Author: Admin

  • Bekas tentera dipenjara 24 tahun rogol,liwat anak perempuan

    Bekas tentera dipenjara 24 tahun rogol,liwat anak perempuan

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini memerintahkan seorang bekas tentera yang didapati bersalah merogol dan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap anak kandungnya lima tahun lepas menjalani hukuman penjara selama 24 tahun berkuat kuasa hari ini.

    Ini bermakna lelaki berusia 45 tahun itu terpaksa merengkok lebih lama dalam penjara selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, sebulat suara memerintahkan hukuman penjara 18 tahun dan enam tahun yang diputuskan berjalan secara serentak oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru sebelum ini, berjalan secara berasingan.

    Perayu yang menghadapi dua pertuduhan, perlu menjalani hukuman penjara 18 tahun terlebih dahulu dan apabila selesai hukuman itu, dia akan menjalani hukuman penjara enam tahun lagi, menjadikan jumlah penjara adalah 24 tahun. 

    Sebelum ini bekas tentera berpangkat sarjan itu dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan serta enam tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 27 Nov 2018 selepas didapati bersalah merogol anak perempuannya yang ketika itu berusia 17 tahun.

    Mahkamah Sesyen bagaimanapun memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak iaitu 18 tahun dengan 15 sebatan dan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 21 Jun 2020 mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

    Hakim Abdul Karim dalam penghakimannya berkata Hakim Mahkamah Sesyen dan Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan hukuman penjara terhadap lelaki itu berjalan secara serentak.

    “Kes rogol dan liwat adalah berbeza dan hukuman sepatutnya berjalan secara berturutan. Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman penjara secara serentak yang diputuskan oleh kedua-dua mahkamah berkenaan,” kata Hakim Abdul Karim selepas membenarkan rayuan silang oleh pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara 18 tahun ke atas lelaki tersebut.

    Bagaimanapun, Hakim Abdul Karim, yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Lee Heng Cheong menolak rayuan lelaki itu terhadap sabitan dan hukuman selepas mendapati rayuan perayu tidak mempunyai merit.

    “Kedua-dua hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tidak melakukan apa-apa kesilapan dari segi undang-undang dan fakta untuk mewajarkan mahkamah ini campur tangan terhadap dapatan kedua-dua mahkamah itu. Oleh itu, rayuan perayu ditolak dan dapatan Hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Abdul Karim.

    Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru pada 2.30 pagi, pada 15 Mac 2016.

    Bagi kesalahan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan manakala bagi pendakwaan bagi kesalahan persetubuhan di luar tabii dikemukakan mengikut Seksyen 377 (B) Kanun Keseksaan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee manakala peguam Noordin Hussin mewakili lelaki berkenaan.- BERNAMA

  • 20,000 penduduk Terengganu menganggur pada suku kedua tahun 2021

    20,000 penduduk Terengganu menganggur pada suku kedua tahun 2021

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    BILANGAN penduduk Terengganu yang dilaporkan menganggur pada suku kedua tahun ini meningkat kepada 20,000 atau 4.2 peratus.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar, jumlah itu dilaporkan meningkat berbanding 4.1 peratus atau 19,800 orang pada tahun lalu.

    Beliau berkata, kadar pengangguran itu dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia dan antara punca peningkatan adalah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.

    Katanya, kadar pengangguran negara pula pada tahun lalu ialah 4.55 peratus, manakala pada suku kedua tahun ini sebanyak 4.8 peratus.

    Tengku Hassan memberitahu demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Datuk Rozi Mamat (BN-Telemong) pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

    Tengku Hassan berkata, dalam menangani masalah pengangguran, kerajaan menubuhkan Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) yang bekerjasama dengan T-HRDC dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan 30 keahlian mewakili jabatan, agensi, pusat latihan dan pemain industri.

    Menurut beliau, T-HRDC dan Perkeso telah mengadakan Karnival Penjana Kerjaya pada 3 hingga 4 April lalu dan menawarkan pekerjaan kepada 982 individu yang hadir pada karnival tersebut.

  • Kerajaan bincang moratorium hutang tanpa faedah-PM

    Kerajaan bincang moratorium hutang tanpa faedah-PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung cadangan pemberian moratorium pinjaman tanpa faedah terakru kepada rakyat bagi memudahkan pembayaran hutang isi rumah.

    Menurut Perdana Menteri, kerajaan memahami situasi yang dihadapi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

    “Cadangan itu akan dibincangkan dengan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz).

