Oleh RAHIMI MOHAMAD

KETUA Bahagian UMNO Kuala Krai, Datuk Zulkepli Omar meminta Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi tidak menjadi batu api dalam parti, sebaliknya berusaha keras membantu UMNO memulihkan kepercayaan rakyat dan mampu mentadbir semula negara.

Beliau berkata, persengketaan dan percakaran sesama sendiri sepatutnya diketepikan pemimpin di semua peringkat dan ahli akar umbi, sebaliknya mencari peluang sebanyak mungkin untuk menang pilihan raya umum akan datang.

Justeru kata Zulkepli, adalah lebih elok sekiranya Mohd. Puad memberi sokongan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana UMNO amat memerlukan kapasiti jawatan itu membantu parti demi menjaga rakyat di kawasan masing-masing.

Datuk Zulkepli Omar

“Kita sepatutnya bertolak-ansur dan bekerjasama antara satu sama lain, dalam situasi sekarang, sekiranya UMNO bercakaran sesama sendiri sudah pasti kepercayaan rakyat sudah tidak ada kepada UMNO.

“Maka sebab itu saya amat berharap agar UMNO kembali bersatu dan buang persengketaan sesama kita dan fokus membantu rakyat dalam situasi yang amat memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, Zulkepli turut kecewa dengan sikap Mohd. Puad yang banyak menghentam ramai pihak dan menganggap semua orang tidak betul, sedangkan beliau tidak perlu membuat perbandingan sebegitu atau mengambil apa-apa pendirian secara bersendirian.

“Percakaran sesama kita, kita belakangkan. Kita fokus membela rakyat, itu yang penting bagi saya, jangan khianati parti dan meletakkan kepentingan parti paling utama,” katanya.

Mohd. Puad dalam catatan Facebooknya berkata, Ismail Sabri tidak boleh melangkaui kepemimpinan parti meskipun memegang jawatan dalam kerajaan kerana dalam kedudukan parti, beliau adalah Naib Presiden dan bukannya Presiden, Timbalan Presiden atau Pengerusi BN sekali pun.

Katanya, jawatan yang disandang Ismail Sabri bukan tiket untuk ‘bulldoze’ Presiden UMNO dan Pengerusi BN sebaliknya perlu mendapat persetujuan Presiden UMNO jika membabitkan soal parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here