Author: Admin

  • Lebih 7,000 pegawai, anggota tambahan untuk PRN Sarawak – Timbalan KPN

    Lebih 7,000 pegawai, anggota tambahan untuk PRN Sarawak – Timbalan KPN

    LEBIH 7,000 pegawai dan anggota tambahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terlibat dalam tugasan Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak akan datang, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim.

    Katanya, jumlah ini akan ditambah jika diperlukan setelah PDRM memperoleh maklumat lengkap berhubung PRN-12 daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    MAZLAN LAZIM

    “Setakat ini, jumlah anggota dan pegawai di Sarawak ada lebih 7,000 tetapi angkanya tidak dapat ditetapkan kerana kita belum dapat sepenuhnya pengumuman berkenaan PRN ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuala Lumpur, hari ini.

    Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 38 orang terdiri daripada asnaf, pesara polis dan anak yatim.

    Menurut Mazlan, PDRM telah membuat persediaan rapi memandangkan PRN kali ini bakal dilangsungkan dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) kerana negara masih lagi berdepan pandemik Covid-19.

    “Kita telah menerima arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang pelaksanaan SOP semasa PRN Sarawak ini. Jadi kita berharap sangat (mereka) yang nak pergi mengundi akan mematuhi SOP yang diberikan bagi memudahkan proses PRN itu nanti,” tambahnya. – Bernama

  • Remaja maut digilis selepas langgar pembahagi jalan

    Remaja maut digilis selepas langgar pembahagi jalan

    SEORANG pelajar lelaki yang menunggang motosikal maut selepas digilis sebuah kenderaan dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer (Km) 60.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Marang, malam tadi.

    Kejadian pada pukul 9.50 malam itu mengakibatkan pelajar Tingakatan Dua tersebut, Muhamad Danial Hakim Azmi, 14, meningga dunia di tempat lokasi selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

    Semasa kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis EX5 sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan.

    Sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terlanggar pembahagi jalan lalu terbabas ke lorong kiri jalan.

    Pada masa sama, sebuah kenderaan dari arah yang sama tidak dapat mengawal kenderaan lalu menggilis mangsa, namun pemandunya tidak memberhentikan kenderaan.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Mohd. Zain Mat Dris ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

    Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

  • Guna van jual arak seludup di belakang kawasan perumahan

    Guna van jual arak seludup di belakang kawasan perumahan

    MENGGUNAKAN van sebagai stor penyimpanan arak seludup sebelum dijual kepada pembeli di sekitar kawasan Klang.

    Bagaimanapun taktik tersebut terbongkar selepas suspek yang merupakan seorang lelaki warga asing diberkas dalam serbuan di Pandamaran pada pukul 3 petang semalam.

    Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Mohd. Shamsol Kassim, pihaknya menahan suspek berusia 29 tahun itu dalam Ops Kontraband.

    “Semasa pemantauan, kita mendapati seorang lelaki dalam keadaan yang mencurigakan sedang membuka sebuah van yang di parkir di kawasan belakang kawasan perumahan.

    “Pihaknya telah membuat serbuan dan berjaya menahan lelaki tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pelbagai jenis minuman keras tidak bercukai berada dalam lima daripada enam buah van yang diparkir di kawasan terbabit. – Foto ihsan Pasukan Polis Marin Wilayah 1

    Mengulas lanjut, Mohd Shamsol berkata, pemeriksaan awal mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

    Hasil soal siasat katanya, mendapati pelbagai jenis minuman keras yang dipercayai tidak bercukai berada dalam lima daripada enam buah van yang diparkir di kawasan terbabit.

    “Kita merampas enam buah van dan 4,125 tin dan botol minuman keras dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1juta,” katanya.

    Mohd. Shamsol berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke markas operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

    “Kita akan meneruskan siasatan bagi mengesan kumpulan atau sindiket terlibat,” ujarnya.

  • Penyelewengan geran MITRA : SPRM tahan 16 pengarah syarikat

    Penyelewengan geran MITRA : SPRM tahan 16 pengarah syarikat

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 pengarah syarikat disyaki terlibat penyelewengan geran peruntukan dikeluarkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), agensi di bawah sebuah kementerian, tengah malam tadi.

    Sumber SPRM berkata kesemua suspek ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang bermula semalam. 

