Author: Admin

  • 4 sekolah ditutup di Batu Pahat positif Covid-19, dibuka semula esok

    4 sekolah ditutup di Batu Pahat positif Covid-19, dibuka semula esok

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    EMPAT buah sekolah di Batu Pahat ditutup sebelum ini selepas dikesan terdapat kes positif Covid-19 akan dibuka secara berperingkat-peringkat mulai esok.

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, sekolah berkenaan membabitkan dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah.

    “Sekolah terbabit ditutup selama empat hari dan tujuh hari. Bila menerima arahan untuk menutup sekolah, proses sanitasi dijalankan di sekolah berkenaan bagi memberi ruang kepada sesi pembelajaran selepas dibuka sebagai langkah keselamatan.

    “Sehingga kini keseluruhannya sebanyak empat kes positif Covid-19 direkodkan dan keadaan terkawal di kesemua sekolah berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Karnival Hal Ehwal Murid Peringkat Negeri Johor 2021 di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, Johor Bahru, hari ini.

    Hadir sama Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Shahilon Abdul Halim.

    Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, bacaan kehadiran tahunan pelajar yang direkodkan sejak 11 November lalu mencatatkan kehadiran 94 peratus bagi sekolah rendah manakala 93 peratus bagi sekolah menengah.

    Menurutnya, berbanding sebelum ini, peratusan kehadiran dicatatkan bagi sekolah menengah dan sekolah rendah adalah kira-kira 80 peratus.

    “Keyakinan ibu bapa bagi menghantar anak mereka ke sekolah semakin meningkat kerana keadaan di Johor adalah terkawal. Diharap peratus kehadiran semakin meningkat,” katanya.

    Mengenai karnival itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, sebanyak 239 anugerah disampaikan.

    Karnival berkenaan katanya, bertujuan meningkatkan tahap kualiti pengurusan murid di sekolah selain memberi penarafan kepada unit hal ehwal murid yang berjaya memainkan peranan.

  • Lebih 10 juta saman masih belum dibayar di Johor

    Lebih 10 juta saman masih belum dibayar di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBANYAK 72 peratus saman di Johor dari tahun 2000 hingga hari ini masih belum dilunaskan bayarannya.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintenden M. Kumarasan berkata, statistik saman tertunggak di negeri ini berjumlah 10,073,023 melibatkan 7,154,780 helai saman Pol 170A .

    Beliau memberitahu, selain itu turut melibatkan melibatkan 2,918,243 helai saman Pol 257.

    “Bagi penyelesaian bayaran saman pula 3,756,975 helai saman sudah dibayar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau berkata, polis Johor menawarkan diskaun kompaun saman trafik sebanyak 50 peratus bermula 1 hingga 15 Disember ini.

    Kumarasan berkata, tawaran itu tidak termasuk kes lampu isyarat merah dan saman menggunakan lorong kecemasan yang dilakukan tahun ini.

    “Begitu juga saman memotong secara bahaya, saman kemalangan, saman non compound, saman mahkamah bertanda m, saman lori bertanda ^ dan saman ubah suai ekzos yang semua kesalah itu dilakukan dalam tahun ini.

    “Orang ramai boleh membuat bayaran saman di semua kaunter di seluruh daerah kontinjen Johor bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang waktu bekerja,” katanya.

    Beliau berharap, tawaran tersebut dapat membebankan semua pihak yang dikenakan saman dan sebagai tanda penghargaan polis terutama penduduk Johor atas kerjasama dah komitmen mereka.

    Tujuan diskaun pembayaran saman itu katanya, adalah bagi memberi ruang kepada pengguna jalan raya bagi menyelesaikan saman masing-masing.

  • Malaysia perlu kaji implikasi sebelum sambung projek HSR – Che Zakaria

    Malaysia perlu kaji implikasi sebelum sambung projek HSR – Che Zakaria

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN wajar membuat kajian dan pertimbangan sebaik-baiknya sebelum berunding semula untuk menyambung semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang sebelum ini telahpun ditamatkan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, rundingan itu perlu memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua negara apatah lagi Malaysia sudah membayar pampasan RM320.27 juta kepada Singapura bagi kos pembatalan projek HSR pada tahun ini.

    Jelasnya, jumlah pampasan yang dibayar itu terlalu besar malah dalam masa tidak sampai setahun dan pada masa sama perlu dibawa perbincangan ke peringkat Kabinet sama ada terdapat keperluan untuk HSR disambung semula atau ditangguhkan untuk sementara.

