Author: Admin

  • Bincang penyertaan dua ADUN PN dalam kerajaan negeri

    Bincang penyertaan dua ADUN PN dalam kerajaan negeri

    DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan ditimbang untuk menyertai pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

    ADUN BN tersebut adalah Dr. Mohd. Aleef Yusof di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Dr. Mohd. Yadzil Yaakub di kerusi DUN Bemban.

    Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan berbincang dengan pucuk kepemimpinan Barisan Nasional (BN) berkenaan cadangan itu.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu berkata, walaupun pentadbiran kerajaan Persekutuan menjalinkan kerjasama dengan PN, namun senario PRN Melaka yang menyaksikan BN bertanding secara solo perlu diambil kira.

    “Saya kena bermesyuarat terlebih dahulu dan saya mesti berbincang dengan pucuk kepemimpinan parti kerana kali ini kita BN bertanding secara solo, bukan dalam kerajaan atau PN.

    “Justeru, apa juga keputusan dibuat pucuk kepemimpinan parti saya akan akur,” katanya selepas memasuki pejabatnya di Ayer Keroh, pada hari pertama tugasannya sebagai Ketua Menteri selepas kemenangan BN pada PRN, Sabtu lalu.

    Beliau sebelum ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka selepas BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, melebihi dua pertiga kerusi pada PRN Melaka, Sabtu lalu.

    Sulaiman berkata, anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang diumumkan selewat-lewatnya hujung minggu ini akan menggabungkan muka lama dan baharu.

    Beliau berkata, kombinasi itu membabitkan pelantikan dalam kalangan Adun mempunyai latar belakang pendidikan serta pengalaman bersesuaian dan memenuhi keperluan semasa.

    “Kita akan lihat kebolehan dan pendidikan mereka untuk agihkan portfolio mengikut kesesuaian. Mungkin hujung minggu ini kita akan umumkan pelantikan Exco,” katanya.

    Sementara itu, Dr. Mohd Aleef yang membuat kejutan menewaskan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad iaitu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, belum pasti sama ada mampu melangkah ke pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dun (Japerun) Sungai Udang atau sebaliknya.

    Ini kerana, hanya beliau dan Dr. Mohd Yadzil Yaakub yang menang pada PRN Melaka, Sabtu lalu dan jika tidak dibenarkan memasuki Japerun itu, beliau bersedia membuka pejabat sendiri di pekan Sungai Udang bagi memberikan perkhidmatan kepada anggota komuniti.

    Pada PRN Sabtu lalu, Dr Mohd Aleef memperoleh 6,789 undi dan menewaskan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad daripada BN yang memperoleh 6,259 undi; Hasmorni Tamby (Pakatan Harapan-PKR) yang mendapat 2,035 undi dan Mohd Zahar Hashim (Bebas) yang memperoleh 471 undi.

    Berbekalkan majoriti 530 undi, Dr. Aleef membuat kejutan menewaskan Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

    Dr. Mohd Yadzil pula memperoleh 4,211 undi dan menewaskan Datuk Koh Chin Han (BN) yang memperoleh 3,883 undi dan Datuk Tey Kok Kiew (PH-DAP) 3,095 undi, selain dua calon Bebas yang hilang deposit.

  • Undian anda saya genggam sebagai satu tanggungjawab – Dr. Yadzil

    Undian anda saya genggam sebagai satu tanggungjawab – Dr. Yadzil

    “Undian yang anda berikan kepada saya, akan saya genggam sebagai satu tanggungjawab,”

    Itulah kata-kata Dr. Yadzil Yaakub yang memenangi kerusi panas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, mewakili Perikatan Nasional (PN).

    Justeru, beliau berterima kaish dan menghargai para pengundi yang mengundi beliau serta berjanji akan menjalankan tugas sebaik mungkin untuk membangunkan Bemban.

    “Saya berjanji akan menjalankan tugas saya sebaik mungkin tanpa mengira agama dan bangsa, kerana kita adalah sekeluarga.

