Author: Admin

  • LCS: Kapal pertama dijangka siap setahun dua

    LCS: Kapal pertama dijangka siap setahun dua

    KAPAL pertama Littoral Combatant Ship (LCS) diharap mampu disiapkan dalam tempoh antara setahun hingga dua tahun lagi.

    Demikian jawaban diberikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa menjawab soalan di Dewan Negara hari ini.

    Memetik Astro Awani, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, Kabinet telah memberi tempoh enam bulan untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula projek tersebut.

    Hishammuddin berkata, beliau sendiri akan memberi laporan kepada orang ramai dan Kabinet mengenai tahap penyiapan projek yang kini sudah menelan belanja sekitar RM6 bilion.

    “Kita diberikan enam bulan selepas keputusan Kabinet untuk memobilisasikan usaha untuk menghidupkan semula projek ini. Ia melibatkan libat urus dengan vendor di Perancis, ia melibatkan engagement dengan agensi perbankan.

    “Tetapi untuk Dewan ini saya nak nyatakan, sekurang-kurangnya dalam masa setahun dua saya harap kapal pertama dapat kita siapkan.

    “Saya akan laporkan kepada orang ramai jadual berperingkat, kapal-kapal yang telah dijanjikan kepada TLDM, saya akan maklum kepada Kabinet apa yang telah kita lakukan, pastikan ia mengikut apa yang telah dijadualkan,” katanya lagi.

    Isu berkenaan kapal perang berkenaan kembali menjadi pendebatan hangat selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melaporkan terdapat elemen kelemahan dan penyelewengan dalam projek itu.

    Pengerusi PAC, Wong Kah Woh pada minggu lepas berkata, Boustead Naval Shipyard (BNS) tidak menggunakan sepenuhnya bayaran daripada kerajaan untuk projek tersebut.

    Mengulas Lanjut, Hishammuddin berkata, projek itu akan diteruskan bersandarkan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia serta berkait rapat dengan polisi 15 kepada 5 TLDM.

    Katanya lagi, jika terdapat unsur penyelewengan, kementerian tidak akan mempertahankan individu tersebut.

    Selain itu, beliau berkata, jika tidak diteruskan, ia akan mengakibatkan ramai vendor, termasuk veteran TLDM gulung tikar.

    “Ini merupakan satu pandangan yang diperlukan TLDM. Kedua, pertimbangan untuk memastikan vendor yang sedia … ada ratusan juga, yang sebahagian besar merupakan mereka daripada golongan veteran, tidak gulung tikar.

    “Dan projek ini perlu diteruskan selepas mengambil kira kebajikan mereka,” katanya lagi.

  • Jakim kenal pasti lokasi Hadi Minallah, kata Idris

    Jakim kenal pasti lokasi Hadi Minallah, kata Idris

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengenalpasti lokasi pusat penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

    “Maklumat tersebut telah disalurkan kepada Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI). Semalam baru kita dapat profil Hadi Minallah ini dan saya terus hubungi JAWI,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan yang pertama di Kompleks Islam Malaysia, di Putrajaya hari ini.

    Pada 5 Ogos lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) memantau aktiviti kumpulan ajaran ‘Hadi Minallah’ agar tidak menular di negeri itu susulan tular video perhimpunan pertubuhan itu di Pulau Langkawi, Jun lalu.

    Pengarah JHEAIK, Datuk Mohd. Yusri Md. Daud berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kumpulan ajaran tersebut hanya menggunakan pulau peranginan itu sebagai lokasi perjumpaan yang menghimpunkan semua ahlinya dari negeri lain.

    Menurut Mohd. Yusri, pertubuhan yang dikatakan berasal dari Indonesia dan berpusat di Singapura itu tidak aktif di Kedah.

  • 42 set bubu naga dirampas di perairan Lumut

    42 set bubu naga dirampas di perairan Lumut

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak merampas sebanyak 42 set bubu naga di perairan Tanjung Kepah, Lumut pada pukul 1.30 petang semalam.

    Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, rampasan berkenaan dilakukan di kedudukan kira-kira 4.5 batu nautika barat daya Tanjung Kepah menerusi rondaan Op Pintas dan Op Sayong dilakukan pihaknya.

    “APMM Perak telah mengesan penggunaan bubu naga di sekitar perairan tersebut. Siasatan menemui kesemua 42 set bubu naga dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Perak untuk tindakan lanjut.

    “Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Sementara itu jelasnya penggunaan bubu naga secara berleluasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab boleh mengganggu habitat marin bagi tempoh masa panjang.

    Tambahnya lagi ini kerana, bubu naga boleh mengancam habitat marin terutamanya ikan-ikan kecil di pesisir pantai dan mengakibatkan kepupusan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

    “Justeru, APMM Negeri Perak menyeru agar kegiatan perikanan jenis ini dihentikan dan sebarang maklumat berkaitan penggunaannya boleh disalurkan kepada Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999,” ujarnya.

    8)

  • Wanita warga emas maut dalam nahas tiga kenderaan

    Wanita warga emas maut dalam nahas tiga kenderaan

    SEORANG wanita warga emas meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 16, Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung, Hulu Selangor pukul 6.50 petang semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin, mangsa yang maut berusia 66 tahun merupakan penumpang hadapan Perodua Alza berwarna hitam.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kemalangan itu melibatkan dua buah Perodua Alza dan sebuah Perodua Axia.

    “Kemalangan berlaku selepas pemandu Perodua Alza berwarna hitam, seorang wanita berusia 34 tahun telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan apabila sampai di tempat kejadian.

    “Kereta dinaiki mangsa telah melanggar sebuah lagi Perodua Alza berwarna perak dipandu seorang lelaki berbangsa India berusia 26 tahun,”
    katanya dalam satu kenyataan, lapor Utusan TV hari ini.

    Katanya, akibat daripada kemalangan itu, Alza berwarna perak telah berpusing dan melanggar Perodua Axia dipandu seorang wanita Melayu berusia 29 tahun.

    Mangsa yang maut telah di bawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat, manakala kesemua pemandu kenderaan yang terlibat telah di hantar ke Hospiral Selayang untuk menerima rawatan awal, katanya lagi.

  • Kerajaan Ismail Sabri tak perlu PH untuk terus berkuasa – DAP

    Kerajaan Ismail Sabri tak perlu PH untuk terus berkuasa – DAP

    KERAJAAN pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu membuat perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH) untuk kekal berkuasa kerana sudah mempunyai majoriti.

    Demikian pengakuan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dalam satu wawancara bersama Free Malaysia Today.

    “Anda perlu faham, walaupun tanpa MoU, kumpulan ini berkuasa. MoU itu tidak menyumbang untuk mengekalkan tampuk kuasa, mereka sudah pun berkuasa, masih mempunyai majoriti mudah,” katanya dipetik sebagai berkata.

    Ismail Sabri menjadi perdana menteri pada Ogos tahun lepas dengan sokongan 114 Ahli Parlimen. Beliau menandatangani MoU untuk “kestabilan dan transformasi politik” dengan pemimpin parti komponen PH pada bulan berikutnya.

    MoU itu dikritik kerana dikatakan mengekalkan kuasa pihak yang bertanggungjawab ke atas peningkatan kos sara hidup, ekonomi yang lemah, serta masalah lain.

    Bagaimanapun, kata Loke, MoU itu memainkan peranan penting dalam membawa pembaharuan politik dan demokrasi yang diperlukan.

    “MoU membolehkan pembangkang menggunakan kekuatannya di Parlimen untuk memastikan tolak ansur tertentu dicapai untuk mereformasi negara. Contoh terbaik ialah pelulusan undang-undang anti-lompat,” katanya.

    Ismail Sabri dan PH bersetuju atas 18 syarat utama bawah MoU itu, termasuk pelaksanaan had dua penggal untuk perdana menteri, memastikan kebebasan kehakiman, mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, dan pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen.

