Author: Admin

  • Pemotong rumput warga emas maut dirempuh kereta

    Pemotong rumput warga emas maut dirempuh kereta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG warga emas maut setelah dirempuh sebuah kereta ketika sedang melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pekerja pembersihan di Jalan 4, Taman Selasih dekat Kulim, Kedah tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, mangsa, Abu Bakar Osman, 68, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

    Menurutnya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.14 tengah hari.

    “Ketika kejadian, mangsa sedang memotong rumput manakala kereta jenis Proton Iswara dipandu seorang warga emas berusia 77 tahun datang dari kawasan perniagaan di Lorong 8/3/ Taman Selasih.

    Ketika kejadian, mangsa sedang memotong rumput manakala kereta jenis Proton Iswara dipandu warga emas datang lalu melanggarnya

    “Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut hilang kawalan dan melanggar mangsa yang berada di kiri jalan,” katanya.

    Beliau menambah, pemandu kereta itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu jurucakap bomba memaklumkan, kemalangan itu mengakibatkan mangsa tersepit di bawah kereta berkenaan.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis sebaik dikeluarkan dari bawah kenderaan itu untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • PRU15:’Perang sebenar’ di kawasan tegar Melayu – Pejuang

    PRU15:’Perang sebenar’ di kawasan tegar Melayu – Pejuang

    GERAKAN Tanah Air (GTA) yang dipimpin Tun D.r Mahathir Mohamad menganggap ‘perang sebenar’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah di kawasan majoriti Melayu.

    Timbalan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Rafique Rashid Ali berkata, peperangan tersebut berlaku di kawasan Melayu tegar yang mana parti komponen Pakatan Harapan (PH) sukar menembusinya.

    “Pendek cerita di kawasan Melayu tegar. Di kawasan-kawasan yang Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Pakatan Harapan (PH) tidak boleh tembusi. Di kawasan-kawasan PH bergantung pada Tun Dr. Mahathir semasa kempen PRU-14,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pembentukan gabungan berteraskan Melayu mengundang kritikan daripada beberapa pihak, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengatakan pendekatan berbilang kaum lebih diperlukan bagi menyelesaikan isu membelanggu negara.

    Rafique berkata, tidak sampai 24 jam GTA diumumkan, wujud suara ‘sumbang’ menyindir dan merendahkan inisiatif dilakukan.

    Beliau turut mempersoalkan mengapa takut dengan gabungan itu walaupun berkongsi sasaran sama.

    Katanya, kesanggupan GTA untuk menjadi lawan utama UMNO menunjukkan bahawa tiba masanya rakyat benar-benar menyokong gerakan ini.

    GTA katanya, jelas ingin menyatukan kekuatan orang Melayu dalam sosio-ekonomi dan pendidikan, selain kembali menjadi Harimau Asia juga salah satu matlamat penubuhannya.

    “Bukankah itu juga harapan parti-parti pembangkang,” soalnya sebagaimana dilaporkan Free Malaysia Today (FMT).

    Menurutnya, walaupun gabungan berkenaan berteraskan Melayu, Rafique menegaskan, GTA terbuka kepada semua orang Melayu yang dahagakan perubahan untuk sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.

    “Harus ditekankan juga GTA ini adalah satu gerakan rakyat. Ianya tidak rasis,” ujarnya.

    Khamis lalu, Mahathir mengumumkan penubuhan GTA merangkumi Pejuang Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

    Mahathir berkata, gerakan itu turut disertai NGO dan ahli akademik dan profesional meletakkan sasaran menukar kerajaan melawan UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

  • ‘RUU antilompat’ perjanjian manusia, baiah atas nama Allah, kata Mursyidul am Pas

    ‘RUU antilompat’ perjanjian manusia, baiah atas nama Allah, kata Mursyidul am Pas

    PAS tetap akan meneruskan amalan baiah terhadap calon-calonnya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) walaupun Rang Undang-undang antilompat parti sudah diluluskan baru-baru ini.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, kaedah yang digunakan partinya itu dapat membendung wakil rakyatnya daripada berpaling tadah.

