Author: Admin

  • DPMM seru gencatan politik, fokus masalah rakyat

    DPMM seru gencatan politik, fokus masalah rakyat

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyeru semua pemimpin parti politik agar gencatan politik dengan mengenepikan perbezaan dan mengutamakan masalah rakyat.

    Presiden DPMM, Abdul Halim Husin berkata, semua pemimpin politik perlu bersatu hati membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memerangi penularan pandemik Covid-19 hingga membolehkan sektor ekonomi dibuka semula.

    “Tumpukan usaha memulihkan segera ekonomi rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 yang bergelut dengan masalah aliran tunai akibat dibuang kerja oleh majikan yang terpaksa gulung tikar terutamanya syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

    “Ini dibuktikan melalui perangkaan terkini Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu kadar pengangguran menjangkau seramai 742,700 orang atau pada kadar 4.6 peratus April lalu.

    “Menurut kaji selidik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada Jun 2021, lebih 90 peratus usahawan mikro, kecil, sederhana dan informal atau tidak berdaftar berisiko menutup perniagaan sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menumpukan pada strategi untuk keluar daripada ancaman Covid-19 secara selamat dan sistematik adalah langkah yang patut disokong semua pihak.

    “DPMM menyokong usaha kerajaan meringankan beban ke atas kapasiti sistem kesihatan awam, membuka semula sektor ekonomi dan membenarkan aktiviti sosial dalam tempoh masa enam bulan sehingga akhir tahun ini,” ujarnya.

  • 17,105 kes baharu Covid-19 hari ini

    17,105 kes baharu Covid-19 hari ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MALAYSIA hari ini melaporkan 17,105 kes baharu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 1,163,291 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor merekodkan sebanyak 5,836 kes diikuti oleh Kuala Lumpur (2,309 kes); Johor (1,275 kes); Kedah (1,036 kes) dan Sabah (1,010 kes).

    “Perak merekodkan 967 kes; Kelantan (915 kes); Negeri Sembilan (816 kes); Pulau Pinang (798 kes); Pahang (628 kes); Melaka (508 kes); Sarawak (494 kes) dan Terengganu (429 kes).

    “Putrajaya pula (72 kes), Perlis (tujuh kes) dan Labuan (lima kes),” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook miliknya, hari ini.

  • Lelaki naik rakit ‘styrofoam’ rentas negeri

    Lelaki naik rakit ‘styrofoam’ rentas negeri

    SEORANG lelaki bertindak berani menyeberang dari bahagian pulau ke tanah besar Pulau Pinang menggunakan laluan laut untuk merentas daerah dipercayai kerana tidak mempunyai surat kebenaran daripada polis.

    Tindakan lelaki itu yang menyeberang menggunakan sebuah pelampung ‘styrofoam’ semalam dikesan pihak berkuasa ketika dia berada di tengah-tengah laut.

    Lelaki itu ditemui dalam keadaan meniarap di atas pelampung ‘styrofoam’ bersaiz kira-kira satu meter persegi yang dijadikan sebagai rakit.

    Ketika diselamatkan, dia yang berseluar pendek dan memakai kemeja-T berwarna biru itu turut membawa sebuah beg galas dan menyarungkan sehelai kain pelikat.

    Tindakan nekad lelaki itu tular di dalam media sosial hari ini dengan beberapa keping gambar dan videonya yang terapung di tengah-tengah Selat Pulau Pinang dikongsi pengguna.

    Dalam pada itu, beberapa pengguna Facebook  mendakwa lelaki berkenaan adalah individu sama yang diselamatkan oleh petugas Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) setelah dikesan cuba merentas daerah dengan berenang dari Georgetown ke Seberang Perai pada 14 Julai lalu.

    Dalam kejadian yang turut tular di dalam media sosial itu, lelaki berkenaan nekad berenang dari jeti feri di Tanjung City Marina menuju ke Seberang Perai untuk bertemu rakannya selepas gagal mendapatkan kelulusan rentas daerah daripada polis kerana tiada alasan munasabah.

