Author: Admin

  • Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup keluar 2 tan ketum

    Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup keluar 2 tan ketum

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah merampas sebanyak dua tan daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran di Perairan Kuala Sanglang, Jerlun, Jumaat lepas.

    Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, rampasan itu dilakukan di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglah kira-kira pukul 1.50 pagi.

    “Hasil risikan dilakukan, dua bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi berkenaan yang berjaya menemukan dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran, bergerak dalam keadaan mencurigakan keluar dari Kuala Sanglang.

    “Kedua-dua tekong bot berkenaan bagaimanapun menukar arah serta-merta sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa. Mereka menuju ke arah berbeza dan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan terhadap kedua-dua bot itu menemukan 190 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat dua tan.

    “Daun ketum ini dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dengan menggunakan laluan laut. Nilainya dianggarkan RM360,000,” katanya.

    Mohd. Zawawi menambah, daun ketum kini mendapat permintaan tinggi di Thailand dengan harga pasaran di negara jiran itu dipercayai mencecah RM180 sekilogram berbanding RM70 untuk pasaran tempatan.

    “Aktiviti penyeludupan melalui laluan laut dilihat kian rancak berikutan penutupan pintu sempadan negara. Difahamkan ada individu yang diupah antara RM350 hingga RM800 untuk menghantar barangan tersebut ke negara jiran, bergantung kepada berat timbangannya,” katanya.

    Kesemua hasil rampsan berserta bot fiber dan enjin yang bernilai kira-kira RM390,000 dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikjut Seksyen Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

  • Siti Sarah selamat dikebumikan

    Siti Sarah selamat dikebumikan

    JENAZAH penyanyi Siti Sarah Raissuddin selamat dikebumikan pada jam 1.45 tengah hari, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak di sini hari ini. 

    Proses pengebumian Allahyarham dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jenazah pesakit COVID-19 oleh petugas hospital, dibantu oleh suaminya Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu. 

    Terdahulu, jenazah Allahyarham ditayammum dan disolatkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, kira-kira jam 11 pagi. 

    Penyanyi berusia 37 tahun itu meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di hospital itu pada jam 5.13 pagi dan berita pemergian Siti Sarah dimaklumkan oleh Shuib di Instagramnya awal pagi tadi.

    Suasana pilu menyelubungi pintu masuk ke tanah perkuburan, apabila van yang membawa jenazah tiba kira-kira jam 12.30 tengah hari.

    Ia  disambut oleh ahli keluarga, kenalan dan peminat yang hadir sejak awal pagi bagi memberikan penghormatan terakhir walaupun terpaksa melihat proses pengebumian dari luar kawasan tanah perkuburan berikutan SOP yang ditetapkan. 

    Jenazah penyanyi, Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Siti Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan dijangkiti COVID-19 sejak 25 Julai, selepas menjalani ujian saringan apabila pembantu rumahnya disahkan positif wabak berkenaan. 

    Allahyarham yang hamil tujuh bulan dimasukkan ke HCTM pada petang Rabu lepas apabila mengalami batuk yang teruk dan kekurangan oksigen dalam badan. 

    Pelantun lagu ‘Kesetiaan’ dan ‘Semakin’ itu kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), selepas keadaan kesihatannya semakin merosot dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungan yang diberi nama Ayash Affan pada petang Jumaat.

    Pasangan selebriti itu berkahwin pada 2011, memiliki tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Martin, 6. 

    Siti Sarah memulakan kerjaya dalam bidang nyanyian selepas menyertai program Bintang RTM 2001 dan pernah memenangi anugerah Artis Baharu Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2003. 

    Anak kepada penyanyi veteran Raisuddin Hamzah itu, pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa  World Championship of Performance Arts (WCOPA)  di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2009 dan membawa pulang tiga pingat emas.- BERNAMA 

    Suami penyanyi, Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin, Shuib meninggalkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
  • Anak nafi bekas KSN Tun Ahmad Sarji meninggal dunia

    Anak nafi bekas KSN Tun Ahmad Sarji meninggal dunia

    ANAK kepada bekas Ketua Setiausaha Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid menafikan laporan kematian bapanya yang tular di medial sosial.