    “Semoga kita dapat bersama-sama membangunkan N24 Bemban ke arah yang lebih sejahtera, dinamik dan harmonis,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

    Pada PRN Melaka kelmarin, PN bertanding di semua 28 kerusi dengan 15 daripada mereka adalah calon daripada Bersatu manakala lapan ditandingi Pas dan Gerakan meletakkan lima calon.

    Dr. Mohd Yadzil memperoleh 4,211 undi, menewaskan Datuk Koh Chin Han (BN) yang memperoleh 3,883 undi dan Datuk Tey Kok Kiew (PH-DAP) 3,095 undi, selain dua calon Bebas yang hilang deposit.

  • 1,696 bomba dijangkiti Covid-19, 2 pegawai kanan meninggal dunia

    1,696 bomba dijangkiti Covid-19, 2 pegawai kanan meninggal dunia

    SERAMAI 1,696 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara dijangkiti Covid-19 sejak tahun lalu sehingga kini.

    Daripada jumlah itu, dua daripada mereka dilaporkan terkorban iaitu pegawai kanan di Sabah dan Negeri Sembilan yang dijangkiti wabak itu daripada komuniti, bukannya ketika sedang bertugas.

    Selain itu menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, seramai 68 anggota bomba sedang menjalani kuarantin selepas disahkan positif termasuk kurantin di rumah, di hospital Covid-19 atau di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC).

    “Bagaimanapun situasi jangkitan Covid-19 dalam kalangan anggota bomba ini tidak sesekali menjejaskan perkhidmatan jabatan ini kepada masyarakat,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Moktar itu, seramai 37 pegawai dan anggota menerima pingat kebesaran termasuk Pingat Jasa Bomba; Pingat Setia Bomba dan Pingat Cemerlang Bomba serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (68 orang) dan Sijil 30 Tahun Perkhidmatan (19 orang).

    Dalam perkembangan sama, Mohammad Hamdan berkata, setakat ini kira-kira 26 peratus daripada keseluruhan 14,500 anggota bomba di seluruh negara telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

    “Pemberian dos penggalak ini merupakan persediaan kita dalam menghadapi musim banjir memandangkan pengurusan bencana itu kali ini cukup mencabar disebabkan kita masih lagi berada dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya.

  • Gempar ‘mayat’ hidup dalam peti sejuk

    Gempar ‘mayat’ hidup dalam peti sejuk

    SEORANG lelaki di New Delhi, India yang sudah disahkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya menjadi gempar apabila didapati masih bernafas walaupun semalaman diletakkan dalam peti sejuk di bilik mayat hospital.

    Srikesh Kumar yang berusia 45 tahun dikejarkan ke klinik kerana keadaannya kritikal akibat dilanggar sebuah motosikal di timur ibu negara, Moradabad.

    Lelaki itu kemudiannya dipindahkan ke sebuah pusat perubatan swasta sebelum disahkan doktor dia meninggal dunia.

    Menurut AFP, mangsa kemudian dipindahkan ke hospital kerajaan untuk bedah siasat pada Jumaat.

    Superintendan perubatan, Rajendra Kumar berkata, pegawai perubatan unit kecemasan menjalankan pemeriksaan ke atas tubuh badan lelaki.

    “Dia (pegawai itu) tidak menemui sebarang tanda (mangsa) bernyawa dan mengesahkan lelaki itu meninggal dunia,” katanya.

    Doktor itu berkata, maklumat itu diberikan kepada polis sebelum ‘mayat’ lelaki itu diletakkan di peti sejuk sehingga keluarganya menuntutnya enam jam kemudian.

    “Apabila pasukan polis dan keluarganya datang untuk memulakan proses dokumen bedah siasat, dia didapati masih bernyawa.

    “Lelaki itu menjalani rawatan lanjut tetapi masih lagi dalam keadaan koma. Ini satu keajaiban,” katanya.

    Dalam pada itu, siasatan masih dijalankan untuk menentukan bagaimana doktor berkenaan tersilap mengesahkan kematian lelaki itu.

  • Sungai Masai tercemar lagi?

