Author: Admin

  • PRN Melaka: Niat Pas murni tapi pendirian celaru?

    PRN Melaka: Niat Pas murni tapi pendirian celaru?

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka boleh dianggap unik apabila parti-parti yang bergabung dalam kerajaan di peringkat pusat akan bertarung sesama sendiri jika kata sepakat gagal dicapai khususnya melibatkan Bersatu dan UMNO.

    Lebih unik lagi mengenai kedudukan Pas kerana mereka menjalinkan hubungan politik dengan kedua-dua parti tersebut. Bersama Bersatu sebagai anggota rasmi Perikatan Nasional (PN) dan menandatangani piagam dengan UMNO dalam  Muafakat Nasional (MN).

    Apabila tercetus PRN Melaka akibat pergolakan dalaman UMNO, Pas berada dalam kedudukan ‘diluah mati emak, ditelan mati bapa’. Dan keadaan menjadi lebih rumit apabila buat pertamanya dalam sejarah, Pas bersetuju tidak menggunakan lambang parti itu sebaliknya menggunakan lambang Perikatan Nasional.

    Ada yang mentafsirkan bahawa itu membuktikan komitmen Pas untuk bersama Perikatan Nasional dan menghormati persefahaman yang dicapai dalam perikatan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Tetapi persoalan mula timbul apabila pada masa sama pemimpin Pas menegaskan, penggunaan logo itu bukan menafikan kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional. ‘Lebih pening’ lagi Pas masih kekal dengan pendirian iaitu menyokong penyandang kerusi.

    Contohnya di PRN Melaka, jika kerusi dimenangi oleh UMNO maka Pas akan beri sokongan kepada calon UMNO begitu juga jika kerusi itu dimenangi oleh Bersatu. Dan perkara ini ditegaskan oleh Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamarudin Sidek.

    “Makna kalau kata ada pihak PN, contoh Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) masuk lawan juga di kawasan kerusi yang UMNO menang, Pas tidak teragak-agak untuk menyokong UMNO dalam kerusi tersebut, begitu juga sebaliknya.

    “Kerusi yang telah dimenangi oleh Bersatu, UMNO tak boleh masuk… kalau dia (UMNO) masuk kita (Pas) akan menyokong Bersatu… bermakna kita menghormati, jadi tak ada isu saya rasa… matlamat (tetap) satu lawan satu (dengan PH),’’ kata beliau seperti dilapor Bernama.

    Niat Pas amat murni iaitu mengelakkan pertembungan satu lawan satu dan atas matlamat itu juga Pas memutuskan akan bertanding di kerusi dimenangi Pakatan Harapan.

    Maknanya dalam PRN Melaka, Pas mahu menjadi ibarat lilin membakar diri tetapi pada masa sama ramai yang senyum sinis bila Pas tidak akan menyokong sekutunya, Bersatu jika berlaku pertembungan tiga penjuru di kerusi dimenangi UMNO.

    Sesetengah penganalisis mendakwa Pas cuba bermain di dua kolam walaupun akan menggunakan lambang Perikatan Nasional.

    Penulis tidak menganggap apa yang dikatakan oleh Kamarudin itu salah kerana itulah keputusan kepemimpinan Pa sebelum ini.

    Justeru menjadi tanggungjawab kepada kepemimpinan Pas untuk memberi pencerahan dan membuat ketetapan apakah dasar menyokong penyandang masih terpakai atau tidak?

    Ia kerana pendirian itu mengelirukan dan dilihat bercelaru biarpun Pas dianggap melakukan pengorbanan besar untuk bertanding di kerusi-kerusi dimenangi PH.

    Kepemimpinan Pas tidak boleh memikirkan ketaatan ahli-ahlinya sahaja yang pasti akan patuh terhadap apa juga arahan mereka, tetapi Pas juga kena fikirkan pengundi non partisan atau atas pagar.

    Kelompok ini sudah tentu memuji pengorbanan Pas tetapi mereka juga tertanya-tanya siapa sebenarnya Pas mahu sokong PN atau MN?

    Begitu juga soal bertanding di kerusi dimenangi PH, Pas perlu tentukan juga kerusi mana. Tak kan mahu membuat perhitungan seperti PRU-14 bertanding 24 kerusi semua kalah?

