Author: Admin

  • Pembukaan Hospital Sri Aman dipercepatkan-Khairy

    Pembukaan Hospital Sri Aman dipercepatkan-Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempercepatkan pembukaan Hospital Sri Aman, Kuching, selari dengan permintaan kerajaan negeri Sarawak yang memohon agar perkara itu disegerakan.

    Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pembukaan itu akan dapat menampung keperluan fasiliti perubatan yang dihadapi Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching.

    Malah, katanya ia secara tidak langsung akan mengurangkan beban ditampung HUS dalam menguruskan pesakit Covid-19 dan pesakit lain yang memerlukan perhatian pakar.

    “Kita (KKM) telah menerima permintaan daripada kerajaan negeri untuk membuka Hospital Sri Aman secepat mungkin.

    “Kita sedang melihat bagaimana kita hendak mempercepatkan pembukaan Hospital Sri Aman. Ini kerana apabila hospital dibuka ia akan mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh HUS di Kuching,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia, di Kuching, hari ini.

    Untuk rekod, Hospital Sri Aman yang dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini menelan belanja sejumlah RM192 juta melibatkan dua fasa pembinaan.

    Hospital ini bakal menempatkan 108 katil dan dilengkapi peralatan perubatan pakar yang akan beroperasi sepenuhnya secara berperingkat.

  • Kes baharu Covid-19 turun lagi kepada 13,104

    Kes baharu Covid-19 turun lagi kepada 13,104

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KES Covid-19 di Malaysia mencatatkan penurunan iaitu 13,104 kes hari ini berbanding 13,899 kes, semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melalui ciapan dalam laman Twitternya memaklumkan, tambahan angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam negara kini ialah 2,198,235 kes.

    Pecahan kes mengikut negeri adalah seperti berikut:

    Sarawak – 2,943 (199,089)

    Selangor – 1,558 (672,150)

    Johor – 1,455 (190,770)

    Kelantan – 1,206 (110,880)

    Sabah – 1,078 (194,264)

  • Perjelas dakwaan terowong dasar laut diganti jambatan

    Perjelas dakwaan terowong dasar laut diganti jambatan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KERAJAAN Negeri Pulau Pinang didesak menjelaskan mengenai status sebenar projek terowong dasar laut yang kini didakwa akan digantikan dengan jambatan yang merentasi Selat Pulau Pinang.

    Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, dakwaan itu menimbulkan persoalan khususnya berkenaan tanah milik penduduk Pulau Pinang yang telah digunakan untuk membayar kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut sebelum ini.

    Ujar beliau, sekiranya benar terowong dasar laut itu akan digantikan dengan jambatan, maka bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat mengambil semula tanah yang telah diberikan kepada konsortium sebagai pembayaran kajian kebolehlaksanaan projek tersebut yang kini telah dimajukan dan dibina kondominium mewah.

    “Selepas hampir 10 tahun berlalu, mengapa Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru memberitahu penduduk Pulau Pinang yang mana pembinaan jambatan lebih sesuai daripada membina terowong dasar laut?

    “Sedangkan kerajaan negeri telahpun membelanjakan RM305 juta untuk kajian kebolehlaksanaan projek tersebut,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Dalam masa sama ujar Toh Keong, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga perlu menjelaskan mengapa konsortium yang bertanggungjawab dalam projek terowong dasar laut itu mencadangkan kepada untuk mengantikannya dengan jambatan sepanjang lima kilometer.

    Malah katanya, difahamkan kos untuk membina jambatan merentasi Selat Pulau Pinang itu adalah RM3 bilion iaitu hanya separuh daripada kos RM6.3 bilion untuk membina terowong dasar laut.

    “Dengan perkembangan terkini isu projek terowong itu, ramai berpendapat projek terbabit sebenarnya tidak wujud dan kerajaan negeri perlu menjawab perkara ini terutama mengenai persoalan bagaimana wang yang telah dibelanjakan untuk kajian kebolehlaksanaan dapat dituntut semula bagi pihak rakyat Pulau Pinang,” katanya.

  • Tiga PSSS dijangka beroperasi tahun depan

    Tiga PSSS dijangka beroperasi tahun depan

    SEBANYAK tiga Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang ditubuhkan sebagai inisiatif untuk menangani isu berkaitan keganasan rumah tangga serta masalah sosial, dijadualkan mula beroperasi pada suku pertama 2022.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata PSSS berkenaan melibatkan Kelantan, Selangor dan Johor dengan peruntukan RM21 juta bagi kos penyelenggaraan kompleks atau bangunan milik agensi kerajaan terlibat bagi tujuan penubuhan pusat itu.

