Author: Admin

  • PKR Johor sasar 28 kerusi DUN pada PRU-15

    PKR Johor sasar 28 kerusi DUN pada PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Johor menyasarkan sekurang-kurangnya 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, 28 daripada 56 kerusi DUN itu sudah dikenal pasti yang semuanya kerusi bersifat campuran berdasarkan pola penduduk berbilang kaum.

    Ahli Parlimen Ledang itu berkata, antara kawasan yang akan diletakkan calon seperti di DUN Kempas, Larkin dan Permas Jaya.

    “(Namun) soal pengagihan kerusi ini masih terbuka, belum peringkat putuskan mana-mana parti tetapi kita lihat PKR ada potensi dan kelebihan sebagai parti pelbagai kaum,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Jelajah Peduli di Ibu Pejabat PKR Johor, Pusat Perdagangan Danga Utama di Johor Bahru, hari ini.

    Syed Ibrahim Syed Noh

    Turut hadir, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu.

    Syed Ibrahim berkata, PKR akan berunding dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) di negeri ini terlebih dahulu melibatkan pembahagian kerusi dan sasaran PKR itu selepas melihat kemampuan untuk menang di kerusi campuran tersebut.

    “Sebenarnya daripada segi kemenangan ini perlu dilihat secara menyeluruh, jika kerusi itu tradisinya adalah kerusi campuran ia perlu diberi kepada parti yang boleh mewakili pelbagai kaum, potensi untuk menang lebih besar.

    “Dalam situasi pertandingan tiga atau empat penjuru, situasi berkenaan merupakan peluang terbaik untuk PKR terutamanya,” ujarnya.

    Menurutnya, PKR Johor sudah menggerakkan jentera sebagai persediaan menghadapi PRU-15 sejak dua tahun lalu walaupun dalam suasana Covid-19 dan dalam keadaan PH telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan, persediaan tetap perlu dilakukan.

    “Ini kerana kita tidak dapat menjangkakan bilakah PRU-15 itu akan diadakan, buat masa ini boleh dikatakan jentera PKR Johor telah 80 peratus bersedia untuk menghadapi PRU-15,” ujarnya.

    Mengenai penggunaan logo yang akan digunakan PH pada PRU-15 di Johor, pihaknya bersedia mengikut ketetapan dibuat Majlis Presiden PH.

    “Buat masa ini, masih belum ada ketetapan yang dibuat, daripada sudut PKR pastinya kami mahu mengekalkan penggunaan logo PKR seperti yang digunakan dalam PRU lalu, namun kami akan akur dengan keputusan, tiada masalah.

    “Saya tidak melihat isu ini sebagai satu isu besar, saya juga tidak rasa ianya satu perkara yang boleh menyebabkan kita berbalah,” ujarnya,” ujarnya mengulas kenyataan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP Johor yang tidak bersetuju cadangan PKR Perlis untuk menggunakan logo PKR dan mahu lambang PH digunakan dalam PRU-15.

  • Klang bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara

    Klang bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara

    BANDAR Klang, Selangor berada di tangga teratas sebagai bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara, dengan kadar jenayah tertinggi dan tahap keselamatan paling rendah bagi tahun 2021.

    Kedudukan itu dinilai berdasarkan statistik terkini daripada Numbeo, yang merupakan pangkalan data global bersumberkan maklumat orang awam.

    Data itu dikumpul berasaskan maklumat orang ramai mengenai kadar jenayah, kualiti penjagaan kesihatan dan isu berkaitan dengan keselamatan setempat termasuklah kebimbangan kes kecurian, pecah rumah, kes curi kenderaan, vandalisme dan rasuah di setiap bandar utama setiap negara.

    Sumber: Numbeo

    Berdasarkan statistik tersebut, Klang menduduki tempat pertama dengan indeks jenayah 68.22 dan tahap keselamatan 31.78, manakala Kuala Lumpur berada di kedudukan kedua dengan indeks jenayah 64.88 dan kadar keselamatan 35.12.

    Sementara itu, bandar dengan kadar jenayah terendah dan tahap keselamatan tertinggi adalah Chiang Mai, Thailand, dengan indeks jenayah 23.98 dan indeks keselamatan 76.02.

    Sumber: Numbeo

    Namun, jika dibandingkan dengan kadar jenayah dan keselamatan bandar-bandar lain di seluruh Asia, Klang masih berada di tangga ketiga, di bawah Kabul, Afghanistan dan Damsyik, Syria.