    Ariff Tuah Ahmad Sarji memaklumkan bapanya yang menerima rawatan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) COVID-19 Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras berada dalam keadaan stabil.

    “Bagi pihak keluarga Tun Ahmad Sarji, saya sedar perkhabaran yang tular sekarang ini dan ingin mengatakan yang ia tidak benar.

    “Dengan rendah hati, saya sekeluarga mohon orang ramai terus doakan Allah SWT menganugerahkan kesembuhan dan mempermudahkan segala urusan untuk ayah saya,” katanya yang turut memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital pada 3 Ogos lepas.

    Terdahulu, Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) dalam hantaran di Facebook pada Jumaat memaklumkan Ahmad Sarji yang juga pengerusi persatuan itu dimasukkan ke wad ICU COVID-19 kerana komplikasi COVID-19.

    Ahmad Sarji, 82, merupakan Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996 ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad.- BERNAMA

  • Tujuh suspek ditahan, rampas 160kg dadah di Perlis

    Tujuh suspek ditahan, rampas 160kg dadah di Perlis

    oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SATU rangkaian sindiket dadah berjaya ditumpaskan di Perlis susulan penahanan tujuh suspek lelaki warga tempatan termasuk seorang peniaga kedai makan menerusi tujuh siri serbuan bermula 4 hingga 6 Ogos lalu di adang Besar dan Kangar.

    Menerusi serbuan itu, polis merampas dadah jenis ganja seberat 161.76 kilogram (kg) dan 800 gram syabu dianggarkan bernilai RM603,920.

    Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, dalam serbuan pertama pukul 10 pagi pada 4 Ogos, polis menahan seorang suspek di sebuah rumah di Kangar dan merampas sebanyak 161.76 kg ganja yang dianggarkan bernilai RM404,400.

    “Susulan maklumat daripada serbuan tersebut membawa kepada serbuan kedua pada pukul 12.30 tengah hari di sebuah taman perumahan di Kangar dan polis menemui 800 gram dadah jenis Syabu dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Katanya, kira-kira pukul 11.30 malam pula Jabatan Siasatan Jenayah Perlis berjaya menahan tiga suspek kumpulan sindiket tersebut, namun tiada sebarang rampasan dadah dibuat.

    “Dalam serbuan keempat pada pada 1.20 tengah hari pada 5 Ogos, polis membuat serbuan di sebuah rumah di Kangar dan merampas dadah jenis syabu seberat 3.32 kg.

    “Hasil daripada rampasan dan siasatan dibuat, polis telah memberkas seorang lagi suspek di daerah Padang Besar tetapi tiada rampasan dibuat,” katanya.

    Menurutnya, operasi yang turut disertai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu menahan dua lagi suspek termasuk dalang utama sindiket yang bekerja sebagai pemilik kedai makan diberkas di Padang Besar antara pukul 12 dan 1.40 tengah hari, pada 6 Ogos.

    Beliau berkata, kesemua dadah yang dirampas dipercayai diperoleh dari negara jiran dan negeri ini digunakan sebagai transit sebelum dadah berkenaan diedarkan ke pasaran selatan tanah air.

    “Kita percaya kegiatan ini telah berjalan sejak Julai 2021 selain mereka menggunakan jalan darat dan kenderaan milik persendirian bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Selain itu, sindiket menggunakan rumah sewa sebagai tempat penyimpanan,” katanya.

  • Sembilan maut silinder gas meletup di Punjab, Pakistan

    Sembilan maut silinder gas meletup di Punjab, Pakistan

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    SERAMAI sembilan orang terbunuh manakal tiga yang lain cedera apabila silinder gas van penumpang meletup di daerah Gujranwala, timur Punjab, Islamabad, Pakistan semalam.

    Menurut laporan media tempatan, van berkenaan turut terbakar dan lima mangsa maut di tempat kejadian manakala empat yang lain meninggal dunia di hospital dan tiga lagi kritikal.

    Kenderaan di Punjab dibenarkan menggunakan silinder gas, tetapi kenderaan yang agak lama dan tidak diselenggara dengan baik mengundang bahaya kepada penumpang.

