SULTAN Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini berkenan meninjau kesan bencana akibat fenomena kepala air yang berlaku pada 18 Ogos lepas di Titi Hayun, Yan.
Keberangkatan tiba Sultan Kedah pada 9.45 pagi itu disambut Pegawai Daerah Yan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak Datuk Wira Ku Abd Rahman Ku Ismail.
Sebelum meninjau keadaan di sekitar kawasan Titi Hayun itu, Sultan Sallehuddin dipersembahkan taklimat mengenai kronologi insiden berkenaan oleh Tunku Iskandar Shah, diikuti taklimat daripada Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar Haji serta Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah, Perlis dan Pulau Pinang Abdullah Sulaiman.
Baginda turut berkenan menyampaikan kurniaan peribadi kepada mangsa bencana itu menerusi Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Paduka Bakar Din memaklumkan Sultan Sallehuddin menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa tragedi itu dengan mengharapkan mereka bersabar dan tabah menghadapi dugaan tersebut.
“Baginda turut berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar roh individu-individu yang terkorban dalam tragedi itu ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Bakar berkata Sultan Kedah berharap fenomena itu dapat dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua pihak supaya menghargai khazanah alam semula jadi dan memelihara serta menjaga alam sekitar. – Bernama
LEBIH 60 tahun negara kita menyaksikan pertelagahan, pertelingkahan dan pergaduhan politik dalam kalangan umat Islam di bumi tercinta ini.
Khasnya melibatkan UMNO dan PAS. Malah ia merebak sehingga pergaduhan fizikal yang mencetuskan peristiwa Lubuk Merbau, Memali dan lainnya.
Takdir Allah SWT pada 14 September tahun 2019, PAS dan UMNO kembali dapat duduk dalam satu saf lalu memeteraikan piagam Muafakat Nasional. Ia menjadi noktah bersejarah untuk langkah penyatuan umat Islam di Malaysia.
Umum tahu benar bahawa penyatuan ummah itu membawa kepada kekuatan dan kehebatan. Sebagaimana pertelingkahan pula membawa malapetaka dan musibah.
Bukankah Allah SWT sudah menegaskannya dalam al-Quran :
Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu bertelingkah, kelak kamu akan binasa dan hilang kekuatan dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran) sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.
Surah al-Anfaal: 46
NASRUDIN HASSAN
Peristiwa menandatangani piagam Muafakat Nasional itu menyaksikan tumpahnya air mata para pencinta Islam di seluruh negara.
Setelah sekian lama mereka menanti, kini dua musuh tradisi bersalaman dan berpelukan guna menamatkan sengketa umat. Lengan disilang dan tangan saling mendekap tanda mahu menyatu erat
Tidak sedikit harga yang terpaksa dibayar. Bukan setahun dua usaha untuk menyatukan dua kumpulan umat Islam ini dilakukan.
Akhirnya 14 September 2019 menjadi saksi syaitan-syaitan perpecahan menangisi kegagalan mereka.
Kini setelah dua tahun piagam muafakat dimeterai, Muafakat Nasional sedang melalui denai yang sukar dan sulit. Mereka kini sedang diuji dengan kuasa pemerintahan, kedudukan dan pengaruh.
Pelbagai justifikasi mula dicipta untuk membenarkan sikap masing-masing. Jari jemari dibuka kembali untuk saling menuding. Sudah kelihatan rekahan di sana sini. Tentu sahaja fenomena ini membuatkan agen-agen perpecahan menari girang.’
Saya hanya mampu kembali mengingatkan diri dan semua pihak khasnya saf kepimpinan dari kedua pihak, bahawa jangan biarkan Muafakat Nasional ini retak. Jangan biarkan semangat penyatuannya pudar apalagi menyimpan hasrat untuk membubarkannya.
Bersabarlah atas kepayahan dan kesukaran. Maklumlah kita telah lalui lebih 60 tahun tempoh sengketa. Hanya setahun dua ini mahu disuaikan segalanya. Tentu sahaja mengambil masa.
Justeru, “Hargai dan akuilah kelebihan rakan sebagaimana kita menerima dan memaafkan kelemahan kita sendiri.”
Tidak perlu saya leteri perkara yang telah difahami oleh semua mengenai kepentingan menyatukan umat Islam di bumi bertuah ini.
Tinggal lagi kita sering alpa dan leka dengan hasutan syaitan perpecahan dan belitan Iblis yang menipu daya. Sehingga kita mula saling curiga mencurigai antara satu sama lain.
Kita mula rasa kuat dan tidak lagi memerlukan dukungan.
