Author: Admin

  • Kanak-kanak lelaki 12 tahun ditemui lemas

    Kanak-kanak lelaki 12 tahun ditemui lemas

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemui lemas selepas mandi dalam longkang besar di Jalan Padi Mahsuri, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, kejadian kira-kira pada jam 5 petang itu berlaku ketika air longkang tersebut naik dan menjadi deras selepas hujan lebat.

    Menurut Rupiah, sebelum kejadian, rakan-rakan mangsa telah menasihatinya supaya tidak mandi dalam longkang besar itu.

    “Mangsa bagaimanapun tidak menghiraukan nasihat rakannya apabila tetap terjun tanpa menyedari arus deras dalam longkang tersebut.

    “Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 5.15 petang berkenaan kejadian lemas membabitkan seorang kanak-kanak lelaki lemas di sebuah longkang besar di sekitar Jalan Padi Mahsuri.

    “Pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah berjaya mengeluarkan mangsa daripada longkang tersebut dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, jenazah telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian.

    Jelasnya, sehingga kini tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kejadian tersebut.

    Tambahnya, kertas siasatan kematian mengejut (SDR) telah dibuka dan siasatan masih diteruskan.

    “Pihak polis menyeru orang ramai supaya memantau pergerakan anak-anak agar insiden sebegini tidak menimpa keluarga mereka,” katanya.

  • Siapa sepatutnya insaf…Zahid atau ahli Parlimen UMNO?

    Siapa sepatutnya insaf…Zahid atau ahli Parlimen UMNO?

    PENULIS tidak mahu berlapik untuk mengatakan Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi memberi hujah dangkal ketika memberi nasihat kepada ahli-ahli Parlimen UMNO yang masih bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Kata Presiden UMNO itu, sebagai wakil rakyat mereka mesti memberi keutamaan serta mementingkan rakyat, bukannya memihak kepada yang mahu mengekalkan penguasaan walaupun didakwa gagal serta membelakangi keluhuran Perlembagaan dan Institusi Diraja.

    ‘’Sekarang adalah masa terbaik untuk membuktikan bahawa wakil rakyat daripada UMNO sanggup bersusah payah demi memperjuangkan nasib rakyat. Bukan berdiri bersama kegagalan yang menyaksikan lebih 10,000 rakyat hilang nyawa dan lebih 19,000 kes jangkitan wabak dilaporkan saban hari. Malah, sehingga menyebabkan Malaysia dianggap antara negara yang gagal membendung penularan pandemik di dunia,” katanya.

    Soalnya, adakah yang sedang dilakukan oleh ahli-ahli Parlimen itu bukan untuk rakyat? Terdapat empat menteri UMNO yang sedang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa rakyat dalam memerangi pandemik Covid-19.

    Disebabkan mementingkan rakyatlah, mereka  tidak mengikut tindakan ‘tidak cerdik’ kepemimpinan UMNO yang mahu berpolitik ketika pandemik? Disebabkan mahu memperjuangkan nasib rakyat mereka sanggup berhadapan dengan risiko dipecat daripada parti atau tidak dicalonkan dalam pilihan raya apabila menolak untuk ‘bersekongkol’ dengan agenda kepemimpinan UMNO mahu menjatuhkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Dan disebabkan sanggup bersusah payah dengan rakyatlah ahli-ahli Parlimen berkenaan tidak mahu melakukan tindakan meruntuhkan kerajaan ketika negara ‘tengah berperang’.

    Sejak awal pandemik lagi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr.Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bertungkus lumus dalam tugas tersebut. Mereka meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.

    Tetapi soalnya apa yang pemimpin UMNO lain seperti Ahmad Zahid buat saban hari? Hanya tahu membebel dan mengkritik serta menghentam apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan. Nasib baiklah ada pandemik Covid-19 yang boleh dijadikan modal untuk mereka politikkan.

    Kalau tidak entah apa modal pula yang akan mereka gunakan demi mencapai agenda politik parti yang ditolak oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sehingga hilang kuasa selepas 61 tahun memerintah.

