Author: Admin

  • Fasa 3 PPN di Johor waktu sesuai buka sempadan Malaysia-Singapura

    Fasa 3 PPN di Johor waktu sesuai buka sempadan Malaysia-Singapura

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PINTU masuk antarabangsa Malaysia-Singapura di Johor, dilihat sesuai untuk dibuka semula apabila negeri itu memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Menzahirkan pandangan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, kerajaan perlu memulakan rundingan dengan Singapura berhubung perkara itu kerana tempoh tersebut dianggap waktu terbaik.

    Menurutnya, Johor yang beralih ke Fasa 2 Jumaat lalu sudah bersedia untuk pembukaan sempadan dan sekiranya semua garis panduan dipenuhi, perkara itu akan menjadi asas kukuh untuk membuka sempadan sepenuhnya.

    “Ini ditambah dengan penyertaan kerajaan negeri secara langsung dalam jawatankuasa teknikal yang membincangkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura, segala data yang diperoleh kerajaan Johor akan dapat membantu.

    Penduduk B40 mendapat empat barang keperluan harian dengan harga RM10 menerusi Program Jualan Amal di Permas Jaya, Pasir Gudang

    “Justeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh membuat penilaian risiko pembukaan sempadan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Amal di Permas Jaya, Pasir Gudang, hari ini.

    Che Zakaria berkata, Singapura dan Malaysia terutama Johor mempunyai kepentingan untuk pembukaan sempadan itu kerana banyak pelaburan republik itu berada di negeri ini sementara ramai rakyat Johor bekerja, bersekolah dan menetap di Singapura.

    Sempadan Malaysia-Singapura yang merupakan antara laluan darat antarabangsa paling sibuk telah ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu.

    Baru-baru ini, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, negeri itu akan terlibat secara langsung dalam jawatankuasa teknikal bagi membincangkan pembukaan sempadan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperlukan berhubung pergerakan rentas sempadan.

    Kerajaan negeri sebelum itu mengemukakan cadangan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bagi pembukaan semula sempadan negeri itu dengan Singapura selepas dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Johor.

    Antara perkara yang dipersetujui untuk dicadangkan dalam SOP pembukaan sempadan itu adalah untuk menguatkuasakan Pengaturan Perjalanan Harian (DCA) bagi membolehkan rakyat berulang-alik dengan lebih mudah.

    Mengikut pengumuman pada awal November tahun lalu, inisiatif DCA iaitu skim rentas sempadan ketiga selepas Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dicadangkan kepada kerajaan Pusat.

    Melalui skim itu, DCA akan mewujudkan gelembung perjalanan yang kebenarannya akan dibuat pada setiap 10 hari selepas permohonan diterima dengan rakyat dari kedua-dua negara dapat berulang-alik merentasi sempadan pada setiap hari sama ada untuk pekerjaan atau tujuan pendidikan.

    Namun, inisiatif itu terpaksa ditangguhkan ekoran kes positif Covid-19 di negara ini yang kembali mencanak tidak lama kemudian.

    Malah, pada 1 Februari lalu, Singapura turut menggantung RGL dengan tiga negara termasuk Malaysia selepas kerajaan republik itu menyatakan perlu memantau situasi global dan menyesuaikan langkah-langkah sekatan sempadan bagi menangani risiko kes import Covid-19.

  • Pas Perak sedia tentang Anwar Ibrahim pada PRU-15

    Pas Perak sedia tentang Anwar Ibrahim pada PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PAS Perak sedia berdepan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya mahu bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, jentera parti berkenaan sudah bersedia jika Ketua Pembangkang itu mahu bertanding di mana-mana kawasan termasuk bertembung dengan calon Pas di Perak.

    “Itu politik dialah (Anwar), dia nak bertanding mana-mana dia punya sukalah. Sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Perak, jentera kita sudah bersiap sedia di semua peringkat.

