Author: Admin

  • Tiada 39 kes varian Delta di Terengganu

    Tiada 39 kes varian Delta di Terengganu

    ORANG ramai tidak perlu panik berikutan tularnya dalam media sosial kononnya terdapat 39 pesakit Covid-19 varian Delta dikesan di sekitar kawasan perumahan Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ini kerana maklumat yang ditularkan itu adalah palsu.

    “Setakat ini kes varian Delta adalah kekal melibatkan dua pesakit iaitu yang dikesan berlaku di Kuala Terengganu. Memang kita ada hantar beberapa sampel ke makmal di Kuala Lumpur dan masih menunggu keputusan ‘penjujukan genom’ yang dijalankan.

    “Ia penting untuk mengenal pasti sama ada masih berlaku jangkitan Covid-19 varian Delta di Terengganu, selain dua kes yang dilaporkan sebelum ini. Namun, yang pasti maklumat mengenai 39 pesakit varian Delta itu adalah tidak benar sama sekali,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Menerusi maklumat yang tular itu, penduduk Kuala Ibai dimaklumkan bahawa petugas kesihatan akan membuat ujian calitan kepada penduduk kampung malam ini susulan kononnya terdapat 39 kes varian Delta.

    Penduduk juga diberi amaran kononnya kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Kuala Ibai dan kawasan perumahan di Kondo Rakyat Kuala Ibai untuk mencegah penularan Covid-19.

    Sehubungan itu, Dr Alias berharap orang ramai hanya merujuk maklumat dari Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bagi mengetahui perkembangan semasa Covid-19 di negeri itu.

    “Paling penting terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kekal berada di rumah jika tiada urusan penting kerana risiko penularan varian Delta tetap ada di seluruh negara,” katanya.

  • Anggota Rela didakwa bunuh rakan karib

    Anggota Rela didakwa bunuh rakan karib

    SEORANG anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang hari ini atas pertuduhan membunuh rakan karibnya.

    Mengikut pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda, tertuduh Chow Lee didakwa membunuh Fong Swee Fuan, 65, di sebuah bangsal di belakang sebuah tokong Cina, bersebelahan pondok Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Taman Raya Wakaf Tapai kira-kira pukul 1.55 petang pada 23 Julai lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah.

    Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut, manakala anak saudaranya cedera parah ditembak rakan baik menggunakan senapang patah dalam kejadian di sebuah pondok Kawasan KRT Taman Raya Wakaf Tapai Marang.

    Dalam kejadian tersebut, mangsa ditemui maut dalam keadaan terduduk di atas kerusi.

    Anak saudara mangsa, Teo Hock Beng, 45, pula dijumpai terbaring di lokasi kejadian dengan kecederaan parah pada bahagian dada dan menerima rawatan lanjut di Hospital Hulu Terengganu.

  • Enam juruselam bantu baiki paip pecah di dasar sungai

    Enam juruselam bantu baiki paip pecah di dasar sungai


    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KRISIS gangguan bekalan air yang dihadapi seramai 23,100 akaun pengguna di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dijangka berakhir 8 Ogos ini.

    Sehingga ini Syarikat Air Terengganu (SATU) sudah mengenal pasti punca gangguan tersebut di mana kerja-kerja membaik pulih sedang dilakukan termasuk menggunakan khidmat empat orang penyelam.

    Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr Mamad Puteh memberitahu, masalah gangguan bekalan air yang berlaku sejak semalam adalah berpunca daripada paip pam bersaiz 1,200 milimeter di dasar sungai Terengganu telah pecah.

    Ekoran itu katanya, SATU dengan kerjasama Sumai Engineering Sdn. Bhd. kini sedang berusaha membaiki kerosakan tersebut dengan menggunakan khidmat orang penyelam.

    “Kerosakan paip kali kali agak serius dan tidak pernah berlaku sejak 30 tahun lalu di mana ia dipasang di dasar sungai antara sungai Losong Feri hingga ke Bukit Datu,” katanya.