    Sumber itu menyebut dianggarkan puluhan juta dilesapkan oleh kumpulan ini yang pada asalnya memohon geran peruntukan MITRA bagi melaksanakan program-program sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

    Menurut sumber, kes ini akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang telah disalurkan oleh MITRA bermula 2018 hingga kini. 

    “Kita menganggarkan hampir 60 peratus daripada peruntukan geran yang diterima oleh syarikat, orang perseorangan dan yayasan bagi tujuan pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang sepatutnya.

    “Peruntukan ini dipohon daripada MITRA dan kemudian diselewengkan untuk kepentingan individu tertentu,” kata sumber itu.

    Sumber menjelaskan tiada program dibuat serta tiada pernyataan perbelanjaan dapat dikemukakan oleh pihak berkuasa.

    “MITRA telah distruktur semula pada 2018 semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. 

    “Namun pada April 2020 hingga kini, MITRA diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan dianggarkan MITRA memperoleh bajet RM100 juta setahun,” katanya.

    Sumber berkata kesemua suspek berumur lingkungan 24 hingga 68 tahun itu akan dihadapkan Ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kesemua penahanan berkenaan.

    “Siasatan dibuat di bawah Seksyen 16 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

    — BERNAMA

  • Wanita rugi lebih RM4 ribu ditipu beli pokok keladi

    Wanita rugi lebih RM4 ribu ditipu beli pokok keladi

    HAJAT seorang wanita untuk mendapatkan pokok keladi hancur apabila penjualnya lesap bersama wangnya yang kononnya perlu dibayar untuk memastikan kesegaran pokok hiasan itu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd Yusof dalam kenyaataan yang dikeluarkan hari ini berkata, seorang suri rumah berusia 36 tahun mendakwa ditipu dalam pembelian pokok keladi hiasan menerusi laman sosial, sehingga kerugian RM4,240, dua hari lepas. 

    Mangsa mendakwa melihat iklan penjualan pokok itu, yang diiklan pada harga RM140 menerusi aplikasi Tik Tok sebelum menghubungi nombor WhatsApp bagi urusan jual beli, diikuti pembayaran secara dalam talian pada sebelah petang. 

    “Mangsa mendakwa dihubungi oleh seorang wanita pagi semalam, mendakwa dirinya wakil syarikat penghantaran dan meminta wang sebanyak RM4,100 yang didakwa sebagai bayaran penjagaan pokok.

    “Suspek mendakwa pokok itu perlu disembur dengan baja dan bahan kimia khas untuk memastikan pokok tidak layu sepanjang proses penghantaran, yang dijelaskan mangsa pada tengah hari sama menerusi pemindahan dalam talian,” katanya. 

    Mohd. Wazir berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila sekali lagi dihubungi suspek pada sebelah petang, meminta bayaran RM2,000 kononnya sebagai tambahan kepada kos penghantaran. – Bernama 

  • Penjaja minuman mengaku salah amang seksual anak kandung

    Penjaja minuman mengaku salah amang seksual anak kandung

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG penjaja minuman mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya Disember tahun lalu dan Jun lalu.

    Tertuduh yang berusia 40 tahun mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan melalui panggilan video aplikasi Whatsapp.

    Tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah berikutan menjalani kuarantin di lokap.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual dengan memasukkan jari dan menjilat kemaluan anak perempuannya yang berusia 16 tahun ketika berada di rumah mereka di Gurun, pada pukul 3 pagi 25 Disember tahun lalu.

    Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama pada 25 Jun lalu pukul 5.30 petang di lokasi sama.

    Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa melakukan perbuatan terbabit mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap
    Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) AKSTKK 2017.

    Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14(a) AKSTKK 2017, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebat.

    Seksyen 16(1) AKSTKK 2017 pula memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh disebat tidak kurang daripada dua sebatan.

    Mahkamah menetapkan 24 November ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan perubatan dan juga fakta hukum.

    Kes dikendalikan Pegawai Siasatan dan Perundangan Ibupejabat Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Superintendan Mohd. Fakruzi Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Budak maut terjatuh dari tingkat tujuh selepas ikuti PdPR

    Budak maut terjatuh dari tingkat tujuh selepas ikuti PdPR

    SEORANG kanak-kanak perempuan yang pada mulanya mengikuti kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dalam biliknya ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh di sebuah pangsapuri di Presint 5, Putrajaya semalam.