    “Insya-Allah, kita akan membantu sebaik-baiknya,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang memberi moratorium tanpa faedah terakru kepada rakyat bagi membantu pembayaran hutang isi rumah seperti rumah dan kenderaan, berikutan peningkatan hutang isi rumah yang pantas iaitu sebanyak 5.5 peratus ketika pandemik COVID-19.

    Pada Ogos lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, pengecualian sepenuhnya caj kadar faedah terakru ke atas moratorium bayaran balik pinjaman akan memberi implikasi buruk jangka panjang kepada bank jika dilaksanakan, memandangkan 80 peratus pendapatan bank disumbangkan pendapatan faedah.

    Beliau berkata, pinjaman runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak untuk mengambil moratorium automatik berjumlah kira-kira RM1.4 trilion atau mewakili 73 peratus jumlah pinjaman dalam sistem perbankan.

    Justeru, Nor Shamsiah berkata, pengecualian caj kadar faedah terakru pinjaman akan memberikan implikasi yang besar kepada bank dan ekonomi dalam jangka panjang, antaranya bank akan menarik balik pinjaman bagi menjamin penampan mereka, penurunan penarafan kredit bank dan tekanan kecairan yang akan menjejaskan keyakinan terhadap bank.

  • Pemain JDT boleh didenda RM40,000 jika salah guna media sosial

    Pemain JDT boleh didenda RM40,000 jika salah guna media sosial

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim amat menitikberatkan aspek disiplin dalam kalangan pemain bagi menjaga etika dan tatatertib mereka di dalam dan luar padang.

    Justeru, Tunku Mahkota Johor mendedahkan bahawa seseorang pemain boleh dikenakan denda sebanyak RM40,000 sekiranya menyalahgunakan sosial media sehingga boleh mencemarkan nama JDT selain didenda RM15,000 sekiranya lambat hadir menjalani latihan.

    Tegas Tunku Ismail, undang-undang dan polisi yang diperkenalkan kelab itu bagi memastikan tahap disiplin dan etika pemain sentiasa berada pada tahap terbaik.

    Tunku Ismail mendedahkan pemain JDT boleh didenda sekiranya memberikan nama buruk terhadap kelab bola sepak itu menerusi media sosial

    “Kalau pemain salah guna media sosial, denda RM40,000, ini termasuk dalam kontrak mereka. Kalau lewat ke sesi latihan, denda RM15,000, tiada istilah main-main di JDT.

    “Isteri salah guna media sosial yang boleh mencemarkan nama kelab, pemain juga boleh dikenakan denda. Kalau jurulatih lewat, pengurus akan denda kerana jurulatih kena ada dua jam sebelum latihan.

    Tunku Ismail ketika ditemu bual dalam rancangan Bola@Mamak malam tadi

    “Kalau gaji tak cukup, (pemain) berhutang,” kata Tunku Ismail dalam rancangan Bola@Mamak, malam tadi.

    Tunku Ismail memberitahu, Akhyar Rashid antara pemain yang pernah dikenakan denda RM15,000 kerana lambat hadir ke pusat latihan.

  • Perbicaraan Zahid: Hakim tanya peguam kenapa sumbangan tidak dalam cek tetapi tunai

    Perbicaraan Zahid: Hakim tanya peguam kenapa sumbangan tidak dalam cek tetapi tunai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    HAKIM Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, menyoal pasukan pembelaan mengapa sumbangan derma bernilai berjuta ringgit dikatakan daripada Yayasan Al-Bukhari (YALB) kepada Yayasan Akalbudi (YAB) tidak dalam bentuk cek tetapi dalam wang tunai.

    Persoalan itu ditujukan kepada ketua pihak pembelaan, Hisyam Teh Poh Teik apabila beliau berhujah mengapa pertuduhan ke-27 pengubahan wang haram ke atas Ahmad Zahid perlu digugurkan. 

    Sequerah: Semua wang tunai yang disumbangkan Yayasan Al-Bukhari kepada Yayasan Akalbudi akan lebih mudah jika hanya menulis sekeping cek. Mengapa perlu membawa tunai yang penuh dalam sebuah bag?

    Hisyam: Itulah aduan kami Yang Arif.  Pihak pendakwaan tidak menyiasatnya. Ia hanya boleh dijawab oleh Yayasan Al-Bukhari.  

    “Kami bertanya kepada pegawai penyiasat, pegawai penyiasat berkenaan tidak pernah menyiasat. Oleh kerana tiada siasatan, kita tidak boleh kata ia adalah hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang. Hanya dan sehingga mereka menyiasat, hanya dan sehingga mereka memanggil seorang saksi daripada Yayasan Al-Bukhari di hadapan Yang Arif dan memberikan bukti.