    Rang undang-undang (RUU) anti-lompat itu diluluskan Dewan Rakyat minggu lepas, dengan 209 Ahli Parlimen mengundi menyokongnya, manakala 11 tidak hadir.

    Loke berkata, beberapa perkara dalam MoU itu masih belum dipenuhi, seperti had penggal perdana menteri. Beliau berharap ia dapat disempurnakan sebelum pilihan raya umum akan datang (PRU15).

    Walaupun MoU itu tiada tarikh luput, ia menyatakan bahawa kerajaan dan PH telah bersetuju untuk tidak mengadakan PRU15 sebelum 31 Julai.

    Pada Mac, Loke mencadangkan agar MoU itu dilanjutkan dengan syarat Ismail Sabri menyempurnakan semua perkara dalam perjanjian itu. PH sejak itu berdepan kritikan kerana berpegang teguh pada perjanjian itu, malah menggesa agar ia dilanjutkan kerana khuatir PRU akan diadakan lebih awal.

    Bagaimanapun, pada Julai, perdana menteri mengisytiharkan bahawa UMNO telah membuat keputusan untuk tidak melanjutkan MoU, dan beliau akan mematuhi keputusan partinya.

    “MoU menyatakan bahawa pilihan raya tidak akan diadakan sebelum 31 Julai, jadi terpulang kepada perdana menteri, terpulang kepada kerajaan hari ini (bila hendak) memanggil pilihan raya.

    “(Keputusan itu) bukan dalam tangan kami, jadi kami perlu bersedia,” katanya.

  • Lelaki cedera kereta terjunam landasan kereta api

    Lelaki cedera kereta terjunam landasan kereta api

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki cedera apabila kereta dipandunya terbabas lalu terjatuh ke landasan kereta api sedalam lebih sembilan meter, awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira 2 pagi di landasan keretapi dekat kawasan Wadi Hana di Johor Bahru, mangsa yang memandu Proton Iriz berjaya keluar sendiri dari kenderaan, sebelum dibantu naik semula ke atas.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd Nazaruddin Ahmad Zainuddin, mengesahkan kejadian itu susulan laporan diterima pihaknya kira-kira jam 2.32 pagi.

    Beliau berkata, sepasukan 11 anggota bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta satu Unit Bermotor Bomba (RIM) dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu.

    Anggota bomba membantu mengangkat mangsa selepas kereta dipandunya terjunam ke landasan kereta api di kawasan Wadi Hana, Johor Bahru, awal pagi ini

    “Tiba di lokasi kita mendapati seorang lelaki berusia 28 tahun cedera ringan. Kita turun bersama pasukan perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) memberikan rawatan kepada mangsa sebelum membawanya naik dengan menggunakan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila mangsa yang dalam perjalanan dari Lebuhraya Tebrau menghala ke pusat bandar terbabas sebelum kereta itu terjatuh ke landasan kereta api berkenaan.

    Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak HSA untuk tindakan seterusnya.

    Operasi ditamatkan pada pukul 3 pagi.

  • Tiga beranak didakwa dera budak perempuan

    Tiga beranak didakwa dera budak perempuan

    TIGA beranak termasuk seorang bakal penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengaku didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan bulan lepas.

    Tertuduh yang merupakan pasangan suami isteri, R. Guna Silan, 42, K. Nagamah, 41, dan anak perempuannya G. Nisha, 21, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Tamil secara bersama dihadapan Hakim, Norma Ismail.

    Sinar Harian melaporkan, berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama-sama sebagai penjaga kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun telah mendera menggunakan rotan, dipukul, ditendang dan disimbah air panas.

    Perbuatan tersebut mengakibatkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan diseluruh bahagian badan iaitu di bahagian dada, belakang badan, kedua-dua belah kaki, kepala dan muka.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 15 hingga 19 Julai lepas bertempat di sebuah rumah di Taman Seri Mahsan, Bandar Seri Jempol.

    Oleh demikian, tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seskyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Tertuduh yang diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan wang jaminan yang minimum berikutan kesemua tertuduh memberikan kerjasama yang baik dengan polis selain salah seorang tertuduh bakal melanjutkan pengajian di sebuah IPTA pada September ini.

    Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas kesemua tertuduh.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • 7 sekawan hilang ditemui selamat, rupanya cari labi-labi

    7 sekawan hilang ditemui selamat, rupanya cari labi-labi

    MISTERI kehilangan tujuh kanak-kanak dan remaja termasuk tiga orang kurang upaya (OKU) di Kampung Kebayau dekat Kota Belud Sabah sejak semalam terungkai apabila mereka ditemui selamat, pagi ini.

    Kesemua mangsa ditemui penduduk kampung pada pukul 7.40 pagi di sebuah pondok di kawasan kebun pokok getah dan buah-buahan kira-kira 1.5 kilometer dari kampung mereka.

    Mereka ialah, Freddy Kerinsuk (OKU), 15; Arni Kerinsuk (OKU), 13; Alistar Kerinsuk (OKU), 9; Royce Kerinsuk, 3; Meclorn Datine, 12; Elson Evan Lie Willie, 11 dan Elcy Jackter, 5.

    Memetik Harian Metro, seorang penduduk kampung, Robert Santim, 50, berkata, dia menemui mangsa bersama dua lagi rakannya, Jolius Sumbing, 41 dan Vincent Sikin, 36.

    Menurutnya, remaja dan kanak-kanak itu mendakwa pergi mencari labi-labi di anak sungai yang terletak berhampiran puncak bukit.

    “Mereka yang berbekalkan roti dan air tidak menyedari cuaca semakin gelap dan terpaksa menginap di pondok yang berhampiran,” katanya.

    Susulan kehilangan tujuh sekawan itu, penduduk yang risau melancarkan usaha mencari yang turut disertai anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud dan unit anjing pengesan (K9).

    “Kami (penduduk) risau memikirkan keadaan mereka apatah lagi sebahagiannya autisme dan terus mencari sehingga jeritan kami didengari semua mangsa.

    “Syukur, mereka (mangsa) ditemui dalam keadaan selamat walaupun ada yang mengalami luka kecil,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, semua mangsa menjalani pemeriksaan rawatan oleh pihak paramedik.

    “Dua daripada tujuh mangsa itu dihantar ke hospital Kota Belud akibat luka kecil dan perlu menjalani pemeriksaan lanjut.”

    “Mangsa lain diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing manakala operasi ditamatkan jam 9.30 pagi ini,” katanya.

    Mereka kali terakhir dilihat penduduk kampung kira-kira pukul 3 petang semalam,sebelum dilaporkan dikhuatiri hilang.

  • Skandal LCS: Najib cuba main politik, elak dipersalah – Kah Woh

    Skandal LCS: Najib cuba main politik, elak dipersalah – Kah Woh

    PENGERUSI Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh menempelak Datuk Seri Najib Razak kerana mempertikai laporan berhubung skandal projek Kapal Tempur Persisir (LCS) bernilai RM9.1 bilion.

    Kenyataan bekas Perdana Menteri itu difahamkan dibidas kerana tidak menyemak fakta berhubung laporan yang dikeluarkan PAC, pada masa yang sama cuba bermain sentimen politik bagi mengelak dipersalahkan.

    Wong yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur menyindir Najib dan meminta beliau membaca laporan PAC sebelum mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan kesilapan fakta.

    “Saya bukan lagi Ketua Pemuda DAP. Sudah empat tahun saya lepas jawatan. Boleh Google. Fakta mudah macam ini tak patut salah, sebab nanti PM6 (Najib) mahu bincang LCS itu yang lagi teknikal, lagi cenderung salah.

    “PM6 kata kenyataan Pengerusi PAC salah. Saya hendak bagi tahu kenyataan Pengerusi PAC itu adalah berdasarkan pendapat, rumusan dan syor persetujuan secara konsensus PAC selepas hampir dua tahun siasatan isu ini. Bukan pandangan Pengerusi PAC sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di hantaran Facebook, lapor Satu Berita, hari ini.