    Beliau berkata peruntukan tersebut turut membabitkan pewujudan PSSS Mobile (pusat sokongan bergerak) di Zon Utara, Selatan, Tengah, Timur, Sarawak, Sabah dan Putrajaya yang akan menumpukan kawasan padat penduduk seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan ia dijangka mula memberi perkhidmatan pada bulan depan.

    “PSSS ini merupakan salah satu inisiatif KPWKM untuk menangani isu keganasan rumah tangga dan isu berkaitan masalah sosial dengan pusat ini akan turut menempatka unit bimbingan dan kaunseling.

    “PSSS ini juga menyediakan penempatan sementara bagi mangsa-mangsa yang memerlukan penempatan. Selain itu, kita juga dapat bantu mereka secara bersemuka dan juga intervensi serta perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga serta lain-lain bentuk bantuan kebajikan bagi jangka masa panjang,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di tapak penubuhan PSSS dan majlis penyerahan kunci daripada Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Kelantan Mohd Rakbi Mat Saud sebagai simbolik pembangunan pusat berkenaan di Kuarters Kampung Kastam di Rantau Panjang, hari ini.

    Turut hadir Timbalan Menteri KPWKM merangkap Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Setiausaha KPWKM Dr Maziah Che Yusof.

    Mengulas lanjut, Rina berkata beberapa kakitangan KPWKM juga akan ditempatkan di setiap PSSS bagi menjadikan pusat itu sebagai satu kompleks untuk kementerian berkenaan sekali gus dapat mendekatkan KPWKM dengan masyarakat setempat.

    Menjelaskan pengambilalihan Kuarters Kampung Kastam, beliau berkata ini merupakan langkah strategik untuk mengurangkan kos serta mempercepatkan penubuhan PSSS berbanding membangunkannya di bangunan baharu.

    “PSSS di Kuarters Kampung Kastam ini adalah pertama di Kelantan. Sementara bagi Selangor dan Johor masih lagi dalam proses untuk mengenal pasti kawasan dan lokasi. 

    “Tempat alihan ini melibatkan Kompleks Kerajaan dan tanah milik kerajaan, jadi KPWKM guna pakainya,” katanya. – Bernama

  • Ujian lesen memandu tertunggak dijangka selesai penghujung Disember – JPJ

    Ujian lesen memandu tertunggak dijangka selesai penghujung Disember – JPJ

    ISU ujian lesen memandu tertunggak melibatkan 462,124 calon bagi semua jenis kelas kenderaan di seluruh negara dijangka selesai selewat-lewat penghujung Disember depan.

    Justeru kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bahagian Perancangan dan Operasi, Aedy Fadly Ramly, bagi menangani isu tersebut, pihaknya akan menambah sehingga 20 peratus bilangan penguji di semua 232 institut memandu (IM) seluruh negara.

    Menurut beliau, setakat ini terdapat seramai 530 bilangan penguji dan akan ditambah 10 hingga 20 peratus lagi bagi melancarkan proses ujian calon tertunggak itu.

    “Senarai calon setiap negeri telah dihantar ke ibu pejabat JPJ di Putrajaya bagi mengenalpasti bilangan penguji tambahan yang akan dihantar bersesuaian dengan kuota calon yang ada di Institut memandu terbabit,” katanya pada sidang media selepas melawat Institut Memandu Bitara, di Padang Midin, Kuala Terengganu, hari ini

    Turut hadir ialah Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin.

    Selain itu, Aedy Fadly turut menyarankan agar setiap Institut Memandu memberi keutamaan kepada calon tertunggak yang disebabkan proses tergendala ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Sementara itu, beliau memberitahu, JPJ akan terus memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di semua Institut Memandu secara berkala mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

    Setakat ini katanya, hasil pemantauan dibuat khususnya di Terengganu, mendapati kebanyakan Institut Memandu beroperasi mengikut SOP ditetapkan.

    “Pemantauan adalah untuk mengesan kes melibatkan penerimaan calon bukan warganegara, tidak mengemaskini senarai Sijil Kenderaan Institut Memandu (SKIM), pemasangan cermin gelap kenderaan serta gagal menyediakan senarai kenderaan ujian dan senarai petugas pada hari ujian,” jelas beliau.