    Selain itu, lima bandar di Malaysia turut tersenarai dalam 96 bandar tidak selamat di seluruh Asia.

    Kedudukan 3: Klang, Selangor
    Kedudukan 7: Kuala Lumpur
    Kedudukan 15: Petaling Jaya, Selangor
    Kedudukan 16: Johor Bahru, Johor
    Kedudukan 32: Kuching, Sarawak
    Kedudukan 52: Pulau Pinang

    Sumber: Numbeo
  • Radzi puas hati persiapan sekolah

    Radzi puas hati persiapan sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) berpuas hati dengan penyediaan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilakukan pada hari pertama pembukaan sekolah.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tahap pematuhan SOP sangat membanggakan susulan pengurusan sekolah mematuhi dan memenuhi garis panduan ditetapkan KPM.

    “Ya…saya amat berpuas hati. Hasil tinjauan dilakukan di beberapa sekolah semalam dan pagi ini, saya mendapati pengurusan sekolah mematuhi serta memenuhi garis panduan keselamatan kesihatan ditetapkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas meninjau pembukaan hari pertama sesi persekolahan untuk Tingkatan Lima dan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini.

    Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab. Ghani dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din.

    Terdahulu, Radzi yang tiba di SMK Sultan Sulaiman kira-kira jam 7 pagi meluangkan masa kira-kira satu jam bermesra dan memberi semangat kepada pelajar.

    Beliau turut melawat dan beramah mesra dengan petugas kesihatan serta guru yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) remaja di dewan SMK Sultan Sulaiman.

    Semalam, Radzi turut mengadakan tinjauan di 10 sekolah di daerah Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu bagi melihat persiapan akhir sekolah sebelum memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

    Sekolah yang dilawati adalah SMK Kuala Telemong, SMK Hulu Terengganu; Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu; SMK Seri Berang; SMK Tengku Ampuan Intan; SMK Tun Indera, SMK Ajil, SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu; SM Sains Kuala Terengganu dan SMK Padang Midin Kuala Terengganu.

    Sementara itu, kenyataan JPNT memaklumkan, seramai 22,066 pelajar Tingkatan Enam dan Lima memulakan sesi persekolahan hari ini.

    Daripada jumlah itu, seramai 2,725 pelajar Tingkatan Enam terbabit dengan kaedah penggiliran.

  • Bekas Ketua Pengarah MSN meninggal dunia

    Bekas Ketua Pengarah MSN meninggal dunia

    BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkeples Embong meninggal dunia di kediamannya pagi ini.

    Allahyarham meninggal dunia dipercayai akibat sakit jantung.

    Untuk rekod, Allahyarham pernah mengemudi MSN selama tujuh tahun dari April 2007 hingga Disember 2014.

    Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menzahirkan rasa dukacita dengan kehilangan Allahyarham yang disifatkan sebagai tokoh sukan tanah air .

    Dalam hantarannya menerusi Facebook, Shabery yang memegang jawatan berkenaan dari tahun 2009 hingga 2013 berkata, beliau kehilangan seorang rakan dan guru yang banyak mengajarnya mengenai dunia sukan.

    “Mendapat berita dukacita. DS (Datuk Seri) Zolkples Embong bekas KP (Ketua Pengarah) Majlis Sukan Negara sudah tiada lagi.

    “Saya kehilangan seorang kawan dan seorang guru yang banyak mengajar saya tentang dunia sukan. Banyak jasanya kepada pembangunan

  • Lebih 234.5 juta kes positif Covid-19 global

    Lebih 234.5 juta kes positif Covid-19 global

    JOHNS Hopkins University (JHU) memaklumkan,
    kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh dunia ketika ini melebihi 234.5 juta berikutan lebih 500,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

    Data terbaharu JHU menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan 43.6 juta kes.

    Ini diikuti India dengan lebih 33.7 juta kes dan Brazil dengan lebih 21.4 juta kes.

    United Kingdom, Rusia, Perancis dan Turki antara negara yang mencatatkan lebih 7 juta kes.

    Argentina catat angka melebihi 5 juta diikuti Colombia serta Sepanyol yang semakin hampir kepada jumlah tersebut.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan menghampiri 4.2 juta kes.