“Aku perlu bangkit atas kekuatan sendiri”, “aku tidak akan biarkan kumpulan aku dijadikan sandaran”, “aku yakin boleh menang tanpa dia” , “dia tidak ikhlas dalam penyatuan” dan 1,001 getusan yang mula memberi isyarat untuk meronta dan merombak ikatan perpaduan.
Masih ada masa untuk perbaiki keadaan. Asal semua dari kalangan kita kembali kepada paksi ajaran agama, bahawa kita diperintah oleh Allah dalam al-Quran (surah asy-Syura ayat 13),
أنْ أَقيمُوا الدِّيْن و لا تَتَفَرَّقُوا فِيْهِ
“Tegakkan agama dan jangan berpecah” padanya.
Insafilah,
Meskipun kita rasa boleh menang sendiri, maka menyatukan itu lebih membesarkan saiz kemenangan. Meskipun kita rasa kuat sendiri, maka menyatukan itu pula menambah kehebatan dan kekuatan.
Lalu apa kewajaran dan dimana kebijaksanaan untuk kita merombak penyatuan yang telah kita usahakan sekian lama.
Boleh jadi mereka yang menatang penyatuan setelah atau pada hari dimeterai ikatan perpaduan itu, kurang menjiwai betapa tingginya harga dan nilai penyatuan dua parti umat Islam di Malaysia ini.
Boleh jadi juga ada yang berkata “tiada siapa yang mahu merombaknya…”
Jika benar begitu, ayuh lakukan sesuatu untuk memperkasakan Muafakat Nasional ini.
Usahakan agar semua parti atau kumpulan umat Islam bersatu dan bersama dengan Muafakat Nasional ke arah membina kekuatan ummah di persada politik tanah air mahupun penguasaan di sektor ekonomi.
Jangan keluarkan kenyataan yang mengeruhkan suasana perpaduan. Begitu juga tulisan atau status di media sosial yang boleh mengundang resah dan kecewa terhadap kedudukan perpaduan umat Islam.
SESUNGGUHNYA kisah perjalanan Malaysia yang tercinta ini penuh dengan lembaran yang berwarna-warni.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru seluruh rakyat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak membulat tekad, memperkukuhkan azam dan membugar semangat perpaduan sebagai satu keluarga yang berjaya dan dihormati sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.
Ismail Sabri dalam hantaran Facebook rasminya berkata, biarpun terpisah dengan Laut China Selatan, penyatuan bersama Sabah dan Sarawak telah membina sebuah negara bangsa yang berjaya dan berdaulat serta Keluarga Malaysia yang tinggal dalam semangat harmoni.
Jelas beliau, Malaysia yang terbentuk pada 16 September 1963, masih utuh sebagai sebuah negara yang aman, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong sebagai Payung Perpaduan Negara.
“Terbinanya sebuah negara bangsa yang disebut dengan bangga sebagai negara Malaysia, adalah hasil capaian kemerdekaan Tanah Melayu 64 tahun lepas, kemudiannya terbentuk Malaysia enam tahun kemudiannya bersama-sama Sabah dan Sarawak tercinta.
“Hari ini, Keluarga Malaysia ini diwarnai dengan warna-warni yang disatukan, dengan penghormatan dan rasa bangga untuk ibu pertiwi. Kepada Keluarga Malaysia yang amat saya sayangi, Selamat Hari Malaysia!,” katanya sambil menyertakan tanda pagar #KeluargaMalaysia #BekerjaBersamaRakyat.
SERAMAI 68 mangsa banjir daripada 27 keluarga dipindahkan selepas kediaman mereka di Penampang dan Putatan banjir pada jam 8 pagi ini.
Menurut Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, bilangan penduduk terjejas banjir ketika ini di Penampang seramai 39 orang yang terdiri daripada 21 keluarga.
“Selain itu, jumlah berkenaan diikuti seramai 29 mangsa membabitkan sembilan keluarga di daerah Putatan.
“Bagi mangsa di daerah Penampang, mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Rumah Kelab Kompleks Sukan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, bagi daerah Putatan pula, kesemua 26 mangsa banjir daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Dewan Sri Serigai, manakala tiga penduduk sekeluarga lagi mangsa berada di PPS Dewan Sri Keramat.
Sementara itu, Jurucakap APM Sabah menasihatkan orang awam untuk sentiasa berhati-hati dengan situasi banjir serta tanah runtuh di kawasan masing-masing.
Katanya, ini berikutan keadaan cuaca yang masih sukar diramal sehingga menyebabkan berlakunya bencana alam.
JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas lebih satu tan serpihan kayu untuk alas haiwan peliharaan dari China semasa pemeriksaan sebuah kontena di Pelabuhan Kuantan, Kuantan semalam.