    Kalau Ahmad Zahid meminta ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan insaf sepatutnya bak kata orang 10 kali beliau perlu insaf. Ia kerana beliau sanggup membawa partinya keluar daripada kerajaan ketika rakyat tengah susah, beliau sanggup membiarkan partinya menarik sokongan kepada kerajaan walaupun tahu ada empat menteri UMNO berada di barisan hadapan memerangi pandemik Covid-19. Ahmad Zahid juga perlu insaf kerana akibat tindakan UMNO, negara kini terjebak dalam krisis tiga serangkai iaitu kesihatan, ekonomi dan politik.

    Anehnya, beliau pula yang meminta ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan supaya insaf. Apa yang perlu diinsafkan? Mereka tidak pernah ada kes mahkamah yang mencemarkan nama UMNO dan negara dan mereka tidak bekerja sambil lewa ketika diberi amanah khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19 yang dicanangkan gagal oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

    Ahmad Zahid juga perlu insaf kerana UMNO tidak akan menjadi seperti sekarang jika sejak awal lagi sebagai Presiden, beliau memikirkan semasak-masaknya adakah wajar parti itu menyertai Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Tetapi ketika itu lihatlah betapa eratnya beliau memeluk Muhyiddin selepas Perdana Menteri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.

    Dan UMNO juga tumpang gembira pada awal pemerintahan PN apabila kerajaan mendapat sokongan rakyat tetapi sekarang apabila kerajaan berhadapan dengan masalah, UMNO meninggalkan kerajaan dengan alasan tidak mahu terpalit kerana kerajaan gagal memerangi pandemik Covid-19.

    Oleh itu yang sepatutnya insaf bukan ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan tetapi Ahmad Zahid dan pemimpin-pemimpin UMNO yang boleh dianggap meninggalkan kawan ketika susah!

    Apakah ini contoh kesepakatan politik yang baik? Kalau kerajaan gagal dan dianggap membelakangi keluhuran Perlembagaan dan institusi diraja , kenapa parti-parti lain yang menyertai kerajaaan tidak bertindak seperti UMNO?Kenapa sehingga malam kelmarin mereka terus menyatakan sokongan kepada Kerajaan PN di bawah kepemimpinan Muhyiddin? Ini bukan bermaksud mereka membelakangi keluhuran Perlembagaan dan institusi diraja, sebaliknya mereka mahu menyelesaikan masalah secara harmoni bukannya bertindak seperti MKT UMNO yang membuat keputusan yang menghuru-harakan politik negara.

    Ahmad Zahid sepatutnya insaf kerana sebagai pemimpin nombor satu dalam UMNO, ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan jauh lebih berprinsip daripada beliau. Mereka tidak sanggup meninggalkan kerajaan ketika rakyat tengah susah. Tindakan mengikut rentak agenda politik yang disusun oleh kepimpinan UMNO hanya akan menyebabkan mereka mungkin akan dicerca oleh rakyat.

    Lagipun mereka tahu, pemimpin-pemimpin UMNO seperti Ahmad Zahid hanya tahu mengkritik sahaja tetapi tidakpun mengemukakan penyelesaian, malah mereka juga tahu tidak semua tuntutan UMNO kononnya atas nama membela rakyat boleh disempurnakan oleh kerajaan.

    Sebagai seorang yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid pasti tahu sejauh manakah kebatasan kerajaan dalam menunaikan segala tuntutan UMNO dan beliau juga tahu bagaimana kerajaan sudah melakukan segalanya untuk membantu rakyat serta memulihkan negara dalam berhadapan dengan pandemik.

    Dan juga pasti tahu negara-negara lain juga masih belum selesai masalah Covid-19, malah ada negara yang sebelum ini sudah ‘bebas’, kini terpaksa ditutup semula. Memang enak untuk cakap kerajaan gagal tetapi apakah hanya Malaysia yang sedang bertarung dengan pandemik itu? Bagaimana dengan Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura serta  berpuluh buah negara lain termasuk negara maju?