    “Ada pun RUU antilompat parti itu adalah perjanjian dengan manusia, tetapi baiah yang kita lakukan adalah sumpah taat setia bukan dengan kepada parti bahkan atas nama Allah SWT.

    “Bagi kita baiah itu lebih berkesan berbanding RUU antilompat parti,” katanya memetik laporan Malaysiakini hari ini.

    Katanya, walaupun amalkan baiah masih ada kemungkinan untuk wakil rakyat melompat parti, pada masa sama dengan adanya RUU itu ia akan lebih menyakinkan.

    Terdahulu pada 28 Julai lalu Dewan Rakyat meluluskan RUU antilompat parti sekali menguatkuasakan larangan ahli parlimen bertukar parti.

    Melalui RUU berkenaan antara lain ahli parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka bertindak keluar parti atau tidak lagi menjadi ahlinya, namun ahli parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi.

    Untuk rekod Pas, sejak sekian lama mengamalkan baiah iaitu sumpah taat setia kepada parti dengan bersumpah atas nama Allah SWT.

    Ia bagi menghalang seseorang wakil rakyatnya mengkhianati parti dengan meninggalkan perjuangan Pas selepas memenangi pilihan raya.

    Setiap calon yang dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya wajib melakukan baiah.

  • PRU-15 diadakan jika ada parti tarik sokongan – PM

    PRU-15 diadakan jika ada parti tarik sokongan – PM

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedia hadapi kemungkinan jika ada parti tarik sokongan hingga menyebabkan Pilihan raya Umum ke-15 (PRU-15) terpaksa diadakan.

    Tindakan menarik sokongan itu kata Perdana Menteri, sudah tentu akan menyebabkan kerajaan sedia ada tumbang dan PRU-15 wajar diadakan.

    “Kerajaan sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya dalam apa juga keadaan.

    “Kalau kita masih kekal, kita pertimbangkan tarikh pilihan raya mengikut kesesuaian dan saya sudah sebutkan pilihan raya akan tetap diadakan,” katanya menurut MalaysiaKini yang memetik laporan BH Online hari ini.

    Terdahulu, dilaporkan Perikatan Nasional (PN) sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri dipetik berkata, beliau difahamkan penarikan sokongan PN itu tidak dikeluarkan secara rasmi dan kenyataan berkenaan hanya dibuat oleh satu dua orang saja.

    “Saya pun dengar macam tu saja, ada ahli parti itu yang menyatakan perkara itu tidak dibawa ke dalam mesyuarat parti pun.

    “Dari segi tindakan kita tunggu dulu keputusan rasmi parti berkenaan,” katanya.

    Pun begitu, Ismail menegaskan dalam negara demokrasi mana-mana parti politik boleh membuat keputusan sendiri.

    “Apa yang penting, (penarikan sokongan) kesannya kita terpaksa hadapi pilihan raya.

    “Kalau semua bersedia, maka kita tiada pilihan untuk mengadakan pilihan raya,” jelasnya.

  • Siasatan SPRM berkenaan kes LCS di peringkat akhir

    Siasatan SPRM berkenaan kes LCS di peringkat akhir

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengumumkan keputusan siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur (LCS) bernilai RM9 bilion, dalam masa terdekat.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, sebelum pegumuman dibuat perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan beberapa pihak berkaitan sebelum boleh didedahkan kepada umum.

    “Buat masa ini pihak saya masih lagi reserve (menangguhkan) untuk memberi apa-apa kenyataan dan saya akan maklum kemudian apabila bersedia membuat pengumuman.

    “Saya sudah pernah memberi kenyataan sebelum ini (mengenai siasatan)… Saya kena menjaga sensitiviti hal penyiasatan dan kerahsiaan kes ini kerana bukan sahaja membabitkan SPRM tapi juga Jabatan Peguam Negara dan sebagainya.

