Author: Admin

  • Wanita baru berjinak-jinak sindiket dadah dicekup

    Wanita baru berjinak-jinak sindiket dadah dicekup

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG wanita dicekup selepas dia didapati bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai baru berjinak-jinak dengan aktiviti haram terbabit.
     

    Perbuatan wanita berusia 22 tahun itu terbongkar selepas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menyerbu rumah dua tingkat yang disewanya di Laguna, Merbok, Sungai Petani, Selasa lalu.
     

    Dalam serbuan jam 7.30 malam itu, polis berjaya menemui dan merampas sepuluh paket syabu seberat 1.05 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM37, 850 di rumah terbabit.
     

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak bekerja dan dia berperanan sebagai pembantu untuk menyimpan bekalan dadah di rumah berkenaan.
     

    “Kita percaya suspek mungkin menerima upah untuk melakukan kerja berkenaan dan siasatan turut menjurus sama ada dia juga terbabit mengedar dadah.
     

    “Sindiket terbabit didalangi warga tempatan dan dipercayai baru beroperasi pertengahan tahun ini dengan hanya menjalankan aktiviti mengedar dadah sekitar bandar ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
     

    Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah dan suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
     

    “Suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
     

    Sementara itu, dalam kejadian berasingan jam 6.30 petang pada hari sama, dua penagih tegar ditahan anggota unit Expressway Mobile Patrol Vehichles (EMPV) Bukit Aman zon utara dalam sekatan jalan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Gurun.
     

    Adzli berkata, hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui heroin seberat 906.5 gram (g) yang dianggarkan bernilai RM12,000, syabu  0.6g, ganja (1g) serta alat penimbang dan membungkus dadah.
     

    Menurutnya, dua lelaki berusia 34 dan 41 tahun itu masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan jenayah.
     

    “Ujian air kencing mendapati dua suspek terbabit positif morfin dan selain menghisap mereka turut mengedar dadah sekitar kawasan  bandar ini.
     

    “Mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
     

    Menurutnya, polis akan sentiasa mempergiatkan usaha memburu dan menumpas kegiatan ahli sindiket ini bagi membanteras sehabis-habisan aktiviti haram terbabit.

  • 85.7 peratus dewasa, 61.5 peratus populasi lengkap divaksinasi

    85.7 peratus dewasa, 61.5 peratus populasi lengkap divaksinasi

    SEJUMLAH 94.1 peratus (23.35 juta) daripada individu dewasa di Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin termasuk dos tunggal vaksin CanSino.

    Sementara lebih 85.7 peratus (20.09 juta) daripada populasi dewasa lengkap divaksinasi setakat semalam.

    Bagi populasi keseluruhan, 61.5 peratus telah menerima vaksin lengkap sementara 71.6% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

    Sejumlah 338,661 dos telah diberikan semalam, menjadikan keseluruhan suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 43.37 juta.

  • Kenaikan pencen B40 antara fokus dewan rakyat hari ini

    Kenaikan pencen B40 antara fokus dewan rakyat hari ini

    KENAIKAN bayaran pencen bagi golongan B40 adalah antara persoalan yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) bertanya kepada Perdana Menteri sekiranya kerajaan akan menaikkan bayaran pencen bagi golongan itu selaras dengan kos sara hidup yang tinggi, selain ramai yang kehilangan sumber pendapatan ketika pandemik COVID-19 pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

    Turut terkandung dalam sesi itu adalah soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada Menteri Kanan Kerja Raya mengenai cabaran dihadapi sektor pembinaan akibat COVID-19 dan bantuan dihulurkan kerajaan kepada sektor itu.

    Pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, isu status terkini Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 serta pelan tindakan kerajaan dalam mengembalikan hak keistimewaan Sabah dan Sarawak, dibangkitkan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri.

    Turut dibangkitkan ialah persiapan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menghasilkan vaksin sendiri serta vaksin terhadap varian baharu yang diajukan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian).
     
    Persidangan Dewan Rakyat juga akan menyambung sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang memasuki hari ketiga, hari ini.

    Semalam, seramai 29 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan RMK12 selepas dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lepas.

    Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini. – Bernama

  • SPRM siasat isu uCUSTOMS yang gagal disiapkan

    SPRM siasat isu uCUSTOMS yang gagal disiapkan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan berhubung isu sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) kerana gagal disiapkan sejak projek itu bermula pada Oktober 2013.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya akan mengetuai siasatan berkenaan.

    Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan menjurus kepada sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa.

    “SPRM telah mendapatkan dokumen-dokumen mengenai sistem uCUSTOMS daripada JKDM hari ini bagi membantu siasatan isu berkenaan.

    “Setakat ini, belum ada mana-mana individu yang dipanggil bagi membantu siasatan isu sistem uCUSTOMS ini.

    “SPRM juga akan mendapat penerangan daripada pihak Jabatan Audit Negara berhubung isu itu,” katanya, hari ini.

    LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mendedahkan sistem uCustoms oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) gagal disiapkan dalam tempoh 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan.

    Menurut laporan audit itu, sejumlah RM272.99 juta telah dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 telah dikenakan.

    Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh menggesa SPRM melakukan siasatan segera terhadap sistem uCustoms yang gagal disiapkan itu tetapi pembayaran telah dibuat.

    Menurut Wong, itu merupakan salah satu daripada 25 isu dalam LKAN 2019 Siri 2 yang bersifat tindakan pembaziran atau punitif.

  • Penggiliran pelajar ke sekolah tidak beban guru

    Penggiliran pelajar ke sekolah tidak beban guru

    PENGGILIRAN ke sekolah dengan memecahkan kelas kepada dua kumpulan pada pembukaan sekolah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 3 Oktober ini, tidak akan menambah beban tugas pengajaran guru.

    Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, melalui kaedah ini, guru hanya perlu mengajar secara bersemuka mengenai silibus yang sama, untuk dua kumpulan murid yang berbeza.

    “Kaedah penggiliran ini tidak menambah beban tugas guru kerana mereka memang sudah buat persediaan dan rancangan mengajar, mereka hanya kongsikan perkara ini dengan murid untuk buat persediaan di rumah dan bila murid datang semula ke sekolah, guru akan tengok topik mana yang anak murid mereka tidak faham, guru akan bantu,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada program Inklusif: Pengoperasian Sekolah Secara Selamat dan Kondusif yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam tadi.

    Memetik Bernama beliau berkata, kumpulan B akan hadir ke sekolah pada minggu berikutnya untuk mengikuti sesi pembelajaran bersemuka.

  • Covid-19:208 kes kematian dilaporkan semalam, kini berjumlah 26,143

    Covid-19:208 kes kematian dilaporkan semalam, kini berjumlah 26,143

    MALAYSIA mencatatkan 208 kes kematian akibat Covid-19 setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 26,143 kes.

    Daripada jumlah kematian semalam, sebanyak 30.8 peratus (64 orang) meninggal sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

    Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi, iaitu 76 orang atau 36.5 peratus.

    Ini disusuli dengan Johor (30), Pulau Pinang (30), Sabah (22), Kedah (12), Kelantan (9), Perak (8), Terengganu (7), Pahang (4), Perlis (4), Kuala Lumpur (4) dan Sarawak (2).

    Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Labuan dan Putrajaya.

    Jumlah kes kematian harian melebihi 200 untuk enam hari berturut-turut.

    Sementara itu, daripada jumlah 26,143 itu, sebanyak 9,488 kes iaitu lebih satu pertiga berlaku pada September, menjadikan kes kematian pada bulan ini tertinggi sejak wabak Covid-19 mula menular di Malaysia.

    Ini menunjukkan kedudukan Malaysia sebagai negara terburuk di Asia dalam jumlah kes kematian per kapita.

    Sebagai perbandingan, 7,642 kematian akibat Covid-19 berlaku pada Ogos, 3,858 kes pada Julai, 2,380 kes pada Jun dan 1,302 kes pada Mei.

  • Banjir kilat di beberapa daerah di Kedah

    Banjir kilat di beberapa daerah di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEBERAPA kawasan di daerah Baling, Kuala Muda, Sik dan Yan dilanda banjir kilat malam tadi akibat hujan lebat sejak petang semalam.