    Ketika  membuat congak-congak kawasan-kawasan yang boleh ditandingi oleh Pas berdasarkan kepada keputusan PRU-14, antara DUN yang penulis fikir Pas boleh meletakkan calon ialah Gadek (DAP majoriti 307 undi), Durian Tunggal (Amanah majoriti 763 undi), Kelebang (PKR majoriti 789 undi), Bemban (DAP majoriti 1,345 undi), Machap Jaya (PKR majoriti 1,336 undi) dan Duyong (DAP 2,895 majoriti).

    Cabaran Pas untuk mencapai impian bertanding kawasan dimenangi oleh Pakatan Harapan bukan Bersatu memandangkan Perikatan Nasional pasti ada kesepakatan, tetapi bagaimana dengan UMNO?

    Adakah UMNO atau Barisan Nasional bersedia memberi laluan kepada Pas di kawasan-kawasan tersebut jika tahu mereka berpeluang mencapai kemenangan?

    Tambahan pula berbanding perolehan undi pada PRU-14, Barisan Nasional dan UMNO mencatatkan jumlah undi mengatasi Pas di kesemua kawasan tersebut. Agak-agak bersediakah UMNO beri laluan kepada Pas untuk elak tiga penjuru?

    Kalau benar-benar Pas mahu menyatukan ummah atau mahu menjadi ‘lilin’, apa kata Pas biarkan sahaja UMNO dan Bersatu bertanding di PRN Melaka. Pas hanya menjadi penyokong dan tukang kempen sahaja, soal pembahagian kerusi serah kepada UMNO dan Bersatu berunding. Apabila menang,  Pas boleh menjadi ADUN dilantik.

    Lagipun sudah terbukti Pas tidak mempunyai kekuatan untuk menandingi parti-parti lain untuk meraih sokongan tetapi berupaya membantu memberi kemenangan. Tetapi sudah pasti Pas tidak mahu berbuat demikian.

    Justeru untuk mengatasi kekusutan ini, Pas perlu membuat ketetapan adakah sokongan kepada Perikatan Nasional secara keseluruhan atau menyokong mengikut keputusan PRU-14.

    Pas tidak boleh berada dalam ketidaktentuan kerana akan dituduh  mahu ‘berlindung’ di sebalik penyatuan ummah. Ini bukan tahun 1990, di mana Pas yang berada dalam blok pembangkang bekerjasama dengan Semangat 46 tetapi tidak bekerjasama dengan sekutu Semangat 46 iaitu DAP.

    Pas kena ada pendirian. Semua orang Melayu mahukan penyatuan ummah dan tiada siapa mempertikaikan hasrat Pas mahu menyatukan parti-parti Melayu demi menghalang Pakatan Harapan menang PRN Melaka, tetapi cara atau pelaksanaan kena jelas bukannya menimbulkan persoalan dan kekeliruan.

    Penulis bukanlah mahu memperkecilkan Pas tetapi berasa kecewa sebagai sebuah parti besar yang sejarah perjuangannya cukup hebat sehingga kini mampu menguasai tiga negeri, Pas tidak boleh ‘memberi muka’ kepada kelompok yang seolah-olahnya tidak menghormati Pas kerana tahu parti itu tidak ada kekuatan di Melaka.

    Sebab itu ada pemimpin parti tersebut bertanya, ‘’adakah lagi Muafakat Nasional’’ dan begitu yakin kalau bertanding solo mereka boleh menang di Melaka.

    Kalau Pas sudah membuat keputusan menjadi anggota rasmi Perikatan Nasional maka pastikan kemenangan perikatan itu secara total sama ada di kawasan yang sandang atau tidak. Pas tidak boleh ibarat pakai baju dua lapis, di luar Perikatan Nasional, di dalam Muafakat Nasional.

  • Muara sungai di Terengganu ‘berpuaka’?

    Muara sungai di Terengganu ‘berpuaka’?

    “Muka kuala sungai di Terengganu ni jangan main-main, kalau musim berombak (tengkujuh) jangan bergurau nak ke laut, sudahnya bukan sahaja bot pecah, nyawa pulok melayang.

    Kebanyakan muka kuala di Terengganu ni ada penunggu dan berpuaka, masa keluar ke laut nampak air tenang, tetapi tiba-tiba bertukar menjadi gelora”.

    Begitulah kata-kata seorang juragan pukat jerut yang masih lagi terngiang di telinga penulis setiap kali tiba musim tengkujuh.

