PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih berbincang mengenai keperluan meluaskan kerjasama dengan parti lain bagi membentuk gabungan politik lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, pihaknya percaya langkah berkenaan penting untuk memastikan kestabilan politik selepas PRU-15.

“Apa yang saya tahu Bersatu memang percaya kepada penggabungan (parti politik) besar kerana bagi Bersatu persoalan utama bukan sekadar menang pilihan raya tetapi kestabilan politik.

“Ini supaya tumpuan dapat diberikan kepada usaha meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat selepas PRU.

“Oleh demikian, soal gabungan politik itu setakat saya berbincang dalam Bersatu masih menjadi perkara diberikan tumpuan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan keperluan untuk menggunakan pendekatan ‘khemah besar’ bagi menghadapi PRU15.

Saifuddin tidak cenderung untuk menggunakan istilah ‘khemah besar’ dalam membincangkan mengenai kerjasama politik antara parti.

“Kerana istilah ini lain orang ada lain makna. Jadi istilah lebih selesa ialah penggabungan parti politik,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Bersatu ketika ini membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada antaranya Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here