    Sungai Masai tercemar lagi?

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SELEPAS dihantui masalah air berwarna hitam yang berlarutan sejak 10 tahun lalu, penduduk Kampung Pasir Gudang Baru, di Pasir Gudang kini dihantui pula dengan kejadian tompokan berwarna putih yang penuh di permukaan Sungai Masai.

    Keadaan itu mengundang tanda tanya penduduk yang pelik dengan kejadian terbabit, malah kira-kira 250 nelayan pesisir pantai di kampung itu turut mengambil tindakan ‘gantung enjin’ sementara dengan tidak turun ke laut.

    Mereka khuatir bahan yang berkemungkinan sisa pencemaran itu bukan sahaja merosakkan peralatan bot dan menangkap ikan, bahkan dibimbangi hasil tangkapan juga tidak selamat untuk dimakan.

    Ketua Kampung Pasir Gudang Baru, Daud Saad berkata, penduduk mendakwa sudah melihat tompokan putih itu sejak empat hari lalu dan keadaan tersebut semakin membimbangkan hari ini.

    “Kita harap keadaan ini tidak begitu serius kerana sebelum ini pun penduduk terpaksa menanggung akibat apabila air berwarna hitam kerana masalah kumbahan. Penduduk baru sahaja lega tetapi masalah lain pula dialami,” katanya ketika ditemui di kampung itu, hari ini.

    Nelayan tempatan mendakwa mereka sudah empat hari tidak turun ke laut kerana pencemaran terbabit menyukarkan pergerakan dan meninggalkan kesan pada dasar bot

    Nelayan, Hassan Mohamad, 60, berkata, setelah mengetahui kejadian itu, dia sudah empat hari tidak turun ke laut kerana keadaan terbabit menyukarkan pergerakan dan meninggalkan kesan di dasar bot miliknya.

    “Kami tidak tahu kesannya jika melekat pada enjin bot, apatah lagi kawasan tompokan putih ini mencapai jarak sehingga dua kilometer. Saya tidak pernah melihat kotoran seperti itu sejak 40 tahun menjadi nelayan malah permukaan air kelihatan seperti diselaputi bahan kimia,” katanya.

    Seorang lagi nelayan, Alimman Jamal, 48, mahu agensi berkaitan mengambil tindakan segera kerana penduduk terutama nelayan sukar mencari rezeki.

    “Ini bukan hanya kerana pencemaran tetapi kami akan mengalami kerugian jika peralatan rosak. Sekarang semua barang bukan murah dan ia akan jadi beban sekiranya terjadi apa-apa kejadian. Bot mungkin boleh dicuci tapi kos ganti jaring atau pukat lebih tinggi jika rosak,” katanya.

    Penduduk, Jamil Hussein, 50, turut berharap tindakan segera dapat diambil kerana perkara itu turut membabitkan keselamatan penduduk.

    “Kita sebenar risau juga sebab tidak tahu ia bahan apa. Jadi perlu tahu keputusan cepat sama ada memudaratkan atau sebaliknya. Sebahagian besar penduduk di sini adalah nelayan yang menjadi punca rezeki mereka, malah kita juga perlu tahu sama ada hasil tangkapan selamat untuk dimakan atau sebaliknya,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting 2, Mohd. Azizi Mohmad berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan dan laporan juga telah disampaikan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

    Siasatan awal pihak JAS mendidapati terdapat beberapa kemungkinan termasuk sisa minyak atau bahan lain yang menyebabkan pencemaran tersebut

    “Saya sendiri telah melihat keadaan ini dan laporkan kepada pihak berkaitan. Kita tidak mahu perkara ini berlarutan kerana di sini juga bukan semata-mata perkampungan nelayan sahaja tetapi menjadi tarikan pelancongan terutama kaki pancing,” katanya.

    Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor telah mengambil sampel sisa buangan di sungai terbabit untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tindakan lanjut kerana sisa buangan berkenaan bukanlah bahan yang biasa ditemukan dalam insiden pencemaran.

