TUNKU Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan kekalahan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 kepada Kuala Lumpur FC City (KL City) dalam Piala Malaysia semalam sebagai satu hikmah dan ‘wake up’ call.
Pemilik JDT itu berkata, pihaknya terbuka dan positif menerima kekalahan itu dan menganggapnya bukan rezeki kelab bola sepak tersebut.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi perkembangan kelab dan juga beberapa maklumat yang lain. Maklumlah orang jarang kalah ini, sekali sekala bila kalah jadi rajin pula buat kerja.
“Ada hikmah disebaliknya, bagus juga ada ‘wake-up call’. Buat apa pun jikalau Allah SWT tidak mengizinkan rezeki tersebut bukan kita punya.
“Saya rasa untuk tiga musim terakhir ini, kami menjadi terlalu selesa, terlalu yakin dan kami tidak mengeluarkan belanja untuk skuad. Tetapi kini selepas apa yang terjadi, kami akan mula berbelanja semula kerana kami sudah dicabar,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.
Tunku Mahkota Johor berkata, kekalahan tersebut menjadikan mereka lebih bermotivasi untuk bertanding tahun hadapan dan lebih obses untuk memperbaiki kesilapan dan menguatkan lagi pasukan ini
Walaupun tewas, Tunku Ismail mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada setiap penyokong dan keluarga JDT selain syabas serta tahniah kepada setiap individu dalam kelab – para pemain, barisan kejurulatihan dan staf.
Ini kerana kata Tunku Mahkota Johor, JDT mencipta sejarah sebagai satu-satunya kelab yang menang kejuaraan liga lapan tahun berturut-urut dan layak untuk peringkat tertinggi dalam Asia iaitu Liga Juara-Juara AFC.
Perkembangan terbaharu kata Tunku Ismail, JDT akan menjalani latihan pra-musim di Dubai dan Abu Dhabi untuk bermain dengan beberapa kelab di sana dan juga kelab-kelab Eropah sebagai persiapan mereka.
“Ada beberapa pemain akan dikekalkan, ada yang akan dipinjamkan keluar dan ada pemain yang akan dilepaskan. Pengarah Teknikal JDT akan membuat pengumuman kepada para penyokong dengan lebih mendalam lagi nanti.
“Saya baru ingat hendak berehat dari bola sepak tahun hadapan tetapi apa yang berlaku membuatkan saya tidak jadi berehat. Seperti yang saya pernah katakan, ‘a wounded Tiger is always eager to bounce back’,” katanya.
SERAMAI 445 pelajar sekolah di seluruh negara dikesan tidak menamatkan sesi persekolahan atas alasan ingin berkahwin bagi tempoh 2020 hingga kini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad.
Berdasarkan data Kementerian Pendidikan, Idris berkata seramai 411 orang adalah pelajar perempuan manakala baki 34 orang adalah pelajar lelaki.
“Antara negeri mencatatkan kes tinggi adalah Sarawak dengan 183 kes diikuti Sabah (86), Kelantan (43), Pahang (38), Terengganu dan Perak masing-masing 21.
“Ia diikuti Kedah (17), Selangor (12), Johor (10), Perlis dan Pulau Pinang (empat), Negeri Sembilan (tiga), Melaka (dua), dan Labuan (satu),” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik ke laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah pelajar berhenti sekolah untuk berkahwin ketika pandemik.
Menurut Idris, semua permohonan perkahwinan bawah umur bagi orang Islam dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah.
“Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri juga menetapkan bahawa mana-mana pemohon di bawah umur minimum yang hendak berkahwin hendaklah mendapatkan kebenaran daripada Hakim Syarie terlebih dahulu,” kata Idris dalam jawapan dimuat naik di laman sesawang Parlimen.
Katanya, bagi orang bukan Islam, pendaftaran perkahwinan dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara selaras dengan peruntukan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].