  • Harta pegawai kanan SPRM berjumlah RM1.6 juta disita

    Harta pegawai kanan SPRM berjumlah RM1.6 juta disita

    SEBUAH rumah, beberapa kenderaan mewah dan motosikal berkuasa tinggi bernilai RM1.6 juta disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berkaitan siasatan curi barang kes melibatkan seorang ketua jabatan bernilai AS$6 juta.

    Sinar Harian hari ini melaporkan, penyitaan tersebut melibatkan sebuah rumah, dua buah kereta jenis Mercedes dan Honda Type R dan dua motosikal jenis Ducati.

    “Penyitaan dilakukan susulan siasatan terhadap penguasa kanan agensi berkenaan bersama dua lagi pegawai berpangkat penguasa dan ketua penolong penguasa kanan,” kata sumber, semalam.

    Dalam pada itu, satu kenyataan akhbar akan dibuat oleh pihak SPRM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat

    Khamis lalu, PDRM mengesahkan pihaknya menahan seorang pegawai kanan SPRM pada Selasa, untuk siasatan memiliki dadah berbahaya, senjata api serta peluru.

    Pegawai kanan terbabit adalah salah seorang daripada tiga pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan curi barang kes melibatkan seorang ketua jabatan bernilai AS$6 juta.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, dua kertas siasatan telah dibuka berhubung tangkapan itu.

    Sebelum itu, SPRM mengesahkan telah menahan tiga pegawainya dan telah direman enam hari bremula Selasa sehingga Ahad ini.

  • Pemandu teksi, e-hailing carum Perkeso di Johor kurang 50 peratus

    Pemandu teksi, e-hailing carum Perkeso di Johor kurang 50 peratus

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri ini hanya merekodkan seramai 2,374 pencarum dalam kalangan penyedia perkhidmatan pengangkutan seperti teksi, e-hailing dan kereta sewa.

    Pengarah Perkeso negeri, Tong Sing Chuang berkata, angka itu masih kurang 50 peratus berbanding lebih 5,000 mereka yang terlibat dalam perkhidmatan itu yang sepatutnya mencarum di bawah skim perlindungan ditawarkan.

    “Kita telah memperkenalkan caruman buat mereka yang melakukan pekerjaan ini, namun setakat ini jumlah yang telah mencarum di Johor masih rendah.

    “Kita juga faham kekangan dan bebanan yang mereka hadapi, apatah lagi dalam situasi pandemik Covid-19 yang mencabar ketika ini, namun kita akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kepentingan caruman Perkeso,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Sinergi CSR Infaq Rezeki Jelajah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Bersama Perkeso di Menara Perkeso Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Menurut beliau, daripada jumlah yang tel tersebut pula, hanya seramai 504 orang adalah pemandu teksi.

    Sing Chuang berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac tahun lalu, Perkeso telah menerima lebih 1,000 permohonan dalam pelbagai kategori daripada pencarum bagi mendapatkan pampasan akibat wabak berkenaan.

    “Daripada jumlah tersebut, lebih 20 kes tuntutan adalah melibatkan kematian pencarum akibat dijangkiti Covid-19,” ujarnya.

    Sementara itu, Ketua Cawangan Dasar dan Strategi Sumber Manusia Perkeso, Mohd. Razmi Khalid berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan pemandu perkhidmatan awam untuk melakukan caruman bersama Perkeso.

    “Keutamaan mereka ketika ini adalah untuk menyediakan keperluan asas buat keluarga, seperti makanan harian dan juga keperluan bagi persekolahan anak-anak mereka,” katanya.

  • Pastikan penyampaian maklumat tepat mengenai PPN, endemik – Annuar

    Pastikan penyampaian maklumat tepat mengenai PPN, endemik – Annuar

    SEMUA pihak termasuk pempengaruh media sosial perlu membantu memastikan penyampaian maklumat yang tepat mengenai perlaksanaan Pelan Pemulihan Negara ketika peralihan negara kepada fasa endemik.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pempengaruh bertanggungjawab dalam mendidik masyarakat dengan penyampaian maklumat menerusi naratif yang tepat mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan dalam PPN.

    “Mendidik masyarakat berada dalam endemik itu penting sebab kadang-kadang orang masih tidak faham…kita mesti sampaikan dengan cara yang mudah dalam berkomunikasi… ia juga boleh disampaikan oleh influencers (pempengaruh) yang mempunyai ramai followers, kalau dia turut mengambil peranan mengingatkan masyarakat mengenai peralihan ke endemik (sebagai) pemerkasaan komuniti,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam Segmen Optik: Pelan Pemulihan Negara menerusi program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM hari ini.