    Apakah Ahmad Zahid yakin apabila tukar kerajaan atau lantik Perdana Menteri baharu sama ada interim ke, tak interim ke… kes Covid-19 boleh turun mendadak? Ini wabak bukan boleh buat janji macam ‘’hari ini kita menang, esok harga minyak turun’’!

    Jadi cukup-cukuplah Ahmad Zahid cuba menggunakan sentimen rakyat bagi memberi tekanan kepada ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan.  Rakyat khususnya ahli UMNO bijak menilai.

    Penulis memahami keterujaan Ahmad Zahid berikutan tekanan dihadapi kerajaan sekarang, cuma sempena sidang Parlimen, penulis nak pesan,  jangan ingat yang nampak akan ‘tewas’ akan benar-benar tewas dan jangan ingat yang akan ‘menang’, benar-benar akan menang.

    Dalam politik segala berkemungkinan, kalau tidak mana mungkin ‘cikgu boleh terperdaya dengan anak murid’ – betul tak?

  • [Video]Renung titah Sultan Johor dalam konteks Malaysia

    [Video]Renung titah Sultan Johor dalam konteks Malaysia

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    JELAS dan padat apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengingatkan wakil-wakil rakyat di negeri itu agar tidak berterusan bermain politik ketika ada rakyat yang sedang kelaparan, hilang pekerjaan dan paling perit sedang bertarung nyawa akibat Covid-19.

    Ini bukan kali pertama Sultan Ibrahim secara terbuka menegur dan memberi amaran kepada ahli politik yang dilihat lebih memikirkan soal kedudukan dan kuasa berbanding kepentingan rakyat.

    Dua hari sebelum merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pun baginda sudah menzahirkan perasaan kecewa apabila berlaku perebutan kuasa tatkala rakyat dalam keadaan susah dan gelisah akibat penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

    Baginda memahami rakyat tidak mahu melihat perbalahan politik menjadi lebih dominan sehingga menjejaskan usaha keras kerajaan untuk memulihkan kembali keadaan kesihatan dan juga ekonomi rakyat.

    Meskipun diketahui teguran Sultan Johor mungkin lebih memfokuskan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri baginda, tetapi rasanya tidak salah untuk pemimpin dari seluruh negara tanpa mengira parti apa pun merenung titah berkenaan.

    Sebenarnya, inilah masa untuk semua bersatu padu dan bekerjasama mencari titik penyelesaian dalam isu Covid-19 dan impak wabak itu terhadap kehidupan masyarakat.

    Memang tepat teguran Sultan Ibrahim yang meminta pemimpin yang mungkin sering mempersoalkan apa pihak lain lakukan sebaliknya bertanya kepada diri sendiri apa yang telah dilaksanakan, bak titah baginda ‘lihatlah cermin muka sendiri’.

    Maka, apabila direnung kembali kenyataan-kenyataan yang mungkin mempamerkan sikap sesetengah pemimpin menuding jari kepada pemimpin lain, inilah masanya mereka bermusahabah diri meletakkan situasi genting itu pula dalam diri masing-masing.

    Tidak salah mengkritik kerana perkara itu sentiasa sahaja terbuka untuk dibahaskan tetapi jika secara tiba-tiba menukar nakhoda yang sudah merencanakan perjalanan kapalnya di lautan luas, adakah nakhoda baharu mampu sampai ke destinasi yang dituju.

    Akan sampai masanya untuk semua orang berpolitik, bukan sahaja pemimpin tetapi rakyat yang berhak untuk menentukan wakil mereka juga akan turut berpolitik apabila waktu mengundi tiba nanti tetapi bukan sekarang.

    Sekarang adalah masa untuk masyarakat mengharapkan negara kembali seperti sedia kala agar si suami dapat berjumpa isteri yang jauh di mata dekat di hati, bermanja dengan anak-anak dan ada juga yang mahu menatap wajah ibu ayah di sebalik skrin telefon.