    Menurut kenyataan dikeluarkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), daerah Baling merupakan kawasan paling banyak terjejas iaitu melibatkan 31 kampung antaranya Kampung Padang Cicar, Kampung Bendang dan Kampung Teluk Sanau yang terletak dalam Mukim Baling/Bongor serta Kampung Kuala Kedua, Kampung Batu 60 dan Kampung Chenerai di Mukim Siong.

    Manakala di Kuala Muda pula terdapat sekurang-kurangnya 31 rumah di tiga buah kampung iaitu Kampung Cengai Sungai Ibor (lapan rumah), Kampung Sungai Bongkok (tiga rumah) dan Kampung Sungai Tok Pawang (20 rumah) dinaiki air.

    Paras air di kedua-dua kawasan itu dianggarkan setinggi antara 0.3 meter dan 0.5 meter.

    Sementara itu APM Daerah Sik memaklumkan, terdapat 11 individu dari dua keluarga terperangkap di Kampung Landai akibat arus banjir di rumah mereka.

    Kejadian itu katanya, turut mengakibatkan dinding sebuah daripada rumah di kawasan itu runtuh akibat dirempuh arus banjir.

    Beberapa gambar dan video mengenai kejadian itu turut tular di media sosial dengan paras air pada ketika ini dilaporkan telah pun surut.

  • PKPD di Kampung Orang Asli Kuala Boh di Pahang mulai Khamis

    PKPD di Kampung Orang Asli Kuala Boh di Pahang mulai Khamis

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan Kampung Orang Asli Kuala Boh, Pos Mensom di Mukim Ulu Telim, Cameron Highlands, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Khamis ini hingga 13 Oktober ini.

    Ketua Pengarah Keselamatan Negara MKN, Datuk Rodzi Md. Saad dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan berkaitan penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19 di lokaliti terbabit.

    “PKPD di Kampung Tementong, Mukim Cheka 1, Lipis, Pahang yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 13 Oktober.

    “Selain itu, PKPD di lapan lokaliti di Sabah, Kelantan dan Pahang akan ditamatkan esok mengikut jadual,” katanya.

    PKPD di Sabah melibatkan lima lokaliti iaitu Kota Marudu meliputi Kampung Kirangawan (Darat dan Tengah) serta Kampung Pinatau, Kampung Nuntunan Apin-Apin di Keningau, Kampung Lungkidau di Ranau dan Perumahan Pekerja Ladang Boustead Ruku-Ruku di Telupid.

    Di Kelantan pula melibatkan Kampung Bahagia, Mukim Batu Mengkebang di Kuala Krai manakala dua lokaliti di Pahang ialah Kampung Badong Dalam dan Kampung Permatang Durian di Mukim Bebar, Pekan.

  • Saman 1MDB: Anak tiri Najib diarah fail pembelaan sebelum 25 Oktober

    Saman 1MDB: Anak tiri Najib diarah fail pembelaan sebelum 25 Oktober

    MAHKAMAH Tinggi di sini mengarahkan Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memfailkan pernyataan pembelaan bagi saman AS$248 juta terhadapnya.

    Saman itu difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiga subsidiarinya terhadap Riza Shahriz dan dua syarikat miliknya berkaitan atas dakwaan salah guna dana bagi membiayai penerbitan filem serta membeli hartanah.

    Semasa dihubungi Bernama, peguam Datuk Hariharan Tara Singh, mewakili Riza Shahriz dan dua syarikatnya sebagai defendan, berkata anak guamnya telah diarahkan oleh mahkamah supaya memfailkan pernyataan pembelaan sebelum 25 Oktober.

    “Mahkamah juga menetapkan 9 November untuk pengurusan kes selain mengarahkan pihak-pihak berkenaan memfailkan sebarang permohonan interlokutori sebelum 8 November,” katanya selepas pengurusan kes melalui e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Syeela Marlina Uttaman.

    Hariharan berkata, defendan melantik Messrs Scivetti and Associates sebagai peguam cara mereka manakala beliau dilantik sebagai peguam utama dalam saman itu.

