Oleh Abu Ubaidillah Rahman
PROSES sanitasi di tempat awam dan premis bangunan akan diteruskan dan relevan untuk dilaksanakan sebagai langkah pembasmian kuman termasuk virus Covid-19.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin menafikan kerja-kerja sanitasi merupakan satu pembaziran.
Menurut beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil pendekatan itu sebagai langkah pencegahan dan pengawalan terutama berkaitan Covid-19.
“Atas dasar itu, kita buat sanitasi dan kita buat di tempat awam. Kita ambil langkah berjaga-jaga dan kita tak pasti dapat banterasCovid-19 100 peratus, tapi ini adalah usaha di samping langkah lain oleh kerajaan termasuk vaksinasi.
“Kita bersikap positif, kita buat mengikut (saranan) Petubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan bukan sembarangan. proses sanitasi diiktiraf WHO,” katanya kepada pemberita selepas program MOVAK di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini lebih 37,000 operasi sanitasi awam dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara.
Selain itu, katanya lebih 24,000 premis awam dan bangunan kerajaan disanitasi melalui operasi berkenaan.
Sebelum ini, pakar kesihatan termasuk pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, berkata operasi sanitasi awam secara besar-besaran di seluruh negara merupakan pembaziran sumber.

Leave a Reply