Maqis Pahang dalam kenyataannya memberitahu, serpihan kayu yang dianggarkan bernilai RM2,161 yang dimuatkan dalam kontena itu dirampas kerana gagal mematuhi syarat import.
“Barang dagangan itu ditahan ketika pemeriksaan rutin setelah pihak terlibat gagal mengemukakan sijil fitosanitasi kepada pegawai pemeriksa sebagaimana disyaratkan dalam permit import yang diluluskan.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“Jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh didenda mengikut Seksyen 15(2) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas kenyataan itu, hari ini.
Pihaknya akan terus memperketatkan kawalan sempadan dan tidak akan berkompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan.
DATA COVIDNOW dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, jumlah sebenar kematian akibat Covid-19 semalam hanya membabitkan 107 pesakit.
Sejumlah 315 kematian daripada 422 kematian direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh 24 jam semalam merupakan data kes tertunggak, dengan 92 daripadanya adalah kes meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan (BID).
Data pangkalan maklumat COVIDNOW juga menunjukkan jumlah kumulatif kematian sejak Covid-19 mula menular di negara ini awal tahun lalu hingga semalam mencecah 22,009 kes.
Sementara itu, kes kematian, termasuk kes tertunggak di tujuh negeri – Kedah, Sabah, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, dan Perlis – dalam tempoh 24 jam semalam meningkat berbanding sehari sebelumnya.
Kedah merekodkan 79 kes kematian semalam, berbanding 54 kes kelmarin; Sabah (71 semalam, 16 kelmarin); Johor (46 semalam, 38 kelmarin); Pulau Pinang (37 semalam, 23 kelmarin); Pahang (10 semalam, 6 kelmarin); Terengganu (4 semalam, 3 kelmarin); dan Perlis (4 semalam, 0 kelmarin).
Bagaimanapun, jumlah kematian sebenar semalam di Kedah hanya enam kes; Sabah (15 kes); Johor (19 kes); Pulau Pinang (17 kes); Pahang (empat kes); Terengganu (tiga kes); dan Perlis (satu kes).
Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi dengan 116 kes kematian semalam, berbanding 255 kes kelmarin. Jumlah kematian sebenar di Selangor semalam hanya 12 kes.
Menurut data itu lagi, sehingga semalam sebanyak 225,590 kes masih aktif, dengan seramai 186,773 pesakit sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Seramai 25,283 pesakit sedang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), dan 12,254 pesakit lagi di hospital.
Seramai 642 pesakit yang tidak memerlukan alat bantuan pernafasan dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala 638 pesakit lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.
RAKYAT perlu lebih bersatu padu dengan mengambil semangat ulang tahun hari Malaysia yang ke-58 hari ini memandangkan negara masih berdepan cabaran pandemik Covid-19.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, usaha yang lebih tuntas perlu digerakkan bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Sejak 1963, kita seharusnya berbangga dengan generasi terdahulu yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bagi membentuk sebuah negara majmuk yang penuh harmoni dan membawa semangat perpaduan.
“Selama lebih lima dekad membangun bersama di tanah air merdeka bernama Malaysia, kita seharusnya berusaha lebih keras untuk mempertingkatkan lagi negara ini baik daripada semangat warganegaranya mahupun dalam memperkasakan lagi perpaduannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pelbagai langkah boleh diambil untuk memperkasakan lagi perpaduan di negara ini.
Pertama katanya, rakyat harus berusaha mengurangkan perbezaan pendapat, kefahaman politik dan berusaha untuk lebih fokus kepada isu berkaitan rakyat.
“Tambahan lagi pada masa ini, rakyat sangat perlu dibantu di saat pandemik menyukarkan kehidupan kebanyakan rakyat.
“Bagaimanapun, kita dapat melihat kesungguhan rakyat menjalankan pelbagai inisiatif untuk membantu sesama sendiri dalam usaha memerangi wabak yang menjejaskan kehidupan harian,” katanya.
Tambahnya, semangat cintakan negara dan perpaduan juga boleh disemai melalui Rukun Negara.
“Rukun Negara harus disebarkan kepada semua rakyat negara ini dan ia perlu menjadi tauladan dan pedoman untuk semua.
“Ia tidak sekadar laungan ketika majlis perasmian tetapi harus dihayati dan dijadikan panduan hidup rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut menyifatkan perpaduan dapat dicapai apabila wujudnya kesepakatan dalam politik di negara ini.
MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) hari ini mengumumkan hanya satu lokaliti sahaja di negara ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di Pahang.
