Author: Admin

  • Tular mesej pertemuan Muhyiddin dengan ketua parti PN petang ini

    Tular mesej pertemuan Muhyiddin dengan ketua parti PN petang ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua-ketua parti yang bergabung di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dijangka berlangsung petang ini.

    Perkara tersebut tular menerusi aplikasi WhatsApp sejak awal pagi ini antara lain menyebut pertemuan tersebut diadakan di bangunan Perdana Putra dekat sini jam 5 petang.

    Keadaan politik kembali panas selepas beberapa hari Muhyiddin menegaskan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri akan ditentukan di Parlimen pada September depan.

    Pada 4 Ogos lalu Muhyiddin mengumumkan beliau masih lagi Perdana Menteri yang mendapat sokongan ahli Parlimen setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur.

    Dalam pengumuman tersebut Perdana Menteri menegaskan akan menentukan keabsahan dalam sidang Parlimen September ini.

    Sementara itu, menurut laporan sebuah portal, Muhyiddin juga dijadual akan bertemu dengan pemimpin politik Sabah dan Sarawak di Kuala Lumpur juga pada hari ini.

  • Kain rentang desak Presiden UMNO undur di Bagan Datuk

    Kain rentang desak Presiden UMNO undur di Bagan Datuk

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    BEBERAPA kain rentang mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan dikesan digantung di Bagan Datuk.

    Kain rentang provokasi yang dipasang di persimpangan jalan dan hentian bas sekitar Bagan Datuk itu disedari orang awam pada pagi ini.

    Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Mohd. Rizan Razali berkata, kain rentang tersebut dikesan digantung seawal pukul 7.30 pagi di beberapa tempat sepanjang jalan dari Pekan Bagan Datuk hingga ke Hutan Melintang.

    Menurut beliau, Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk telah digerakkan ke seluruh kawasan untuk menurunkan kain rentang provokasi berkenaan.

    “Kita tidak pasti ini kerja siapa. Tindakan ini amat keterlaluan dan biadab yang sengaja dilakukan untuk mengaibkan Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

    “Kami Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk akan membuat laporan polis hari ini bagi meminta pihak berkuasa menyiasat tindakan tersebut,” katanya ketika dihubungi.

    Mohd. Rizan berkata, pihaknya yakin kain rentang tersebut akan digantung semula oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.

    Katanya, setakat ini pihaknya tidak mengetahui motif tindakan menggantung kain rentang tersebut kerana hanya dibuat di Bagan Datuk.

  • Wanita ditipu love scam, rugi RM105,523

    Wanita ditipu love scam, rugi RM105,523

    SEORANG peniaga wanita berusia 36 tahun dari Felda Serting Hilir, Jempol, mengalami kerugian RM105,523 selepas diperdaya seorang lelaki yang dikenalinya menerusi Facebook, sejak hujung 2018.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata mangsa berkenalan dengan pemilik Facebook bernama ‘KA Agus’ dari Palembang, Indonesia.

    “Pada awalnya mereka hanya berinteraksi dalam ‘Messenger’ Facebook dan kemudian berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Selepas itu, lelaki berkenaan meminta wang daripada mangsa untuk membantu masalah kewangan yang dihadapinya.

    “Lelaki itu sering meminta wang bagi menyelesaikan masalah keluarganya selain berjanji akan membayar kesemua pinjaman itu setelah menjual tanahnya di Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata atas dasar percaya, wanita berkenaan telah mengirimkan wang kepada lelaki itu secara berperingkat ke 19 akaun yang berbeza bermula 31 Ogos 2019, melibatkan 37 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM105,523.

    Katanya, cara pengiriman wang kepada lelaki berkenaan dilakukan menerusi ejen kiriman wang seperti Bank Central Asia, Bank Rakyat Indonesia dan Bank Mandiri Indonesia di sekitar Bahau.