    Ini diikuti Filipina dengan lebih 2.5 juta kes, Malaysia lebih 2.2 juta kes, Thailand 1.6 juta kes, manakala Singapura merekodkan lebih 99,000 kes.

    Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 4.79 juta.

    Berdasarkan data itu juga, AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 700,000 kes.

    Ini diikuti Brazil dengan lebih 597,000 kes, India lebih 448,000 kes, Mexico lebih 277,000 kes, sementara Rusia kini catat lebih 205,000 kematian.

    United Kingdom, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

    Negara yang merekodkan angka korban melebihi 93,000 kes ialah Jerman sementara Sepanyol melebihi 86,000 kes.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 142,000 kes korban.

    Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 38,000 diikuti Malaysia dengan 26,000 kes, manakala Thailand dengan lebih 16,000 angka korban.

  • 69 kampung Orang Asli di Pahang terima internet pada 2022

    69 kampung Orang Asli di Pahang terima internet pada 2022

    SEBANYAK 69 kampung orang asli seluruh Pahang dijangka memperoleh kemudahan khidmat internet pada penghujung Januari 2022.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff, jangkaan itu dibuat susulan kerja-kerja pelaksanaan projek internet jalur lebar satelit di kawasan penduduk orang asli yang sudah bermula minggu ini.

    Keputusan itu katanya, diperoleh selepas mesyuarat penyelarasan liputan internet kampung Orang Asli di Pahang bersama-sama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang, Mohd Faisal Md. Nor dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta Unit Hal Ehwal Orang Asli Pejabat Menteri Besar yang dipengerusikannya pada Ogos lalu.

    “Jadi, pihak kita bersama-sama syarikat yang dilantik telah mengadakan lawatan kerja ke penempatan orang asli yang disasarkan dalam projek ini. Kita akan mulakan projek ini di kampung orang asli Terakit dan Rening di Hulu Telom, Cameron Highlands,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

    Beliau menjelaskan, projek yang dikenali sebagai akses tanpa wayar jalur lebar (BWA) adalah salah satu daripada inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di bawah usaha kerajaan Pahang.

    Katanya, kerajaan Pahang mahu menyediakan perkhidmatan internet lebih baik di kawasan perkampungan Orang Asli terutamanya yang berada jauh di pedalaman.

    Tambahnya, ini bagi memastikan masyarakat orang asli di Pahang tidak terpinggir dalam arus kemajuan teknologi, komunikasi dan dapat bersama-sama menikmati kemudahan internet yang disediakan kerajaan dengan lebih berkesan.

    “Walau bagaimanapun, memandangkan kawasan penempatan Orang Asli yang disasarkan terletak jauh di pedalaman, pelaksanaan projek ini akan menggunakan teknologi satelit (VSAT) yang dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.

    “Tempoh sasaran siap projek ini dijangkakan selewat-lewatnya penghujung Januari tahun depan tertakluk kepada proses-proses pelaksanaan yang perlu dipatuhi.

    “Untuk makluman, pelaksanaan internet jalur lebar di perkampungan orang asli Pahang melalui dua peringkat iaitu menggunakan jalur lebar satelit dan pembinaan menara-menara telekomunkasi baharu,” katanya.

    Mohammad Fakhruddin berkata, terdapat lebih kurang 261 kampung orang asli di negeri ini dan 116 kampung telah diberi perhatian oleh kerajaan Pahang dan SKMM melalui pelbagai projek di bawah Jendela Fasa Satu (2020 hingga 2022).

    Ujarnya, ini sudah cukup membuktikan bahawa kerajaan Pahang amat serius dan sedang berusaha sebaik mungkin mempertingkatkan pencapaian internet di seluruh negeri ini termasuk di kampung orang asli.

  • KPDNHEP keluar 25 kompaun, 30 notis kepada peniaga

    KPDNHEP keluar 25 kompaun, 30 notis kepada peniaga

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang sejak negeri ini beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga kelmarin memakan diri apabila dikenakan kompaun RM2,500.

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan 25 kompaun tersebut selepas pihaknya memeriksa 2,760 pengilang, pemborong dan peruncit di seluruh negeri sepanjang tempoh tersebut.

    Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, 25 kompaun itu dikeluarkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Timbang Sukat (ATS) 1972.