    Lelaki itu bagaimanapun kemudiannya berpatah balik menghala ke jeti kerana keletihan sebelum diselamatkan petugas PPSB dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu.

  • Tongkang rempuh bot maritim, 19 PATI nyaris lemas

    Tongkang rempuh bot maritim, 19 PATI nyaris lemas

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SERAMAI 19 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) nyaris lemas apabila tongkang dinaiki mereka merempuh bot pihak maritim pada kedudukan 2.5 batu nautika barat Sungai Serdang Besar, Kapar, Klang, semalam.

    Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, semua PATI berusia 20 hingga 45 tahun sedang menyusup keluar dari perairan negara menuju ke Indonesia dengan tongkang kayu tersebut.

    Pengarah Maritim Selangor, Kepten Mohd. Rosli Kassim berkata, Bot Penggalang 41 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan tongkang yang bergerak tanpa sebarang lampu itu ketika rondaan bersepadu Op Benteng Laut dan Op Ehsan.

    Menurutnya, tekong tongkang itu bagaimanapun bertindak agresif dan merempuh bot tersebut bagi meloloskan diri.

    “Rempuhan kemudian mengakibatkan tongkang berkenaan karam dan semua 19 penumpang termasuk tekong jatuh ke laut sehingga nyaris lemas.

    “Mereka bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota Penggalang 41 dengan bantuan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Pegawai Tun M positif Covid-19

    Pegawai Tun M positif Covid-19

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG pegawai kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dikesan positif Covid-19.

    Menurut sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pegawai tersebut antara 11 individu yang didapati positif dalam saringan yang dilakukan di Parlimen Khamis lalu.

    Menurut laporan Astro Awani, pegawai kepada Ahli Parlimen Langkawi itu juga didapati positif dengan varian yang membimbangkan (VOC), Delta.

    Ujian saringan ke atas Dr. Mahathir didapati negatif dan beliau juga tiada sebarang kontak dengan pegawai berkenaan ketika di Parlimen.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Jumaat lepas berkata, semua yang akan hadir ke sesi sidang Mesyuarat Khas Parlimen Isnin ini dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu. – SB

  • Polis serbu rumah proses, simpan arak tiruan

    Polis serbu rumah proses, simpan arak tiruan

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Utara menyerbu sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses dan penyimpanan arak tiruan di Taman Ungku Aminah, Skudai di sini semalam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan di rumah dua tingkat itu dilakukan pada pukul 8.10 pagi.

    “Hasil serbuan berjaya menangkap dua warga tempatan yang berusia 27 dan 41 tahun yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan minuman keras dipercayai arak tiruan dan tidak bercukai.

    “Turut ditahan empat lelaki warganegara asing berusia lingkungan 29 hingga 37 tahun yang dipercayai bekerja dalam premis tersebut manakala ‘mastermind’ belum ditangkap,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejbat Kontinjen Johor (IPK) di sini hari ini.

    Katanya, antara barang yang dirampas 20 tong biru cecair pati arak 4,000 atau 40 peratus berisi alkohol; 16 kotak jenama Mcdowells 142.08 liter (40 peratus); lapan kotak jenama Chivas Regal 96 liter (40 peratus).

    Turut dirampas 30 kotak jenama King Robert 390 liter (43 peratus); 12 kotak jenama Johnnie Walker Red Label 144 liter (40 peratus) dan lima kotak jenama Johnnie Walker Black Label 60 liter (40 peratus).

    Beliau memberitahu, jumlah nilai arak sahaja RM2.143 juta, nilai cukai arak RM870,462 manakala keseluruhan nilai rampasan RM3.149 juta.

    Jelasnya, mereka menjadikan rumah sebagai tempat memproses minuman keras tidak bercukai yang diedarkan pasaran tempatan.

    Siasatan katanya, dijalankan di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 iaitu kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat minuman keras.