    Menurut Dr Mamad,
    sebagai alternatif untuk menyelesaikan masalah air di kawasan terbabit, SATU mula menghantar lori tangki mulai pukul 10 malam tadi.

    Beliau berkata, antaranya di Kampung Kubang Jela Manir,  Perumahan Gong Badak, Perumahan Alor Jambu, Lingai, Tepoh,  Banggol Binjai, Tualang Manir, Banggol,  Taman Desa Tanjung Damai Gong Badak, Kampung Jati Gong Badak, Taman Desa Jaya dan Taman Kalungan Ilmu.

    Sementara itu, SATU dalam satu kenyataannya hari ini memberitahu, gangguan bekalan air di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin akibat paip di dasar Sungai Terengganu pecah dijangka pulih pada 7 atau 8 Ogos nanti.

    Menurut kenyataan itu, kerja-kerja membaiki paip dijangka mengambil masa antara empat hingga lima hari bergantung kepada tahap kerosakan dan keadaan sungai.

    “Penambahan masa untuk pembaikan adalah disebabkan masalah yang berlaku agak rumit dan memerlukan kontraktor berpengalaman serta pakar.

    Sekiranya ada lanjutan masa bagi tempoh pembaikan, makluman akan dibuat lebih awal.

    “Kedudukan dan laluan paip 1,200 milimeter pada dasar sungai telah dikenal pasti melalui aktiviti selaman. Lokasi sebenar paip pecah juga telah diketahui dan proses pembaikan telah dimulakan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Bagi memastikan penduduk terjejas mendapat bekalan air, SATU telah menggerakkan lapan buah lori tangki untuk diagihkan kepada kawasan terlibat dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan Syarikat Pengurusan Air Pahang (Paip).

    Menurut kenyataan itu, SATU juga sedang berusaha menambah 10 buah lori tangki air lagi dengan memohon bantuan daripada operator negeri lain melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi melancarkan lagi proses agihan air.

  • Penduduk sempadan Sungai Golok dengar letupan Kuat

    Penduduk sempadan Sungai Golok dengar letupan Kuat

    INSIDEN serangan yang berlaku berhampiran Pos Tak Bai, Narathiwat, Thailand turut didengar oleh penduduk yang tinggal di Kampung Kubang Pak Itam, Pasir Mas, Kelantan.

    Malah,rata-rata penduduk yang tinggal di kawasan sempadan Sungai Golok tersebut mendakwa ada terdengar letupan dan dentuman tembakan yang sangat jelas, lapor Harian Metro.

    Seorang penduduk dikenali Omar, 42, mendakwa, letupan yang berlaku turut menggegarkan kediamannya yang terletakhanya
    beberapa meter dari Sungai Golok, sempadan Malaysia-Thailand.

    “Ketika itu saya sedang tidur, tiba-tiba terjaga kerana terkejut terdengar bunyi letupan kuat. Di sebelah Thailand memang biasa berlaku, tetapi dalam masa sama, saya khuatir kerana dapat merasakan kejadian terlalu dekat dengan rumah.

    “Sekitar pukul 4 pagi, kami dikejutkan lagi dengan bunyi helikopter yang menyuluh lampu di sepanjang sungai. Ia meresahkan kami sekeluarga yang tidak tahu punca sebenar apa yang berlaku.

    “Tambahan pula, sejak kebelakangan ini ada sahaja individu tidak dikenali berkeliaran di sekitar rumah, tidak pasti siapa mereka,” katanya ketika ditemui.

    Sebelum ini media melaporkan, anggota renjer maut dan empat lagi parah dalam satu serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah pos kawalan di Tak Bai, Narathiwat pada 2.20 pagi (waktu tempatan).

    Komander Tentera Bahagian Ke-4 Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak dilapor berkata, sekumpulan lelaki bersenjata melontar sekurang-kurangnya 10 butir bom paip, dan melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah pos kawalan yang menempatkan lapan anggota renjer bertugas.

    Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Jani Azmi, 41, yang tinggal di Kampung Jeram Perdah mengaku turut mendengar bunyi dentuman kuat pada awal pagi.