    Walaupun kata-kata itu diungkapkan ketika penulis masih lagi di alam persekolahan, namun ia tetap dalam ingatan.

    Ketika itu penulis bersama beberapa rakan dan penduduk kampung sedang berkumpul di hujung kuala dengan perasaan cemas dan berdebar menyaksikan bot-bot nelayan yang pulang menangkap ikan ingin memasuki kuala.

    Peristiwa itu berlaku pada musim tengkujuh dengan keadaan ombak besar beserta angin kencang dan laut bergelora.

    Lepas satu, satu bot berjaya melintasi ‘ombak tujuh beradik’, namun ada sebuah bot terkandas di beting kuala sebelum dipukul ombak lalu tenggelam.

    Begitulah setiap tahun senario seperti ini berlaku di hadapan mata penulis sendiri suatu ketika dahulu.

    Sebab itulah apabila tiba sahaja musim tengkujuh pada bulan November, nelayan akan mula ‘tutup kuala’ dan ‘buka kuala’ pula pada bulan Februari menyebabkan suasana di dalam kebanyakan kuala sungai di Terengganu akan penuh sesak dengan bot-bot nelayan.

    Hal ini disebabkan kebanyakan nelayan di negeri ini tidak berani melakukan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan laut bergelora dan ombak besar yang turut disertai angin kencang serta hujan lebat.

    Kalau ada pun bot nelayan yang berbuat demikian hanya melibatkan bot pukat harimau, pukat tunda dan bubu, itupun bergantung kepada keberanian dan kepakaran seseorang nelayan terbabit dalam membaca ‘firasat’ cuaca dan laut.

    Malah, sepanjang musim tengkujuh atau lebih popular dipanggil sebagai ‘musim berombak’, rata-rata nelayan terpaksa menempatkan bot-bot mereka seperti bedar dan sekuci dengan melabuhkan sauh di dalam kuala.

    Ada juga yang mengikat tali bot di jeti dan bangsal milik masing- masing.

    Selain itu, di kawasan tebing pasir pula kelihatan bot-bot didaratkan bagi tujuan membaiki bahagian yang bocor serta mengecat semula dengan warna baharu.

    Bagi nelayan pukat jerut, pukat dalam dan pukat tangkul, pada musim inilah mereka akan melakukan aktiviti menjemur dan menjahit pukat.

    Senario ini penulis saksikan sendiri kerana rumah penulis ketika itu terletak di tepi pantai menghadap laut Cina Selatan.

    Sejak dilahirkan penulis sudah terdidik dengan ancaman ombak besar dan angin kencang yang menyebabkan atap rumah berterbangan jatuh ke tanah.

    Bagi nelayan pantai, mereka takut keluar ke laut pada musim tengkujuh kerana mengaitkan kebanyakan muara sungai di Terengganu terutama di Marang ada penunggu dan berpuaka.

    Beberapa nelayan pernah bercerita mengenai peristiwa bot tenggelam yang turut meragut nyawa rakan-rakan mereka pada setiap tahun sewaktu sedang memasuki muara ketika tutup kuala dan ada juga ketika musim buka kuala.

    Namun, itu cerita dahulu, cerita sebelum wujudnya pembinaan benteng pemecah ombak di muka kuala.

    Kini, peristiwa bot tenggelam sudah jarang kedengaran dan yang pasti cerita dulu-dulu hanya tinggal kenangan.

  • Kes seleweng RM42 juta dana SRC:Najib perlu jalani hukuman

    Kes seleweng RM42 juta dana SRC:Najib perlu jalani hukuman

    TUN Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjalani hukuman yang diputuskan mahkamah berhubung kes menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

    Jelas beliau, selagi mahkamah belum memutuskan kes rayuan Najib, bekas Perdana Menteri itu dianggap bersalah.

    “Mahkamah (Tinggi Kuala Lumpur) mendapati Perdana Menteri keenam itu bersalah. Itu keputusan mahkamah. Selagi ia tidak didapati tidak bersalah, ia bersalah.

    “Ia patut jalan hukuman. Ada rakyat Malaysia yang belum pun didakwa (charge) telah dimasuk dalam tahanan, kenapa tidak orang yang sudah pun dihukum salah menjalani hukuman,” katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Najib ketika ini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.

    Beliau mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International.

