KAPAL pertama Littoral Combatant Ship (LCS) diharap mampu disiapkan dalam tempoh antara setahun hingga dua tahun lagi.

Demikian jawaban diberikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa menjawab soalan di Dewan Negara hari ini.

Memetik Astro Awani, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, Kabinet telah memberi tempoh enam bulan untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula projek tersebut.

Hishammuddin berkata, beliau sendiri akan memberi laporan kepada orang ramai dan Kabinet mengenai tahap penyiapan projek yang kini sudah menelan belanja sekitar RM6 bilion.

“Kita diberikan enam bulan selepas keputusan Kabinet untuk memobilisasikan usaha untuk menghidupkan semula projek ini. Ia melibatkan libat urus dengan vendor di Perancis, ia melibatkan engagement dengan agensi perbankan.

“Tetapi untuk Dewan ini saya nak nyatakan, sekurang-kurangnya dalam masa setahun dua saya harap kapal pertama dapat kita siapkan.

“Saya akan laporkan kepada orang ramai jadual berperingkat, kapal-kapal yang telah dijanjikan kepada TLDM, saya akan maklum kepada Kabinet apa yang telah kita lakukan, pastikan ia mengikut apa yang telah dijadualkan,” katanya lagi.

Isu berkenaan kapal perang berkenaan kembali menjadi pendebatan hangat selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melaporkan terdapat elemen kelemahan dan penyelewengan dalam projek itu.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh pada minggu lepas berkata, Boustead Naval Shipyard (BNS) tidak menggunakan sepenuhnya bayaran daripada kerajaan untuk projek tersebut.

Mengulas Lanjut, Hishammuddin berkata, projek itu akan diteruskan bersandarkan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia serta berkait rapat dengan polisi 15 kepada 5 TLDM.

Katanya lagi, jika terdapat unsur penyelewengan, kementerian tidak akan mempertahankan individu tersebut.

Selain itu, beliau berkata, jika tidak diteruskan, ia akan mengakibatkan ramai vendor, termasuk veteran TLDM gulung tikar.

“Ini merupakan satu pandangan yang diperlukan TLDM. Kedua, pertimbangan untuk memastikan vendor yang sedia … ada ratusan juga, yang sebahagian besar merupakan mereka daripada golongan veteran, tidak gulung tikar.

“Dan projek ini perlu diteruskan selepas mengambil kira kebajikan mereka,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here