    Najib sebelum ini mendakwa, PAC yang dipengerusikan oleh Wong Kah Woh masih memegang jawatan Ketua Pemuda DAP.

    Katanya, sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) telah melewatkan projek itu dan membekukan sepenuhnya pada 2019.

    Mengulas lanjut, Wong berkata, nilai kontrak projek berkenaan berjumlah RM9.12 bilion, dan pihak PAC tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa ia berjumlah RM6 bilion seperti didakwa Najib.

    “PM6 kata, ada salah faham bajet projek LCS adalah RM6 bilion dan angka RM9 bilion itu adalah sebab kos bertambah RM3 bilion.

    “Saya tidak faham apa salah faham PM6. Mungkin PM6 salah faham apa yang PM6 salah faham. Mungkin PM6 tidak membaca Laporan penuh PAC.

    “Tak mengapa, saya bagi bebenang laporan penuh PAC, baca muka surat 6 saja, ambil sedikit latar belakang. PAC kata nilai kontrak RM9.128 bilion, bila kata bajet hanya RM6 bilion?” bidasnya lagi.

    Khamis lalu, Wong ketika mengumumkan dapatan siasatan projek LCS, berkata Kementerian Pertahanan (Kementah) dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

    Beliau berkata, pada asalnya, kapal model Sigma yang dipilih tentera laut telah diluluskan Kementah, tetapi ia ditukar kepada model Gowind, pada 11 Jul 2011, atas cadangan BNS, pada 8 Jul 2011.

    Katanya, tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus. 

    Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini.

    Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli selepas pendedahan itu menamakan Najib bersama dua lagi bekas Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein antara individu yang bertanggungjawab dalam pembinaan projek tersebut.

  • Guan Eng persoal PM, kenapa perlu utamakan isu KPPA berbanding projek LCS

    Guan Eng persoal PM, kenapa perlu utamakan isu KPPA berbanding projek LCS

    PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menyelar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana berdiam diri berhubung penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) dan menimbulkan persoalan mengenai keutamaan perdana menteri.

    Tegas Ahli Parlimen Bagan itu, Perdana Menteri masih belum membuat sebarang komen atau memulakan sebarang tindakan selepas PAC mengeluarkan laporannya mengenai projek kontroversi itu minggu lepas.

    “Sebaliknya beliau berkata Putrajaya bertindak ‘terlalu cepat’ untuk membentuk panel peringkat tinggi bagi menyiasat dakwaan bahawa Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Shafiq Abdullah telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lepas.

    “Jawatankuasa khas itu diketuai Peguam Negara Idrus Harun dan ia akan turut disertai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    “Jika jawatankuasa peringkat tinggi itu boleh dibentuk berhubung insiden dakwaan mengeluarkan kata-kata kesat di KLIA, mengapa jawatankuasa peringkat tinggi yang serupa tidak dibentuk untuk bertindak terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal LCS RM9 bilion,” soalnya dalam satu kenyataan, lapor FMT hari ini.

    Beliau berkata, DAP tidak membantah jika kerajaan menganggap jawatankuasa peringkat tinggi itu perlu untuk menyiasat dakwaan insiden mengeluarkan kata-kata kesat itu.

    Namun katanya, perhatian dan kepentingan yang sama harus diberikan kepada skandal LCS apabila RM6 bilion telah dibayar tanpa satu kapal pun dihantar.

    Ismail Sabri ujarnya, mesti sedar bahawa (projek LCS) adalah perkara kepentingan awam yang menuntut akauntabiliti dan ketelusan penuh.

    Pada Sabtu, Azam berkata, siasatan SPRM terhadap pembelian enam kapal tempur bernilai RM6 bilion berada di peringkat terakhir dan penemuannya masih belum dapat didedahkan.

    Pada Khamis, Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) mengabaikan pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS) mengenai reka bentuknya.

    Wong berkata, tiada sebuah pun LCS yang diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6 bilion telah dibayar kepada BNS melalui rundingan secara terus.

    Tambahnya, TLDM sepatutnya menerima lima unit kapal itu pada Ogos ini.