AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang membantu memindahkan dan memberi bantuan perubatan kepada seorang kru kapal Turki yang tidak sedarkan diri ketika kapal mereka dalam perjalananan menuju ke Pelabuhan Pulau Pinang semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Ankara, Turki pukul 5.25 petang semalam.

Jelas beliau, sebaik sahaja menerima maklumat itu, bot PERKASA 1221 diatur gerak serta-merta ke lokasi kecemasan di sekitar 62 kilometer barat daya Pulau Kendi bagi melaksanakan pemindahan dan bantuan perubatan kepada mangsa. 

Tambahnya, bot PERKASA 1221 tiba di lokasi kejadian pukul 6.33 petang dan mangsa dipindahkan daripada kapal ke bot untuk dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban.

“Mangsa iaitu Dogan Serafettin, 60, yang merupakan warga Turki kemudiannya segera dibawa ke Hospital Pantai Pulau Pinang (HPP) sebaik sahaja tiba di jeti untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here