  • PM lancar Perkukuh, perbaharui keupayaan GLIC Malaysia

    PM lancar Perkukuh, perbaharui keupayaan GLIC Malaysia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Perdana Menteri hari ini melancarkan Program Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) bertujuan mewujudkan ekosistem memberi manfaat kepada semua pemegang kepentingan dalam ekonomi.

    Berucap pada majlis pelancaran Perkukuh sempena Pemerkasaan Semula Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) secara dalam talian, Tan Sri Muhyiddin berkata, Perkukuh akan membolehkan pembinaan portfolio pelaburan dengan pulangan yang mengambil kira faktor risiko dan tadbir urus lebih baik.

    “Ia sekali gus dapat menjamin ketahanan serta prospek pertumbuhan mampan. Perkukuh akan mewujudkan ekosistem yang memberi manfaat kepada semua pemegang kepentingan dalam ekonomi.

    “Pertamanya, untuk GLIC, PERKUKUH akan membolehkan pembinaan portfolio pelaburan dengan pulangan yang mengambil kira faktor risiko, dan tadbir urus yang lebih baik untuk menjamin ketahanan dan prospek pertumbuhan mampan.

    “Pendekatan ini secara beransur-ansur mendatangkan pulangan pelaburan yang lebih baik bagi pendeposit, pemegang saham dan pesara yang menyumbang melalui simpanan mereka,” katanya.

    Katanya, bagi komuniti pelaburan pula, Perkukuh akan memberi tumpuan pembangunan bidang-bidang pertumbuhan baharu dan peluasan peluang-peluang untuk turut serta secara langsung melalui penyemarakan pelaburan swasta.

    Inisiatif itu juga katanya, akan mewujudkan pembentukan ekonomi berasaskan pengetahuan dan nilai tambah tinggi, sekali gus memperkukuh prospek pertumbuhan negara dan ketahanan fiskal bagi jangka masa panjang.

    “Yang terakhir dan paling penting, bagi rakyat secara umumnya, akan tercetus penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi, peningkatan pendapatan isi rumah dan pengurangan ketidaksamarataan.

    “Kesejahteraan rakyat akan ditingkatkan melalui program perlindungan sosial yang lebih berkesan dan holistik, di mana kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan GLIC dan syarikat berkaitan
    kerajaan (GLC) akan mengukuhkan lagi usaha merapatkan sebarang jurang, menjangkaui keperluan-keperluan asas yang telah disediakan oleh Kerajaan,” katanya.

    Inisiatif itu jelasnya, bermula dengan pengiktirafan mandat, struktur pembiayaan dan profil risiko pelbagai GLIC yang terlibat.

    Terbahagi kepada dua kategori iaitu Dana Kekayaan Negara melibatkan entiti seperti Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Kumpulan Wang Amanah Negara atau KWAN dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Incorporated.

    Sementara bagi kategori Pelabur Institusi pula merangkumi entiti seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

  • Dengarlah nasihat Raja-Raja Melayu hentikan perebutan kuasa

    Dengarlah nasihat Raja-Raja Melayu hentikan perebutan kuasa

    Oleh ISMAIL MINA

    Merujuk titah Sultan Johor dan Pemangku Raja Pahang sempena menyambut Ma‘al Hijrah 1443 baharu-baharu ini, adalah amat memprihatinkan.

    Antara inti signifikan dan fundamental ucapan yang berasingan tersebut ialah baginda berdua memberi panduan dan nasihat kepada semua pemimpin politik agar mengutamakan perpaduan ummat, menjaga kestabilan sosiopolitik negara, bukan masa berkelahi tetapi masa untuk bersatu dan jangan berebut-rebut kuasa politik, tetapi berebut-rebut untuk membantu rakyat, serta mengutamakan dan membantu menyelesaikan kesenjangan sosioekonomi rakyat. Sultan Johor meluahkan perasaan kecewa baginda berkaitan situasi perebutan kuasa politik semasa.