    “Siapa sahaja calon lawan kita bersedialah… dan kalau Datuk Seri Anwar mahu bertanding kebetulan di kawasan Pas, kita bersedialah untuk lawan,” katanya.

    Mohd. Akmal berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Izzudin Shah di sini, pada Selasa.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dilaporkan mempelawa Anwar untuk bertanding di salah satu kerusi Parlimen di Perak pada PRU-15.

    Media melaporkan, tawaran itu dibuat Farhash Wafa dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PKR negeri baru-baru ini sebagai langkah untuk mengukuhkan parti itu menawan Perak.

    Dalam pada itu, Mohd. Akmal yang juga Exco Perak meminta PKR negeri agar tidak terlalu berpolitik ketika ini, sebaliknya, memberi tumpuan terhadap usaha membendung penularan Covid-19 dalam negara.

    “Nasihat saya kepada PKR jangan terlalu berpolitik sangat. Kita tumpu pada usaha vaksinasi dan memutuskan penularan Covid-19 supaya kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti sebelum ini.

    “Jadi kita nasihat supaya henti sekejap politik itu. Nanti hendak dekat PRU, baru kita umumkan siapa calon untuk lawan dia (Anwar) ke atau siapa calon-calon kita di tempat-tempat tertentu,” ujarnya lagi

  • Warga emas mengaku salah laku amang seksual

    Warga emas mengaku salah laku amang seksual

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SEORANG warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan rakannya sendiri, tahun lalu.

    Tertuduh berusia 61 tahun yang juga seorang buruh membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan kes, warga emas tersebut didakwa melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di laman sebuah rumah di Pasir Puteh pada pukul 2 petang, Jun 2020.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh merupakan rakan kepada bapa mangsa yang dikhuatiri boleh mengganggu kanak-kanak tersebut.

    Namun, mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan di mana tertuduh diminta melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap bulan. 

    Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menetapkan 20 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan juga menjatuhkan hukuman.

    Tertuduh tidak membayar jaminan seperti ditetapkan mahkamah.

  • 11,332 kes Covid-19 dicatatkan hari ini

    11,332 kes Covid-19 dicatatkan hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KES Covid-19 di Malaysia kembali meningkat menjadi 11,332 hari ini berbanding 10,959 seperti dilaporkan semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan 2,220,526 kes setakat ini.

    Berikut adalah jumlah kes Covid-19 dan pecahan setiap negeri yang dilaporkan hari ini dan secara kumulatif:

    Selangor – 1,231 (674,360)
    Sarawak – 2,358 (204,170)
    Sabah – 965 (195,980)
    Johor – 1,319 (193,315)
    Kuala Lumpur – 240 (185,518)
    Kedah – 819 (133,150)
    Pulau Pinang – 895 (128,583)
    Kelantan – 1,088 (112,951)
    Perak – 678 (100,345)
    Negeri Sembilan – 89 (96,943)
    Pahang – 677 (63,357)
    Melaka – 303 (57,776)
    Terengganu – 629 (54,307)
    Labuan – 3 (9,957)
    Putrajaya – 19 (6,098)
    Perlis – 19 (3,716)

  • Tiada permohonan rasmi bina jambatan ketiga P. Pinang

    Tiada permohonan rasmi bina jambatan ketiga P. Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) belum menerima permohonan rasmi berhubung cadangan pembinaan jambatan ketiga bagi menggantikan terowong dasar laut daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang setakat ini.

    Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut berhubung cadangan tersebut buat masa ini.

    Bagaimanapun jelasnya, sama seperti permohonan projek lain, cadangan pembinaan jambatan ketiga itu kelak perlu mematuhi syarat ditetapkan kementerian terbabit terutama daripada segi kajian awal untuk menentukan sama ada projek itu benar-benar diperlukan atau sebaliknya.