Bagaimanapun, Idris berkata, akta ini tidak terpakai bagi seseorang anak Negeri Sabah, Sarawak atau individu orang Asli di Semenanjung yang perkahwinan dan perceraiannya tertakluk kepada undang-undang adat anak negeri atau adat orang Asli melainkan jika mereka memilih untuk berkahwin di bawah akta ini.
ENAM enam pelajar Tingkatan Lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Ipoh dikesan positif Covid-19.
Pengetua MRSM Sultan Azlan Shah, Mohd. Khairul Anuar Shafie berkata, pelajar berkenaan semuanya melibatkan pelajar Tingkatan Lima.
“Pelajar Tingkatan Lima yang lain juga telah menjalani ujian saringan dan Alhamdulillah semua negatif,” katanya mengesahkan mengenai perkara tersebut dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pihak sekolah sentiasa memperingatkan pelajar supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, pihak pengurusan sekolah memohon sokongan ibu bapa pelajar dalam menangani situasi ini secara bersama.
SEORANG suri rumah maut selepas terkena tembakan di depan rumahnya di Tak Bai, Narathiwat dalam kejadian pada kira-kira pukul 10.20 pagi (waktu tempatan) pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis (Siasatan) Tak Bai Kapt Pol Phutida Nitichart berkata wanita yang berusia 44 tahun itu maut di tempat kejadian dengan beberapa kesan tembakan pada bahagian dada.
Beliau berkata polis telah menahan seorang lelaki di sebuah kedai kopi yang terletak berdekatan tempat kejadian.
“Saksi memberitahu polis bahawa suspek yang memakai pakaian seragam renjer telah mengugut penduduk tempatan sebelum kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Phutida berkata motif kejadian masih dalam siasatan polis. – Bernama
DUA remaja yang juga pasangan adik beradik meninggal dunia selepas motosikal mereka melanggar belakang lori sedang berundur di Jalan Kampung Pelandan – Cheting, Hulu Terengganu, semalam.
Kejadian itu berlaku pada pukul 2.45 petang melibatkan Muhammad Haiqal Abdullah, 18, dan adiknya, Muhammad Izman Hamidi Abdullah, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Tun Indera yang menunggang motosikal jenis Honda Beat.
Kedua-dua beradik tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati lori jenis Daihatsu Delta yang membawa muatan buah kelapa sawit di parkir di bahu jalan sebelah kiri arah menghala ke Kampung Pelandan, Hulu Terengganu.
“Difahamkan, pemandunya berusia 32 tahun berhenti untuk makan tengah hari. Selesai makan, lelaki tersebut dikatakan ingin pulang ke rumah di Kampung Pelandan, Hulu Terengganu.
“Semasa lori berkenaan sedang berundur, tiba-tiba datang sebuah motosikal dinaiki kedua-dua beradik itu dari arah Cheting menghala ke Kampung Pelandan, Hulu Terengganu lalu melanggar bahagian belakang sebelah bucu kiri.
“Selepas menyedari pelanggaran tersebut, pemandunya turun daripada kenderaannya dan mendapati kedua-dua beradik berkenaan telah terbaring di atas jalan, ” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mayat kedua-dua beradik tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat manakala pemandu kenderaan berat tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Lori milik sebuah syarikat itu dibawa ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Besi untuk ditimbang dan didapati berat muatan di bawa tidak melebihi muatan,” ujarnya.
Kes berkenaan disiasat mengikut 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
MAHKAMAH Sesyen Kemaman hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang penganggur selepas mengaku bersalah atas kesalahan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang wanita dua tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Karim Abu Kasim, 38, membuat pengakuan sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol wanita berkenaan di sebuah bangsal di ladang kelapa sawit di Kampung Payoh, dekat sini antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi pada 18 November 2019.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan dakwaan melakukan hubungan seks luar tabii terhadap mangsa wanita yang berusia 30 tahun pada tarikh, lokasi dan masa yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 377 (C) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dihukum penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama serta tujuh tahun penjara dan dua sebatan bagi pertuduhan kedua.