    “Selain kompaun, KPDNHEP Johor turut mengeluarkan 30 notis kepada peniaga bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

    Mohd. Hairul Anuar berkata, pihaknya juga mengeluarkan 26 kompaun ke atas pesalah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membabitkan nilai kompaun RM129,500.

    “Jumlah itu direkodkan sejak pelaksanaan penguatkuasaan KPDNHEP terhadap pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Mei tahun lalu sehingga kelmarin.

    “Pemeriksaan dan pemantauan ini akan terus dipertingkat dalam tempoh Fasa 2 PPN bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas di pasaran mencukupi pada harga yang stabil dan munasabah.

    “Kita juga konsisten dan bertanggungjawab dalam mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran bagi memastikan rangkaian pengedaran pemborongan dan peruncitan mengikut SOP supaya sektor ini tidak terjejas,” ujarnya.

    Pihaknya maklum aduan berhubung kenaikan beberapa jenis barangan keperluan harian seperti barang basah dan segar terutama di lokasi tumpuan sejak kebelakangan ini.

    Tindakan proaktif katanya, sudah diambil dengan mengumumkan harga kawalan bagi barangan mendapat permintaan tinggi ketika ini seperti Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 dan penetapan harga minyak masak jenis botol yang dijangka terus meningkat sekiranya tidak dikawal.

    “Antara tindakan yang dikuatkuasakan mengikut AKHAP 2011 dalam memastikan kestabilan harga barang di pasaran adalah dengan mengawal pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga dan memastikan penjualan barang pada harga terkawal.

    “Selain itu, KPDNHEP Johor turut menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 bagi mewajibkan peniaga meletak tanda harga ke atas barangan yang dijual,” katanya.

    Terdahulu, Mohd. Hairul Anuar mengetuai proses pemantauan dan pemeriksaan yang diadakan di sekitar Pusat Perniagaan Bandar Baru Uda dan pusat beli-belah Angsana Johor Bahru di sini.

  • 12 lelaki ditahan insiden pergaduhan Lebuh Farquhar

    12 lelaki ditahan insiden pergaduhan Lebuh Farquhar

    POLIS Pulau Pinang menahan seramai 12 individu bagi membantu siasatan kejadian pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di Lebuh Farquhar, Georgetown tengah malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah malam itu, pergaduhan mula tercetus di antara mereka yang sedang minum di sebuah restoran dipercayai kerana berlaku salah faham.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, kesemua 12 lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan secara berasingan di beberapa lokasi di sekitar Georgetown.

    “Mereka direman sehingga esok dan kes itu akan disiasat menurut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh manakala punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Terdahulu video pergaduhan dua kumpulan lelaki itu yang berdurasi hampir 40 saat tular dalam media sosial hari ini dengan ada di antara mereka dilihat menggunakan tukul besi.

  • Memahami pengubahan wang haram dan strategi pemulihan aset

    Memahami pengubahan wang haram dan strategi pemulihan aset

    Oleh MOHAMAD ZAMRI ZAINUL ABIDIN

    Pengubahan wang haram ialah proses menjadikan wang atau aset yang diperoleh dari aktiviti haram kelihatan sah. Ia merupakan proses mencuci wang “kotor” bagi menyembunyikan sumber asal wang tersebut.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa untuk menguatkuasakan pemulihan aset yang dicuri melalui Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

    Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak salah faham tentang kegunaan kompaun sebagai salah satu strategi bagi pemulihan aset menggunakan Akta tersebut.

    Dalam pemikiran biasa, seseorang yang telah didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram perlu dihukum dengan hukuman penjara, denda yang tinggi serta pemulihan keseluruhan aset yang dicuri.

    Namun, realiti jauh lebih rumit. Pemulihan wang haram menjadi lebih rumit disebabkan perubahan modus operandi penjenayah yang beroperasi dalam sindiket dan mengubah hasil pendapatan haram mereka melalui syarikat yang didaftar secara sah dengan wakil serta penama sebagai topeng untuk menyembunyikan harta mereka.

    Sememangnya, rasuah telah berubah dari ‘duit kopi’ kepada rasuah ‘di bawah meja’ kemudian gratifikasi ‘melangkaui meja’ sehingga menjadi transaksi kewangan rentas sempadan yang bertambah kompleks.