    “Jika projek ini diperlukan, kajian juga perlu dibuat untuk melihat kesannya kepada masyarakat serta persekitaran selain kajian daripada segi kos efektif, kos manfaat, analisis dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Laluan Persekutuan dan Perasmian Projek Naik Taraf Jambatan di Nibong Tebal, hari ini.

    Fadillah mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini yang tidak menolak kemungkinan membina jambatan ketiga di negeri itu bagi menggantikan projek terowong dasar laut yang projeknya mencetuskan kontroversi ketika ini.

    Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, setakat ini kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh kontraktor Consortium Zenith Construction (CZC) adalah untuk projek terowong bawah dasar laut sahaja, bukannya untuk jambatan.

    Mengulas lanjut, Fadillah berkata, daripada sudut peranan KKR, pihaknya akan memberi keutamaan terhadap aspek teknikal kebolehlaksaan projek jambatan ketiga tersebut sekiranya benar-benar mahu dilaksanakan khususnya dari sudut kesan kepada sosial dan persekitaran.

  • Pemandu rentung dalam lori syarikat kurier

    Pemandu rentung dalam lori syarikat kurier

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki yang juga pemandu lori penghantar barangan maut selepas kenderaan dipandunya terlibat kemalangan di jalan berhadapan stesen televisyen RTM Johor Bahru, Jalan Tasik Utara-Larkin, di sini pagi tadi.

    Kejadian yang berlaku pada pukul 11.46 pagi itu mengorbankan nyawa pemandu lori, Muhammad Mustaqim Ismandi, 23, yang ditemukan rentung selepas kenderaan itu terbabas lalu terbakar di tempat kejadian.

    Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba Mohd. Suhaimi Jamal berkata, kejadian kebakaran melibatkan sebuah lori seberat lima tan milik sebuah syarikat penghantar barangan.

    Katanya, pemeriksaan mendapati pemandu lori terbabit terperangkap di dalam lori ketika pihak bomba tiba di lokasi.

    pemandu lori rentung
    Mangsa yang terperangkap dalam lori yang terbakar disahkan meninggal dunia.

    “Terdapat seorang mangsa yang tersepit dan rentung di tempat duduk pemandu dalam lori tersebut, anggota bomba segera membuat pemadaman dan cuba mengeluarkan mangsa.

    “Namun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi,” katanya di sini hari ini.

    Seramai 10 anggota bomba dari BBP Larkin bersama sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), unit bermotor bomba dan pacuan empat roda Toyota Hilux dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

    Kata Mohd. Suhaimi, pasukan keluaran operasi bertindak menggunakan satu aliran salur bantu bagi memadamkan kebakaran yang menyebabkan 70 peratus kemusnahan pada lori tersebut.

    Menurutnya, kerja-kerja pemadaman masih lagi dilakukan dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

    Sementara itu, difahamkan mangsa yang memandu lori berkenaan berkonvoi dengan sebuah lagi lori sebelum kejadian berlaku.

    Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan cuba mengelak kon yang berada di atas jalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di bahagian tengah jalan.

  • Wang simpanan lesap akibat skim pelaburan

    Wang simpanan lesap akibat skim pelaburan

    SEORANG peniaga terpaksa berputih mata setelah wang simpanannya sebanyak RM2,980 lesap akibat terperdaya dengan sindiket skim pelaburan yang tidak wujud.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian bermula pada Jumaat lalu apabila mangsa melayari laman sosial Facebook (FB) di rumahnya di Kampung Batu Talam, Raub lalu
    terlihat maklumat mengenai syarikat yang menawarkan peluang pelaburan.

    Menurut beliau, peniaga berusia 59 tahun itu tertarik setelah syarikat itu dikatakan ada menawarkan skim pelaburan dengan menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh 48 jam.

    Justeru katanya, mangsa terus menghubungi nombor telefon syarikat itu menerusi WhatsApp untuk mengetahui lebih lanjut mengenai skim pelaburan berkenaan.