  • DKKB dilancar hari ini, jadi panduan aktiviti perkebunan bandar

    DKKB dilancar hari ini, jadi panduan aktiviti perkebunan bandar

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini melancarkan Dasar Kebun Komuniti Bandar (DKKB) secara maya.

    Menurut Zuraida, dasar DKKB diperkenalkan sebagai panduan bagi memacu amalan perkebunan berhemah dalam bandar dan membolehkan rakyat meraih peluang menghasilkan sumber makanan serta menjana pendapatan.

    “DKKB menggariskan lima teras dan 17 strategi termasuk Garis Panduan Kebun Komuniti Bandar untuk memudah cara pelaksanaan Program Pembangunan Kebun Komuniti selaras dengan peraturan dan prosedur pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sedang berkuat kuasa sekarang.

    “DKKB dapat memastikan pengurusan landskap bandar yang efektif melibatkan tanggungjawab bersama-sama antara PBT dan masyarakat dengan menekankan peri penting untuk mengoptimumkan penggunaan tanah di kawasan kejiranan atau kawasan lapang yang dibenarkan,” katanya.

    Dasar itu katanya, merupakan inisiatif untuk memperkasa komuniti bandar, mewujudkan peluang dan ruang kepada individu serta komuniti untuk menguruskan ekonomi sosial jangka pendek dengan menggalakkan aktiviti penanaman sayur-sayuran secara organik menerusi insentif anak benih dan anak-anak pokok.

    “DKKB ini juga bertujuan untuk memastikan orang awam sedar perkara-perkara yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan,” katanya.

    Melalui DKKB, Zuraida berkata, kerajaan komited untuk memastikan kelangsungan program kebun komuniti yang telah diusahakan oleh komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK) dengan sasaran satu PPR, satu kebun komuniti.

    “Berdasarkan statistik, tiga PSMK mencatatkan hasil tuaian tertinggi untuk tempoh Januari hingga 31 Mei lepas iaitu Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, Kuantan di Pahang yang mencatat 311 kilogram (kg) hasil, PPR Hiliran, Kuala Terengganu di Terengganu dengan 242.9 kg hasil dan Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh di Perak dengan 64.78 kg.

    “Saya berharap semasa tempoh Covid-19, aktiviti kebun komuniti masih boleh diteruskan terutama di kawasan-kawasan yang mempunyai kebun yang luas dengan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

  • Suri rumah menangis teresak-esak, didenda hina Agong

    Suri rumah menangis teresak-esak, didenda hina Agong

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM9,000 terhadap seorang suri rumah kerana menghina Yang di-Pertuan Agong pada Mei lalu.

    Rosmawati Mohd. Zain, 46, yang menangis teresak-esak mengaku mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui profil Facebook Rosmawati Mohd. Zain.

    Hantaran dibuat 25 Mei lalu pada pukul 7.06 malam dan dibaca pada pukul 1.06 tengah hari, 1 Jun lalu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, serta boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian anggota polis mendapati terdapat komen daripada profil Rosmawati dengan tangkap layar jelik.

    Hasil siasatan mendapati, akaun itu didaftarkan atas nama Rosmawati dan bertanggungjawab secara sedar melakukan kesilapan tersebut.

    Semasa prosiding, wanita itu yang tidak diwakili peguam mengaku kesal dengan perbuatan yang dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.

    “Ketika itu saya terlalu tertekan dan meluahkan perasaan di Facebook sehingga menyebabkan saya melakukan tindakan bodoh.

    “Yang Arif, tolonglah kurangkan denda saya kerana tidak mampu membayar denda sebanyak itu,” katanya.

    Rosmawati berkata, empat anaknya masih bersekolah dan anak keduanya akan melanjutkan pelajaran di universiti awam tidak lama lagi.

    Menurutnya, dia cuma seorang suri rumah dan mengharapkan pendapatan suami.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman yang memberi keinsafan kepada tertuduh dan mesej kepada masyarakat supaya tidak sesekali mengulangi jenayah sama.

    “Kes hari ini melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Baginda paling dihormati dalam sistem berperlembagaan, maka saya memohon tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pengajaran,” katanya.