    Aibee berkata mangsa yang menyedari ditipu telah bertindak membuat laporan polis pada Isnin lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta menerusi laman sosial agar tidak menjadi mangsa penipuan.- BERNAMA

  • Polis Kedah buka siasatan isu penularan penjualan sijil vaksin digital palsu

    Polis Kedah buka siasatan isu penularan penjualan sijil vaksin digital palsu

    Oleh Rizqi Zabidi

    Polis Kedah membuka kertas siasatan berhubung laporan diterimanya mengenai penularan penjualan sijil vaksin digital palsu seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Aka 342) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

    Katanya, jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Polis Kedah ada menerima laporan mengenai penularan isu penjualan sijil vaksin digital palsu kira-kira pukul 9.44 malam, semalam.

    “Namun setakat ini tiada laporan diterima berkaitan pemilikan atau penjualan sijil tersebut.

    Justeru pihak polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati serta tidak mudah terpengaruh untuk memiliki sijil tersebut,” katanya.

    Tambahnya orang ramai yang memiliki maklumat mengenai kes tersebut diminta tampil menyalurkannya kepada Polis Kedah di talian 04-7741275, Perkhidmatan Respons Kecemasan Malaysia (MERS) 999 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Noorulazanni Muhammad Noor di talian 011-10318409.

    Sebelum ini Ketua Jabatan Obstetriks dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Datuk Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Noor memaklumkan, sijil digital tersebut dijual pada harga hanya RM15 dan memaparkan maklumat penerimanya.

    Antara maklumat tersebut termasuklah gambar pemilik serta tarikh dan lokasi dos vaksin diberikan.

    Tindakan tidak bertanggungjawab itu kata Mohd. Rushdan dikhuatiri menimbulkan kesukaran kepada pihak berkuasa untuk melakukan semakan terperinci.

  • Datuk Bandar Johor Bahru direman tiga hari

    Datuk Bandar Johor Bahru direman tiga hari

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DATUK Bandar Johor Bahru yang disyaki terlibat menerima rasuah ketika bertugas di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Johor Bahru pagi ini.

    Suspek yang berusia 60 tahun itu tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan berpakaian baju lokap SPRM berwarna jingga dan diiringi dua pegawai penguatkuasa agensi berkenaan.

    Pegawai kanan kerajaan itu ditahan SPRM Cawangan Batu Pahat ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Johor, kira-kira pukul 3 petang semalam.

    Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek telah menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek-projek yang dilaksanakan di bawah kendalian MBIP sewaktu menjadi Datuk Bandar.

    Suspek yang kini bertugas di MBJB akan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

  • Video ritual tolak bala disiasat

    Video ritual tolak bala disiasat

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sedang menyiasat video ritual pembersihan diri untuk menolak bala dilakukan enam beranak bersama-sama seorang sami hingga mendatangkan kecederaan di sebuah kuil di belakang rumah di Selekoh, Rungkup, Bagan Datuk, kelmarin.

    Ritual sembahyang yang tular itu dilakukan seorang lelaki, 54, bersama-sama isterinya, 48, dan empat anak berusia 15 hingga 25 tahun di kuil milik lelaki itu pada pukul 7 malam kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata upacara itu hanya dihadiri keluarga mangsa dan sami terbabit adalah anak angkat mangsa.

    Beliau berkata, ketika upacara itu, sami berkenaan membaca mantera dan kemudian memukul beberapa kali badan mangsa, anak lelaki sulung dan isterinya menggunakan sebatang rotan panjang.

    “Mangsa mengalami kecederaan pada bahu dan tangan kanan serta bengkak di belakang kepala. Isterinya pula mengalami kesakitan pada kedua-dua tangan manakala anak lelaki sulungnya juga sakit pada bahagian lengan tangan kanan.

    “Mangsa melakukan ritual bagi membuang badi dalam keluarganya dan ketiga-tiga mangsa kemudian ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

    “Sami yang melakukan ritual itu adalah anak angkat mangsa yang dijaganya sejak bekerja dengannya sebagai pemandu lori, enam tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Pihaknya menerima laporan polis dibuat abang kandung mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan ritual dilakukan sami berkenaan ke atas keluarga adiknya.

    Katanya, abang mangsa mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan berkenaan ritual dilakukan sami itu jika berniat sengaja mencederakan keluarga adiknya.

