokus membantu rakyat dalam situasi yang amat memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Malah, Zulkepli turut kecewa dengan sikap Mohd. Puad yang banyak menghentam ramai pihak dan menganggap semua orang tidak betul, sedangkan beliau tidak perlu membuat perbandingan sebegitu atau mengambil apa-apa pendirian secara bersendirian.

    “Percakaran sesama kita, kita belakangkan. Kita fokus membela rakyat, itu yang penting bagi saya, jangan khianati parti dan meletakkan kepentingan parti paling utama,” katanya.

    Mohd. Puad dalam catatan Facebooknya berkata, Ismail Sabri tidak boleh melangkaui kepemimpinan parti meskipun memegang jawatan dalam kerajaan kerana dalam kedudukan parti, beliau adalah Naib Presiden dan bukannya Presiden, Timbalan Presiden atau Pengerusi BN sekali pun.

    Katanya, jawatan yang disandang Ismail Sabri bukan tiket untuk ‘bulldoze’ Presiden UMNO dan Pengerusi BN sebaliknya perlu mendapat persetujuan Presiden UMNO jika membabitkan soal parti.

  • Perintah berkurung di China Covid-19 kembali menular

    Perintah berkurung di China Covid-19 kembali menular

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    KERAJAAN China memerintahkan jutaan penduduknya menjalani perintah berkurung hari ini dalam usaha republik itu mengekang penularan jangkitan Covid-19.

    Ini susulan China hari ini merekodkan sebanyak 55 kes jangkitan tempatan ketika penularan varian Delta sudah pun merebak di 20 bandar dan lebih puluhan daerah.

    Pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa bandar utama termasuk Beijing sudah melakukan ujian saringan kepada jutaan penduduk, selain mengarahkan mana-mana kontak rapat pesakit Covid-19 menjalani kuarantin.

    Bandar Zhuzhou di wilayah Hunan mengarahkan 1.2 juta penduduknya duduk di rumah sepanjang perintah berkurung dilaksanakan tiga hari bermula hari ini.

    Bandar Zhangjiajie yang terletak berhampiran Zhuzhou terlebih dahulu sudah melaksanakan perintah berkurung sejak Jumaat lalu, melibatkan 1.5 juta penduduk.

    Daerah Changping pula mengarahkan 41,000 penduduk jangan keluar rumah pada minggu lalu.

    Selain itu, sejumlah kes baharu jangkitan bahru turut direkodkan di wilayah Hainan.

    Sementara itu, Beijing melarang kemasukan pelancong ke bandar raya itu buat sementara waktu bagi mengekang penularan.

    Hanya pengembara yang mempunyai keputusan ujian Covid-19 negatif dibenarkan memasuki Beijing, selain penduduknya juga dinasihatkan jangan meninggalkan bandar tersebut. – AFP

  • Lelaki cedera dihempap pokok tumbang ketika kebumikan jenazah bayinya

    Lelaki cedera dihempap pokok tumbang ketika kebumikan jenazah bayinya

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG lelaki yang sedang menguruskan menguruskan pengebumian bayinya cedera dihempap sebatang pokok tumbang di Tanah Perkuburan Islam Parit 1, Chenderong Balai, Teluk Intan, malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 8.41 malam semasa manga, 40, sedang menguruskan pengebumian bayinya yang meninggal dunia selepas dilahirkan pramatang.

    Katanya, setibanya di lokasi, didapati seorang lelaki, 40, terbaring setelah cedera di bahagian pinggul akibat dihempap pokok kelapa sawit.

    “Lelaki itu diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

    “Siasatan mendapati, pokok kelapa sawit yang telah reput itu tumbang akibat dibakar sebelum menghempap mangsa di bahagian pinggul,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Menurut beliau, kejadian tersebut tidak melibatkan mangsa lain dan difahamkan bayinya dilahirkan pramatang.

    “Seramai sembilan anggota dari BBP Teluk Intan dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian. Operasi tamat pada pukul 9.17 malam,” katanya.

  • Gempa bumi kuat landa Sumatera Selatan

    Gempa bumi kuat landa Sumatera Selatan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    GEMPA kuat berukuran 6.1 pada skala Richter di Sumatera Selatan, Indonesia berlaku pada pukul 6.48 pagi ini.

    Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, gempa sekuat itu berlaku pada jarak 244 kilometer dari barat Bengkulu.

    Bagaimanapun tiada ancaman tsunami dikeluarkan.

  • Gaza bakal dilanda gelombang ketiga Covid-19

    Gaza bakal dilanda gelombang ketiga Covid-19

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEMENANJUNG Gaza berisiko dilanda gelombang ketiga Covid-19 tidak lama lagi.

    Ketua jabatan menangani Covid-19 di hospital Eropah, Mahmoud al-Sheikh berkata, jumlah pesakit dijangkiti wabak itu yang dimasukkan ke hospital semakin meningkat.

    Katanya, gelombang baharu Covid-19 dijangka melanda pada akhir bulan ini.

    “Ia akan mencapai kemuncak antara Oktober dan November,” katanya seperti yang dilaporkan Xinhua.

    Sementara itu, penasihat kepada Menteri Kesihatan Palestin, Fathi Abu Warda memberi amaran gelombang baharu mungkin tercetus di tengah-tengah lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini.

    “Kementerian Kesihatan bimbang dengan penularan gelombang baharu ini di Semenanjung Gaza,” katanya.

    Krisis kesihatan di Gaza katanya, semakin buruk berikutan kekurangan bekalan perubatan disebabkan sekatan dikenakan oleh Israel selama 15 tahun.

  • Tiga negeri beralih Fasa 3 PPN-PM

    Tiga negeri beralih Fasa 3 PPN-PM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan menjadi perintis peralihan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Rabu ini selepas merekodkan prestasi amat baik.

    Perdana Menteri berkata, perkara itu dicapai menerusi mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkembangan pelaksanaan PPN yang dipengerusikannya petang ini.

    Bagaimanapun, beliau mengingatkan negeri-negeri berkenaan untuk terus mematuhi porsedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan untuk menambah baik situasi pandemik di negeri masing-masing.

    “Tahniah dan syabas saya ucapkan. Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara, lebih banyak negeri dapat bergerak ke fasa seterusnya.

    “Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

    Beliau berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya.

    “Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya.

    Selain itu katanya, sidang khas MKN itu juga memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin termasuk membincangkan kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.

    “Perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

    “Insya’Allah kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambil kira keselamatan rakyat,” katanya.