  • 73,817 peneroka Felda tandatangan perjanjian hapus hutang

    73,817 peneroka Felda tandatangan perjanjian hapus hutang

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEBANYAK 73,817 peneroka Felda menandatangani perjanjian menerima inisiatif pelupusan sebahagian besar pinjaman di 64 rancangan di seluruh negara.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah itu melibatkan lebih 90 peratus golongan tersebut sudah berbuat demikian.

    Bagaimanapun katanya, pelaksanaan inisiatif itu ditambah baik selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pada 7 Julai lalu untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

    “Di bawah langkah penambahbaikan itu, mana-mana peneroka yang tidak mempunyai pinjaman dengan Felda akan menikmati insentif tanggungan kos tanam semula dengan kadar yang ditentukan kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Selain itu katanya, penghapusan penuh kepada peneroka bersama-sama Felda yang mempunyai baki hutang di bawah RM5,000 juga akan menikmati insentif tanggungan kos tanam semula dengan kadar ditentukan kemudian.

    “Peneroka bersama Felda yang mempunyai baki pinjaman RM5,001 hingga RM50,000 akan menikmati had bayaran kembali (BK) bulanan pinjaman lebih rendah,” katanya.

    Mustapa berkata, perkara itu dicapai berdasarkan libat urus dan turun padang selain maklum balas dan cadangan yang diterima bagi memastikan semua peneroka mendapat manfaat pelaksanaan inisiatif ini.

    Jelasnya, dua isu utama yang dibangkitkan peneroka berkaitan tawaran pelarasan pinjaman peneroka adalah jumlah pelarasan pinjaman yang dianggap tidak adil dan peneroka kurang faham dengan beberapa terma dalam dokumen perjanjian.

    Untuk itu, beliau berkata, bagi memberikan pemahaman lebih jelas kepada peneroka, adendum (tambahan) kepada perjanjian pelarasan pinjaman peneroka akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

    “Isu berkaitan pinjaman peneroka berlarutan sejak 20 tahun lalu yang mana saya difahamkan peneroka Felda tidak pernah mendapat penyata pinjaman mereka.

    “Justeru, matlamat utama inisiatif ini untuk menarik peneroka Felda bersama Felda melalui satu sistem pengurusan ladang lestari yang diuruskan mengikut amalan pertanian baik (GAP) dan pertanian mampan mengikut piawaian Malaysia dan antarabangsa.

    “Oleh itu, tawaran pelarasan pinjaman ini adalah berdasarkan syarat peneroka perlu menghantar hasil atau menyerahkan pengurusan kebun kepada Felda. Peneroka yang ingin menguruskan kebun sendiri juga disyaratkan menghantar hasil kebun kepada Felda,” katanya.

    Mustapa berkata, satu sesi libat urus akan diadakan pada 9 Ogos ini bersama-sama beliau, Pengerusi dan pengurusan Felda dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemegang taruh bagi berkongsi perkembangan terkini program pelupusan hutang peneroka.

  • Peranan PM, Kabinet hadapi Covid-19 – satu realiti bukan kegagalan

    Peranan PM, Kabinet hadapi Covid-19 – satu realiti bukan kegagalan

    Sering kedengaran, urusan menangani pandemik Covid-18 dilakukan oleh kebanyakkannya daripada Menteri-Menteri daripada UMNO kerana Menteri Kesihatan dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap pemberian vaksin kepada rakyat adalah daripada UMNO.

    Persepsi yang salah ini perlu diperbetulkan, agar tidak ada salah anggap terhadap sumbangan daripada menteri-menteri Kabinet yang lain.

    Ketepikan politik kebencian.Ketepikan politik menunding jari. Orang itu gagal. Orang ini gagal. Utamakan pemulihan yegara. Utamakan menyelamatkan nyawa rakyat.

    Saban hari, rakyat kita fokus kepada berapa jumlah kes harian baru Covid. Rakyat kita fokus kepada berapa jumlah kematian harian dan jumlah kematian keseluruhan.