    Selepas itu ujarnya, mangsa dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan nama ‘Rosmawati Darmadi’.

    wang lesap
    Mohd Wazir Mohd Yusof

    Mohd Wazir memberitahu, wanita itu mendakwa bekerja sebagai pegawai pelaburan syarikat tersebut dan mengatakan mangsa berpeluang untuk menerima pulangan lumayan dalam tempoh 48 jam selepas melabur.

    Beliau berkata, akibat terlalu teruja apabila wanita itu mengatakan pelabur akan mendapat RM16,000 sekiranya melabur sebanyak RM500 di syarikat itu.

    “Mangsa akhirnya bersetuju untuk menyertai skim pelaburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Berikutan itu kata Mohd Wazir, suspek meminta mangsa menghantar butiran peribadi beserta salinan penyata akaun bank bagi urusan pendaftaran.

    Ujarnya, mangsa kemudian turut memindahkan sejumlah wang ke dalam dua nombor akaun bank diberikan suspek bagi tujuan pemprosesan.

    Bagaimanapun katanya, sejak Jumaat lalu hingga Isnin, mangsa mendakwa sudah membuat lima kali transaksi pemindahan wang ke dua nombor akaun diberikan suspek dengan nilai keseluruhan RM2,980.

    “Mangsa hanya menyedari ditipu selepas suspek terus meminta mangsa memindahkan wang kononnya untuk pelbagai urusan lain membabitkan pelaburan berkenaan,” ujar beliau.

    Menurut Mohd Wazir, menyedari ditipu, mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Raub.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • UMNO tolak kerjasama, Bersatu tak terhegeh-hegeh

    UMNO tolak kerjasama, Bersatu tak terhegeh-hegeh

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah bertoleransi dan banyak berkorban hingga sanggup memberi jawatan Menteri Besar kepada UMNO di Johor dan Perak termasuk jawatan Perdana Menteri.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, jika semangat setiakawan tersebut tidak dihargai, maka wajar Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menentang UMNO di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, khususnya di Johor.

    Malah, beliau menegaskan Bersatu juga tidak akan terhegeh-hegeh sekiranya UMNO tetap dengan pendirian tidak mahu bekerjasama dengan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

    “Pada PRU-15 nanti, Bersatu akan bersama parti yang mahu bekerjasama dengan kita sahaja, kalau UMNO tidak mahu apakah daya. Kita harapkan gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan dalam PN. Sebelum ini semua sudah kita lakukan atas semangat PN, apa lagi UMNO mahu.

    “Kalau UMNO memilih untuk tidak bersama PN, kemungkinan besar undi Melayu akan berpecah, jadi terpulang kepada UMNO. Masalah tidak mahu bergabung dengan Bersatu dan PN ini kita lihat atas pengaruh ‘kluster mahkamah’ yang semakin terdesak.

    “Saya lihat Perdana Menteri tiada masalah untuk bekerjasama tetapi kluster mahkamah ini yang buat hal atas kepentingan diri,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Amal di Permas Jaya, hari ini.

    UMNO Bersatu Che Zakaria Mohd Salleh
    Che Zakaria Mohd Salleh memberikan ayam, telur, gula dan sayur kepada orang ramai yang membeli empat barangan itu dengan harga RM10 pada Program Jualan Amal di Permas Jaya, Pasir Gudang, pada Selasa. – Gambar: Warta Rakyat

    Jumaat lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu masih belum jelas dengan hala tuju UMNO sama ada akan terus bersama-sama dalam PRU-15 atau parti itu mempunyai pilihan lain.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, pihaknya bersedia dengan segala kemungkinan dan tidak mempunyai masalah untuk terus bekerjasama dengan UMNO dalam PRU-15 jika mereka memilih untuk bersama.

    “Jika mereka sebahagian daripada kita, kita akan bekerjasama. Jika tidak, kita akan menentang mereka pada PRU akan datang. Ini adalah prinsip kita yang mana saya rasa ia sememangnya diterima oleh semua ahli Bersatu,” ujar Ahli Parlimen Pagoh itu.