    Meneliti ucapan berupa panduan dan nasihat sempena Ma‘al Hijrah tersebut, yang disambut di tengah-tengah ujian Allāh SWT berkaitan pandemik Covid-19, di dalam keadaan kesenjangan sosioekonomi, serta suasana simpang siur dan kekusutan politik perebutan kekuasaan negara, Institut Pemikiran Tradisional Islam atau IPTI, mengharapkan semua pihak wajib menerima panduan dan nasihat baginda itu dengan hati terbuka.

    Semua pihak terutamanya pemimpin politik agar menumpukan seluruh tenaga kepada usaha mengurus kesenjangan sosioekonomi masyarakat yang amat mendukacitakan, memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang membimbangkan, serta menguraikan kekusutan politik yang berlarutan yang boleh menjana ketidakstabilan negara yang lebih dahsyat.

    Justeru semua pemimpin politik perlu menghayati jiwa Hijrah dengan memberhentikan segera perbalahan dan tindakan perebutan kuasa politik ketika masyarakat dan negara sedang berada di dalam keadaan luar biasa, yang memerlukan tindakan luar biasa daripada semua pihak terutamanya pemimpin politik yang kelihatan semakin ghairah dan agresif untuk menguasai koridor kekuasaan.

    Amalan dan tindakan politik demokrasi dalam norma biasa harus digantikan dengan kaedah “kewajiban semasa” atau wajib al-waqt. Justeru, IPTI mengharapkan semua pemimpin politik perlu berjiwa besar dengan menahan sifat amarah masing-masing tetapi menjana sifat sabar yang luar biasa dalam keadaan yang luar biasa seperti sekarang ini.

    Mereka perlu memberhentikan segera segala pergelutan dan perlakuan bersengketa seperti nasihat dan titah Raja-Raja Melayu tersebut, serta mengadakan gencatan senjata politik kekuasaan, justeru boleh menjernihkan keadaan yang sudah pun keruh dan mendukacitakan ini.

    Semua pihak terutamanya pemimpin politik bersekali dengan NGO perlu berganding bahu membantu mengurus masyarakat dan negara agar dapat keluar daripada keadaan kesenjangan sosioekonomi melalui tindakan bijaksana semua pemimpin politik, termasuk Raja-Raja Melayu.

    Justeru, panduan dan nasihat signifikan dan fundamental Raja-Raja Melayu itu wajib dihayati dengan semangat Hijrah dan dibuktikan secara konkrit di dalam tindakan ke‘arifan politik maslahah masyarakat.

    Raja-Raja Melayu yang menjadi tonggak kekuatan serta kestabilan politik negeri dan nasional telah pun bersuara memberi tunjuk ajar dan nasihat. Maka atas kebijaksanaan Raja-Raja Melayu itu, beberapa prinsip dan kaedah Siyasah Syar‘iyyah dapat dilakukan tanpa melalui proses biasa dalam norma biasa di parlimen, tetapi boleh diurus dengan bijaksana oleh Dekri Diraja atau Royal Decree.

     Ini adalah satu mekanisme efektif dalam merungkai sementara kemelut sosiopolitik Malaysia sekarang, sebelum rangkaian Covid -19 dapat diputuskan sepenuhnya, justeru dapat kembali kepada keadaan politik sebelum ini yang normal.

  • Malaysia sasar eksport satu juta tan minyak sawit setahun ke Turki

    Malaysia sasar eksport satu juta tan minyak sawit setahun ke Turki

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MALAYSIA menyasarkan eksport minyak sawit ke Turki mencecah satu juta tan setahun mulai tahun depan.

    Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, jumlah itu meningkat berbanding 500,000 tan pada masa ini.

    Beliau berkata, ini susulan lawatan beliau serta pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan Turki baru-baru ini.

    “Kita optimis angka tersebut mampu dicapai selain kedudukan Turki sebagai pintu masuk ke negara lain di rantau Asia Barat, Balkan serta Eropah Timur.

    “Turki adalah satu destinasi yang sangat penting untuk pasaran sawit kita, insya-Allah, kita mampu mencapai sasaran satu juta tan setahun bermula tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di SKT Banquet Hall 68, Muar hari ini.

    Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng dan Pegawai Kesihatan Daerah Muar Dr. Noorhaidah Ujang.