    Pengarah JAS negeri, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, berdasarkan siasatan awal, didapati terdapat beberapa kemungkinan termasuk sisa minyak atau bahan lain dalam kejadian yang pertama kali berlaku di kawasan itu.

    “JAS perlu siasat dan dapatkan maklumat lebih terperinci memandangkan bahan yang kita lihat berbeza daripada kejadian pencemaran yang lalu, ia lebih kepada serbuk dan berdebu,” katanya.

    Menurut Mohd. Famey, pihaknya juga akan meminta kerjasama daripada Jabatan Kimia untuk mempercepat siasatan berhubung kandungan sisa buangan itu bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan.

  • Polis tahan dua lelaki, rampas rokok bernilai RM3.3 juta

    Polis tahan dua lelaki, rampas rokok bernilai RM3.3 juta

    POLIS menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis rokok tanpa cukai bernilai RM3.3 juta di 55.2 kilometer Lebuhraya Karak, Pahang, kelmarin.

    Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil maklumat awam,  Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman telah membuat pemantauan dan menahan sebuah lori muatan lima tan dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun pada 4.20 pagi.

    Beliau berkata, sejurus lori itu ditahan telah datang sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu lelaki berusia 30 tahun memperkenalkan diri sebagai rakan pemandu lori itu.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan 333 kotak besar mengandungi rokok disyaki tanpa cukai kastam antaranya jenis Touro International, Wismilak Diplomat dan Luffman Premium Blend 22.

    “Justeru, polis telah menahan kedua-dua lelaki rakyat tempatan dan hasil siasatan awal mendapati pemandu lori tersebut mengambil upah sebanyak RM1,500 untuk menghantar rokok seludup itu ke Kuala Lumpur.

    “Suspek mendakwa telah mengambil lori di Kemaman, Terengganu yang ditinggalkan di deretan kedai dengan kunci diletakkan di bahagian tayar sebelum memandu ke Kuala Lumpur…usaha mengesan pemilik lori giat dijalankan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, Bentong, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua suspek kali pertama terlibat dalam kegiatan berkenaan dan hasil ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah serta tiada rekod jenayah lampau.

    Katanya, kedua-dua lelaki itu direman empat hari bermula 20 Nov mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967. – Bernama

  • Pas tak akan desak PRU-15 diadakan awal

    Pas tak akan desak PRU-15 diadakan awal

    Pas tidak akan mengambil sikap tergopoh-gapah untuk mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.

    Sebaliknya, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, soal PRU15 itu akan ditentukan oleh Jemaah Kabinet dan bukannya parti politik.

    “Yang menentukan pilihan raya awal itu Kabinet bukan parti politik… biarlah PM (Perdana Menteri) tentukan bila tarikh sewajarnya bukannya mana-mana parti,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, Kelantan pagi tadi.

    Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Barisan Nasional (BN) supaya PRU15 diadakan awal.

    Antara yang meminta PRU15 diadakan segera ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hassan susulan kemenangan bergaya BH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka

  • 4 kakitangan RELA didakwa buat tuntutan palsu RM59,520

    4 kakitangan RELA didakwa buat tuntutan palsu RM59,520

    Oleh RIZQI ZABIDI

    EMPAT kakitangan tetap Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini bagi berdepan pertuduhan membuat tuntutan palsu elaun penugasan rondaan keselamatan berjumlah RM59,520, dua tahun lalu.

    Kesemua tertuduh iaitu Mohd. Khairul Anuar Maliki, 32; Idrus Zakaria, 47; Siti Munirah Abdul Rahim, 35; dan Sahrol Miza Samad, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

    Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh secara bersama telah menggunakan dokumen tuntutan dengan niat hendak memperdaya prinsipal mereka iaitu RELA negeri Kedah.

    Dokumen tersebut didakwa mengandungi butiran matan palsu berkenaan bayaran berjumlah RM59,520 berkaitan perakuan tertuduh, kononnya terdapat anggota RELA menjalankan penugasan rondaan keselamatan sempena Bulan Kemerdekaan 2019 Daerah Kulim.