    Kejadian tersebut berlaku pukul 6.14 petang semasa kanak-kanak tersebut yang berusia 11 tahun tinggal bersama-sama kakaknya, 14, dan adik lelakinya, 7, semasa ibu bapanya keluar bekerja.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa tinggal bersama kakaknya yang berumur 14 tahun dan adik lelaki berumur tujuh tahun di rumah manakala ibu bapa mereka keluar bekerja.

    “Ketika itu mangsa sedang belajar secara dalam talian di bilik tidur seorang diri dan bilik itu berkunci dari dalam manakala jeriji tingkap hanya menggunakan selak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Katanya, kejadian disedari ibu bapa mangsa selepas pulang dari kerja kira-kira pukul 6 petang yang mendapati bilik mangsa berkunci.

    “Selepas dibuka mereka mendapati mangsa tiada di dalam bilik dan kemudian turun ke tingkat bawah apartmen. Ketika itu orang ramai sedang berkumpul dan mendapati anak mereka terbaring di lantai,” katanya.

    Menurutnya, mangsa kemudian diberikan rawatan kecemasan awal di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya kira-kira pukul 7 malam,” katanya.

    Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR) sementara menunggu bedah siasat dan ujian Covid-19 diperoleh.

  • Pas tak guna lambang bulan dalam PRN Melaka

    BUAT pertama kalinya, Pas akan bertanding dalam pilihan raya tanpa menggunakan lambang bulan parti tersebut.

    Ini susulan keputusan Pakatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Pas untuk menggunakan satu lambang yang sama bagi semua komponennya dalam Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan berlansung pada 20 November ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut telah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN ketika Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang diadakan semalam.

    PN dijangka bertanding semua 28 kerusi dalam PRN tersebut susulan UMNO sebelum ini dilaporkan mahu bertanding secara berpendirian menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

    prn melaka
    SOP khas PRN Melaka dijangka dimuktamadkan minggu depan.

    Sementara itu Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, rundingan pembahagian kerusi antara tiga parti akan dimuktamadkan Jawatankuasa Rundingan Kerusi parti PN.

    “Majlis Tertinggi juga telah memutuskan semua parti-parti komponen untuk menggerakkan sepenuhnya jentera parti masing-masing dan menggembleng seluruh tenaga dan upaya bagi memenangi kepercayaan rakyat Melaka.

    “PN sentiasa berpegang kepada aspirasi memelihara perpaduan, memastikan pentadbiran berintegriti dan prihatin terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya.

  • Maritim Pulau Pinang bantu kru kapal Turki tidak sedarkan diri

    Maritim Pulau Pinang bantu kru kapal Turki tidak sedarkan diri

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang membantu memindahkan dan memberi bantuan perubatan kepada seorang kru kapal Turki yang tidak sedarkan diri ketika kapal mereka dalam perjalananan menuju ke Pelabuhan Pulau Pinang semalam.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Ankara, Turki pukul 5.25 petang semalam.

    Jelas beliau, sebaik sahaja menerima maklumat itu, bot PERKASA 1221 diatur gerak serta-merta ke lokasi kecemasan di sekitar 62 kilometer barat daya Pulau Kendi bagi melaksanakan pemindahan dan bantuan perubatan kepada mangsa. 

    Tambahnya, bot PERKASA 1221 tiba di lokasi kejadian pukul 6.33 petang dan mangsa dipindahkan daripada kapal ke bot untuk dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban.

    “Mangsa iaitu Dogan Serafettin, 60, yang merupakan warga Turki kemudiannya segera dibawa ke Hospital Pantai Pulau Pinang (HPP) sebaik sahaja tiba di jeti untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Jenayah dalam talian berkaitan agama perlu ke mahkamah syariah

    Jenayah dalam talian berkaitan agama perlu ke mahkamah syariah

    LAMAN media sosial semakin disalah guna untuk melakukan jenayah termasuk yang berkaitan hal agama Islam, namun setakat ini difahamkan belum ada tindakan pendakwaan dibuat di Mahkamah Syariah.