Hukuman terhadap tertuduh berjalan serentak bermula tarikh ditangkap pada 18 November 2019.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhanisah S. H. Sahul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Akmal Wahidah Abd. Halim.
KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyasarkan untuk menjadikan Tapak Geopark Kinabalu di Sabah sebagai Geopark Global kedua di negara ini yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kementeriannya dengan kerjasama pelbagai pihak kini giat berusaha ke arah itu agar kawasan tersebut dapat menuruti jejak Langkawi yang sudah pun diiktiraf sebagai tapak UNESCO Global Geopark pertama negara pada 1 Jun 2007.
“Banyak keajaiban di puncak Gunung Kinabalu yang tidak diketahui umum. Keajaiban tersebut sememangnya membantu melayakkan Kinabalu untuk mendapat pengiktirafan UNESCO.
“Satu daripada keajaaiban itu adalah kesan glasier di Puncak Kinabalu yang berusia beberapa juta tahun. Perkara itu dimaklumkan kepada saya oleh Penasihat Langkawi UNESCO Global Geopark, Profesor Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Kelestarian Luggp 2021, Projek Konservasi Alam One Tourist One Tree (1T1T) dan Projek Orang Langkawi di Hotel Aloft, Pantai Tengah, di Langkawi, hari ini.
Sebelum ini Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin turut mendedahkan bahawa Tapak Geopark Kinabalu dijangka akan mendapati pengiktirafan tersebut apada tahun depan.
Sementara iu Takiyuddin berkata, kementeriannya turt merancang untuk menyenaraikan Gunung Raya di Langkawi sebagai Taman Geoforest Granite pertama di negara ini.
“Langkah tersebuta akan membolehkan Gunung Raya tersenarai sebagai satu daripada Geopark kebangsaan,” ujarnya.
PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang mengesan terdapat harga sayuran yang meningkat sehingga 100 peratus bulan lalu seperti kacang buncis.
Bagaimanapun, beberapa jenis sayur-sayuran didapati turut mengalami penurunan harga antaranya tomato yang turun 43 peratus; brokoli (27.7 peratus) dan limau kasturi (31.5 peratus).
Menurut Pengarah PPDNHEP Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar, kenaikan harga sesetengah sayur-sayuran itu hanya bersifat sementara kerana dipengaruhi beberapa faktor seperti keadaan cuaca selain peningkatan kos racun dan baja.
“Berdasarkan apa yang dimaklumkan pembekal, kenaikan harga sayur-sayuran sering berlaku pada musim hujan serta jika ada kenaikan harga baja, jadi harganya sentiasa berubah-ubah,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi meninjau harga barang keperluan di Pasar Awam Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini.
Menurut Mohd. Ridzuan, susulan aduan yang diterima berhubung kenaikan harga sayur juga, pihaknya telah menjalankan Ops Pasar (Sayur 2) ke atas rangkaian pengedaran sayur seperti pengimport, pemborong dan peruncit di Pulau Pinang.
Menerusi operasi itu ujar beliau, Seksyen Penguat Kuasa PPDNHEP Pulau Pinang menjalankan sebanyak 100 pemeriksaan ke atas premis perniagaan dan mengeluarkan 20 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPBM) dan 10 Notis Bertulis (NB) untuk mendapatkan maklumat berhubung harga sayur-sayuran.
“Peniaga yang dikenakan notis itu perlu mengemukakan maklum balas dalam tempoh dua hingga lima hari bekerja untuk kita mendapat maklum balas berhubung punca kenaikan harga,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan jelas beliau, pihaknya juga akan menjalankan Ops Menu bermula 6 November sehingga 31 Disember depan bertujuan menangani isu manipulasi harga dan penipuan alat timbangan oleh pengusaha restoran.
Jelasnya, operasi sama sebelum ini menghasilkan dua kes dengan nilai kompaun RM500 daripada 372 pemeriksaan restoran dan kedai makan yang diperiksa bagi pematuhan penandaan harga.