    “Sebab itu saya kena pastikan perkara ini diambil kira dahulu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis pertemuan tahunan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di Kuala LUmpur, hari ini.

    Turut hadir Presiden MCW Jais Abdul Karim.

    Ditanya sama ada SPRM sudah menjalankan siasatan kes itu atau sebaliknya, Azam berkata, siasatan sudah bermula sejak beberapa tahun lalu dan berada di peringkat akhir.

    “Ada pihak seolah-olah menggambarkan yang siasatan masih dijalankan dan menggesa SPRM untuk menyiasat. Dah banyak kali saya katakan kita sedang menyiasat dan peringkat akhir penyiasatan, jadi peringkat ini saya tak mahu komen dulu,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Terdahulu, pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur LCS susulan laporan PAC yang dibentangkan pada Khamis.

    Antara yang mendesak adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

    Dalam laporan yang dibentangkan itu, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan kapal berkenaan, antaranya kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

    Memetik kenyataan Pengerusi PAC Wong Kah Woh melalui prosiding dijalankan, projek LCS 1 disahkan siap tidak sampai 44 peratus dan upacara penamaan serta pelancarannya seperti dinyatakan saksi hanya memberi persepsi kepada umum bahawa kapal itu sudah siap.

  • Bersatu tumpu perbincangan gabungan politik besar

    Bersatu tumpu perbincangan gabungan politik besar

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih berbincang mengenai keperluan meluaskan kerjasama dengan parti lain bagi membentuk gabungan politik lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, pihaknya percaya langkah berkenaan penting untuk memastikan kestabilan politik selepas PRU-15.

    “Apa yang saya tahu Bersatu memang percaya kepada penggabungan (parti politik) besar kerana bagi Bersatu persoalan utama bukan sekadar menang pilihan raya tetapi kestabilan politik.

    “Ini supaya tumpuan dapat diberikan kepada usaha meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat selepas PRU.

    “Oleh demikian, soal gabungan politik itu setakat saya berbincang dalam Bersatu masih menjadi perkara diberikan tumpuan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan keperluan untuk menggunakan pendekatan ‘khemah besar’ bagi menghadapi PRU15.

    Saifuddin tidak cenderung untuk menggunakan istilah ‘khemah besar’ dalam membincangkan mengenai kerjasama politik antara parti.

    “Kerana istilah ini lain orang ada lain makna. Jadi istilah lebih selesa ialah penggabungan parti politik,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Bersatu ketika ini membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada antaranya Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah.

  • Kalau semua bersedia, kita akan adakan PRU-15, kata PM

    Kalau semua bersedia, kita akan adakan PRU-15, kata PM

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya semua pihak bersedia, tiada masalah untuk kerajaan membubarkan Parlimen dan seterusnya mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Perdana Menteri berkata, jika masih belum bersedia dan kerajaan sedia ada kekal serta menegaskan akan mempertimbangkan tarikh pilihan raya dengan meneliti isu-isu rakyat terlebih dahulu.

    “Pilihan raya tetap akan diadakan cuma buat masa ini, tarikhnya masih belum ditentukan.

    “Saya dah sebut dah. Pilihan raya akan tetap diadakan cuma tarikh itu akan ditentukan tapi kalau ada tindakan tarik sokongan sebelum tarikh ditentukan, kita akan ambil tindakan.

    “Sama ada adakan pilihan raya atau tidak, maka kita akan tentukan selepas ini tapi perkara ini tidak dikeluarkan oleh parti, kenyataan tidak dikeluarkan secara rasmi daripada parti.

    “Jadi mungkin satu dua orang saja yang mengeluarkan kenyataan dan ada dalam kalangan ahli parti berkata, ini tidak dibawa ke dalam mesyuarat. Itu mungkin pandangan peribadi,” katanya.