    Memuat naik hantaran bersifat jelik menghina Nabi Muhammad S.A.W, agama Islam serta institusi raja adalah antara perkara yang tular di media sosial dan jenayah agama dalam talian ini, yang ibarat penyakit barah, jika tidak di’cantas’, dikhuatiri akan terus berleluasa.

    Perbuatan tidak bertanggungjawab ini sudah tentunya akan mencetuskan perasaan marah dan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Islam negara ini khususnya, yang boleh mengeruhkan suasana harmoni hidup antara kaum.

    Sebelum keadaan memburuk, sudah tiba masanya peruntukan berkaitan jenayah alam siber, menggunakan media elektronik ini dimasukkan ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

    Mengulas lanjut, Peguam Syarie Ahmad Jailani Abdul Ghani berkata, jenayah berkaitan agama wajar diletakkan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah bagi memastikan keadilan dapat dicapai berdasarkan perspektif syariah supaya jenayah tersebut dapat dibendung atau dikawal agar tidak berleluasa.

    “Jenayah berkaitan agama apatah lagi melibatkan dalam talian perlu dipandang serius berikutan terdapat kes yang dilihat belum diambil tindakan oleh penguatkuasa agama disebabkan faktor kekurangan tenaga kerja,” katanya.

    Beliau menjelaskan, antara perbuatan jenayah syariah dalam talian adalah menghina agama Islam, memuat naik dan turun bahan pornografi, menyebarkan fitnah dan berita palsu, mengaibkan dan memalukan orang serta menipu.

    Selain itu, penghinaan terhadap agama turut dibuat dengan memuat naik gambar Nabi Muhammad SAW dalam keadaan dipandang hina, mencerca patung-patung agama bukan Islam, menulis komen jelik dengan cara untuk mentertawakan bentuk ibadat dan sebagainya.

    “Ini kerana pemilik sesebuah akaun tidak perlu melalui sebarang proses tapisan. Apa sahaja yang mereka ingin kongsikan, sama ada tulisan, gambar, video dan seumpamanya, mereka boleh terus hantar dan pada detik yang sama bahan tersebut dapat diakses oleh pengguna internet seluruh dunia,” katanya.

    Menurut Ahmad Jailani lagi, penyebaran ajaran sesat atau doktrin yang bertentangan dengan akidah Islam juga berlaku dalam talian dan pihak berkuasa agama perlu bertindak tegas dalam hal berkenaan.

    “Selain itu, kita juga dihadapkan dengan kandungan secara elektronik yang mengubah dan menokok tambah asas ibadah dalam agama.Tidak ketinggalan juga terdapat banyak status dan komentar dalam media sosial yang dikhuatiri akan membawa perkara yang menyesatkan dan mengkafirkan sesama Islam tanpa bukti yang benar,” katanya.

    Setakat ini difahamkan masih belum ada negeri di Malaysia yang yang meluluskan Enakmen Undang-Undang Syariah khusus berkaitan kesalahan secara elektronik.

    Dalam perkara ini, Ahmad Jailani meminta pihak berkuasa agama negeri memandang serius hal berkenaan dan bertindak lebih proaktif bagi membendung jenayah dalam talian berkaitan agama ini.

    “Sudah sepatutnya langkah lebih proaktif dilakukan untuk menggubal enakmen undang-undang berkaitan.

    “Pada masa sama, siri latihan profesional kepada semua anggota dan pegawai serbuan, tangkapan, siasatan dan pendakwaan perlu dibuat secara lebih serius,” katanya.

    Menurut Ahmad Jailani, banyak pihak yang memperjuangkan perkara tersebut dan meminta pihak berkuasa mengambil langkah segera untuk menangani isu tersebut.

    “Selain Majlis Peguam yang lebih banyak berkaitan dengan Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, para peguam syarie ramai yang bernaung di bawah Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Guaman Syarie Malaysia (PGSM) di mana pemimpin dan anggota kedua-dua persatuan ini terlibat dalam pelbagai wacana termasuk menganggotai pelbagai jawatankuasa yang berfungsi memperkasakan undang-undang dan mahkamah syariah negara ini.

    “Ia menunjukkan para peguam syarie berganding bahu bersama-sama para ahli akademik, ahli politik kerajaan dan pembangkang, tokoh agama dan para pengamal undang-undang untuk melihat suatu undang-undang syariah yang lebih ketat digubal di peringkat negeri,” katanya.