  • Institusi Raja perlu dipelihara, kuasa semak dan imbang terakhir rakyat – Tengku Hassanal

    Institusi Raja perlu dipelihara, kuasa semak dan imbang terakhir rakyat – Tengku Hassanal

    INSTITUSI raja hendaklah dipelihara dan dikekalkan sebagai salah satu kuasa semak dan imbang terakhir untuk rakyat dan negara, titah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Baginda bertitah raja pemerintah juga telah diberi tanggungjawab dalam Perlembagaan untuk memberi naungan saksama kepada setiap warganegara tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

    “Institusi raja mengatasi garis politik yang kekal bertindak tidak berpihak atau ‘non-partisan’ dan boleh bertindak sebagai penimbang tara sekiranya timbul pertelingkahan politik kepartian yang boleh menggugat kestabilan negara.

    “Dalam erti kata lain, ahli politik juga tidak boleh berselindung atau menggunakan institusi raja untuk kepentingan politik mana-mana pihak,” titah baginda semasa merasmikan Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia 2021 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

    Persidangan yang berlangsung secara dalam talian itu juga dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

    Tengku Hassanal juga bertitah perkenan raja pemerintah perlu dihormati sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan tidak boleh dianggap sebagai formaliti atau ‘ceremonial’ sahaja.

    “Institusi raja di Malaysia hendaklah dihormati semua pihak. Kuasa raja pemerintah sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang tidak wajar dipertikaikan,” titah Tengku Hassanal.

    Pada titah itu, Tengku Hassanal juga menasihatkan semua Yang Dipertua dewan Parlimen dan DUN negeri untuk menjalankan amanah dan tugas sebaik mungkin dengan berpandukan kepada pengalaman, pengetahuan dan integriti yang tinggi bagi menjamin persidangan berjalan telus, adil dan saksama.

    “Yang Dipertua mempunyai peranan penting bagi memastikan perdebatan badan legislatif berjalan dengan tertib, sopan dan teratur seperti ‘standing orders’ (peraturan majlis mesyuarat) yang ditetapkan,” titah Tengku Hassanal.

    Pada perkembangan lain, Tengku Hassanal bertitah Parlimen dan DUN sebagai badan legislatif yang terulung perlu berusaha memberi pandangan dan rujukan kepada generasi muda sebagai persediaan untuk mereka menggalas tanggungjawab tersebut.

    Titahnya, walaupun pelaksanaan persidangan belia di peringkat Parlimen dan negeri diadakan, namun usaha berterusan atau keterlibatan dengan generasi belia perlu diteruskan supaya konsep raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen difahami serta dihayati generasi muda.- BERNAMA

  • Dokumen palsu: Pemilik syarikat, penolong jurutera MBIP ditahan SPRM

    Dokumen palsu: Pemilik syarikat, penolong jurutera MBIP ditahan SPRM

    Oleh:Bernama

    SEORANG pemilik syarikat kontraktor dan seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi tujuan mendapatkan kelulusan kerja-kerja MBIP dengan nilai tuntutan lebih RM350,000.

    Menurut sumber, kelulusan kerja-kerja MBIP itu melibatkan kerja mengikis permukaan jalan dan menurap semula jalan serta mengecat semula petak meletak kenderaan sepanjang 2018 hingga 2020.

    “Kedua-dua individu lelaki dan perempuan berusia 36 dan 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6 petang, semalam di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

    “Hasil siasatan mendapati penolong jurutera berkenaan telah bersubahat bersama pemilik syarikat kontraktor yang mempunyai dua syarikat berdaftar miliknya dengan mengemukakan dokumen dan sijil palsu,” menurut sumber itu di sini hari.

    Sumber mendedahkan dokumen dan sijil Perolehan Kerja Kerajaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Perakuan Pendaftaran CIDB Malaysia dan sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera dengan Kementerian Kewangan yang mengandungi butir matan palsu itu dikemukakan kepada MBIP bagi mendapatkan kelulusan kerja.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.

    Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Sementara itu, Majistret Nurmadiana Mamat membenarkan permohonan reman ke atas kedua-dua individu bermula hari ini sehingga 14 Ogos depan.- BERNAMA

  • Ekonomi Malaysia dijangka lebih baik separuh kedua 2021

    Ekonomi Malaysia dijangka lebih baik separuh kedua 2021

    AKTIVITI ekonomi tempatan dijangka pulih dan meningkat lebih jauh pada separuh kedua 2021, walaupun ambang imuniti kelompok COVID-19 mungkin tidak dapat dicapai pada akhir tahun ini.