    Seorang daripada tertuduh diiring Pegawai SPRM untuk membayar wang jaminan di Mahkamah Alor Setar, hari ini.

    Penugasan itu bagaimanapun didakwa tidak dilaksanakan seperti dinyatakan dalam tuntutan tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 10 September 2019 di Pejabat RELA negeri Kedah, Aras 4, Fasa 2B, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Bandar Muadzam Shah, dekat Alor Setar.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.

    Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 27 Disember depan.

  • Polis buka 37 kertas siasatan, kompaun RM120,000 sepanjang PRN

    Polis buka 37 kertas siasatan, kompaun RM120,000 sepanjang PRN

    Polis Melaka membuka 37 kertas siasatan dan mengeluarkan sembilan kompaun berjumlah RM120,000 sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berakhir pada Sabtu lalu.

    Menurut Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Majid Mohamad Ali, daripada jumlah itu 19 kertas siasatan yang dibuka membabitkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) manakala 18 lagi merupakan kesalahan membabitkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Jelasnya, kompaun itu pula telah dikeluarkan kepada pelbagai parti kecuali parti Bebas di sepanjang tempoh berkenaan.

    Beliau berkata, sepanjang tempoh bermulanya PRN Melaka sehinggalah pengumuman keputusan, tidak ada insiden yang menggugat ketenteraman awam yang dilaporkan.

    “Penguatkuasaan undang undang dan prosedur operasi standard (SOP) akan menjamin kesihatan awam dan pada masa sama ia menyuburkan proses demokrasi.

    “Ini merupakan kejayaan agensi penguatkuasaan untuk memastikan kesihatan awam terkawal dan melalui penguatkuasaan undang-undang yang adil kita berjaya membendung penularan Covif-19,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang, hari ini.

    Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, sekiranya terdapat mana-mana mana pihak yang mendakwa penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan itu menghalang proses demokrasi, tanggapan itu sebaliknya tidak benar tetapi ia sebenarnya menyuburkan proses demokrasi.

    Menurutnya, penghargaan dan pujian harus diberikan kepada rakyat Melaka kerana mereka matang dan hebat serta tidak terbawa-bawa dengan sentimen politik, sebaliknya lebih mementingkan kesihatan awam dan keselamatan.

    “Jadi di PRN Melaka, rakyat mendahulukan kesihatan awam dan undang-undang daripada kepentingan politik, rakyat Melaka sememangnya hebat dan matang,” ujarnya.

  • Kertas siasatan 10 syarikat terima geran MITRA hampir selesai – Azam

    Kertas siasatan 10 syarikat terima geran MITRA hampir selesai – Azam

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hampir selesai melengkapkan kertas siasatan melibatkan 10 syarikat yang menerima geran peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA). 

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata kertas siasatan itu akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat bagi dicadangkan pertuduhan terhadap syarikat berkenaan. 

    Beliau berkata siasatan terhadap syarikat lain masih diteruskan dan SPRM bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara untuk menubuhkan pasukan khas bagi meneliti tuntutan lain. 

    “SPRM telah merampas semua laporan yang dikemukakan syarikat-syarikat berkenaan dari 2018 hingga 2020,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen kesedaran pencegahan rasuah di pengangkutan awam berteraskan usaha sama antara SPRM dengan MRT Corp di Stesen MRT Muzium Negara, hari ini. 

    Azam berkata SPRM menjalankan siasatan terhadap dua perkara iaitu unsur jenayah dan penambahbaikan prosedur serta sistem pemberian geran. 

    Beliau turut mengakui terdapat kelompangan dalam sistem dan prosedur yang diamalkan kerajaan menerusi pemberian geran. 

    “Ini satu perkara yang SPRM perlu lihat dan kita sedang berbincang dengan kementerian berkenaan supaya ia tidak berlaku pada masa akan datang,” katanya. 

    Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang meneliti semua permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan MITRA sejak 2019 hingga 2021.

    Ini susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukan dikeluarkan MITRA. 

    Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti telah diluluskan geran peruntukan oleh MITRA sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.– Bernama