    Mangsa juga katanya, turut membuat laporan polis bagi mengelak salah faham orang ramai berkenaan ritual itu.

    “Kita menahan sami terbabit dan merampas sebatang rotan berikat kain merah di hadapan kuil itu pada jam 10.20 pagi tadi untuk membantu siasatan.

    “Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan sudah memanggil semua saksi yang berada di tempat kejadian,” katanya.

  • 38 orang awam, tentera maut dalam kebakaran di Algeria

    38 orang awam, tentera maut dalam kebakaran di Algeria

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    SERAMAI 38 nyawa terkorban termasuk 25 tentera dalam satu kebakaran besar yang diburukkan lagi dengan suhu panas dan keadaan kering
    di Algeria.

    Presidennya, Abdelmadjid Tebboune dalam ucapan takziah menyifatkan tentera yang terkorban sebagai ‘syahid’ dalam operasi menyelamatkan penduduk di Bejaiea dan Tizi Ouzou, pusat kebakaran itu.

    “Rasa hiba mendengar syahid 25 orang tentera yang berjaya menyelamatkan 100 penduduk dari kebakaran di pergunungan Bejaiea dan Tizi Ouzou,” katanya dalam Twitter miliknya.

    Lebih 70 kebakaran dikesan berlaku di 14 wilayah di seluruh negara itu termasuklah 10 kejadian di sekitar Tizi Ouzou, populasi tertinggi di Kabylie.

    Gambar yang dipaparkan dalam media sosial menyaksikan kebakaran begitu besar selain asap menyelubungi langit di kawasan hutan berbukit di wilayah Kabylie, di timur ibu kota Algiers.

    Sementara itu, Kementerian Pertahanan Algeria berkata, askar yang dikerah ke kawasan kebakaran berjaya menyelamatkan 110 orang termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.

    Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Kamel Beldjoud berkata, amat mustahil kebakaran boleh bermula di 50 lokasi dalam satu masa yang sama.

    “Kebakaran yang berlaku ini satu perbuatan jenayah,” katanya.

    Radio negeri melaporkan, tiga individu ditahan di daerah utara Medea dan seorang di Annaba, kerana didakwa mempunyai kaitan dalam kebakaran itu. – AFP

  • Bursa Malaysia dibuka tinggi

    Bursa Malaysia dibuka tinggi

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    BURSA Malaysia meneruskan kenaikan pada Isnin diniagakan tinggi pada sesi awal hari ini.

    Kenaikan itu didorong belian yang berterusan di kaunter produk perindustrian dan perkhidmatan yang terpilih serta perkhidmatan kewangan dalam persekitaran prospek berhati-hati dalam pasaran serantau.

    Pada pukul 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.04 mata kepada 1,503.77 daripada 1,496.73 semasa ditutup pada Isnin.

    Indeks dibuka tinggi 2.70 mata kepada 1,499.43.

    Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 291 berbanding 201, manakala 312 kaunter tidak berubah, 1,400 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 435.36 juta unit bernilai RM211.78 juta.

    Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata indeks utama dijangka terus diniagakan tidak banyak berubah dengan paras halangan pada 1,500-1,520 dan paras sokongan pada 1,450-1,480.

    “Pelabur dijangka terus optimis terhadap sektor yang mencatatkan pemulihan seperti saham pengguna dan bahan binaan berikutan kadar vaksinasi yang lebih tinggi dan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat yang menjadi tumpuan.

    “Selain itu, sektor teknologi masih mendapat perhatian dengan jangkaan positif untuk musim pelaporan pendapatan pada Ogos,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya walaupun terdapat trend meningkat di Wall Street, Covid-19 dan perkembangan politik semasa di Malaysia dijangka terus mendorong minat belian di bursa tempatan.

  • Pendirian UMNO Johor tentukan hala tuju kerajaan PN Johor

    Pendirian UMNO Johor tentukan hala tuju kerajaan PN Johor

    Oleh Abu Ubadillah Rahman

    MENTERI Besar Johor perlu menyatakan pendirian beliau dan UMNO Johor sama ada menyokong kepimpinan atau menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula Khamis ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, penjelasan perlu diberikan kerana sehingga kini Datuk Ir Hasni Mohammad Hasni masih tidak memberi jawapan walaupun sudah didesak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor.