    Beliau menambah, Malaysia mempunyai dwi sistem perundangan dan kehakiman iaitu sivil dan syariah.

    Keunikan sistem tersebut adalah perundangan dan kehakiman sivil berada dalam bidang kuasa Persekutuan manakala perundangan dan kehakiman syariah berada dalam bidang kuasa negeri.

    “Ada baiknya jikalau sebahagian daripada jenayah syariah secara dalam talian ini diuruskan di mahkamah sivil dengan menggunakan undang-undang sivil.

    “Ini disebabkan terdapat pesalah yang bukan beragama Islam. Kelompok ini tidak boleh didakwa dan dibicarakan mengikut undang-undang syariah kerana mahkamah syariah tidak diberi bidang kuasa untuk membicarakan tertuduh yang bukan beragama Islam.

    “Sebagai contoh penghinaan terhadap agama Islam tetapi dilakukan oleh orang bukan Islam. Malaysia mempunyai undang-undang yang cukup untuk mengenakan tindakan terhadap pesalah seperti ini khususnya berdasarkan kepada undang-undang sivil seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

    Ahmad Jailani berkata, pentingnya memperkasakan undang-undang dan mahkamah syariah untuk menangani kes kesalahan jenayah agama dalam talian khusus untuk penjenayah beragama Islam.

    “Usaha ini agak ketinggalan berbanding undang-undang sivil. Ini disebabkan bidang kuasa undang-undang syariah sebagai undang-undang negeri tidak berpusat sebagaimana undang-undang Persekutuan. Setiap negeri memiliki hak autonomi mereka masing-masing yang wajib dihormati,” katanya.

    Kaji semula enakmen

    Berkongsi pandangan, peguam syarie, Ahmad Munawir Abdul Aziz berkata, dalam usaha mengemaskinikan undang-undang jenayah syariah dengan perkembangan semasa, pihak Majlis Agama Islam negeri sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam mentadbirkan aspek agama negeri masing-masing perlu mengkaji semula Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (EKJS) negeri berkaitan.

    Selain itu, kata beliau, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah juga perlu dikaji dan digubal semula.

    “Dengan bantuan dan kerjasama Pejabat Pendakwa Raya dan Peguam Negara, serta pakar perundangan Islam di negara ini, satu kajian semula perundangan Islam yang berkaitan dengan kesalahan jenayah syariah dalam talian dapat dicapai.

    “Antara lain, satu kajian semula dan rombakan atau pindaan kepada undang-undang sedia ada termasuk akta/enakmen tatacara jenayah syariah yang memperuntukkan prosedur jenayah dalam kes jenayah atau dalam akta/enakmen keterangan syariah yang menyediakan undang-undang berkaitan keterangan dalam perundangan syariah di mahkamah perlu dikaji dalam usaha memartabatkan pentadbiran agama Islam di negara ini,” katanya.

    Beliau yang juga Peguambela & Penguamcara Mahkamah Tinggi Malaya berkata, perkara sama dibuat dalam undang-undang jenayah sivil dengan mengemaskinikan Kanun Tata Cara Jenayah (CPC) dan Akta Keterangan 1950 (Evidence Act 1950).

    “Undang-undang itu digubal oleh pihak kerajaan Persekutuan dalam usaha berdepan dengan perubahan masa dan aktiviti jenayah yang semakin berleluasa di alam maya,” jelasnya.

    Berhubung penguatkuasaan jenayah dalam talian berkaitan agama, peguam itu berpandangan, mahkamah syariah bukannya badan yang bertanggungjawab dalam menguatkuasakan jenayah syariah yang dilakukan di alam siber.

    “Sebaliknya yang berkuatkuasa dalam menangani masalah ini adalah Jabatan Ketua Pendakwa Syarie atau Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing yang bertanggungjawab dan diberi kuasa penuh dalam membawa sesuatu kes untuk didakwa dan diadili oleh mahkamah syariah sebagai badan pengadilan,” katanya.

    Beliau berkata, secara umumnya jenayah siber lebih luas dan merangkumi kesalahan khusus di bawah Akta Multimedia dan/atau Kanun Keseksaan jika sesuatu kesalahan tersebut jatuh dalam kesalahan di bawah akta-akta tersebut. – Bernama