    Selalunya, ia dilakukan melalui transaksi kewangan yang kelihatan sah sementara hasil pendapatan haram dibelanjakan atau digunakan untuk tujuan sah atau haram bagi meningkatkan lagi hasil pendapatan. Ia juga boleh diderma kepada pertubuhan amal atau dijadikan sebagai bayaran untuk perkhidmatan atau pembelian yang sah ataupun bagi tujuan pembiayaan politik.

    Kerumitan dan kecairan pengubahan wang haram menjadikan pemulihan aset lebih mencabar.

    Kepentingan Akta Pengubahan Wang Haram, AMLATFPUAA 2001 ialah pemulihan aset untuk dipulangkan kepada pemilik mereka. Di sini, kita perlu faham tentang intipati atau semangat Akta Pengubahan Wang Haram yang berbeza daripada Akta-Akta lain.

    Ia berbeza dari segi semangat Kanun Keseksaan yang digunakan untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman setimpal bagi mencegah penjenayah baharu. Walaupun elemen tersebut juga penting dalam AMLATFPUAA 2001, ia mengambil jalan yang lebih praktikal dengan pemahaman bahawa, jika penguatkuasa boleh menyita serta mengembalikan aset yang dicuri, nescaya sindiket yang beruntung dari hasil pendapatan haram itu dapat dilumpuhkan.

    Andainya seseorang pesalah dituduh atas kesalahan pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda, ada kemungkinan pendakwaan kes tersebut mengambil beberapa tahun lamanya untuk membuktikan dengan tanpa keraguan kesalahan pesalah tersebut.

    Pesalah itu juga boleh terlepas atas faktor teknikal sewaktu proses rayuan yang panjang. Atau mungkin pesalah itu berjaya disabitkan dan dipenjarakan beberapa tahun, dan apabila dibebaskan, tidak mustahil bahawa dia masih boleh mengakses duitnya yang telah diubah dan telah dilabur secara sah melalui wakil-wakilnya.

    Sebaliknya, terdapat beberapa strategi yang boleh diambil untuk pemulihan aset dengan menggunakan AMLATFPUAA 2001.  Antaranya, pendakwaan jenayah, pelucutan sivil, denda kompaun, pemulihan aset kepada pemilik-pemilik sah dan pemulihan aset dari orang-orang yang melarikan diri.

    Pemilihan strategi yang bakal digunakan bergantung kepada kesesuaian, keseimbangan risiko, kebolehan untuk mengumpul bukti dan saksi-saksi yang bergantung kepada perjanjian rentas sempadan dan lain-lain faktor yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan memulihkan aset.

    Dalam kes mengenakan kompaun untuk pemulihan aset, AMLATFPUAA tidak perlu  membuktikan tanpa keraguan bagi menawarkan pembayaran denda kompaun kepada tertuduh.

    Kesalahan kompaun sama sekali tidak menyatakan bahawa tertuduh itu tidak bersalah. Ia merupakan tindakan punitif dan tindakan membayar kompaun tersebut merupakan satu pengakuan kesalahan.

    Strategi ini menjimatkan kos dan masa mahkamah dengan pemulihan sebahagian aset yang dipertikaikan tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang. Namun, jika tertuduh gagal membayar kompaun tersebut, dia boleh didakwa dalam perbicaraan penuh dalam mahkamah.

    Di peringkat global, kadar kejayaan untuk pemulihan aset pengubahan wang haram ialah 30%. Disebabkan cabaran yang besar untuk mendakwa dan memulihkan aset-aset yang berkaitan dengan 1MDB, Malaysia telah menjadi terkenal berhadapan dengan salah satu skandal kewangan terbesar di dunia.

    Sehubungan dengan ini, saya kagum untuk menyatakan bahawa SPRM telah berjaya mencapai sebanyak 45% dalam pemulihan aset, atau RM21 bilion dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas Antarabangsa (International Task Force) mengenai pemulihan aset dan pendakwaan 1MDB. Ahli-ahli pasukan ini terdiri daripada Malaysia, Amerika Syarikat, Perancis, Singapura, Switzerland dan Luxembourg.

    Pasukan Petugas Khas 1MDB ini menyelaraskan usaha-usaha pemulihan aset, perkongsian maklumat dan bukti, membincangkan strategi terbaik dalam mendepani 1MDB di peringkat antarabangsa dan mengembangkan beberapa petunjuk baru berkaitan kes tersebut. Strategi kami juga selari dengan standard dan dasar antarabangsa Financial Action Task Force (FATF), United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) dan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC).