  • Zahid perlu berjiwa besar, letak jawatan Presiden UMNO

    Zahid perlu berjiwa besar, letak jawatan Presiden UMNO

    Saudara Pengarang,

    SUHU politik negara terus panas menggelegak dengan pelbagai situasi dan ketidaktentuan.

    Paling menarik perhatian ramai, apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Ogos lalu mengumumkan parti itu menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Susulan itu, sebahagian Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengambil ketetapan sendiri dengan menyatakan sokongan kepada kerajaan PN menerusi satu kenyataan bersama yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

    Beberapa Ahli Parlimen lain pula termasuk Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin membuat kenyataan bahawa beliau mempunyai masalah kepercayaan terhadap Presiden UMNO dan mengambil pendirian akan terus menyokong kerajaan PN.

    Datuk Seri Idris Jusoh pula dalam kenyataannya menyebut, menyokong Kerajaan PN adalah yang terbaik dalam situasi krisis kesihatan yang dihadapi negara sekarang.

    Beliau juga mempersoalkan apa hala tuju UMNO selepas menarik sokongan itu. Adakah UMNO mahu kembali menjadi pembangkang, mahu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim atau membiarkan pemimpin bukan Melayu mentadbir Agama Islam?

    Tegas beliau, situasi UMNO sekarang sentiasa berubah. Sebelum ini Presiden UMNO pernah berkata, Ahli-ahli Parlimen UMNO bebas membuat pilihan untuk menyokong siapa di Parlimen. Tetapi kemudiannya mengarahkan pula untuk menarik sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri.

    Sejarah perjuangan UMNO sememangnya panjang. Pemimpin parti datang dan pergi. Ini kerana UMNO secara hakikatnya bukan hak milik kekal seseorang Presiden.

    Namun, apa yang berlaku hari ini disifatkan oleh pemerhati politik, jelas menampakkan UMNO sudah dijadikan hak milik peribadi umpama sebuah syarikat sendirian berhad.

    Beberapa keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini dikatakan berlainan daripada apa yang disebut didalam kenyataan media oleh Presiden parti.

    Ia termasuk keputusan menarik sokongan kepada kerajaan PN itu bukanlah keputusan sebulat suara oleh ahli-ahli MKT UMNO seperti yang didedahkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Amatlah malang bagi UMNO jika Presidennya menjadikan parti itu umpama syarikat sendirian berhad dengan segala keputusan mesyuarat MKT tidak lagi dihormati. Sebaliknya keputusan yang berunsurkan kehendak peribadi disuarakan sebagai kata putus sebulat suara.

    Wajarkah itu semua terjadi di dalam sebuah parti yang didokong bersama lebih 3.5 juta ahlinya? Adakah UMNO perlu dijadikan pihak yang ‘bail out’ kepada Presidennya yang terpalit dengan kredibiliti dan kepercayaan pimpinan sendiri?

    Siapa pengkhianat parti sebenarnya? Pucuk pimpinan dan ahli akar umbi yang membantah atau Presiden yang berkepentingan peribadi mengikut telunjuk ‘Guru’ yang merangka gerak langkah?

    Bukan lagi rahsia hubungan intim Presiden UMNO itu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bukti rakaman perbualan telefon yang tersebar meluas antara ‘murid dan guru’ itu akhirnya diakui sendiri kebenarannya oleh Zahid.

    Penganalisis politik mempersoalkan apakah ahli-ahli UMNO mahu mempertahankan seorang Presiden yang bermain retorik politik dengan menipu 3.5 juta ahlinya. Itukah yang ahli-ahli UMNO mahukan? Itukah sikap dan sifat seorang pemimpin yang mahu dijunjung dan ditaati?

    Dengan deretan kes mahkamah yang dihadapi Datuk Seri Zahid, ramai yang berpandangan bahawa Presiden UMNO itu sudah sepatutnya berundur demi kebaikan parti.