Menurut ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md Saad dalam kenyataan berkata, PKPD itu akan dilaksanakan di Kampung Paya Mengkuang, Sanggang, Temerloh, Pahang bermula Jumaat ini selama dua minggu susulan peningkatan kes positif COVID-19.
Keputusan melaksanakan PKPD di lokaliti itu dilakukan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.
Rodzi berkata, penguatkuasaan PKPD di itu akan berpanjangan sehingga 30 September depan.
Sementara itu, satu lokaliti juga dilanjutkan tempoh PKPD selama dua minggu, bermula mulai Jumaat ini.
Lokaliti tersebut adalah di Kampung Dumpiring Bawah, Ranau, Sabah dan ia akan berpanjangan sehingga 30 September.
TABIKA, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda untuk anak-anak yang ibu bapanya bekerja dibenarkan beroperasi di negeri Fasa Satu dan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 17 Sept.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang hari ini bersetuju untuk memberi kelonggaran kepada beberapa sektor.
“Operator dan pekerja di pusat-pusat ini perlu menerima vaksinasi lengkap sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata berkuat kuasa pada tarikh yang sama, aktiviti kolam memancing juga dibenarkan dengan mematuhi syarat vaksinasi lengkap di negeri Fasa Satu bermula 6 pagi hingga 8 malam di daerah sama manakala 6 pagi hingga 10 malam di negeri yang sama bagi negeri Fasa Dua.
Turut dibenarkan adalah pengoperasian Institut Latihan Sektor Pengangkutan Udara dan Darat di negeri Fasa Dua PPN yang berkuat kuasa pada 17 Sept.
Ismail Sabri berkata selain itu, mesyuarat juga bersetuju memberi kelonggaran baharu bagi aktiviti sukan dan rekreasi di negeri Fasa Dua dan Fasa Tiga PPN.
“Aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka dan tertutup dibenarkan kepada individu telah lengkap vaksin menerusi tempahan.
“Aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan yang melibatkan sentuhan fizikal seperti bola sepak, bola tampar, takraw dan lain-lain juga dibenarkan mengikut kapasiti penuh sukan tersebut terhad bagi individu yang telah lengkap vaksin dan dilakukan di premis yang mempunyai kawalan penyeliaan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba dan seumpamanya yang dilakukan secara berkumpulan di kawasan atau premis yang sama dibenarkan bagi individu yang lengkap divaksin dengan seliaan jurulatih atau pengajar dan mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 50 orang, mengikut mana yang lebih rendah.
Selain itu, beliau berkata aktiviti ziarah kubur untuk umat Islam dan bukan Islam juga dibenarkan di semua fasa PPN dengan mengikut ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Turut dibenarkan di semua fasa PPN adalah pengoperasian kapal persiaran dengan semua anak kapal dan penumpang lengkap divaksin dan mematuhi 50 peratus kapasiti.
Kebenaran terhadap aktiviti sukan, rekreasi, aktiviti kecerdasan, ziarah kubur serta pengoperasian kapal persiaran dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan yang dinyatakan berkenaan juga berkuat kuasa pada 17 Sept.
Perdana Menteri turut mengumumkan peralihan ke Fasa Tiga bagi Terengganu berkuat kuasa 17 Sept.
“Kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri-negeri yang telah memasuki Fasa Tiga sebelum ini. Keterangan Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini akan dikemas kini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di laman sesawang www.mkn.gov.my,” katanya.
Ismail Sabri berharap rakyat terus patuh pada SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
“Kesediaan kerajaan membenarkan lebih banyak kelonggaran tidak bermakna kita sudah boleh mengabaikan langkah-langkah keselamatan yang diamalkan selama lebih setahun ini. Justeru, saya berharap kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.
“Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup separuh muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri. Pihak penguat kuasa akan sentiasa memantau dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya didapati ada pihak yang melanggar garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.- BERNAMA
SELEPAS kerja-kerja menurunkan bot yang siap dibaik pulih ke dalam sungai Pulau Ketam berakhir, kelibatnya tidak kelihatan dan dia dipercayai hilang di dalam sungai berkenaan, pada awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Izman Mohamed, 44, dikatakan sedang menurunkan bot yang selesai dibaik pulih untuk ditempatkan di jeti berhampiran bersama empat individu lain termasuk anak lelakinya.
Malah, kehilangan mangsa hanya disedari anaknya sejurus selesai kerja-kerja menurunkan bot tersebut lalu mereka terus melakukan pencarian sebelum mayat mangsa ditemukan di dasar sungai, pada pukul 8 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din yang mengesahkan kejadian itu memberitahu, sebaik ditemui mayat mangsa terus dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.