    1MDB dan tiga subsidiarinya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited sebagai plaintif, memfailkan writ saman pada 7 Mei melalui Messrs Shearn Delamore & Co, menamakan Riza Shahriz dan dua syarikatnya, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited, sebagai defendan pertama dan ketiga.

    Syarikat-syarikat itu turut menamakan firma guaman yang berpangkalan di New York, Shearman and Sterling sebagai defendan keempat.

    Dalam writ saman itu, syarikat berkenaan mendakwa pada 2011 dan 2012, Riza Shahriz serta dua syarikatnya menerima dana kira-kira AS$250 juta daripada 1MDB dan tiga subsidiarinya, yang didakwa disalah guna apabila defendan menggunakan dana tersebut untuk kepentingan peribadi dan untuk kepentingan rakan sekutu mereka, termasuk bagi membiayai penerbitan filem dan pembelian pelbagai harta tanah.

    Syarikat-syarikat tersebut mendakwa Riza Shahriz, yang mengendalikan dua syarikat Red Granite, semestinya mengetahui bahawa wang yang berpunca daripada 1MDB disalahgunakan untuk kepentingan mereka.

    Oleh itu, plantif memohon perisytiharan bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab di atas salah guna dana itu dan penggunaan dana yang tidak adil serta memohon pembayaran balik dana yang disalahgunakan itu.

    Pada 10 Mei, Kementerian Kewangan mengesahkan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) telah memfailkan 22 tuntutan sivil untuk mendapatkan kembali aset dengan jumlah keseluruhan melebihi RM96.6 bilion, termasuk kira-kira RM300 juta tuntutan terhadap pelbagai pihak tempatan.

    Menurut kementerian itu, writ saman itu difailkan pada 7 Mei terdiri daripada enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.

    Writ saman yang difailkan oleh 1MDB adalah terhadap sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu manakala writ yang difailkan oleh SRC adalah terhadap 15 individu dan lapan entiti atas pelbagai kesalahan. – Bernama

  • Sistem rentas zon ganti rentas daerah di Sabah

    Sistem rentas zon ganti rentas daerah di Sabah

    SABAH akan melaksanakan semula sistem rentas zon bermula Jumaat ini, bagi menggantikan sekatan rentas daerah yang dilaksanakan seluruh negeri ketika ini.

    Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, sistem itu membolehkan penduduk sesuatu daerah merentas ke daerah lain dalam zon yang sama, tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis.

    Bagaimanapun, katanya, sistem rentas zon kali ini hanya membabitkan daerah yang sudah mencapai tahap 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin terhadap Covid-19.

    “Kerajaan bercadang untuk beralih ke sistem rentas zon sebagai peralihan berkala daripada sekatan rentas daerah kepada rentas zon bermula 1 Oktober 2021.

    “Pelaksanaannya bagaimanapun tertakluk kepada syarat kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa di setiap daerah sudah mencapai 60 peratus.

    “Maknanya, daerah di sesuatu zon yang belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksinasi dengan sendirinya terkeluar daripada zon berkenaan, sehinggalah nilai ambang 60 peratus itu dicapai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, penduduk di daerah yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 60 peratus akan kekal dengan prosedur operasi standard (SOP) tidak boleh merentas ke daerah lain.

    Ketika ini, difahamkan beberapa daerah khususnya di kawasan pedalaman dan pantai timur Sabah belum mencapai tahap 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin.

    Secara keseluruhan, Sabah mencapai tahap 60 peratus penduduk lengkap vaksin sejak 22 September lalu dan meningkat kepada 61.5 peratus setakat kelmarin.

    Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, sebelum ini mengumumkan hasrat kerajaan negeri untuk melaksanakan semula sistem rentas zon ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), minggu lalu.

    Berdasarkan sistem zon sebelum ini, Sabah dibahagikan kepada enam zon dengan setiap zon mengandungi antara tiga hingga tujuh daerah, iaitu penduduk di setiap daerah dalam zon yang sama dibenarkan merentas tanpa sekatan.