    “Walaupun cadangan untuk menyambung semula projek HSR disuarakan Malaysia menerusi Perdana Menteri dan disambut baik Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, kita tidak perlu terlalu gopoh dalam hal ini.

    “Selain Kabinet, mungkin pandangan rakyat juga perlu diambil kira kerana peruntukan untuk menyambung semula projek HSR bukan sedikit. Pelbagai isu timbul sebelum ini berkenaan HSR.

    “Misalnya isu pampasan yang kita bayar kepada Singapura sebelum ini besar jumlahnya sedangkan projek HSR lebih tertumpu di kawasan dan membabitkan landasan di Malaysia tetapi negara ini pula yang harus memberi ganti rugi. Kita perlu bijak dalam hal ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga barang di Pasar Basah Kipmall Masai, Pasir Gudang, hari ini.

    Che Zakaria meninjau harga barang keperluan harian terutama sayur-sayuran di Pasar Basah Kipmall Masai, Pasir Gudang, hari ini

    Semalam, Hsien Loong menerusi sidang akhbar sempena sidang akhbar bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena

    pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara berkata, republik itu terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan projek HSR yang sebelum ini kedua-dua telahpun bersetuju untuk menamatkan projek tersebut.

    Hsien Loong berkata, Kementerian Pengangkutan dari kedua-dua negara akan membincangkan perkara tersebut dan Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia.

    “Perdana Menteri mencadangkan perbincangan mengenai HSL dihidupkan semula dan saya menjawab bahawa Singapura dan Malaysia telah mencapai persetujuan sebelum ini untuk menamatkan projek HSR dan ini telah diselesaikan secara baik,” kata Hsien Long.

    Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, memang tidak dinafikan projek berimpak tinggi itu memberi banyak manfaat termasuk peluang pekerjaan dan ekonomi melalui jajaran yang akan dilaluinya namun kesesuaian atau keutamaannya perlu difikirkan.

    Katanya, sama ada HSR itu mengikut perancangan asal atau mengikut cadangan disambung sehingga Thailand, semua itu perlu dibawa ke Parlimen untuk dibincangkan.

  • Taktik kilang kosong tidak menjadi, arak tiruan RM3.7 juta dirampas

    Taktik kilang kosong tidak menjadi, arak tiruan RM3.7 juta dirampas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEROPERASI secara sembunyi memproses arak tiruan di sebuah kilang kosong merupakan taktik digunakan satu sindiket di Jalan Seri Wangi, Masai, Pasir Gudang sejak enam bulan lalu.

    Bagaimanapun, taktik mereka itu gagal mengaburi pihak berkuasa apabila diserbu sepasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) sekali gus menahan seorang lelaki tempatan dan merampas arak tiruan berjumlah RM3.7 juta di kilang tersebut, semalam.

    Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, serbuan dilakukan menerusi Op Kontraban pada jam 4.45 petang melibatkan sepasukan cawangan risikan Batalion 5 PGA Simpang Renggam.

    “Serbuan dilakukan ketika seorang suspek warga tempatan berusia 20 tahun sedang memandu keluar dari pintu kilang tersebut yang dipercayai terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan minuman keras dipercayai arak tiruan.

    Sebahagian daripada 62 tong biru mengandungi 200 liter cecair pati arak yang dirampas dalam serbuan menerusi Op Kontraband di sebuah kilang.

    “Kilang tersebut dijadikan tempat memproses arak tidak bercukai. Kita merampas antaranya 62 tong biru mengandungi 200 liter cecair pati arak dan 19 kotak mengandungi arak jenis Mcdowell’s dengan kandungan 750 mililiter (ml).

    “Ini termasuk 22 kotak mengandungi arak jenis Mcdowell’s dengan kandungan 375ml dan 10 kotak arak jenis Mcdowell’s dengan kandungan 180ml,” katanya dalam sidang akhbar di kilang itu, hari ini.

    Katanya, turut dirampas satu kotak arak jenis Club 99 dengan kandungan 700 ml, dua kotak arak jenis Club 99 dengan kandungan 350ml dan dua kotak arak jenis Club 99 dengan kandungan 170ml.

    Menurutnya, turut dirampas dua kereta jenis Nissam Almera dan Nissan Cefiro, forlift jenis Toyota, pam air, telefon bimbit jenis Oppo dan pelekat kastam disyaki palsu.

