Oleh Abu Ubaidillah Rahman
KERAJAAN wajar membuat pengumuman awal berkenaan kelonggaran khusus untuk individu yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 bagi membolehkan rakyat membuat perancangan lebih awal.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berharap, kerajaan tidak mengambil masa lama membuat pengumuman berkenaan memandangkan amat dinantikan oleh masyarakat.
“Sudah tiba masanya masyarakat yang sebelum ini dikenakan pelbagai sekatan sejak lebih setahun lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberikan kelonggaran terutama untuk menjalankan semula aktiviti ekonomi, sosial dan fizikal.
“Kemudahan ini juga akan menjadi tarikan kepada mereka yang masih enggan mendaftar untuk menjalani vaksinasi,” katanya hari ini.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengumuman kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Lam Thye berkata, antara aktiviti yang perlu dipertimbangkan adalah perjalanan rentas negeri dan daerah untuk mengunjungi keluarga dan saudara-mara, makan dalam premis (dine-in) serta bekerja semula di pejabat.
“Selain itu, kerajaan juga boleh memberi kelonggaran kepada individu yang lengkap vaksinasi untuk menonton wayang, masuk ke taman rekreasi dan pergi ke gimnasium bagi tujuan riadah,” katanya.
Pada masa sama katanya, semua aktiviti yang dibenarkan itu memerlukan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk memakai pelitup muka dan mencuci tangan.
Selain itu katanya, kelonggaran yang diberikan itu turut menuntut setiap anggota masyarakat supaya mengamalkan disiplin tinggi.
“Saya berharap disiplin dalam kalangan rakyat boleh dipertingkatkan lagi dan mereka tidak melakukan sesuatu yang boleh membawa kepada tersebarnya jangkitan COVID-19.
“Jika kelonggaran ini benar-benar hendak diberikan, ia bergantung kepada disiplin yang tinggi oleh semua pihak,” katanya.