    “Apabila saya terbaca di media sosial, ada viral mengatakan berlaku letupan bom di kawasan sempadan yang jaraknya agak jauh juga dari kawasan saya.

    “Benar juga ada (bunyi dentuman) didengar pagi tadi. Maksudnya ia letupan sangat kuat,” katanya.

  • Maritim gagalkan cubaan seludup daun ketum

    Maritim gagalkan cubaan seludup daun ketum

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JERLUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira 750 kilogram daun ketum yang diletakkan dalam sebuah bot fiber di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglang dekat sini, pagi tadi.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot fiber tersebut yang tidak mempunyai nombor pendaftaran, ditemukan kira-kira pukul 4 pagi tadi.

    “Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat 75 bungkusan plastik hitam disyaki berisi daun ketum dalam bot tersebut. Beratnya dianggarkan kira-kira 750 kilogram.

    “Nilai keseluruhan daun ketum tersebut dianggarkan kira-kira RM135,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya daun ketum itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa yang tinggi di Thailand.

    “Berbanding RM70 sekilogram di pasaran tempatan, harga daun ketum di negara jiran itu mampu mencecah lebih RM180 sekilogram.

    “Semua hasil rampasan termasuk bot fiber tersebut dan enjinnya yang keseluruhannya bernilai RM198,000, dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain.

    “Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.

  • PM tegaskan masih ada majoriti, Agong perkenan undi percaya di Parlimen September

    PM tegaskan masih ada majoriti, Agong perkenan undi percaya di Parlimen September

    YANG di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan keabsahaan beliau sebagai Perdana Menteri di Parlimen, pada September ini.

    Dalam perutusan khas hari ini, Muhyiddin berkata, suatu usul percaya kepada beliau akan dibentangkan.

    Beliau turut menegaskan, tidak berbangkit beliau kehilangan majoriti di Dewan Rakyat seperti dibangkitkan.

    Muhyiddin berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong surat akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkannya mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

    Berikut kenyataan penuh Perdana Menteri;

    Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera. Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sekalian sihat wal afiat.

    Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada saudara dan saudari sekalian kerana dalam keadaan negara kita sedang berhadapan dengan cabaran besar menangani pandemik Covid-19, saya terpaksa tampil menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional dan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri.

    Semalam saya telah menerima warkah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang memaklumkan kepada saya terdapat lapan orang Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepada saya.

    Di dalam warkah ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Pertama, Perkara 43 (2) (a) iaitu:

    “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”; dan

    Kedua, Perkara 43 (4) iaitu:

    “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

    Sehubungan itu, saya telah dititah menghadap oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi hari ini.

    Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli- Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

    Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.

    Namun, saya juga sedar bahawa kedudukan saya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan.

    Maka, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

    Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.

    Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

    Alhamdulillah, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan saya ini.

    Sementara itu, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

    Saya akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.

    Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan.

    Saya menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para frontliners, agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab anda tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh.

    Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka. Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

    Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

    Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

    Saya doakan agar rakyat dan negara kita terus dilindungi oleh Allah s.w.t dan kepada-Nya jua lah kita berserah.

  • 206 laporan polis diterima berhubung perhimpunan ahli Parlimen pembangkang – KPN

    206 laporan polis diterima berhubung perhimpunan ahli Parlimen pembangkang – KPN

    Oleh: Bernama

    POLIS menerima 206 laporan di seluruh negara berhubung perhimpunan oleh Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka semalam susulan penangguhan Sidang Khas Parlimen.

    Ketua Polis Negara Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata satu kertas siasatan telah dibuka bagi kesemua laporan yang diterima dan individu yang terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

    Sehubungan itu katanya polis meminta semua individu yang terlibat dalam perhimpunan itu supaya memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U (A) 293), Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan juga Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata pihaknya mengambil maklum bahawa pada 30 Julai lepas, Setiausaha Dewan Rakyat telah mengemukakan pemberitahuan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2021 telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

    Acryl Sani berkata penangguhan itu adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19, dan kementerian berkenaan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan wabak itu.

