MAHKAMAH Tinggi mengarahkan harta milik usahawan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat disita berikutan tuntutan pampasan RM200,000 yang gagal dibayar kepada bekas stokis utamanya, OWA Resources Sdn Bhd.

Free Malaysia Today (FMT) hari ini melaporkan, perintah penyitaan itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Wahida Md Nor pada 22 November lalu, selepas membenarkan permohonan Nurwati Hussin, 41 dan Mohamed Syakir Hussin, 32 daripada OWA Resources.

Pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dijalankan pukul 10.30 pagi tadi di rumah Muhammad Sajjad yang beralamat di Kota Damansara, susulan kegagalannya membayar jumlah penghakiman pada Disember 2020.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati Sajat tidak memberi sebarang maklum balas untuk membayar pampasan setelah gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada April lalu bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada OWA Resources.

Peguam Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli daripada firma guaman NHA Advocates & Solicitors yang mewakili Nurwati dan Syakir berkata, anak-anak guamnya fokus untuk mendapatkan pampasan yang diarahkan dibayar oleh mahkamah.

Tambahnya, barang yang disita akan dilelong di bawah harga pasaran untuk menebus pampasan yang perlu dibayar kepada pihak plaintif.

“Writ penyitaan dan penjualan telah pun ditampal di premis defendan pada hari ini dan jika pihak defendan tidak membuat bayaran, semua barang yang disita akan dilelong pada 14 Disember ini.

“Sekiranya jumlah pungutan wang hasil daripada lelongan masih tidak mencukupi melalui penjualan barang yang telah disita hari ini, anak-anak guam akan mengambil langkah seterusnya bagi menyita aset-aset lain yang boleh disita dan dijual,” tambah Nurul Hafidzah.

Keputusan mahkamah itu adalah satu tamparan hebat buat Sajat setelah didapati melanggar kontrak perniagaan kerana gagal membekalkan bengkung dan ‘girdle’ kepada stokisnya seperti dipersetujui.

Terdahulu, media melaporkan Sajat bakal diisytihar muflis selepas pemfailan pemiutang dilakukan oleh bekas stokis utama bengkung usahawan tersebut, iaitu Owa Resources Sdn Bhd.

Pemfailan berkenaan dilakukan menerusi peguam Nurul Hafidzah Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor semalam.

Difahamkan, ia langkah terakhir untuk menuntut pembayaran penghakiman RM200,000 daripada Sajat.

Nurul Hafidzah menjelaskan, perintah bankrap boleh menyebabkan Sajat diisytiharkan muflis selain semua aset termasuk rumah dan akaun bank milik usahawan tersebut diuruskan Jabatan Insolvensi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here