PENGERUSI Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh menempelak Datuk Seri Najib Razak kerana mempertikai laporan berhubung skandal projek Kapal Tempur Persisir (LCS) bernilai RM9.1 bilion.

Kenyataan bekas Perdana Menteri itu difahamkan dibidas kerana tidak menyemak fakta berhubung laporan yang dikeluarkan PAC, pada masa yang sama cuba bermain sentimen politik bagi mengelak dipersalahkan.

Wong yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur menyindir Najib dan meminta beliau membaca laporan PAC sebelum mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan kesilapan fakta.

“Saya bukan lagi Ketua Pemuda DAP. Sudah empat tahun saya lepas jawatan. Boleh Google. Fakta mudah macam ini tak patut salah, sebab nanti PM6 (Najib) mahu bincang LCS itu yang lagi teknikal, lagi cenderung salah.

“PM6 kata kenyataan Pengerusi PAC salah. Saya hendak bagi tahu kenyataan Pengerusi PAC itu adalah berdasarkan pendapat, rumusan dan syor persetujuan secara konsensus PAC selepas hampir dua tahun siasatan isu ini. Bukan pandangan Pengerusi PAC sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di hantaran Facebook, lapor Satu Berita, hari ini.

Najib sebelum ini mendakwa, PAC yang dipengerusikan oleh Wong Kah Woh masih memegang jawatan Ketua Pemuda DAP.

Katanya, sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) telah melewatkan projek itu dan membekukan sepenuhnya pada 2019.

Mengulas lanjut, Wong berkata, nilai kontrak projek berkenaan berjumlah RM9.12 bilion, dan pihak PAC tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa ia berjumlah RM6 bilion seperti didakwa Najib.

“PM6 kata, ada salah faham bajet projek LCS adalah RM6 bilion dan angka RM9 bilion itu adalah sebab kos bertambah RM3 bilion.

“Saya tidak faham apa salah faham PM6. Mungkin PM6 salah faham apa yang PM6 salah faham. Mungkin PM6 tidak membaca Laporan penuh PAC.

“Tak mengapa, saya bagi bebenang laporan penuh PAC, baca muka surat 6 saja, ambil sedikit latar belakang. PAC kata nilai kontrak RM9.128 bilion, bila kata bajet hanya RM6 bilion?” bidasnya lagi.

Khamis lalu, Wong ketika mengumumkan dapatan siasatan projek LCS, berkata Kementerian Pertahanan (Kementah) dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

Beliau berkata, pada asalnya, kapal model Sigma yang dipilih tentera laut telah diluluskan Kementah, tetapi ia ditukar kepada model Gowind, pada 11 Jul 2011, atas cadangan BNS, pada 8 Jul 2011.

Katanya, tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus. 

Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli selepas pendedahan itu menamakan Najib bersama dua lagi bekas Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein antara individu yang bertanggungjawab dalam pembinaan projek tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here