    “Tiada siasatan kerana tiada siasatan tidak boleh dikatakan ini adalah hasil daripada kegiatan haram, pertuduhan gugur. Kesimpulannya, kami mencabar dan mengajak pihak pendakwaan menunjukkan kepada kami bukti Yayasan Al-Bukhari tidak pernah memberi sumbangan, “ katanya.

    Pada 27 Julai tahun lepas, seorang saksi Omar Ali Abdullah pengurup wang yang didakwa mengubah wang bagi pihak Ahmad Zahid memberitahu mahkamah, bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu meminta beliau membantu mendepositkan sumbangan kebajikan ke dalam akaun badan kebajikan Yayasan Akalbudi.

    Saksi ke-81 pendakwaan itu berkata beberapa lelaki daripada YALB akan menghubunginya dan bertemu di beberapa lokasi.

    Beliau berkata, apabila menerima panggilan pertama daripada individu yang tidak dikenali dan meminta untuk berjumpanya di Plaza Fahrenheit, Kuala Lumpur, lelaki itu kemudiannya memberikan beliau sebuah bagasi berisi wang tunai. 

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Pihak pembelaan akan menyambung penghujahan esok.

  • Warga Jepun tidak perlu gusar, tiada ancaman pengganas

    Warga Jepun tidak perlu gusar, tiada ancaman pengganas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Pulau Pinang memberi jaminan kepada warga Jepun di negeri itu bahawa tiada ancaman pengganas di negara ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka tidak perlu gusar berhubung amaran kerajaan Jepun kepada rakyatnya di Malaysia mengenai kemungkinan berlaku serangan pengganas di kawasan tumpuan ramai di beberapa negara Asia Tenggara.

    “Bagaimanapun Polis Pulau Pinang telah meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan rapi di syarikat, premis dan lokasi yang ada hubung kait dengan kepentingan luar negara terutama Jepun di negeri ini.

    “Sebenarnya keadaan terkawal dan tahap ancaman tidak wujud pun berhubung perkara tersebut, namun kami ambil langkah tingkatkan pemantuan rapi. Warga Jepun di sini tak perlu bimbang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

    Semalam, media melaporkan Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur mengesahkan telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya di Malaysia mengenai kemungkinan berlaku serangan pengganas di rumah ibadat dan kawasan tumpuan ramai di beberapa negara Asia Tenggara.

    Menurut laporan media, Kementerian Luar Jepun telah menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan-kawasan sesak lain.

    Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan ke atas rumah ibadat dan tempat perhimpunan besar-besaran di rantau ini.

    Terdapat kira-kira 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia.

  • WANITA KERUGIAN RM37,330 ditipu ‘love scam’

    WANITA KERUGIAN RM37,330 ditipu ‘love scam’

    SEORANG ejen broker perniagaan kejuruteraan kerugian RM37,330 akibat menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi media sosial, sejak pertengahan Feb lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata wanita dari Felda Gugusan Raja Alias itu mendakwa berkenalan dengan pemilik akaun ‘LinkedIn’ bernama ‘Ali Rahman’ sejak 13 Feb lepas dan mereka sering berhubung melalui aplikasi WhatsApp. 

    “Wanita itu kerap berhubung dengan lelaki tersebut bagi berkongsi pengalaman hidup dan hal berkaitan kejuruteraan memandangkan mereka berada dalam bidang yang sama. 

    “Bagaimanapun pada April lepas, lelaki berkenaan memberitahu wanita itu bahawa dirinya menerima bayaran baki akhir bagi kerja kontrak daripada sebuah syarikat dan menamakan mangsa sebagai penerima manfaat daripada bayaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hoo berkata bayaran itu didakwa dilakukan menerusi Unisys Security Agency Company (UK) dan lelaki tersebut meminta mangsa menghubungi ejen-ejen daripada syarikat tersebut bagi menuntut baki bayaran kontrak berkenaan.

    Katanya mangsa diminta melakukan pembayaran ke enam akaun berbeza yang melibatkan lapan transaksi dengan jumlah keseluruhan RM37,330 bagi kelancaran urusan tuntutan bayaran berkenaan.

    Hoo berkata mangsa menyedari ditipu selepas sekali lagi diminta untuk melakukan pembayaran berkenaan dan kemudian membuat laporan polis semalam.

    Dalam kes lain, Hoo berkata seorang pemandu pengorek-kaut dari Bahau turut kerugian RM20,000 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jumaat lepas.

