DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan ditimbang untuk menyertai pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

ADUN BN tersebut adalah Dr. Mohd. Aleef Yusof di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Dr. Mohd. Yadzil Yaakub di kerusi DUN Bemban.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan berbincang dengan pucuk kepemimpinan Barisan Nasional (BN) berkenaan cadangan itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu berkata, walaupun pentadbiran kerajaan Persekutuan menjalinkan kerjasama dengan PN, namun senario PRN Melaka yang menyaksikan BN bertanding secara solo perlu diambil kira.

“Saya kena bermesyuarat terlebih dahulu dan saya mesti berbincang dengan pucuk kepemimpinan parti kerana kali ini kita BN bertanding secara solo, bukan dalam kerajaan atau PN.

“Justeru, apa juga keputusan dibuat pucuk kepemimpinan parti saya akan akur,” katanya selepas memasuki pejabatnya di Ayer Keroh, pada hari pertama tugasannya sebagai Ketua Menteri selepas kemenangan BN pada PRN, Sabtu lalu.

Beliau sebelum ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka selepas BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, melebihi dua pertiga kerusi pada PRN Melaka, Sabtu lalu.

Sulaiman berkata, anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang diumumkan selewat-lewatnya hujung minggu ini akan menggabungkan muka lama dan baharu.

Beliau berkata, kombinasi itu membabitkan pelantikan dalam kalangan Adun mempunyai latar belakang pendidikan serta pengalaman bersesuaian dan memenuhi keperluan semasa.

“Kita akan lihat kebolehan dan pendidikan mereka untuk agihkan portfolio mengikut kesesuaian. Mungkin hujung minggu ini kita akan umumkan pelantikan Exco,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mohd Aleef yang membuat kejutan menewaskan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad iaitu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, belum pasti sama ada mampu melangkah ke pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dun (Japerun) Sungai Udang atau sebaliknya.

Ini kerana, hanya beliau dan Dr. Mohd Yadzil Yaakub yang menang pada PRN Melaka, Sabtu lalu dan jika tidak dibenarkan memasuki Japerun itu, beliau bersedia membuka pejabat sendiri di pekan Sungai Udang bagi memberikan perkhidmatan kepada anggota komuniti.

Pada PRN Sabtu lalu, Dr Mohd Aleef memperoleh 6,789 undi dan menewaskan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad daripada BN yang memperoleh 6,259 undi; Hasmorni Tamby (Pakatan Harapan-PKR) yang mendapat 2,035 undi dan Mohd Zahar Hashim (Bebas) yang memperoleh 471 undi.

Berbekalkan majoriti 530 undi, Dr. Aleef membuat kejutan menewaskan Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

Dr. Mohd Yadzil pula memperoleh 4,211 undi dan menewaskan Datuk Koh Chin Han (BN) yang memperoleh 3,883 undi dan Datuk Tey Kok Kiew (PH-DAP) 3,095 undi, selain dua calon Bebas yang hilang deposit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here