    Beliau berkata pada 1 Ogos lepas pihaknya telah menerima maklumat bahawa satu perhimpunan akan diadakan di kawasan Parlimen pada 2 Ogos 2021.

    “Mengambil kira bahawa pada tarikh berkenaan tiada sidang Parlimen berlangsung kerana sidang telah ditangguhkan dan tiada kewajaran untuk ahli-ahli Dewan Rakyat berada di Parlimen, maka pihak polis telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan sebarang perhimpunan daripada diadakan,” katanya.

    Jelasnya tindakan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U (A) 293), bertarikh 4 Julai 2021, dan berhimpun serta berarak merupakan aktiviti yang dilarang dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

    Semalam Bernama melaporkan polis telah menghalang cubaan Ahli Parlimen pembangkang memasuki perkarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun sidang itu telah ditangguhkan atas nasihat KKM berikutan penularan COVID-19.

    Kumpulan itu bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarahkan oleh pihak polis, tetapi berlaku banyak perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkaitan penjarakan fizikal, ketika perarakan dan ketika mereka berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju ke Parlimen. – BERNAMA

  • Tangani segera isu murid ‘lesu’PdPR – Ahli akademik

    Tangani segera isu murid ‘lesu’PdPR – Ahli akademik

    Oleh:Bernama

    Sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang kini diguna pakai oleh sistem persekolahan negara dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19, dilihat secara tidak langsung mencetuskan isu learning burnout atau hilang motivasi untuk belajar dan membaca dalam kalangan pelajar, khususnya murid sekolah rendah.

    Isu ini dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan kadar ketinggalan dalam pembelajaran yang mana berdasarkan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas kumpulan B40 di kawasan pangsapuri di sekitar ibu negara, didapati enam daripada 10 murid hilang motivasi untuk mengikuti PdPR.

    Mengulas perkara itu, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata isu keciciran pembelajaran dan learning burnout perlu ditangani segera bagi mengelakkan lebih ramai pelajar tertinggal dalam pelajaran dan seterusnya mewujudkan lost generation.

    (Lost generation merujuk kepada kohort murid yang keciciran pendidikan sehingga menyebabkan tahap pencapaian pendidikan mereka lebih rendah berbanding kumpulan sebelumnya. Antara punca terjadi lost generation ialah kehilangan waktu pembelajaran untuk tempoh yang lama akibat peperangan, bencana alam yang besar atau penularan wabak penyakit berjangkit berpanjangan)

    PERLU KEMBALIKAN SEMANGAT PELAJAR

    Menurut Dr Anuar, berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan (KPM) yang dikeluarkan pada 11 Okt 2020, kadar keciciran murid sekolah rendah meningkat kepada 0.13 peratus pada tahun berkenaan berbanding 0.12 peratus pada 2019, sementara kadar keciciran pelajar sekolah menengah pula meningkat daripada 1.14 peratus kepada 1.26 peratus bagi tempoh sama.

    Bagaimanapun beliau yakin angka itu akan terus meningkat, mengambil kira keadaan pandemik yang semakin serius serta tidak ada tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat.

    “Di Malaysia, umum mengetahui ada pelbagai kaedah pembelajaran digunakan, iaitu secara dalam talian, luar talian (offline), edaran nota serta TV Pendidikan. Namun dalam situasi negara sekarang, PdPR dalam talian lebih diutamakan.

    “Isu yang timbul ialah negara kita sebenarnya masih belum cukup bersedia untuk melaksanakan PdPR dalam talian. Ada dua sebab, iaitu ketidakmampuan dari segi penyediaan peranti yang sesuai dan mencukupi serta capaian Internet kurang memuaskan,” katanya kepada Bernama.

    Menurutnya, KPM sendiri melaporkan masalah peranti merupakan antara isu utama yang dihadapi oleh kira-kira 1.85 juta pelajar pada masa ini.

    Selain itu, Dr Anuar berkata pelajar juga dikatakan tertekan dengan situasi pembelajaran semasa.

