Author: Admin

  • Siti Sarah meninggal dunia

    Siti Sarah meninggal dunia

    Oleh:Bernama

    PENYANYI terkenal tanah air Siti Sarah Raisuddin meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, pada pukul 5.13 pagi ini.

    Perkara berkenaan disahkan suaminya pelawak Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu, 39, menerusi Instagram rasminya.

    “5.13 minit pagi 9 Ogos 2021, bidadari syurga saya (Siti Sarah) pergi buat selamanya. Mohon sedekahkan Al-Fatihah,” katanya.

    Siti Sarah, 37 yang hamil tujuh bulan sebelum ini dimasukkan ke HCTM pada petang Rabu selepas mengalami batuk yang teruk dan kekurangan oksigen dalam badan akibat jangkitan virus itu.

    Siti Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan dijangkiti wabak itu sejak 25 Julai lalu selepas menjalani ujian saringan apabila pembantu rumahnya disahkan positif virus berkenaan.

    Penyanyi lagu Kesetiaan dan Ke Hujung Dunia itu kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas keadaan kesihatannya semakin merosot dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan anaknya keempatnya yang diberikan nama Ayash Affan pada petang Jumaat.

    Sarah dan Shuib berkahwin pada 2011, memiliki tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Martin, 6.

    Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarhamah Siti Sarah.

    “Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta ditempatkan di syurga Allah.

    “Kepada Shuib semoga tabah menghadapi dugaan Allah, sabar dan terus berdoa kepada Allah. Semoga dipermudahkan urusan buat Allahyarham,” menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Instagram persatuan berkenaan.- BERNAMA

  • Vaksinasi Covid-19: Lebih 24.5 juta dos diberikan semalam – Dr Adham

    Vaksinasi Covid-19: Lebih 24.5 juta dos diberikan semalam – Dr Adham

    Oleh:Bernama

    SEBANYAK 24,542,437 dos vaksin COVID-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik di Twitternya memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 15,772,101 orang menerima suntikan dos pertama manakala 8,770,336 orang menerima dos kedua.

    “Mengikut peratusan, 48.3 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, manakala 26.9 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 mereka,” katanya.

    Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan sebanyak 389,641 dos diberikan semalam dengan 156,816 adalah pemberian dos pertama manakala 232,825 lagi adalah dos kedua.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA

  • Sanitasi awam bukan pembaziran, tetap diteruskan – Zuraida

    Sanitasi awam bukan pembaziran, tetap diteruskan – Zuraida

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PROSES sanitasi di tempat awam dan premis bangunan akan diteruskan dan relevan untuk dilaksanakan sebagai langkah pembasmian kuman termasuk virus Covid-19.

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin menafikan kerja-kerja sanitasi merupakan satu pembaziran.

    Menurut beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil pendekatan itu sebagai langkah pencegahan dan pengawalan terutama berkaitan Covid-19.

    “Atas dasar itu, kita buat sanitasi dan kita buat di tempat awam. Kita ambil langkah berjaga-jaga dan kita tak pasti dapat banterasCovid-19 100 peratus, tapi ini adalah usaha di samping langkah lain oleh kerajaan termasuk vaksinasi.

    “Kita bersikap positif, kita buat mengikut (saranan) Petubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan bukan sembarangan. proses sanitasi diiktiraf WHO,” katanya kepada pemberita selepas program MOVAK di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata, sehingga kini lebih 37,000 operasi sanitasi awam dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara.

    Selain itu, katanya lebih 24,000 premis awam dan bangunan kerajaan disanitasi melalui operasi berkenaan.

    Sebelum ini, pakar kesihatan termasuk pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, berkata operasi sanitasi awam secara besar-besaran di seluruh negara merupakan pembaziran sumber.

  • Johor terima dua juta dos vakin bulan ini – TMJ

    Johor terima dua juta dos vakin bulan ini – TMJ

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, negeri ini akan menerima dua juta bekalan dos vaksin dalam bulan ini.

    Menurut Tunku Ismail, perkara itu dimaklumkan dalam pertemuannya dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di Royal Johor Polo Club di sini hari ini.

    “Pertemuan ini mengenai kadar vaksinasi dan pembekalan vaksin di Johor dan hasil perbincangan ini, Johor akan menerima sebanyak dua juta dos vaksin untuk bulan ini.

    “Dos vaksin ini tiba pada 1 Ogos berjumlah 324,940 dos, pada 9 Ogos (564,234 dos); 16 Ogos (340,150 dos) dan 23 Ogos (796,344 dos),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi di sini hari ini.

    Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

    Hadir sama dalam pertemuan itu Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Tunku Ismail juga sudah mengarahkan kerajaan negeri untuk membuka satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu khas di Arena Larkin di sini bagi memudahkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) mendapatkan dos vaksin mereka.