    Membahas lagi, Dr. Mahathir (PEJUANG-Langkawi) berkata rayuan yang dibuat terhadap kes tersebut telah memakan masa hampir setahun.

    Bahkan, Ahli Parlimen Pekan itu katanya turut dibenarkan ke luar negara.

    “Jika rayuan mendapati banduan tidak salah, bebaskan sahaja.

    “Sudah hampir satu tahun rayuan dibuat. Tetapi belum ada keputusan dibuat. Dengan izin ‘justice delayed is justice denied’,” katanya.

    Sebelum ini, tiga hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasport untuk melawat anaknya di Singapura.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Datuk Muhammad Jamil Hussin dan Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu, selepas pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan berkenaan.

    Ini membabitkan pindaan daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober hingga 6 Disember depan.

    Dalam masa yang sama, Dr. Mahathir mempersoalkan apakah kerajaan serius untuk mendapat balik wang kerajaan yang telah diseleweng.

  • Kes samun guna pisau kad adalah kes lama: Bukit Aman

    Kes samun guna pisau kad adalah kes lama: Bukit Aman

    POLIS menafikan berlakunya kes samun menggunakan pisau tersorok pada kad seperti yang tular dalam media sosial. 

    Menurut Pegawai Komunikasi Korporat Bukit Aman, Superintendan S. Anandan, kejadian itu adalah kes lama yang disebarkan semula pihak tertentu. 

    Ketika ini, kecoh di media sosial mengenai dua keping gambar yang didakwa sebagai mangsa samun menggunakan pisau yang disorok pada kad. 

    Penjenayah dikatakan mengetuk kenderaan mangsa untuk bertanyakan sesuatu sebelum mencederakan mangsa menggunakan pisau kecil pada kad.

    “Hasil semakan mendapati, sebaran maklumat tersebut telah mula tular pada tahun 2014, dan ditularkan semula oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

    “Pihak polis mengesahkan tiada sebarang laporan berkaitan kejadian samun yang menggunakan modus operandi sedemikian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Tambah beliau, wanita yang cedera adalah mangsa samun dalam kejadian yang berlainan, manakala lelaki yang cedera pada bahagian muka adalah mangsa pergaduhan di sebuah pusat hiburan di luar negara.

    “Orang ramai dinasihati untuk tidak mudah percaya dengan berita-berita yang tidak berasas dan tidak tentu kesahihannya.

    “Tindakan berkongsi atau menyebar berita-berita sedemikian akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat,” katanya.

  • PRN Melaka:Rakyat bijak menilai parti mana cintakan penyatuan umah

    PRN Melaka:Rakyat bijak menilai parti mana cintakan penyatuan umah

    KEPUTUSAN semua enam bahagian UMNO Melaka menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) jelas memperlihatkan parti mana yang mengutamakan kepentingan diri dan parti mana yang benar-benar berusaha untuk penyatuan umah.

    Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen mengakui semua parti mahupun individu mempunyai hak untuk membuat segala keputusan.

    “Akhirnya rakyat bijak membuat penilaian yang tepat. Saya fikir rakyat boleh melihat pihak mana yang cintakan perpaduan dan pihak mana yang mahukan perpecahan (kerana) kita konsisten untuk bekerjasama dengan kerajaan dan parti yang membentuk kerajaan Pusat sebelum ini.

    “Tetapi kita dapat lihat UMNO menolaknya dan itu jelas memperlihatkan kepada rakyat Malaysia khususnya orang Melayu bahawa pihak mana yang tidak mahu penyatuan dan pihak mana yang cuba menyatukan masyarakat terutamanya dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menampaikan sumbangan Deepavali Melaka Prihatin di Taman Bachang Baru, Melaka, hari ini.

    Semalam, enam Ketua Bahagian UMNO di Melaka membuat pendirian menolak kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka 20 November ini.

    Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

    Keputusan muktamad itu diambil selepas mengambil kira sentimen serta hasrat ahli-ahli UMNO akar umbi di negeri itu.

    Mengulas lanjut, Mohd. Rafiq yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka berkata, tindakan semua bahagian UMNO menolak kerjasama itu juga merupakan hak peribadi memandangkan gabungan itu sudah lama bersiap sedia dalam menghadapi apa sahaja bentuk pilihan raya.