    Ketua Pengagihan Kekayaan Runcit Manulife Investment Management (M) Bhd, Ng Chze How, berkata Malaysia diramal akan berada dalam zon perniagaan dengan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula serta mencatatkan pemulihan yang lebih lanjut.

    “Terdapat banyak kajian kes, malah sekarang ini juga, saya berpendapat ramai pembuat dasar Malaysia tahu bahawa mereka perlu membuka semula lebih banyak sektor kerana kita perlu meneruskan kelangsungan walaupun dengan adanya virus ini.

    “Kita tidak mampu untuk meneruskan sekatan terlalu lama kerana ini akan menyebabkan ramai orang kehilangan sumber pendapatan mereka.

    “Unjuran untuk separuh kedua ini terkait rapat dengan program dan kemajuan vaksinasi, saya yakin negara mampu meneruskan pemulihan ekonomi,” katanya kepada Bernama.

    Banyak pelabur sekarang ini menyasar kepada instrumen dengan hasil yang lebih tinggi yang dapat memberikan lonjakan pendapatan memandangkan kadar simpanan tetap dengan sekitar dua peratus keuntungan tidak mampu menangani inflasi.

    “Pasaran kita disokong oleh dasar monetari dan persekitaran kadar faedah yang lebih rendah (pada masa ini). Kadar pinjaman juga berada pada tahap yang sangat rendah, mungkin sekitar 3.5 peratus sekarang,” katanya lagi.

    Chze How ketika mengulas mengenai kemajuan vaksinasi memberitahu negara sekarang sedang mempercepatkan program itu dan ini dapat melalui dilihat peningkatan proses vaksinasi di seluruh negara berikutan aliran bekalan vaksin yang stabil.

    “Penjadualan vaksin kelihatan agak baik pada Julai dan kita sedang memasuki Ogos serta September. Jadi jangkaannya, sebelum akhir tahun ini iaitu pada suku keempat, kita berada dalam keadaan yang sangat baik daripada segi vaksinasi.

    “Dengan unjuran ini beserta liputan dosis pertama dan kedua ke atas lebih banyak orang termasuk pemulihan dan pembukaan semula perniagaan, ada cahaya di hujung terowong,” tambahnya.

  • Tiga anggota polis didakwa terima suapan RM2,000

    Tiga anggota polis didakwa terima suapan RM2,000

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TIGA anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM2,000 supaya tidak melaporkan kesalahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun lalu.

    Lans Koperal Mohamad Taufik Abdul Aziz, 31, Konstabel Mohamad Fazli Nordin, 28, dan Konstabel Shahrul Norhan Sirhan, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama memperoleh suapan RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun.

    Suapan itu sebagai dorongan supaya tidak melaporkan kesalahan yang dilakukan iaitu menjalankan aktiviti tidak dibenarkan sepanjang PKP di Lorong Haji Mughni, Kampung Jalan Kebun di sini pada 25 Jun lalu.

    Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Hukuman itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Mereka turut berdepan satu pertuduhan pilihan iaitu bagi kesalahan sama di lokasi, tarikh dan masa sama, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 serta melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

  • Agong, Permaisuri sifatkan pemergian Ishak Alwi satu kehilangan besar

    Agong, Permaisuri sifatkan pemergian Ishak Alwi satu kehilangan besar

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyifatkan pemergian bekas pelumba basikal kebangsaan, Ishak Alwi satu kehilangan besar dalam sukan lumba basikal negara.

    Baginda dan permaisuri yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas pelumba basikal kebangsaan menerusi Facebook rasmi Istana Negara hari ini turut menyatakan kesedihan atas pemergian Allahyarham.

    “Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

    “Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham kepada negara amat dihargai. Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” demikian menurut hantaran itu.

    Allahyarham yang merupakan adik kepada seorang lagi pelumba basikal negara, Rosman Alwi, terkenal dalam acara pecut dan satu kilometer ujian masa pada era 80-an.

    Allahyarham juga pernah mewakili pasukan lumba basikal kebangsaan di Kejohanan Remaja Dunia di Paris, Perancis pada 1984.