    Beliau memberitahu, jumlah anggaran nilai arak RM3.747 juta, nilai cukai arak RM1.4 juta manakala jumlah rampasan lain RM117,000 dan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM5.327 juta.

    PGA merampas arak tiruan berjumlah RM3.7 juta di kilang tersebut, semalam

    Menurutnya, siasatan mendapati kegiatan tersebut berselindung di sebalik kilang di kawasan industri dan menjadikannya sebagai tempat memproses arak tidak bercukai.

    Minuman keras tiruan itu katanya, untuk pasaran sekitar Johor Bahru dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 (kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak).

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejak Januari hingga Selasa, pihaknya telah menahan 172 lelaki dewasa melibatkan 51 tangkapan melibatkan siasatan Akta Kastam 1967, Akta Atipsom 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Eksais 1967.

    “Nilai keseluruhan rampasan Batalion 5 PGA dari Januari hingga hari ini (Selasa) berjumlah RM29.896 juta,” katanya.

  • Gagal bayar pampasan, mahkamah arah sita, jual harta Sajat

    Gagal bayar pampasan, mahkamah arah sita, jual harta Sajat

    MAHKAMAH Tinggi mengarahkan harta milik usahawan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat disita berikutan tuntutan pampasan RM200,000 yang gagal dibayar kepada bekas stokis utamanya, OWA Resources Sdn Bhd.

    Free Malaysia Today (FMT) hari ini melaporkan, perintah penyitaan itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Wahida Md Nor pada 22 November lalu, selepas membenarkan permohonan Nurwati Hussin, 41 dan Mohamed Syakir Hussin, 32 daripada OWA Resources.

    Pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dijalankan pukul 10.30 pagi tadi di rumah Muhammad Sajjad yang beralamat di Kota Damansara, susulan kegagalannya membayar jumlah penghakiman pada Disember 2020.

    Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati Sajat tidak memberi sebarang maklum balas untuk membayar pampasan setelah gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada April lalu bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada OWA Resources.

    Peguam Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli daripada firma guaman NHA Advocates & Solicitors yang mewakili Nurwati dan Syakir berkata, anak-anak guamnya fokus untuk mendapatkan pampasan yang diarahkan dibayar oleh mahkamah.

    Tambahnya, barang yang disita akan dilelong di bawah harga pasaran untuk menebus pampasan yang perlu dibayar kepada pihak plaintif.

    “Writ penyitaan dan penjualan telah pun ditampal di premis defendan pada hari ini dan jika pihak defendan tidak membuat bayaran, semua barang yang disita akan dilelong pada 14 Disember ini.

    “Sekiranya jumlah pungutan wang hasil daripada lelongan masih tidak mencukupi melalui penjualan barang yang telah disita hari ini, anak-anak guam akan mengambil langkah seterusnya bagi menyita aset-aset lain yang boleh disita dan dijual,” tambah Nurul Hafidzah.

    Keputusan mahkamah itu adalah satu tamparan hebat buat Sajat setelah didapati melanggar kontrak perniagaan kerana gagal membekalkan bengkung dan ‘girdle’ kepada stokisnya seperti dipersetujui.

    Terdahulu, media melaporkan Sajat bakal diisytihar muflis selepas pemfailan pemiutang dilakukan oleh bekas stokis utama bengkung usahawan tersebut, iaitu Owa Resources Sdn Bhd.

    Pemfailan berkenaan dilakukan menerusi peguam Nurul Hafidzah Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor semalam.

    Difahamkan, ia langkah terakhir untuk menuntut pembayaran penghakiman RM200,000 daripada Sajat.

    Nurul Hafidzah menjelaskan, perintah bankrap boleh menyebabkan Sajat diisytiharkan muflis selain semua aset termasuk rumah dan akaun bank milik usahawan tersebut diuruskan Jabatan Insolvensi.

  • JE: Tidak membimbangkan tetapi Kedah terus berjaga-jaga

    JE: Tidak membimbangkan tetapi Kedah terus berjaga-jaga

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Penularan Japanese Encephalitis (JE) di Kedah masih terkawal namun masyarakat diingatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengambil langkah perlu bagi memastikan semua pihak ‘terlindung’ daripada dijangkiti penyakit tersebut.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd Hayati Othman berkata, perkara itu tidak seharusnya dipandang ringan ketika jumlah kes di Kedah meningkat kepada 10 berbanding cuma lapan pada tahun lalu.

