DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya semua pihak bersedia, tiada masalah untuk kerajaan membubarkan Parlimen dan seterusnya mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri berkata, jika masih belum bersedia dan kerajaan sedia ada kekal serta menegaskan akan mempertimbangkan tarikh pilihan raya dengan meneliti isu-isu rakyat terlebih dahulu.

“Pilihan raya tetap akan diadakan cuma buat masa ini, tarikhnya masih belum ditentukan.

“Saya dah sebut dah. Pilihan raya akan tetap diadakan cuma tarikh itu akan ditentukan tapi kalau ada tindakan tarik sokongan sebelum tarikh ditentukan, kita akan ambil tindakan.

“Sama ada adakan pilihan raya atau tidak, maka kita akan tentukan selepas ini tapi perkara ini tidak dikeluarkan oleh parti, kenyataan tidak dikeluarkan secara rasmi daripada parti.

“Jadi mungkin satu dua orang saja yang mengeluarkan kenyataan dan ada dalam kalangan ahli parti berkata, ini tidak dibawa ke dalam mesyuarat. Itu mungkin pandangan peribadi,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan sentiasa bersedia dalam apa sahaja keadaan pada masa kini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) di MAEPS Serdang, hari ini, lapor Astro Awani.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan Ismail Sabri membatalkan pertemuan dengan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin pada saat-saat akhir.

Pertemuan itu yang dijadual kelmarin, dimaklumkan berhubung perjanjian ditandatangani antara PN dan Naib Presiden UMNO itu sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Situasi tersebut menyebabkan timbul khabar angin mendakwa Perikatan Nasional (PN) mungkin menarik sokongan kepada Perdana Menteri susulan konflik tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here