    Diiktiraf sebagai negara peneraju dalam pemulihan aset antarabangsa, pada tahun ini, Malaysia telah dijemput untuk berkongsi pengalaman dan memberi input dalam seminar-seminar yang dianjurkan oleh World Bank, Association of Certified Anti-Money Laundering Specialists (ACAMS) dan International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA).

    Di peringkat dalam negara, SPRM masih terus memulihkan aset berkaitan 1MDB dengan menggunakan AMLATFPUAA 2001. Antaranya ialah dari 80 individu dan entiti yang dikenakan notis-notis kompaun kerana menerima dana berjumlah RM420 juta dari 1MDB.

    SPRM akan terus melihat penyelesaian kompaun-kompaun tersebut serta cabaran-cabaran terhadapnya oleh individu-individu yang dikenakan notis-notis pada 2019. Kes baru-baru ini yang melibatkan Datuk Seri Ahmad Maslan merupakan satu contoh. Beliau telah dikenakan kompaun pada Oktober 2019, namun memilih untuk dibicarakan di mahkamah pada masa itu.

    Beliau kemudian didakwa dengan dua pendakwaan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(c) AMLATFPUAA 2001 pada 20 Januari 2020 dan telah mengaku tidak bersalah. Semasa tempoh perbicaraan dijalankan, beliau telah mengemukakan representasi dan bersetuju semula untuk membayar kompaun tersebut. Perlu ditekankan bahawa kompaun tersebut ialah tindakan punitif dan satu bentuk pemulihan aset di bawah Akta tersebut.

    Masyarakat patut elak dari membuat spekulasi bahawa individu-individu tersebut dilepaskan dengan mudah. Ini bukan isu politik. Ini merupakan faktor teknikal undang-undang yang didasari dalam semangat Akta tersebut yang bertujuan untuk pemulihan aset-aset supaya ia boleh dipulangkan semula kepada rakyat.

    • Penulis adalah Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram SPRM
  • Ketika UMNO buat taklimat anti lompat parti, ADUN sendiri buat perangai di Melaka

    Ketika UMNO buat taklimat anti lompat parti, ADUN sendiri buat perangai di Melaka

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    HARI Jumaat pertama dalam bulan Oktober di bumi Melaka sama seperti minggu-minggu sebelum ini, tanpa kelibat pelancong luar yang masih belum dibenarkan rentas negeri.

    Cerita ‘suram’ itu telah berlarutan sejak berbulan-bulan di bandar raya bersejarah itu yang kini memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Tanpa hiruk pikuk kenderaan dan gelagat pelancong di Banda Hilir, Pantai Klebang, Zoo Melaka dan beberapa lokasi tumpuan lain, tiba-tiba sahaja Melaka menjadi tumpuan hari ini.

    Sudah tentu bukan kerana faktor pelancongan, tetapi suhu politik negeri yang terkenal dengan menu asam pedas dan ikan bakar itu menjadi panas selepas spekulasi peralihan kerajaan negeri yang kini dipimpin UMNO.

    Lebih hangat apabila dikatakan gerakan itu bukan datang dari parti lawan tetapi dalam UMNO sendiri yang memulakan gerakan menjatuhkan kerajaan UMNO seperti dilaporkan beberapa media.

    Paling ironinya, semalam juga berlangsung sesi penerangan Akta Anti Lompat Parti dan Akta Pemecatan Ahli-Ahli Parlimen yang diadakan di kediaman Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di Masjid Tanah.

    Taklimat sejak pukul 9 pagi itu disampaikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang baru dilantik Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bagi aspek Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia.

    Walaupun Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah dua entiti berbeza, tetapi sinonimnya adalah integriti pemimpin politik yang mahu melompat-lompat tetap dilihat sebagai perkara sama.

    Tidak kira sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tindakan menarik sokongan ini pasti akan mengkucar-kacirkan kestabilan politik di negeri yang majoritinya tidak cemerlang mana.

    Namun, tidak dapat dipastikan sama ada pemimpin-pemimpin politik yang dikaitkan turut sama dalam sesi penerangan itu atau sebaliknya.

    Tetapi bagaikan satu kebetulan yang berlaku di Melaka hari ini meskipun ia hanya kekal sebagai spekulasi atau desas-desus setakat ini dan yang pasti tentu ada pihak yang tidak senang duduk dengan perkembangan semasa.