    “Baru-baru ini iaitu pada 18 dan 25 November lalu, kita kesan dua kes yang melibatkan kematian individu dewasa di Jalan Pegawai dan Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar. Sebelum itu seorang kanak-kanak berusia empat tahun meninggal dunia di Pendang pada 12 Oktober lalu.

    “Walaupun cuma ada tiga kematian setakat ini, namun langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil. Apatah lagi nyamuk culex yang menjadi pembawa JE aktif pada waktu siang dan malam berbanding aedes yang cuma aktif pada waktu siang,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Majlis Apresiasi Sempena Sambutan ‘World Clean Up Day’ dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Ahad lalu Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah memaklumkan mengenai pengesanan dua kes JE tersebut sekali gus mengajak kalangan rakyat negeri ini agar lebih berhati-hati dalam menanganinya.

    Mengulas lanjut Mohd. Hayati berkata, beliau tidak menolak kemungkinan penyakit itu berpunca dari kawasan lain memandangkan tiada kawasan takungan atau kumbahan babi di Jalan Pegawai dan Jalan Tanjung Bendahara yang menjadi lokasi penyakit itu dikesan baru-baru ini.

    “Selain babi, monyet juga boleh menjadi perumah kepada virus tersebut sebelum disebarkan oleh nyamuk culex.

    “Disebabkan itu kita amat berharap agar semua pihak sentiasa menjaga kebersihan bagi memastikan pembiakan nyamuk itu tidak berlaku. Lagi pun sekarang ini musim hujan, takut nyamuk banyak membiak di kawasan air bertakung dan membawa kesan buruk kepada kita semua,” katanya.

  • 102 lokasi sampah haram dikesan di Kedah

    102 lokasi sampah haram dikesan di Kedah

    oleh RIZQI ZABIDI

    PERBADANAN Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah mengesan sebanyak 102 lokasi sampah haram di negeri itu sejak tiga tahun lalu.

    Pengarahnya, Nordin Amat berkata, kebanyakanya lokasi sampah haram tersebut terletak di kawasan industri dalam daerah yang sedang pesat membangun antaranya Kulim dan Sungai Petani.

    Katanya, sehingga kini sebanyak 59 lokasi sampah haram itu telah ditutup manakala 43 lagi lokasi masih aktif.

    “Setakat ini sebnayak lapan kes sampah haram telah dibawa ke muka pengadilan dengan enam daripadanya telah disabitkan dengan kesalahan melibatkan denda antara RM10,000 hingga RM30,000.

    “Buat masa ini pihak kami sedang menyiapkan 10 lagi kertas siasatan dan senang menanti keizinan untuk mendakwa daripada Timbalan Pendakwaraya Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Sempena Sambutan ‘World Clean Up Day’ (WCD) dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (Perkiss) sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan Peringkat Negeri 2021 di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Majlis tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman.

    Bagi mengekang kegiatan pembuangan sampah di 43 lokasi sampah haram yang masih aktif, beliau memaklumkan pemantauan sentiasa dijalankan oleh pihaknya melalui pembantu penguatkuasa.

    “Apabila lokasi sampah haram dikenal pasti, pihak kami biasanya akan menaikkan gegantung di situ. Jika ‘peringatan’ itu tidak diendahkan, maka tindakan boleh diambil di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

    “Kebanyakan sampah yang dibuat melibatkan sisa binaan dan domestik. Namun ada juga di sesetengah kawasan mereka tinggalkan sisa-sisa elektronik (e-Waste),” katanya.

  • ‘Jangan tunggu ditegur, baru kerja dijalankan’- Sultan Johor

    ‘Jangan tunggu ditegur, baru kerja dijalankan’- Sultan Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal dengan pemandangan Sungai Danga, di Johor Bahru yang dicemari dengan pelbagai sampah sarap yang mengotori sepanjang lembangan sungai.

    Justeru, baginda bertitah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan segera mengambil perhatian dan tindakan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di sungai-sungai.

    Sultan Ibrahim kesal dengan pemandangan Sungai Danga, di Johor Bahru yang dicemari dengan pelbagai sampah sarap yang mengotori sepanjang lembangan Sungai Danga

    “Exco Kesihatan dan Alam Sekitar ambil perhatian perkara ini, jangan tengok masalah kesihatan sahaja, manakala penjagaan alam sekitar juga penting untuk kehidupan rakyat.

    “Kerja-kerja perlu dilakukan secara berterusan, begitu juga aspek penguatkuasaan dan pemantauan. Jangan tunggu hingga ditegur, baru kerja hendak dijalankan,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini.