    Rata-rata penganalisis politik dan juga ahli akademik berpandangan bahawa pengunduran Datuk Seri Zahid sememangnya akan memastikan UMNO terus relevan dan tidak lagi terpalit dengan unsur-unsur negatif yang dibawa di dalam bagasi Presidennya.

    Ternyata suara akar umbi UMNO tidak boleh dibendung lagi dengan gegantung bertebaran di jalanan yang mendesak Datuk Seri Zahid meletakkan jawatannya.

    Malah di Bahagian Bagan Datuk sendiri dilaporkan lebih seratus gegantung dinaikkan dengan suara mendesak Datuk Seri Zahid meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO.

    Suara itu bukan baru kedengaran sehari dua ini, malah ianya sudah lama kedengaran sejak beliau bercuti rehat selama enam bulan dan kembali menyambung tugas Presiden parti pada 30 Jun 2019.

    Dilaporkan juga terdapat sebilangan besar Ketua-ketua UMNO Bahagian yang mengambil pendirian mahukan Presiden parti itu segera berundur untuk mengelakkan keadaan UMNO menjadi lebih parah. Itu semua boleh disifatkan sebagai manifestasi penolakan pimpinan dan ahli akar umbi terhadap Presiden parti.

    Dari sudut pandang rakyat jelata yang non partisan, mereka melihat UMNO adalah punca segala kekalutan politik yang berlaku sekarang.

    UMNO kini dilihat lebih gilakan kuasa. Walaupun sudah bersama Kerajaan PN sejak Mac tahun lalu, hari ini tidak semena-mena mahu menumbangkan pula Kerajaan PN.

    UMNO di bawah Datuk Seri Zahid kini dilihat sebagai rakan politik paling tidak boleh dipercayai lagi. UMNO kini disifatkan sebagai pengkhianat dan peruntuh kerajaan Melayu Islam PN yang pada awalnya menjadi harapan orang-orang Melayu.

    Apa sebenarnya yang dimahukan oleh Datuk Seri Zahid? Jika sudah bersumpah tidak akan menyokong Anwar Ibrahim dan DAP, ke mana hala tuju UMNO hendak dibawa oleh beliau?

    Jika beliau seorang yang bermaruah dan mengutamakan parti, ketepikan kepentingan peribadi. Beliau juga perlu berjiwa besar dalam situasi yang dihadapinya sekarang. Sayangkan UMNO, berundurlah secara terhormat.

    Atau jika masih mahu berkhidmat, adalah lebih baik untuk terus kekal bersama kerajaan PN dan menggembleng tenaga membantu menangani krisis kesihatan dan ekonomi negara.

    Ungkapan kerajaan gagal sebenarnya hanyalah propaganda politik dan tidak mencerminkan kebenaran yang hakiki. Hakikatnya, kerajaan negara-negara lain di seluruh dunia juga berdepan situasi sukar dalam menangani krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19.

    Di saat negara dan rakyat berdepan situasi getir melawan pandemik Covid-19, pemimpin politik tidak seharusnya bercakaran merebut kuasa dan pengaruh. Menukar kerajaan yang ada hari ini tidak sesekali menjamin situasi pandemik, krisis kesihatan dan ekonomi berubah sekelip mata menjadi baik esok harinya.

    Sesungguhnya, rakyat sudah muak dengan drama perebutan kuasa politik yang tidak berkesudahan sejak pasca PRU14.

    Ahli UMNO seumur hidup

  • Sindiket Datuk palsu: Dua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah

    Sindiket Datuk palsu: Dua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah

    Oleh Rahimi Mohamad

    DUA ahli perniagaan mengaku tidak bersalah selepas didakwa atas 20 pertuduhan membabitkan pembuatan watikah darjah kebesaran negeri Melaka dan menggunakan gelaran Datuk palsu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

    Tertuduh, Tuah Shah Abd. Rahman, 48, dan Zainal Abu Bakar, 48, masing-masing berhadapan 10 dan lapan pertuduhan membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

    Tuah Shah berhadapan 10 pertuduhan membuat watikah Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M); Jaksa Pendamai Negeri Melaka (J.P); Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) dan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M).