    Di Malaysia jumlah kematian berada di tahap :  9,024.Di United Kindom jumlah kematian , 130,000, 13 kali ganda lebih daripada jumlah Malaysia.

    Adakah ini bermakna, kerajaan telah menyelamatkan paling tidak 100,000 kematian semenjak dilanda Pandemik ini selama 1 tahun 6 bulan ?

    Jumlah kes Covid  di Malaysia = 1,113,272. Jumlah kes sembuh 914,639. Bermakna, jumlah kes Sembuh adalah antara tertinggi di dunia dan tertinggi di Rantau Asia Pacific.

    Siapa buat apa ketika pandemik ini?

    Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan (UMNO) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob –- Memantau dan bertindak menjalankan dasar-dasar serta strategi menangani Pandemik Covid. Jurucakap bagi pihak Kabinet dan Kerajaan. Tugas itu kini digalas oleh Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (UMNO).

    Menteri Sains dan Inovasi Khairy Jamaluddin (UMNO)– Bertanggungjawab sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk memberi vaksin kepada rakyat.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr.Adham Baba (UMNO) – Bertanggung-jawab secara langsung bersama Kementerian Kesihatan merancang dan menangani pandemik Covid dengan strategi terkini dari segi perubatan dan memastikan Sistem Kesihatan Negara berada ditahap terbaik dan optimum.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Bersatu) – Menteri yang bertanggungjawab memastikan SOP dipatuhi. Menggerakkan Pasukan Polis Diraja Malaysia melakukan sekatan-sekatan jalanraya dan memantau agar SOP dipatuhi di restoran, tempat awam, taman perumahan, bandar dan kilang-kilang.

    Sudah 1 tahun 6 bulan, Menteri KDN jaga frontliners di simpang-simpang jalan dan tol-tol sempadan negeri serta daerah. Mereka adalah wira yang tidak didendang.

    Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (Bersatu) Datuk Seri Rina Harun –– menteri yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat termasuk program bantuan kotak makanan dan lain-lain.

     -Menteri Pertanian dan Industri Makanan,Datuk Seri Ronald Kiandee (BERSATU). – Memastikan bekalan makanan cukup untuk rakyat Malaysia ketika Pandemik ini. Supply chain untuk makanan utama seperti beras, ayam, ikan, daging, telur, minyak masak dan sayur-sayuran mencukupi.

    –Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz– bertanggungjawab menerajui Pelan Pemulihan Negara, memastikan segala pakej bantuan kepada rakyat berjalan lancar.

    Paling penting, ekonomi negara perlu dipastikan berada di landasan yang betul. Hutang negara seharusnya berada di paras yang tidak membebankan Negara di masa hadapan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Dr.Abdul Latif Ahmad (Bersatu)– Menteri yang bertanggungjawab kepada program luar Bandar untuk rakyat dalam kesusahan dan miskin. Termasuklah orang-orang Asli.

    Kesemua lapan menteri itu sebenarnya mempunyai tanggungjawab besar ketika negara berhadapan pandemik Covid.

    Mereka inilah yang memastikan tahap kesihatan kita berada di dalam keadaan baik, sumber makanan cukup untuk rakyat, bantuan makanan dan kewangan seperti BR1M dan lain-lain sampai kepada sasaran.

    Sesungguhnya, merekalah FRONTLINERS KABINET untuk rakyat mengharapkan perkhidmatan dan bantuan ketika berada dalam waktu yang amat sukar ini.

    Seperti mana kata-kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang setiap hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menangani isu Covid-19;

    ’’Kerajaan ini bukannya satu kerajaan yang sempurna tetapi kerajaan ini tidak berpeluk tubuh. Kerajaan ini berterusan mencari jalan untuk membantu Rakyat dalam kesusahan. Berterusan berperang dengan pandemik Covid serta berterusan memastikan negara akan menang ketika berhadapan dengan Pandemik Covid ini.’’

    DATO’ SAIFUL BAHAR.

    Putrajaya