Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

BILANGAN penduduk Terengganu yang dilaporkan menganggur pada suku kedua tahun ini meningkat kepada 20,000 atau 4.2 peratus.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar, jumlah itu dilaporkan meningkat berbanding 4.1 peratus atau 19,800 orang pada tahun lalu.

Beliau berkata, kadar pengangguran itu dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia dan antara punca peningkatan adalah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.

Katanya, kadar pengangguran negara pula pada tahun lalu ialah 4.55 peratus, manakala pada suku kedua tahun ini sebanyak 4.8 peratus.

Tengku Hassan memberitahu demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Datuk Rozi Mamat (BN-Telemong) pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tengku Hassan berkata, dalam menangani masalah pengangguran, kerajaan menubuhkan Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) yang bekerjasama dengan T-HRDC dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan 30 keahlian mewakili jabatan, agensi, pusat latihan dan pemain industri.

Menurut beliau, T-HRDC dan Perkeso telah mengadakan Karnival Penjana Kerjaya pada 3 hingga 4 April lalu dan menawarkan pekerjaan kepada 982 individu yang hadir pada karnival tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here