    Selain penggunaan media konvensional seperti televisyen dan radio, Annuar berkata medium sebaran termasuk media sosial seperti TikTok dan Facebook boleh digunakan bagi menyebarkan maklumat secara berkesan sekali gus mendidik masyarakat mengenai peralihan kepada fasa endemik.

    Beliau berkata sehubungan itu kementerian, agensi kerajaan dan jawatankuasa terlibat perlu menambah baik aspek penyampaian maklumat bagi memastikan keberkesanannya kepada orang ramai dengan mengadakan ‘engagement’ (libat urus) yang berterusan.

    Pada 22 September, Annuar memaklumkan kepada Dewan Rakyat mengenai cadangan menubuhkan satu pusat kawalan komunikasi dalam usaha menyampaikan maklumat diputuskan kerajaan kepada masyarakat dengan lebih tepat, pantas dan mudah difahami.

    Beliau berkata cadangan itu susulan cabaran-cabaran dihadapi dalam pelaksanaan program kerajaan yang didapati antara lain berpunca daripada maklumat salah dan maklumat palsu. – Bernama

  • 6 dikompaun RM5,000 bercuti ke Pulau Redang

    6 dikompaun RM5,000 bercuti ke Pulau Redang

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    TINDAKAN enam individu termasuk seorang wanita yang bercuti ke Pulau Redang, Kuala Nerus membawa padah, apabila mereka dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang atas kesalahan merentas negeri.

    Menurut Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa, kesemua individu terbabit datang dari Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka berusia antara 32 hingga 47 tahun didapati telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya semata-mata untuk melancong.

    Menurut beliau, pihaknya berjaya mengesan kesalahan itu menerusi operasi bersepadu selama dua hari yang berakhir semalam.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa

    Katanya, operasi tersebut melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, pegawai kesihatan dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang diadakan di pulau peranginan itu.

    Justeru katanya, operasi pematuhan SOP ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan orang awam tidak melanggar garis panduan sekali gus dapat mengelak penularan Covid-19 di negeri ini.

    “Kami sekali lagi ingin mengingatkan tindakan tegas juga akan diambil ke atas mana-mana pengusaha resort yang membenarkan pengunjung dari negeri luar menginap bagi tujuan melancong dan juga gagal pastikan hanya pelanggan lengkap menerima dua dos suntikan vaksin sahaja diterima menginap,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

    Rohaimi seterusnya meminta orang ramai agar sentiasa mengikuti perkembangan terkini SOP melibatkan setiap fasa PPN.

  • Bangkai penyu Agar terdampar di Pantai Pandak, Chendering

    Bangkai penyu Agar terdampar di Pantai Pandak, Chendering

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    LAGI kejadian penyu mati terdampar dilaporkan berlaku di pantai Terengganu.

    Kali ini seekor penyu dari spesis Agar ditemukan mati terdampar di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu, petang semalam.

    Penyu betina seberat 15 kilogram itu ditemui orang awam di pantai berkenaan pada pukul 5 petang.

    Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, maklumat mengenai penemuan penyu tersebut diterima pihaknya pada pukul 5.18 petang, sebelum anggota bertugas tiba di lokasi setengah jam kemudian.

    Katanya, setelah pemeriksaan dilakukan pada bangkai penyu dianggarkan berusia antara empat hingga lima tahun itu mendapati, terdapat pendarahan pada bahagian mata.

    “Kita belum dapat mengenal pasti punca kematian penyu itu, tetapi kita percaya ia mungkin lemas akibat terperangkap dalam pukat,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

    Ruzaidi memberitahu, bangkai penyu itu kemudian ditanam di kawasan Pantai Pandak pada pukul 7 petang semalam.

    Keadaan seekor bangkai penyu Agar yang ditemui terdampar di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu, petang semalam

    Menurut beliau, sepanjang tahun ini iaitu sehingga semalam, pihaknya merekodkan sebanyak 38 ekor penyu jenis Agar ditemui mati di pantai Terengganu.

    “Selain penyu, kita turut merekodkan kematian seekor tuntung laut,” jelas beliau.

    Sebelum ini, seekor penyu Agar ditemui mati terdampar di Pantai Kuala Abang, Dungun oleh penduduk kampung, pada 17 Julai lalu.