    “Saya kira itu hak mereka… kita di peringkat PN sudah lama bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dari segenap segi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

    “Fokus kita hanya terarah kepada PRN dan tidak tergugat atas keputusan pihak lain,” tambahnya.

  • Hospital Kabul diserang:19 maut, 50 cedera

    Hospital Kabul diserang:19 maut, 50 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 19 orang terbunuh dan 50 cedera selepas sebuah hospital tentera di Kabul, Afghanistan diserang hari ini.

    Seorang pegawai kementerian kesihatan berkata, kejadian itu adalah serangan terbaru menggegarkan Afghanistan sejak Taliban mengambil alih kuasa.

    “Sembilan belas mayat dan kira-kira 50 orang yang cedera telah dibawa ke hospital di Kabul,” kata pegawai itu, yang enggan namanya didedahkan, memberitahu AFP.

    Dua letupan berlaku berhampiran pintu masuk hospital, diikuti dengan laporan tembakan dalam hospital.

    “Saya berada dalam hospital. Saya mendengar letupan kuat dari pusat pemeriksaan pertama. Kami diarahkan ke tempat selamat. Saya turut dengar bunyi tembakan,” kata Sardar Mohammad Daud Khan, seorang doktor di hospital berkenaan kepada AFP.

    Taliban menghabiskan 20 tahun melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan yang disokong Amerika Syarikat yang digulingkan.

    Kini mereka menghadapi perjuangan untuk membawa kestabilan ke Afghanistan, yang beberapa minggu kebelakangan ini telah dilanda oleh beberapa siri serangan berdarah oleh cawangan tempatan kumpulan DAESH.

    Belum ada mana-mana pihak mendakwa bertanggung jawab terhadap serangan hari ini.Hospital itu, yang merawat tentera yang cedera dari kedua-dua pihak, iaitu Taliban dan bekas pasukan keselamatan Afghanistan, sebelum ini pernah diserang pada 2017, apabila lelaki bersenjata menyamar sebagai kakitangan perubatan membunuh sekurang-kurangnya 30 orang dalam pengepungan selama sejam. – AFP

  • Wanita mati dibunuh kekasih:Kaki, rangka, tulang ditanam tepi sungai

    Wanita mati dibunuh kekasih:Kaki, rangka, tulang ditanam tepi sungai

    POLIS mengesahkan penemuan tulang bahagian kaki di tebing Sungai Jebong, Kuala Sepetang, Taiping pada Rabu lalu melibatkan kejadian bunuh seorang wanita berusia 31 tahun.

    Tulang tersebut yang ditemukan orang awam adalah milik manusia dalam keadaan tidak sempurna dan reput.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, siasatan lanjut oleh pasukan Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut menjumpai bungkusan kain batik, selimut dan sejadah yang ditanam di kawasan berhampiran.

    “Dalam bungkusan tersebut terdapat rangka dan tulang dipercayai bahagian tubuh badan manusia dari bahagian kepala hingga ke pinggang dalam keadaan reput sepenuhnya.

    “Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Anuar berkata, mangsa dipercayai mati dalam tempoh antara dua atau empat minggu lalu.

    “Bertindak atas maklumat, polis melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki yang berusia 34 tahun yang merupakan orang pengawasan polis (OPP) pada Jumaat.

    “Suspek didapati telah melanggar syarat pengawasan di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,” katanya.

    Katanya, hasil soal siasat mendapati suspek telah bergaduh dengan mangsa yang juga teman wanitanya di sebuah bilik sewa di Taiping.

    “Suspek mengakui bertindak memukul kepala mangsa menggunakan batang mop hingga mati sebelum menanam mangsa di lokasi tersebut.

    “Suspek turut menunjukkan kepada pihak polis lokasi mangsa telah dibunuh dan ditanam,” katanya.

    Katanya, suspek direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Keputusan tepat sambung kontrak saintis hasilkan vaksin

    Keputusan tepat sambung kontrak saintis hasilkan vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEPUTUSAN kerajaan menyambung kontrak saintis yang membangunkan vaksin jenis messenger ribonucleic acid (mRNA) adalah tepat bagi memastikan proses penghasilan vaksin sendiri berjalan lancar.

    Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Sri Dr. Adham Baba berkata, proses penghasilan vaksin yang pertama untuk Malaysia itu ketika ini sudah berada pada fasa penyahaktifan virus Covid-19.

