MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan Kampung Orang Asli Kuala Boh, Pos Mensom di Mukim Ulu Telim, Cameron Highlands, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Khamis ini hingga 13 Oktober ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara MKN, Datuk Rodzi Md. Saad dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan berkaitan penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19 di lokaliti terbabit.

“PKPD di Kampung Tementong, Mukim Cheka 1, Lipis, Pahang yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 13 Oktober.

“Selain itu, PKPD di lapan lokaliti di Sabah, Kelantan dan Pahang akan ditamatkan esok mengikut jadual,” katanya.

PKPD di Sabah melibatkan lima lokaliti iaitu Kota Marudu meliputi Kampung Kirangawan (Darat dan Tengah) serta Kampung Pinatau, Kampung Nuntunan Apin-Apin di Keningau, Kampung Lungkidau di Ranau dan Perumahan Pekerja Ladang Boustead Ruku-Ruku di Telupid.

Di Kelantan pula melibatkan Kampung Bahagia, Mukim Batu Mengkebang di Kuala Krai manakala dua lokaliti di Pahang ialah Kampung Badong Dalam dan Kampung Permatang Durian di Mukim Bebar, Pekan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here