    “Selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat pengumuman parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, kita di Johor tertanya-tanya apa pendirian UMNO Johor?

    “Hasni perlu membuat keputusan dan pendirian jelas tentang pendirian UMNO Johor dalam hal ini, adakah mengikut keputusan UMNO Pusat iaitu UMNO Johor juga menarik sokongan terhadap PN Johor?

    “Pendirian Hasni dan UMNO Johor penting kerana ramai yang masih keliru dan tertanya-tanya hala tuju PN Johor,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bakul makanan secara simbolik kepada Majlis Ayahanda Malaysia (Masia) di Kip Mart Masai, Pasir Gudang semalam.

    Selasa lalu Ahmad Zahid menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri, susulan itu timbul pertanyaan status dan kerjasama kerajaan PN di Johor yang terdiri daripada Bersatu, UMNO, Pas MIC dan MCA.

    Sebelum ini Che Zakaria memberitahu, empat ADUN Bersatu Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan PN Johor jika kepimpinan di peringkat Pusat bertukar.

    Untuk rekod, kerajaan PN Johor pimpinan Menteri Besar Johor itu ketika ini mempunyai 29 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

    Jika seorang ADUN menarik sokongan daripada PN akan menjadikan kerusi DUN PN dan PH masing-masing 28 kerusi sekali gus DUN Johor akan tergantung atau dibubarkan.

    Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, pengumuman pendirian Hasni dalam sidang DUN nanti tepat pada masanya kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka hadir selaku ADUN Gambir.

    “Apabila Hasni sudah membuat pengumuman, terpulang kepada kebijaksanaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sama ada bubarkan DUN, bentuk kerajaan baharu sekiranya kerajaan PN Johor runtuh atau lantik Menteri Besar Johor interim.

    “Kita yakin Sultan Johor akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan rakyat dan negeri. Kita barharap Hasni akan membuat keputusan bijak dan jika boleh menyokong kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

    Keputusan Hasni katanya, penting kerana akan mempengaruhi hala tuju serta kestabilan politik negeri ini dan pertimbangan sebaik-baiknya wajar dilakukan dalam keadaan rakyat bergelut untuk hidup semasa pandemik Covid-19.

  • Jumlah penduduk Sabah lengkap divaksin masih rendah

    Jumlah penduduk Sabah lengkap divaksin masih rendah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SABAH hanya mencatatkan 17.6 peratus atau 485,880 penduduk dewasa di Sabah yang sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

    Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah itu rendah usaha terus dibuat kerajaan negeri untuk menambah kapasiti penyuntikan sambil memastikan bekalan vaksin yang cukup sentiasa ada.

    “Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan agensi berkaitan juga sedang berusaha memberi vaksin kepada rakyat dalam kadar yang cepat.

    “Sehingga semalam, sebanyak 1,126,645 dos pertama sudah pun diberi dan ini bermakna 40.8 peratus penduduk dewasa di negeri pun sudah menerima sekurang kurangnya satu dos vaksin,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.

    Sementara itu, Masidi berkata, kes baharu akan terus berada dalam angka yang tinggi di negeri ini sehingga lebih ramai penduduk menerima vaksin.

    “Kes hanya akan mula menurun apabila kita berjaya memberi suntikan vaksin kepada penduduk pada satu tahap peratusan yang signifikan,” katanya.

    Semalam, Sabah kekal mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak empat angka iaitu 1,383 kes ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 96,465 kes.

    Masidi berkata, daerah Kota Kinabalu semalam mencatatkan kes tertinggi iaitu (326) kes, hampir 24 peratus daripada keseluruhan jumlah kes di Sabah semalam.

    Selain itu, Tawau pula mencatatkan 168 kes , Sandakan (138); Tuaran (92); Penampang (80);Keningau (79); Kota Belud (66); Beaufort (65); Kinabatangan (49); Kota Marudu (41); Papar (39); Beluran (33); Tenom dan Putatan masing-masing 30 kes.