Oleh RAHIMI MOHAMAD

HARI Jumaat pertama dalam bulan Oktober di bumi Melaka sama seperti minggu-minggu sebelum ini, tanpa kelibat pelancong luar yang masih belum dibenarkan rentas negeri.

Cerita ‘suram’ itu telah berlarutan sejak berbulan-bulan di bandar raya bersejarah itu yang kini memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tanpa hiruk pikuk kenderaan dan gelagat pelancong di Banda Hilir, Pantai Klebang, Zoo Melaka dan beberapa lokasi tumpuan lain, tiba-tiba sahaja Melaka menjadi tumpuan hari ini.

Sudah tentu bukan kerana faktor pelancongan, tetapi suhu politik negeri yang terkenal dengan menu asam pedas dan ikan bakar itu menjadi panas selepas spekulasi peralihan kerajaan negeri yang kini dipimpin UMNO.

Lebih hangat apabila dikatakan gerakan itu bukan datang dari parti lawan tetapi dalam UMNO sendiri yang memulakan gerakan menjatuhkan kerajaan UMNO seperti dilaporkan beberapa media.

Paling ironinya, semalam juga berlangsung sesi penerangan Akta Anti Lompat Parti dan Akta Pemecatan Ahli-Ahli Parlimen yang diadakan di kediaman Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di Masjid Tanah.

Taklimat sejak pukul 9 pagi itu disampaikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang baru dilantik Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bagi aspek Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia.

Walaupun Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah dua entiti berbeza, tetapi sinonimnya adalah integriti pemimpin politik yang mahu melompat-lompat tetap dilihat sebagai perkara sama.

Tidak kira sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tindakan menarik sokongan ini pasti akan mengkucar-kacirkan kestabilan politik di negeri yang majoritinya tidak cemerlang mana.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada pemimpin-pemimpin politik yang dikaitkan turut sama dalam sesi penerangan itu atau sebaliknya.

Tetapi bagaikan satu kebetulan yang berlaku di Melaka hari ini meskipun ia hanya kekal sebagai spekulasi atau desas-desus setakat ini dan yang pasti tentu ada pihak yang tidak senang duduk dengan perkembangan semasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here