    “Semoga pengumuman ini akan menghasilkan pencapaian imuniti kelompok dalam jangka masa yang terdekat,” kata Tunku Ismail. – SB

  • Lima lokaliti di tiga negeri dikenakan PKPD

    Lima lokaliti di tiga negeri dikenakan PKPD

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti di Sabah, Terengganu dan Kelantan bermula 10 hingga 23 Ogos ini.

    Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, PKPD di Sabah membabitkan tiga lokaliti di Tawau iaitu Blok 11, Kampung Titingan; Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut dan Kampung Rawa-Rawa Batu 4.

    “PKPD di Sabah turut dilaksanakan di dua lokaliti di Kalabakan membabitkan Perumahan Ladang Kapur, Benta Wawasan dan Perumahan Ladang Surudung, Usahawan Borneo serta Kampung Padas, Kota Kinabalu.

    “Dua lagi kawasan yang dikenakan PKPD adalah di Desa Keluarga YPD Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu dan Kampung Baru Pupoh, Pasir Puteh, Kelantan,” katanya dalam kenyataan harian Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

    Katanya, pelaksanaan PKPD itu adalah berdasarkan pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.

  • Brunei kembali laksana PKP lebih ketat

    Brunei kembali laksana PKP lebih ketat

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    BRUNEI kembali melaksanakan peraturan kawalan pergerakan (PKP) lebih ketat kepada rakyatnya selepas mengesan kes COVID-19 tempatan buat kali pertama dalam tempoh lebih setahun, .

    Menurut Kementerian Kesihatan Brunei, langkah kawalan dengan segera itu dilaksanakan semula selama dua minggu termasuk menutup masjid, surau dan tempat ibadat lain.

    Selain itu, Kementerian Kesihatan Brunei juga memaklumkan sekolah beralih kepada pembelajaran online, makan di restoran tidak dibenarkan, menutup kemudahan sukan dalam dan luar, pusat riadah serta pawagam.Tiada perhimpunan sosial dibenarkan manakala premis perniagaan seperti pasar raya dan tamu dibenarkan dengan penjarakan sosial.

    Bagi mengelak kebimbangan penyebaran varian Delta di seluruh dunia termasuk Brunei, Kementerian Kesihatan negara itu juga mewajibkan pemakaian pelitup muka dengan arahan berkenaan berkuat kuasa kepada semua individu tanpa mengira status vaksinasi.

    Dengan lapan kes baharu yang dilaporkan semalam, jumlah kes COVID-19 di Brunei meningkat kepada 347.

    Kali terakhir kes jangkitan tempatan dilaporkan di negara itu adalah 6 Mei 2020.

    Ketika ini, negara-negara di Asia Tenggara menyaksikan peningkatan kes baharu susulan penularan varian Delta.Kementerian Kesihatan Brunei berkata, lima daripada tujuh kes tempatan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh beberapa bulan terakhir.

    Dua lagi kes tempatan mempunyai asal usul jangkitan yang tidak diketahui dengan gejala ringan, tetapi tiada sejarah perjalanan ke luar negara.

    Kes import pula membabitkan seorang lelaki berusia 37 tahun yang tiba di negara berkenaan pada 30 Julai lalu dari Timur Tengah melalui Kuala Lumpur.

    Kementerian Kesihatan, memaklumkan pihaknya kini sedang mengesan kontak rapat membabitkan semua kes terbabit.

  • Kerajaan disaran umum kelonggaran awal supaya rakyat bersedia

    Kerajaan disaran umum kelonggaran awal supaya rakyat bersedia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KERAJAAN wajar membuat pengumuman awal berkenaan kelonggaran khusus untuk individu yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 bagi membolehkan rakyat membuat perancangan lebih awal.

    Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berharap, kerajaan tidak mengambil masa lama membuat pengumuman berkenaan memandangkan amat dinantikan oleh masyarakat.

    “Sudah tiba masanya masyarakat yang sebelum ini dikenakan pelbagai sekatan sejak lebih setahun lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberikan kelonggaran terutama untuk menjalankan semula aktiviti ekonomi, sosial dan fizikal.

    “Kemudahan ini juga akan menjadi tarikan kepada mereka yang masih enggan mendaftar untuk menjalani vaksinasi,” katanya hari ini.

    Khamis lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengumuman kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

    Lam Thye berkata, antara aktiviti yang perlu dipertimbangkan adalah perjalanan rentas negeri dan daerah untuk mengunjungi keluarga dan saudara-mara, makan dalam premis (dine-in) serta bekerja semula di pejabat.

