oleh RIZQI ZABIDI

PERBADANAN Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah mengesan sebanyak 102 lokasi sampah haram di negeri itu sejak tiga tahun lalu.

Pengarahnya, Nordin Amat berkata, kebanyakanya lokasi sampah haram tersebut terletak di kawasan industri dalam daerah yang sedang pesat membangun antaranya Kulim dan Sungai Petani.

Katanya, sehingga kini sebanyak 59 lokasi sampah haram itu telah ditutup manakala 43 lagi lokasi masih aktif.

“Setakat ini sebnayak lapan kes sampah haram telah dibawa ke muka pengadilan dengan enam daripadanya telah disabitkan dengan kesalahan melibatkan denda antara RM10,000 hingga RM30,000.

“Buat masa ini pihak kami sedang menyiapkan 10 lagi kertas siasatan dan senang menanti keizinan untuk mendakwa daripada Timbalan Pendakwaraya Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Sempena Sambutan ‘World Clean Up Day’ (WCD) dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (Perkiss) sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan Peringkat Negeri 2021 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman.

Bagi mengekang kegiatan pembuangan sampah di 43 lokasi sampah haram yang masih aktif, beliau memaklumkan pemantauan sentiasa dijalankan oleh pihaknya melalui pembantu penguatkuasa.

“Apabila lokasi sampah haram dikenal pasti, pihak kami biasanya akan menaikkan gegantung di situ. Jika ‘peringatan’ itu tidak diendahkan, maka tindakan boleh diambil di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Kebanyakan sampah yang dibuat melibatkan sisa binaan dan domestik. Namun ada juga di sesetengah kawasan mereka tinggalkan sisa-sisa elektronik (e-Waste),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here