    Beliau berkata lelaki berusia 56 tahun itu mendakwa dihubungi oleh seorang wakil LHDN pada 3.39 petang dan kemudian memaklumkan namanya tersenarai hitam kerana tidak melunaskan pembayaran cukai tertunggak sebanyak RM176,000.

    “Panggilan itu kemudiannya disambung ke pihak lain yang memaklumkan mangsa mempunyai rekod dalam penglibatan penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram selain akan dikenakan tindakan berkenaan hal tersebut.

    “Akibat percaya, lelaki itu mengikut arahan yang diminta termasuk memberi maklumat ‘nama pengguna’ dan ‘kata laluan’ sistem perbankan dalam talian miliknya untuk tujuan semakan,” katanya sambil menambah pengadu menyedari ditipu selepas mendapati berlaku dua kali transaksi perpindahan wang berjumlah RM20,000 apabila membuat semakan dengan bank dan kemudian membuat laporan polis semalam.

    Beliau berkata kedua-dua kes berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

  • Warga emas disangka tidur, rupanya meninggal dunia di ruang menunggu kaunter JPJ

    Warga emas disangka tidur, rupanya meninggal dunia di ruang menunggu kaunter JPJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas meninggal dunia di kerusi ruang menunggu kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Bangi, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, Selangor, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima satu laporan pada pukul 10.21 pagi berkenaan seorang lelaki tempatan tidak sedarkan diri di kerusi tempat menunggu jabatan berkenaan.

    “Susulan itu, sebuah ambulans bersama petugas perubatan bergegas ke tempat kejadian untuk memeriksa keadaan mangsa.

    “Bagaimanapun, mangsa yang berusia 76 tahun disahkan sudah meninggal dunia dan mayatnya kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk tindakan lanjut.

    “Buat masa ini kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya lagi, orang orang yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Ariffin ditalian03-89114222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Gadis maut, adik melecur dalam kebakaran di Rawang

    Gadis maut, adik melecur dalam kebakaran di Rawang

    SEORANG gadis maut manakala adik lelakinya melecur teruk dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Baru Kundang, Rawang dekat sini, hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata ketika pasukan bomba tiba di tempat kejadian, mangsa B.Thiva, 19, dan adiknya B. Vishnu, tiga tahun telah dibawa keluar oleh orang awam.

    Beliau berkata berdasarkan saksi, kedua-dua mereka ditemukan di kawasan dapur dan Thiva telah meninggal dunia ketika dibawa keluar dari rumah.

    “Seramai 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang dan Sungai Buloh digegaskan ke tempat kejadian. 

    “Kami menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran rumah setingkat itu pada 11.10 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Norazam berkata rumah itu terbakar 90 peratus dan kedua-duanya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan rawatan.

    Difahamkan, ketika kejadian ibu bapa mereka tiada di rumah kerana keluar bekerja.- BERNAMA

  • 39kg syabu bernilai hampir RM2j tidak sempat diseludup keluar

    39kg syabu bernilai hampir RM2j tidak sempat diseludup keluar

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TINDAKAN pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah ke negara jiran, Indonesia.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi hari ini, bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran itu berada pada kedudukan 1.6 batu nautika tenggara Sungai Kesang di perairan Muar, Johor.

    Sebahagian syabu yang dirampas membabitkan nilai RM1.95 juta

    Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pemeriksaan terhadap bot tersebut selepas itu berjaya menemukan 39 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu membabitkan nilai rampasan bernilai RM1.95 juta.

    “Maritim Malaysia pada mulanya berjaya mengesan kehadiran sebuah bot fiber yang disyaki menuju ke arah Bengkalis, Indonesia dinaiki dua suspek, mereka yang menyedari kehadiran bot ronda terus memecut laju ke arah hutan bakau berhampiran sebelum nekad terjun untuk melarikan diri.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan kemudiannya menemukan dua bagasi berwarna hitam mengandungi paket bungkusan teh Cina berwarna hijau,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

    Maritim menunjukan bot membawa syabu yang dirampas pada kedudukan 1.6 batu nautika tenggara Sungai Kesang di perairan Muar

    Bot berserta enjin Yamaha 30 kuasa kuda bernilai kira-kira RM20,000 turut dirampas yang menjadikan keseluruhan rampasan termasuk dadah berjumlah kira-kira RM1.97 juta.

    Nurul Hizam berkata, usaha mengesan kedua-dua suspek kini giat dijalankan termasuk melakukan padanan cap jari oleh jabatan forensik bagi menjejaki dalang terlibat.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.