    Kajian Fakulti Pendidikan UKM yang diketuai Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor bagi 2020 menunjukkan 70 hingga 80 peratus guru melaporkan antara cabaran utama melaksanakan PdPR ialah mendapatkan perhatian/fokus pelajar serta kadar kehadiran tidak mencapai 80 peratus.

    Menurut kajian itu, masalah tumpuan pelajar tersebut dikaitkan dengan keadaan persekitaran rumah yang tidak kondusif.

    UBAH PENDEKATAN

    Bimbang potensi pelajar terbantut disebabkan tidak dapat mengikuti pembelajaran secara sempurna, Dr Anuar menyarankan agar pelaksanaan PdPR diubah daripada berbentuk sistem persekolahan kepada sistem pembelajaran, iaitu tidak ada lagi konsep kehadiran kelas secara seragam sebaliknya menekankan aspek engagement atau penglibatan mengikut keperluan dan kemampuan pelajar.

    “Keutamaan kini seharusnya diberikan kepada subjek teras sahaja bagi mengurangkan stres kepada murid dan guru, di samping mengurangkan bilangan subjek tertentu yang tidak penting. Ini dalam masa yang sama dapat merawat learning burnout yang sedang berlaku dalam kalangan murid kita,” jelasnya.

    Beliau turut mencadangkan agar kaedah PdPR diuruskan secara lebih profesional dan teratur, iaitu semua maklumat aktiviti dan rekod pelaporan PdPR dipusatkan ke dalam satu sistem yang mudah diakses oleh semua pihak berkepentingan.

    WUJUDKAN e-SEKOLAH

    “Saya cadangkan supaya kita wujudkan satu web atau aplikasi e-Sekolah sebagai pusat segala aktiviti PdPR. Boleh mulakan di sekolah masing masing. Ini adalah sekolah maya (hanya fokus pada urusan PdPR). Wujudkan dashboard yang mudah digunakan agar ibu bapa dan pelajar boleh menggunakan e-Sekolah. Ramai guru yang mahir bangunkan laman web. Ada juga ibu bapa yang boleh bantu bangunkan web ini, malah jika boleh dibangunkan dalam bentuk aplikasi lebih baik.

    “Dalam web yang sama, kita juga boleh wujudkan button dashboard mengikut mata pelajaran dan tingkatan. Pengumuman guru boleh dibuat mengikut kumpulan PdPR. Pelajar atau ibu bapa hanya perlu tekan button nama guru untuk dapatkan maklumat atau apa juga makluman berkaitan aktiviti PdPR anak-anak mereka.

    “Selepas selesai pengajaran secara dalam talian atau buat rakaman video untuk offline, guru-guru boleh masukkan pautan video pengajaran mereka dan soalan latihan dalam dashboard berserta tarikh penghantaran. Berikan tempoh yang sesuai untuk pelajar menjawab soalan latihan. Jika murid-murid masih kurang faham mereka boleh ulang tonton video pengajaran guru. Masukkan juga pautan sumber-sumber tambahan pembelajaran untuk setiap topik. Jika sekolah menggunakan platform Google Classroom (GC), maka masukkan semua pautan GC dalam web e-Sekolah,” cadang beliau.

    Jelas beliau, e-Sekolah juga membolehkan pelajar berkongsi pautan video aktiviti harian mereka dengan rakan sekelas.

    “e-Sekolah boleh menjadi alat membina persahabatan antara mereka sekalipun tidak hadir di sekolah,” katanya yang berharap saranan itu dapat mengurangkan beban dan burnout yang terpaksa ditanggung pihak berkenaan, khususnya murid, guru dan ibu bapa akibat kekangan dalam PdPR, serta mengembalikan semula semangat belajar dan membaca murid.

    Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan berkata pemerhatian pihaknya mendapati semakin ramai guru berjaya menguasai kemahiran PdPR, selain ada antara mereka mempamerkan kreativiti dalam pengajaran.

