Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

MAHKAMAH Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini menetapkan 3 November ini sebagai tarikh sebutan semula bagi 164 pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM20.22 juta melibatkan Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Mansor Musa, 58.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan tarikh itu bagi pengurusan kes selepas menerima permohonan pihak pendakwaan untuk kesemua pertuduhan membabitkan Mansor dibicarakan secara bersama.

Sebutan semula kes pada hari ini dibuat secara bersama-sama selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Butterworth dengan alasan ia membabitkan dokumen dan saksi sama.

Pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Law Chin Ho.

Dalam pada itu, peguam tertuduh, Datuk Hasnal Rezua Merican turut memohon jaminan di Kuala Lumpur dilepaskan dengan alasan kes tersebut dibicarakan secara bersama dan tidak dibantah pihak pendakwaan.

Hakim turut membenarkan permohonan itu sambil mengekalkan jaminan yang dibuat di Mahkamah Sesyen Butterworth dengan syarat-syarat lain turut dikekalkan.

Mansor yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung pada 12 Julai lalu di Mahkamah Butterworth didakwa dengan 106 pertuduhan membabitkan nilai RM11 juta manakala 58 pertuduhan dengan nilai RM9.22 juta dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Julai.

Bagaimanapun, bekas pengerusi sebuah koperasi hartanah berkenaan mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan dan dibenarkan diikat jamin RM500,000 di Mahkamah Sesyen Butterworth dan RM200,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, Mansor turut didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda hingga lima kali hasil daripada kegiatan haram itu atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan beliau antara Disember 2008 hingga Ogos tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here