“Anak muda berlagu sayang, Di Batu Remis melepas rindu, Adik ketawa di Rantau Abang, Penyu menangis siapalah tahu…,”
Begitulah petikan puisi karya Allahyarham Datuk J.M.Aziz, dendangan penghibur terkenal tanah air, Allahyarham Sudirman Arshad mengenai kesedihan penyu sewaktu ingin bertelur di pantai Rantau Abang.
Sekitar tahun 1970an dan 1980an dahulu, pantai Rantau Abang sememangnya cukup popular dan dikenali ramai, bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, tetapi juga pelancong dari dalam dan luar negara.
Ketika itu penulis masih di alam persekolahan dan boleh dikatakan setiap malam terutama pada hujung minggu, lokasi di pantai itu bagaikan pesta dipenuhi orang ramai dengan deretan beratus kenderaan termasuk kereta, motosikal, bas dan juga basikal memenuhi kawasan parkir di tepi sepanjang jalan utama, semata-mata untuk melihat keadaan penyu mendarat dan bertelur.
Malah, penulis sendiri ketika itu pernah ke Rantau Abang bersama kawan-kawan sanggup mengayuh basikal sejauh lebih 20 kilometer untuk mencari keseronokan.
Sebenarnya tiada siapa yang tahu kenapa pantai Rantau Abang sejak bertahun dahulu lagi sentiasa menjadi pilihan habitat hidupan laut tersebut untuk mendarat dan bertelur di situ.
Walau ke benua mana sekalipun ia mengembara dalam lautan luas, namun apabila tiba bulan Mei hingga Ogos setiap tahun, penyu-penyu berkenaan akhirnya kembali mendarat di tempat yang sama, di pantai Rantau Abang.
Tiada siapa yang tahu kenapa ketika itu Rantau Abang menjadi pilihan dan kenapa penyu penyu tersebut tidak memilih pantai negeri lain?
Ketika bertelur, penyu-penyu itu juga dikatakan menitiskan airmata, seakan-akan mengerti bahawa ia mungkin tidak akan bertemu lagi dengan zuriatnya.
Begitulah gambaran ringkas kisah penyu hertelur di pantai Rantau Abang yang pernah diceritakan beberapa penduduk Rantau Abang kepada penulis sehingga perkampungan nelayan yang terletak lebih 40 kilometer dari bandar Kuala Terengganu itu menjadi terkenal dan dikunjungi ramai.
Bagi penduduk kampung, mereka memiliki mitos tersendiri sejak turun temurun lagi.
Menurut seorang penduduk, Abu Bakar Yaacob, kisah bermula dari penemuan dua batu besar yang menyerupai bentuk penyu, iaitu satu di dalam paya berhampiran pantai tempat penyu bertelur dan satu lagi di atas bukit berdekatan, iaitu bukit Che Hawa yang masih ada hingga sekarang.
Menurut cerita orang tua-tua katanya, batu ‘berwajah’ penyu itu telah wujud sejak sekian lama dahulu dan ia dianggap sebagai ‘ibu penyu’.
Malah katanya, ada cerita mengatakan selepas bertelur di pantai, penyu terbabit akan merangkak masuk ke paya untuk bersama ‘ibu penyu’ buat seketika sebelum kembali semula ke laut.
“Orang dahulu anggap tindakan penyu-penyu itu adalah sebagai menghormati ibu keturunan mereka”, ceritanya.
Dan mitos inilah yang menjadikan cerita kenapa Rantau Abang sebagai santuari penyu, Jika ada yang mendarat di tempat lain, ia hanya dianggap hanya sebilangan kecil sahaja kerana tersesat.
Bagaimanapun, itu adalah cerita dahulu, hari ini bilangan penyu dari pelbagai spesis seperti Belimbing, Karah, Agar dan Lipas dari setahun ke setahun semakin berkurangan dan kebelakangan ini seakan tidak lagi ‘menangis’ dan enggan bertelur di pantai Rantau Abang?