    “Jadi kita kita alu-alukan pengumuman Perdana Menteri semalam untuk sambung kontrak saintis bagi tempoh lima tahun akan datang. Saya harap saintis terlibat dapat terus bangunkan vaksin hingga berjaya,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran MBOT Technology & Innovation Expo (MTeX’21) di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, hari ini.

    Malaysia sedang membangunkan vaksin sendiri yang pertama bagi melawan pandemik Covid-19, melalui kerjasama Institut Kajian Perubatan (IMR) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM).

    Menurut Kementerian Kesihatan, vaksin jenis mRNA terbabit dibangunkan mulai November tahun lalu dan kini pada peringkat pengklonan varian asal virus serta varian lain SARS-CoV-2.

    Dr. Adham selepas Majlis Pelancaran MBOT Technology & Innovation Expo (MTeX’21) di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, hari ini.

    Sementara itu, Dr. Adham berkata, Expo Teknologi dan Inovasi (MTeX’21) Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) akan menjadi platform bagi negara mencapai 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.

    Dr. Adham berkata, program berkonsepkan pertandingan itu mampu menyuntik semangat pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi menghasilkan produk berteraskan teknologi dan inovasi.

    “Dalam Pemangkin Dasar 1 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu Membangunkan Berat Masa Hadapan, tumpuan diberikan kepada penjajaran semula pasaran buruh, pendidikan dan latihan.

    “Ketika ini peratusan pekerja berkemahiran tinggi di Malaysia ialah pada kadar 28.6 peratus sahaja dan kerajaan menyedari bahawa pembangunan bakat adalah asas yang amat penting kepada dasar jangka panjang negara ini,” katanya.

    Menurut beliau, MOSTI komited bagi memastikan budaya inovasi yang berimpak tinggi dan berkualiti untuk dikomersialkan bagi memenuhi kehendak pengguna sekali gus mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

    “MOSTI akan membantu dengan membangunkan ekosistem, kapasiti, lembaga kawal selia serta geran yang bersesuaian untuk membantu anak muda dalam bidang teknologi dan teknikal,” katanya.

  • Mayat warga emas ditemui reput dalam apartmen

    Mayat warga emas ditemui reput dalam apartmen

    MAYAT seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan reput dan terbaring dalam sebuah apartmen di Damansara Damai, Petaling Jaya, kelmarin.

    Kejadian pesara kerajaan berusia 63 tahun dan masih bujang ditemukan mati itu dilaporkan kepada polis pada pukul 3.40 petang.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pegawai kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling telah hadir ke tempat kejadian dan membuat penilaian mangsa telah meninggal dunia dalam satu tempoh yang agak lama.

    “Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

    “Setakat ini, tiada unsur-unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kesini boleh menghubungi hotline Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

  • Enam maut, bangunan 21 tingkat runtuh

    Enam maut, bangunan 21 tingkat runtuh

    SEKURANG-KURANGNYA enam orang terbunuh selepas bangunan 21 tingkat yang dalam pembinaan runtuh Isnin petang di bandar Lagos, hab ekonomi Nigeria, menurut seorang pegawai pengurusan kecemasan.

    Penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA) di Lagos, Ibrahim Farinloye ketika dihubungi Xinhua berkata, bangunan 21 tingkat yang sedang dibina di kawasan Ikoyi di bandar Lagos itu runtuh kira-kira 3 petang waktu tempatan, dan setakat ini enam mayat telah ditemukan dan empat mangsa lain diselamatkan.

    Farinloye berkata misi mencari dan menyelamat sedang berjalan dengan dibantu tentera darat dan udara, dan lebih ramai mangsa dikhuatiri terperangkap.

    Beliau berkata punca runtuhan masih belum jelas dan siasatan sedang dijalankan.

    Menurut penduduk tempatan kepada Xinhua, bangunan itu sedang dalam pembinaan selama lebih setahun, dan lebih 50 orang, kebanyakannya pekerja binaan, terperangkap di bawah runtuhan.

    Kejadian bangunan runtuh sering berlaku di Nigeria kerana sesetengah pemilik dan pemaju hartanah tidak mematuhi undang-undang serta peraturan perancangan dan bangunan.

    Dalam kebanyakan kes, muatan berlebihan diletakkan di bangunan selain menggunakan bahan yang tidak menepati standard pembinaan.– Bernama