    Terdahulu, Sultan Johor mengemudi sendiri ‘Air Boat’ milik Baginda hampir sejam bermula pukul 9 pagi dengan menyusuri Sungai Danga bagi melihat kebersihan sungai serta kawasan persekitaran.

    Pemandangan Sungai Danga, di Johor Bahru yang dicemari dengan pelbagai sampah sarap

    Baginda turut bertitah Exco berkenaan supaya segera menyediakan laporan berhubung punca masalah pencemaran sampah sarap di sungai-sungai.

    “Banyak peruntukan disalurkan kepada agensi dan jabatan yang bertanggungjawab menjaga sungai dan alam sekitar, namun tiada kesan,” titah Sultan Johor.

  • Ketua-ketua sindiket penyeludupan haiwan liar dalam radar polis

    Ketua-ketua sindiket penyeludupan haiwan liar dalam radar polis

    SERAMAI 127 pemburu haram berjaya ditahan sepanjang tahun ini menerusi 11 siri Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di seluruh negara.

    Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 69 kertas siasatan telah dibuka dan 293 jerat hidupan telah dimusnahkan di lapangan sepanjang tempoh tersebut.

    Jelas beliau, sebanyak RM31.86 juta nilai sitaan juga berjaya dilakukan tahun ini iaitu paling besar berbanding dua tahun lalu iaitu sebanyak RM4.25 juta.

    “Kejayaan ini adalah adalah hasil OBK yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi lain antaranya PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan banyak lagi,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar  Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Batu Feringghi, Pulau Pinang hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

    Dalam pada itu, Abdul Kadir memberi jaminan ketua-ketua sindiket penyeludupan haiwan liar di negara ini kini berada dalam radar dan pemantauan pihaknya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Ujar beliau, pihaknya mendapati ketua-ketua sindiket itu yang masih gagal ditahan setakat ini hanya berjumlah kurang daripada 10 orang.

    “Begitupun kita yakin mereka dapat ditahan dengan kerjasama daripada pihak polis dan JKDM,” katanya.

    Jelas beliau, hidupan liar seperti tenggiling merupakan antara haiwan yang sering diseludup masuk ke negara ini yang mana dua tan haiwan berkenaan berjaya dirampas pihaknya tahun lalu.

    Tambahnya, pihaknya mendapati Malaysia menjadi transit penyeludupan bagi beberapa hidupan liar terutama tenggiling yang dibawa masuk dari Indonesia sebelum diseludup menerusi jalan udara dan laut ke beberapa negara khususnya Vietnam dan China.

    “Selain itu, negara kita juga menjadi tumpuan pemburu haram untuk mencuri beberapa spesis burung antaranya spesis murai batu untuk diseludup ke luar negara kerana mendapat permintaan yang tinggi,” katanya.

  • 19 kes keganasan ah long di Serdangdisiasat

    19 kes keganasan ah long di Serdang
    disiasat

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menyiasat 19 kes sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen di Serdang pada tahun ini yang membawa kepada tindakan pendakwaan terhadap dua individu mengikut Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

    Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan, sebanyak 18 kes disiasat pada tahun lalu dan enam individu didakwa termasuk dua diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959.

    “Jumlah kerugian melibatkan kes pemberi pinjaman wang tanpa lesen sejak tahun lalu adalah sebanyak RM114,750. Modus operandi sindiket itu adalah menggantung poster di beberapa lokasi tertentu.

    “Sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen juga mempamerkan nombor di media sosial untuk dihubungi mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Bandar Puchong, Serdang hari ini.

    Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan iklan berkenaan akan menyerahkan dokumen peribadi melalui WhatsApp tanpa bersemuka dan tidak menandatangani dokumen perjanjian.

    “Sindiket akan mengenakan kadar faedah tinggi dan kegagalan peminjam untuk membayar balik wang akan menyebabkan berlaku jenayah kekerasan terhadap mangsa dengan melakukan ugutan.

    “Sindiket itu turut merosakkan harta benda, menyimbah cat, membakar premis atau kenderaan milik mangsa,” katanya.

    Dalam pada itu, Anbalagan turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan khidmat pinjaman wang ditawarkan menerusi media sosial dan poster diiklankan.

    “Orang ramai boleh membuat pengesahan di laman di ccid.rmp.gov.my/semakmule.

    “Selain itu, individu yang mempunyai masalah boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” katanya.