    Tambah Ismail Sabri, kerajaan sentiasa bersedia dalam apa sahaja keadaan pada masa kini.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) di MAEPS Serdang, hari ini, lapor Astro Awani.

    Media sebelum ini melaporkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan Ismail Sabri membatalkan pertemuan dengan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin pada saat-saat akhir.

    Pertemuan itu yang dijadual kelmarin, dimaklumkan berhubung perjanjian ditandatangani antara PN dan Naib Presiden UMNO itu sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

    Situasi tersebut menyebabkan timbul khabar angin mendakwa Perikatan Nasional (PN) mungkin menarik sokongan kepada Perdana Menteri susulan konflik tersebut.

  • 4 ADUN Bersatu Pulau Pinang masih boleh jalankan tugas wakil rakyat

    4 ADUN Bersatu Pulau Pinang masih boleh jalankan tugas wakil rakyat

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih boleh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat sehingga Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan mengenai saman pemula yang dibuat mereka.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kesemua ADUN berkenaan juga akan menerima faedah dan gaji seperti biasa sehinggga Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan bersabit kes mereka.

    “Selagi keputusan tidak dibuat oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, kesemua ADUN berkenaan masih boleh melaksanakan tanggungjawab mereka di kawasan masing-masing,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembesaran Hospital Pantai di Bayan Lepas hari ini.

    Empat ADUN terbabit iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) sebelum ini memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

    Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

    Pada Rabu lalu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

    Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng supaya Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas tergempar diadakan bagi menentukan status kerusi dua bekas ADUN PKR yang dipecat daripada parti itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan membuat keputusan mengenainya selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan.

    “Sekarang ini adalah penting untuk kita menunggu keputusan Mahkamah Tinggi terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan selanjutnya,” katanya.

    Dalam pada Kon Yeow berkata, isu pilihan raya kecil (PRK) dalam kes tersebut juga tidak berbangkit kerana di bawah undang-undang, PRK hanya boleh diadakan sekiranya berlaku kekosongan kerusi dalam tempoh lebih dua tahun sebelum pilihan raya umum (PRU).

    “Tidak akan ada PRK sekiranya kekosongan kerusi wujud dalam tempoh dua tahun sebelum PRU akan datang. Jika peruntukan ini diguna pakai, maka tidak timbul isu tentang PRK,” katanya.

  • Pas sedia hadapi PRU-15 dalam masa terdekat, ada pelan B jika UMNO enggan teruskan MN

    Pas sedia hadapi PRU-15 dalam masa terdekat, ada pelan B jika UMNO enggan teruskan MN

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    PARTI Pas sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat meskipun mengharapkan ia diadakan pada akhir penggal memandangkan rakyat kini dalam proses pemulihan selepas pandemik Covid-19.

    Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu sentiasa bersiap sedia dari semasa ke semasa bagi berdepan PRU-15 melihat kepada tekanan yang diberikan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen.

    “Jika ‘gendang’ PRU-15 dipalu dengan segera sekali pun saya yakin Pas tidak ada masalah kerana kita telah bersedia dari semasa ke semasa,” ujarnya.

    Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang kali ke-42 di Pusat Pengajian Darul Hadis, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

    Muktamar itu turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff selain beberapa pemimpin daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang.

    Menurut Ahmad Fadhli, Pas juga mempunyai alternatif atau pelan B sekiranya UMNO tidak lagi berminat untuk menjalin apa-apa persefahaman dengan parti tersebut khususnya melalui Muafakat Nasional (MN).

    Menurut beliau, Pas melihat tidak akan ada sebarang permuafakatan bersama UMNO buat masa ini berdasarkan pendirian terkini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan permuafakatan antara kedua-dua parti itu hanya boleh dilakukan selepas PRU-15.

    “Kita masih lagi berusaha untuk menjalinkan persefahaman dan perundingan dengan UMNO, tetapi kita tetap bersedia untuk sebarang situasi terburuk jika tiada sebarang perundingan berlaku.