    Kesemua watikah itu didakwa telah dibuat tanpa kebenaran Ketua Menteri Melaka di sebuah rumah di Kampung Ladang, Krubong dalam daerah Melaka Tengah antara 7 September 2020 sehingga 5 Februari lalu.

    Zainal pula dituduh menggunakan gelaran Datuk palsu pada empat resit membabitkan tiga buah syarikat perniagaan tayar dan surat keizinan penggunaan pada kenderaan tanpa kebenaran Ketua Menteri bagi tujuan peribadinya.

    Dia juga didakwa telah menggunakan gelaran Datuk palsu pada cop ‘Salinan Diakui Sah’ dan pada kad Ahli Majlis Datuk Kehormat Malaysia serta kad perniagaan Kafa Kiramas Network.

    Kesemua perbuatan itu dilakukan di Jalan M12 Taman Merdeka, Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah antara 3 Februari sehingga 27 Februari lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 (1) (b) dan Seksyen 3 (1) (a) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (mencegah penggunaan yang tidak betul) (Pindaan) 2016 Enakmen 1981 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 Enakmen sama.

    Sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM500,000.

    Mereka turut berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana bersama-sama menipu dua individu bergelar Datuk dalam urusan mendapatkan watikah D.G.S.M sehingga mendorong mangsa membuat bayaran berjumlah RM200,000.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof dan Muzila Arshad mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

    Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan tarikh 21 September ini sebagai sebutan semula kes.

  • 21,668 kes Covid-19 terbaharu hari ini, angka tertinggi setakat ini

    21,668 kes Covid-19 terbaharu hari ini, angka tertinggi setakat ini

    KES positif harian Covid-19 mencatatkan angka tertinggi hari ini apabila sebanyak 21,668 kes dilaporkan setakat tengah hari tadi.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan kini adalah sebanyak 1,342,215 sejak wabak itu dikesan Januari 2020.

    “Selangor mencatatkan kes tertinggi hari ini iaitu sebanyak 6,278 kes.

    “Tiga negeri turut mencatatkan kes positif harian melebihi 2,000 iaitu Kuala Lumpur dengan 2,436 kes, diikuti Kedah dengan 2,143 kes dan Sabah dengan 2,052 kes,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Selain itu, Johor merekodkan sebanyak 1,706 kes hari ini; Pulau Pinang (1,229); Sarawak (1,216); Kelantan (972); Perak (930); Negeri Sembilan (899); Pahang (629); Terengganu (594); Melaka (494); Putrajaya (56); Perlis (23) dan Labuan (11).

  • Persidangan DUN Perak guna Konsep Gelembung

    Persidangan DUN Perak guna Konsep Gelembung

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Perak akan menggunaka pakai Konsep Gelembung apabila bersidang bermula pada 25 Ogos ini.

    Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pelaksanaan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19 di negeri itu serta khidmat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

    Menurut beliau, konsep gelembung itu merangkumi empat elemen utama iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian bagi mereka yang terlibat dengan persidangan.

    “Konsep Gelembung Persidangan Dewan Negeri ini telah diperjelaskan kepada semua Ahli-ahli Dewan Negeri agar persediaan yang sewajarnya dapat dilakukan dengan segera.

    “Sesi libat urus bersama Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan telah diadakan dan mendapat reaksi positif daripada kedua-dua pihak.

    “Dengan pelaksanaan itu akan menjadikan Perak sebagai negeri pertama memperkenalkan konsep Gelembung persidangan DUN yang akan melibatkan Yang Dipertua Dewan Negeri, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan petugas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata, bagi meminimakan pergerakan, semua individu yang terlibat dalam gelembung persidangan ini akan disediakan kemudahan pengangkutan dan penginapan di Hotel Impiana, Ipoh dan penggunaan kenderaan sendiri atau e-hailing adalah dilarang.

    Katanya, fasiliti saringan secara harian disediakan dan semua diwajibkan menjalani saringan menggunakan Salixium Covid-19 Rapid AntigenTest Kit pada setiap pagi hari persidangan.