    “Selain itu, kerajaan juga boleh memberi kelonggaran kepada individu yang lengkap vaksinasi untuk menonton wayang, masuk ke taman rekreasi dan pergi ke gimnasium bagi tujuan riadah,” katanya.

    Pada masa sama katanya, semua aktiviti yang dibenarkan itu memerlukan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk memakai pelitup muka dan mencuci tangan.

    Selain itu katanya, kelonggaran yang diberikan itu turut menuntut setiap anggota masyarakat supaya mengamalkan disiplin tinggi.

    “Saya berharap disiplin dalam kalangan rakyat boleh dipertingkatkan lagi dan mereka tidak melakukan sesuatu yang boleh membawa kepada tersebarnya jangkitan COVID-19.

    “Jika kelonggaran ini benar-benar hendak diberikan, ia bergantung kepada disiplin yang tinggi oleh semua pihak,” katanya.

  • 500,000 peniaga kecil selesai divaksin Oktober

    500,000 peniaga kecil selesai divaksin Oktober

    SERAMAI 500,000 peniaga kecil di seluruh negara akan selesai suntikan vaksin pada Oktober ini.

    Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan langkah itu sebagai persediaan untuk membuka kembali ekonomi termasuk perniagaan selepas ini.

    Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, bagi memastikan sasaran berkenaan tercapai pihaknya melaksanakan pelbagai program vaksinasi termasuk Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).

    “Kita adakan program vaksinasi untuk peniaga kecil ini selama tiga bulan bermula Ogos hingga Oktober depan dengan sasaran pemberian vaksin kepada semua peniaga di seluruh negara yang berjumlah 500,000,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program MOVAK di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, hari ini.

    Zuraida berkata, setakat ini lebih 8,000 peniaga di seluruh negara yang sudah divaksin.

    “Bagi peniaga yang belum menerima temu janji vaksinasi di MySejahtera, mereka boleh berdaftar dengan PBT atau hadir ke MOVAK bagi membantu mencapai sasaran kadar vaksinasi,” katanya. – SB

  • Tiada lagi moratorium pembaharuan lesen memandu, cukai jalan

    Tiada lagi moratorium pembaharuan lesen memandu, cukai jalan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PEMILIK kenderaan perlu memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu Malaysia (LMM) termasuk lesen vokasional (GDL/PSV) sebelum 30 September ini susulan tempoh penamatan moratorium.

    Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim berkata, pengguna jalan raya akan berdepan tindakan penguatkuasaan tegas jika masih gagal berbuat demikian bermula 1 Oktober ini.

    Katanya, penamatan moratorium bagi pelanjutan pembaharuan lesen itu dianggap wajar memandangkan tempohnya sudah mencukupi.

    Beliau berkata, jika ada yang masih belum memperbaharuinya sehingga 30 September ini, mereka akan dikenakan tindakan saman serta kompaun dan boleh dituduh mengikut Seksyen 26(1) dan 23(1) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

    “Selepas tiga kali diberikan lanjutan, kerajaan melihat sudah tiba masanya aspek pematuhan dikuatkuasakan semula dengan tiada kelonggaran yang akan diberikan.

    “Tidak kira apa kenderaan yang dimiliki, pemandu harus ada dokumen penting yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu hari ini.

    Zailani berkata, bagi memudahkan urusan pembayaran pembaharuan dokumen itu, pihaknya bekerjasama Pos Malaysia Berhad untuk proses transaksi bermula esok.

    Katanya kaunter pejabat pos turut dibuka pada hujung minggu dan urusan berlangsung melalui janji temu yang dibuat terlebih dahulu selain pihaknya juga menyediakan kiosk.

    “Kita harapkan tidak wujud kluster (Covid-19) pos kerana banyak platform disediakan dan jika ada yang datang secara terus (walk in) sekalipun, mereka perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.

  • 18,688 kes bahaharu Covid-19 hari ini

    18,688 kes bahaharu Covid-19 hari ini

    Oleh Abu Ubaidillah

    MALAYSIA mencatatkan 18,688 kes jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam negara kini sebanyak 1,262,540 kes.

    “Selangor terus merekodkan kes jangkitan harian tertinggi dengan 6,565 kes diikuti Kuala Lumpur; 1,883, Kedah; 1,610, Sabah; 1,379 kes, Johor; 1,308 kes, Negeri Sembilan 1,140 kes, Kelantan; 870 kes dan Perak 861 kes.

    “Pulau Pinang pula 694 kes, Pahang 602 kes, Terengganu; 598 kes, Sarawak; 581 kes, Melaka; 526 kes, Putrajaya; 63 kes, Perlis; 6 kes dan Labuan 2 kes,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya, hari ini.