Kenapa? apakah penyu semakin pupus disebabkan perbuatan manusia?
Mengikut kenyataan pernah dikeluarkan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, antara punca paling ketara penyu pupus disebabkan kegiatan nelayan yang menggunakan pukat pari dan pukat tunda, banyak penyu mati akibat tersangkut di dalam pukat.
Selain itu, ia turut dikaitkan dengan penjualan telur-telur penyu dijadikan barang komersil popular dan menguntungkan sehingga tidak banyak yang diram dan menetas.
Faktor lain ialah aspek pencemaran laut serta pembangunan di kawasan pantai.
Bagi mengatasi masalah ini disamping ke arah ‘meriuhkan’ semula pantai Rantau Abang, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Terengganu sejak beberapa tahun lalu termasuk penubuhan santuari penyu dan mengharamkan penjualan penyu jenis Belimbing.
Terkini, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu minggu lepas pula telah meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021), yang antara lain akan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan spesis penyu.
Ia melibatkan larangan penjualan semua spesis telur penyu dan tuntung laut yang akan dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun depan.
Pindaan itu bertujuan melindungi dan mengelakkan kepupusan semua spesis penyu termasuk tuntung laut sekali gus meningkatkan jumlah denda yang lebih tinggi terhadap kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu iaitu RM50,000 hingga RM250,000 berbanding hanya RM3,000 sebelum ini.
HANYA seramai 8,733 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara setakat ini menerima dos vaksin penggalak (booster) Covid-19.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah itu merangkumi kira-kira 7.6 peratus daripada keseluruhan 106,352 anggota dan pegawai PDRM.
Menurut beliau, jumlah itu walaupun kecil bukan disebabkan anggota dan pegawai PDRM menolak suntikan vaksin penggalak berkenaan sebaliknya sedang menunggu giliran seperti diperuntukan Kementerian Kesihatan (KKM).
Jelasnya, PDRM sentiasa menggalakkan anggotanya mengambil vaksin Covid-19 termasuk suntikan penggalak dan setakat ini tiada kes anggota atau pegawai polis yang menolak suntikan vaksin tersebut.
“Kita sedang menunggu giliran daripada KKM untuk anggota dan pegawai yang masih belum menerima dos penggalak ini menerima suntikan tersebut dan biarlah proses pemberian itu mengikut seperti apa yang ditetapkan (daripada segi giliran).
“Ketika ini kita juga ke arah untuk mencapai 100 peratus anggota dan pegawai PDRM menerima suntikan vaksin Covid-19 melainkan yang melibatkan masalah-masalah perubatan atau tidak boleh menerima suntikan atas nasihat doktor,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan zakat kepada asnaf, balu, anak yatim dan pesara polis di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban, hari ini.
Dalam majlis itu seramai 40 orang masing-masing sembilan asnaf; dua balu; 20 pesara dan sembilan mualaf menerima sumbangan berupa bakul makanan bernilai RM100 dan wang tunai sebanyak RM200.
Dalam perkembangan lain, Mazlan memaklumkan polis Pulau Pinang akan menerima sebuah ibu pejabat kontinjen (IPK) baharu yang akan dibina di daerah Timur Laut di sini.
Katanya, pembinaan IPK baharu dengan anggaran kos RM300 juta itu sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan kini dalam proses pemberian tender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Tambah beliau, pembinaan IPK baharu iti kelak bakal menyediakan kira-kira 200 unit rumah anggota dan pegawai PDRM selain turut dilengkapi pelbagai kemudahan dan fasiliti lain.
“Pembinaan IPK baharu ini juga menunjukkan kerajaan Pusat prihatin terhadap kebajikan anggota polis dan kita sangat berterima kasih atas keprihatinan ini.
“Dalam situasi di Pulau Pinang pula, IPK baharu ini sudah semestinya memberi kemudahan kepada anggota dan pegawai memandangkan kos sewa rumah adalah tinggi jika dibandingkan dengan elaun rumah yang diterima mereka,” katanya.