    “Tapi, jika ada, itu lebih baik kerana ia akan memberi lebih tekanan kepada PH (Pakatan Harapan). Bagaimanapun, tidak ada apa-apa persetujuan pun kita tidak ada masalah untuk menghadapi PRU-15,” katanya.

    Sementara itu ditanya jangkaan PRU-15 diadakan, Ahmad Fadhli berkata, perkara tersebut bergantung kepada keadaan politik semasa di dalam UMNO.

    “Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO sudah pasti akan mengambil kira pandangan partinya terlebih dahulu sebelum membubarkan Parlimen.

    “Apabila Perdana Menteri mengumumkan MoU (memorandum persefahaman) kerjasama dengan parti pembangkang tamat pada 31 Julai lalu, itulah yang dikehendaki melalui isyarat yang disampaikan oleh pimpinan UMNO kepadanya termasuk dalam soal pembubaran Parlimen.

    “Walaupun itu bukan pandangan bersama PN dan Pas, kita menghormati haknya sebagai Perdana Menteri apabila menjadikan pandangan UMNO sebagai keutamaan,” katanya.

  • Bersatu selar Zahid Hamidi, mahu budaya BN yang menyalah guna wang rakyat dihentikan

    Bersatu selar Zahid Hamidi, mahu budaya BN yang menyalah guna wang rakyat dihentikan

    KETUA Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Alor Setar, Dzowahir Abdul Ghani membidas ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang menggambarkan beliau menggalakkan ahli Barisan Nasional (BN) yang memegang jawatan mengambil apa yang sempat daripada wang rakyat untuk diagihkan kepada jentera atau ahli BN.

    BERIKUT KENYATAAN PENUH BELIAU:

    1. Apa maksud Zahid Hamidi ambillah mana-mana yang sempat semasa beliau berucap di dalam konvensyen BN Selangor baru-baru ini.
    2. Rakyat perlu faham pendapatan utama Negara datangnya dari komponen cukai yang menjadi penyumbang utama pendapatan kerajaan Persekutuan iaitu 73.6 peratus daripada Keluaran dalam negara kasar (KDNK) manakala 26.4 peratus daripadanya hasil bukan cukai seperti lesen dan permit serta pendapatan pelaburan.
    3. Peratusan besar pendapatan negara datangnya dari hasil titik peluh rakyat untuk memastikan masa depan mereka terjamin dalam sebuah negara maju bukannya untuk difaraidkan dikalangan pemimpin atau ahli politik dalam Negara.
    4. Hasil daripada cukai sepatutnya digunakan oleh kerajaan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah negara dan juga bagi digunakan untuk perbelanjaan pembangunan. Kerajaan memperuntukkan cukai yang dikutip dibelanjakan bagi tujuan keselamatan negara dan rakyat, pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, sekolah serta pembangunan ekonomi dan sosial seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat.
    5. Ucapan Zahid Hamid baru-baru ini menggambarkan beliau menggalakkan ahli BN yang memegang jawatan untuk mengambil apa yang sempat dari wang rakyat yang terkumpul untuk diagihkan kepada jentera atau ahli BN. Ini satu contoh sikap dan teladan yang tidak baik di mana pemimpin BN seolah-olah tidak simpati dan empati dengan nasib rakyat di bawah malah sanggup untuk menyelewengkan wang rakyat demi kepentingan politik mereka secara terbuka tanpa berselindung.
    6. BN berani dan tidak malu hari ini kerana pada anggapan mereka rakyat tidak kisah dan menerima mereka seadanya sebagai contoh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Oleh itu rakyat perlu sedar, beras dan telur atau RM50 yang diterima oleh rakyat hanya melegakan buat seketika waktu namun rompakan yang mereka (BN) terhadap negara akan memberi kesan yang panjang dan akan ditanggung oleh anak cucu kita di masa hadapan kelak.