    “Kita gunakan PdPR demi keselamatan anak murid kita. Di sinilah kita lihat terserlah pelbagai cara kreatif guru dalam melaksanakan PdPR. Tapi nanti, jika sekolah dibuka (semula), guru-guru sebagai profesional sudah tentu akan terus memikirkan cara untuk menjalankan intervensi lain di samping langkah pemulihan bagi membantu anak didik,” katanya.

    Pada masa sama, Tan meminta KPM agar terus berganding bahu dengan masyarakat, khususnya persatuan ibu bapa dan guru, bagi mencari jalan terbaik dalam memastikan pelajar mempunyai akses yang mudah untuk berhubung dengan guru. – BERNAMA

  • Felda Tersang 1, 2,3 sekali lagi dikenakan PKPD

    Felda Tersang 1, 2,3 sekali lagi dikenakan PKPD

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekali lagi diumumkan di sebuah perkampungan skim tanah persekutuan di Raub, Pahang bermula lusa melibatkan Felda Tersang 1, 2 dan 3 di Mukim Batu Talam susulan Kluster Jalan Batu Malim.

    Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Kementerian Kesihatan pada 24 Julai lalu memaklumkan ada 11 kes positif baharu Covid-19 hasil daripada saringan dilakukan melibatkan sejumlah 644 kontak rapat kluster itu.

    Tanah rancangan berkenaan pernah dikenakan PKPD sejak 27 Mei sebelum dilanjutkan lagi sehingga 15 Jun lalu susulan penularan aktiviti ziarah sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

    “Turut dilaksanakan PKPD dalam daerah yang sama ialah Felda Krau 1 di Mukim Gali yang akan berkuat kuasa juga selama 14 hari mulai Khamis ini sehingga 18 Ogos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Hishammuddin, PKPD juga dilaksanakan di Terengganu meliputi Taman Rakyat Bestari Fasa 1 hingga 4 serta Rumah Awam Kos Rendah 1 dan 2 di Bukit Kluang, Mukim Telok Kalong, daerah Kemaman selain Mukim Manir, daerah Kuala Terengganu.

    Katanya, di Sabah, empat lokaliti terlibat PKPD iaitu Kampung Banjar, Daerah Keningau; Penampang Baru, Daerah Penampang; Depot Tahanan Imigresen Tawau dan Kem 3 Sibulu, Daerah Tenom.

    Dalam pada itu, Hishammuddin memaklumkan, Kampung Bintawa Hilir, Bahagian Kuching, Sarawak yang sepatutnya tamat PKPD hari ini, namun disambung lagi sehingga 17 Ogos, manakala Kampung Sungai Tapang ditamatkan PKPD seperti dijadualkan.

    Selebihnya, sejumlah 12 lokaliti di Sabah turut ditamatkan PKPD esok iaitu Kampung Guruh-Guruh, daerah Sipitang; Kampung Sri Menanti, daerah Tawau serta Kampung Air dan Kampung Bokara, daerah Sandakan selain lapan lagi lokaliti dalam daerah Kota Kinabalu.

    Katanya, lapan lokaliti itu meliputi Kampung Pondo, Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai, Kampung Pulau Gaya, Kampung Sinulihan, Kampung Mogidang Malawa dan kuarters pekerja Progresif Perwira, Kilang Papan Lusera Telipok serta Kondominium University Utama Fasa 2.

  • Shamsul Letak Jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli

    Shamsul Letak Jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah meletakkan jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Shamsul yang merupakan Ahli Parlimen Lenggong berkata, keputusan itu selepas mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.

    Katanya, sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti, maka keputusan berkenaan diambil.

    “Pertama saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana saya diberikan peluang berkhidmat sebagai Menteri Tenaga Dan Sumber Asli dan pastinya pimpinan UMNO yang mencadangkan saya sebagai Menteri Kerajaan Persekutuan.

    “Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti. Maka, sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti. Saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan,” katanya.

    Pada masa yang sama beliau turut terima kasih kepada semua warga kementerian dan akan memberi fokus sebagai Ahli Parlimen Lenggong.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak dan semua warga Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Tumpuan saya selepas ini ialah memberikan fokus sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar,” ujarnya.