PENULIS tidak mahu berlapik untuk mengatakan Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi memberi hujah dangkal ketika memberi nasihat kepada ahli-ahli Parlimen UMNO yang masih bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kata Presiden UMNO itu, sebagai wakil rakyat mereka mesti memberi keutamaan serta mementingkan rakyat, bukannya memihak kepada yang mahu mengekalkan penguasaan walaupun didakwa gagal serta membelakangi keluhuran Perlembagaan dan Institusi Diraja.

‘’Sekarang adalah masa terbaik untuk membuktikan bahawa wakil rakyat daripada UMNO sanggup bersusah payah demi memperjuangkan nasib rakyat. Bukan berdiri bersama kegagalan yang menyaksikan lebih 10,000 rakyat hilang nyawa dan lebih 19,000 kes jangkitan wabak dilaporkan saban hari. Malah, sehingga menyebabkan Malaysia dianggap antara negara yang gagal membendung penularan pandemik di dunia,” katanya.

Soalnya, adakah yang sedang dilakukan oleh ahli-ahli Parlimen itu bukan untuk rakyat? Terdapat empat menteri UMNO yang sedang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa rakyat dalam memerangi pandemik Covid-19.

Disebabkan mementingkan rakyatlah, mereka  tidak mengikut tindakan ‘tidak cerdik’ kepemimpinan UMNO yang mahu berpolitik ketika pandemik? Disebabkan mahu memperjuangkan nasib rakyat mereka sanggup berhadapan dengan risiko dipecat daripada parti atau tidak dicalonkan dalam pilihan raya apabila menolak untuk ‘bersekongkol’ dengan agenda kepemimpinan UMNO mahu menjatuhkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dan disebabkan sanggup bersusah payah dengan rakyatlah ahli-ahli Parlimen berkenaan tidak mahu melakukan tindakan meruntuhkan kerajaan ketika negara ‘tengah berperang’.

Sejak awal pandemik lagi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr.Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bertungkus lumus dalam tugas tersebut. Mereka meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.

Tetapi soalnya apa yang pemimpin UMNO lain seperti Ahmad Zahid buat saban hari? Hanya tahu membebel dan mengkritik serta menghentam apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan. Nasib baiklah ada pandemik Covid-19 yang boleh dijadikan modal untuk mereka politikkan.

Kalau tidak entah apa modal pula yang akan mereka gunakan demi mencapai agenda politik parti yang ditolak oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sehingga hilang kuasa selepas 61 tahun memerintah.

Kalau Ahmad Zahid meminta ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan insaf sepatutnya bak kata orang 10 kali beliau perlu insaf. Ia kerana beliau sanggup membawa partinya keluar daripada kerajaan ketika rakyat tengah susah, beliau sanggup membiarkan partinya menarik sokongan kepada kerajaan walaupun tahu ada empat menteri UMNO berada di barisan hadapan memerangi pandemik Covid-19. Ahmad Zahid juga perlu insaf kerana akibat tindakan UMNO, negara kini terjebak dalam krisis tiga serangkai iaitu kesihatan, ekonomi dan politik.

Anehnya, beliau pula yang meminta ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan supaya insaf. Apa yang perlu diinsafkan? Mereka tidak pernah ada kes mahkamah yang mencemarkan nama UMNO dan negara dan mereka tidak bekerja sambil lewa ketika diberi amanah khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19 yang dicanangkan gagal oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

Ahmad Zahid juga perlu insaf kerana UMNO tidak akan menjadi seperti sekarang jika sejak awal lagi sebagai Presiden, beliau memikirkan semasak-masaknya adakah wajar parti itu menyertai Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Tetapi ketika itu lihatlah betapa eratnya beliau memeluk Muhyiddin selepas Perdana Menteri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.

Dan UMNO juga tumpang gembira pada awal pemerintahan PN apabila kerajaan mendapat sokongan rakyat tetapi sekarang apabila kerajaan berhadapan dengan masalah, UMNO meninggalkan kerajaan dengan alasan tidak mahu terpalit kerana kerajaan gagal memerangi pandemik Covid-19.

Oleh itu yang sepatutnya insaf bukan ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan tetapi Ahmad Zahid dan pemimpin-pemimpin UMNO yang boleh dianggap meninggalkan kawan ketika susah!

Apakah ini contoh kesepakatan politik yang baik? Kalau kerajaan gagal dan dianggap membelakangi keluhuran Perlembagaan dan institusi diraja , kenapa parti-parti lain yang menyertai kerajaaan tidak bertindak seperti UMNO?Kenapa sehingga malam kelmarin mereka terus menyatakan sokongan kepada Kerajaan PN di bawah kepemimpinan Muhyiddin? Ini bukan bermaksud mereka membelakangi keluhuran Perlembagaan dan institusi diraja, sebaliknya mereka mahu menyelesaikan masalah secara harmoni bukannya bertindak seperti MKT UMNO yang membuat keputusan yang menghuru-harakan politik negara.

Ahmad Zahid sepatutnya insaf kerana sebagai pemimpin nombor satu dalam UMNO, ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan jauh lebih berprinsip daripada beliau. Mereka tidak sanggup meninggalkan kerajaan ketika rakyat tengah susah. Tindakan mengikut rentak agenda politik yang disusun oleh kepimpinan UMNO hanya akan menyebabkan mereka mungkin akan dicerca oleh rakyat.

Lagipun mereka tahu, pemimpin-pemimpin UMNO seperti Ahmad Zahid hanya tahu mengkritik sahaja tetapi tidakpun mengemukakan penyelesaian, malah mereka juga tahu tidak semua tuntutan UMNO kononnya atas nama membela rakyat boleh disempurnakan oleh kerajaan.

Sebagai seorang yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid pasti tahu sejauh manakah kebatasan kerajaan dalam menunaikan segala tuntutan UMNO dan beliau juga tahu bagaimana kerajaan sudah melakukan segalanya untuk membantu rakyat serta memulihkan negara dalam berhadapan dengan pandemik.

Dan juga pasti tahu negara-negara lain juga masih belum selesai masalah Covid-19, malah ada negara yang sebelum ini sudah ‘bebas’, kini terpaksa ditutup semula. Memang enak untuk cakap kerajaan gagal tetapi apakah hanya Malaysia yang sedang bertarung dengan pandemik itu? Bagaimana dengan Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura serta  berpuluh buah negara lain termasuk negara maju?

Apakah Ahmad Zahid yakin apabila tukar kerajaan atau lantik Perdana Menteri baharu sama ada interim ke, tak interim ke… kes Covid-19 boleh turun mendadak? Ini wabak bukan boleh buat janji macam ‘’hari ini kita menang, esok harga minyak turun’’!

Jadi cukup-cukuplah Ahmad Zahid cuba menggunakan sentimen rakyat bagi memberi tekanan kepada ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan.  Rakyat khususnya ahli UMNO bijak menilai.

Penulis memahami keterujaan Ahmad Zahid berikutan tekanan dihadapi kerajaan sekarang, cuma sempena sidang Parlimen, penulis nak pesan,  jangan ingat yang nampak akan ‘tewas’ akan benar-benar tewas dan jangan ingat yang akan ‘menang’, benar-benar akan menang.

Dalam politik segala berkemungkinan, kalau tidak mana mungkin ‘cikgu boleh terperdaya dengan anak murid’ – betul tak?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here