    Sementara itu, ujar Che Zakaria, Bersatu adalah parti paling ideal dan relevan dalam PRU-15 terutama kepada orang Melayu dan bumiputera untuk membuat pilihan sekaligus menggantikan UMNO.

    “Bersatu konsisten dengan perjuangan asal penubuhannya iaitu menolak kleptokrasi dan amalan rasuah. Kita bukan sahaja mempertahankan hak dan kepentingan bumiputera tetapi semua kaum di negara ini.

    “Jika mahu bekerjasama memikirkan penyelesaian masalah rakyat, mari kita duduk bersama-sama. Sebaliknya jika masih dengan perangai lama, mengejar projek, kekayaan dan mementingkan diri sendiri, ini kita perlu tolak,” ujarnya.

  • Bapa Ashraf Muslim meninggal dunia akibat Covid-19

    Bapa Ashraf Muslim meninggal dunia akibat Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SELEPAS lebih seminggu bertarung nyawa akibat positif Covid-19 tahap lima, bapa kepada pelakon Ashraf Muslim iaitu Muslim Bulat meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur hari ini.

    Berita pemergian Allahyarham dikongsikan oleh Ashraf sendiri menerusi sebuah hantaran di Instagram beliau sebentar tadi.

    Menerusi hantaran tersebut, Ashraf menyifatkan hari ini sebagai hari yang paling sedih buatnya namun Ashraf bagaimanapun berkata bapanya meninggalkan mereka sekeluarga dalam keadaan yang baik dan tenang pada pukul 6.37 pagi tadi.

    Sebagai anak sulung dalam keluarga, Ashraf memohon agar individu yang mengenali Allahyarham untuk memaafkan kesilapan arwah sepanjang hayatnya.

    Sebelum ini, Ashraf pernah memuat naik posting memaklumkan bapanya yang berusia 67 tahun itu dijangkiti Covid-19 dalam keadaan kritikal sebelum ditidurkan di Unit Rawatan Separa Kritikal (IDCU) di hospital berkenaan.

  • Kes pengubahan wang haram Ketua UMNO Bayan Baru sebutan semula 3 Nov

    Kes pengubahan wang haram Ketua UMNO Bayan Baru sebutan semula 3 Nov

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    MAHKAMAH Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini menetapkan 3 November ini sebagai tarikh sebutan semula bagi 164 pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM20.22 juta melibatkan Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Mansor Musa, 58.

    Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan tarikh itu bagi pengurusan kes selepas menerima permohonan pihak pendakwaan untuk kesemua pertuduhan membabitkan Mansor dibicarakan secara bersama.

    Sebutan semula kes pada hari ini dibuat secara bersama-sama selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Butterworth dengan alasan ia membabitkan dokumen dan saksi sama.

    Pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Law Chin Ho.

    Dalam pada itu, peguam tertuduh, Datuk Hasnal Rezua Merican turut memohon jaminan di Kuala Lumpur dilepaskan dengan alasan kes tersebut dibicarakan secara bersama dan tidak dibantah pihak pendakwaan.

    Hakim turut membenarkan permohonan itu sambil mengekalkan jaminan yang dibuat di Mahkamah Sesyen Butterworth dengan syarat-syarat lain turut dikekalkan.

    Mansor yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung pada 12 Julai lalu di Mahkamah Butterworth didakwa dengan 106 pertuduhan membabitkan nilai RM11 juta manakala 58 pertuduhan dengan nilai RM9.22 juta dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Julai.

    Bagaimanapun, bekas pengerusi sebuah koperasi hartanah berkenaan mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan dan dibenarkan diikat jamin RM500,000 di Mahkamah Sesyen Butterworth dan RM200,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Selain itu, Mansor turut didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda hingga lima kali hasil daripada kegiatan haram itu atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan beliau antara Disember 2008 hingga Ogos tahun lalu.