“Anak muda berlagu sayang,
Di Batu Remis melepas rindu,
Adik ketawa di Rantau Abang, Penyu menangis siapalah tahu…,”

Begitulah petikan puisi karya Allahyarham Datuk J.M.Aziz, dendangan penghibur terkenal tanah air, Allahyarham Sudirman Arshad mengenai kesedihan penyu sewaktu ingin bertelur di pantai Rantau Abang.

Sekitar tahun 1970an dan 1980an dahulu, pantai Rantau Abang sememangnya cukup popular dan dikenali ramai, bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, tetapi juga pelancong dari dalam dan luar negara.

Ketika itu penulis masih di alam persekolahan dan boleh dikatakan setiap malam terutama pada hujung minggu, lokasi di pantai itu bagaikan pesta dipenuhi orang ramai dengan deretan beratus kenderaan termasuk kereta, motosikal, bas dan juga basikal memenuhi kawasan parkir di tepi sepanjang jalan utama, semata-mata untuk melihat keadaan penyu mendarat dan bertelur.

Malah, penulis sendiri ketika itu pernah ke Rantau Abang bersama kawan-kawan sanggup mengayuh basikal sejauh lebih 20 kilometer untuk mencari keseronokan.

Sebenarnya tiada siapa yang tahu kenapa pantai Rantau Abang sejak bertahun dahulu lagi sentiasa menjadi pilihan habitat hidupan laut tersebut untuk mendarat dan bertelur di situ.

Walau ke benua mana sekalipun ia mengembara dalam lautan luas, namun apabila tiba bulan Mei hingga Ogos setiap tahun, penyu-penyu berkenaan akhirnya kembali mendarat di tempat yang sama, di pantai Rantau Abang.

Tiada siapa yang tahu kenapa ketika itu Rantau Abang menjadi pilihan dan kenapa penyu penyu tersebut tidak memilih pantai negeri lain?

Ketika bertelur, penyu-penyu itu juga dikatakan menitiskan airmata, seakan-akan mengerti bahawa ia mungkin tidak akan bertemu lagi dengan zuriatnya.

Begitulah gambaran ringkas kisah penyu hertelur di pantai Rantau Abang yang pernah diceritakan beberapa penduduk Rantau Abang kepada penulis sehingga perkampungan nelayan yang terletak lebih 40 kilometer dari bandar Kuala Terengganu itu menjadi terkenal dan dikunjungi ramai.

Bagi penduduk kampung, mereka memiliki mitos tersendiri sejak turun temurun lagi.

Menurut seorang penduduk, Abu Bakar Yaacob, kisah bermula dari penemuan dua batu besar yang menyerupai bentuk penyu, iaitu satu di dalam paya berhampiran pantai tempat penyu bertelur dan satu lagi di atas bukit berdekatan, iaitu bukit Che Hawa yang masih ada hingga sekarang.

Menurut cerita orang tua-tua katanya, batu ‘berwajah’ penyu itu telah wujud sejak sekian lama dahulu dan ia dianggap sebagai ‘ibu penyu’.

Malah katanya, ada cerita mengatakan selepas bertelur di pantai, penyu terbabit akan merangkak masuk ke paya untuk bersama ‘ibu penyu’ buat seketika sebelum kembali semula ke laut.

“Orang dahulu anggap tindakan penyu-penyu itu adalah sebagai menghormati ibu keturunan mereka”, ceritanya.

Dan mitos inilah yang menjadikan cerita kenapa Rantau Abang sebagai santuari penyu, Jika ada yang mendarat di tempat lain, ia hanya dianggap hanya sebilangan kecil sahaja kerana tersesat.

Bagaimanapun, itu adalah cerita dahulu, hari ini bilangan penyu dari pelbagai spesis seperti Belimbing, Karah, Agar dan Lipas dari setahun ke setahun semakin berkurangan dan kebelakangan ini seakan tidak lagi ‘menangis’ dan enggan bertelur di pantai Rantau Abang?

Kenapa? apakah penyu semakin pupus disebabkan perbuatan manusia?

Mengikut kenyataan pernah dikeluarkan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, antara punca paling ketara penyu pupus disebabkan kegiatan nelayan yang menggunakan pukat pari dan pukat tunda, banyak penyu mati akibat tersangkut di dalam pukat.

Selain itu, ia turut dikaitkan dengan penjualan telur-telur penyu dijadikan barang komersil popular dan menguntungkan sehingga tidak banyak yang diram dan menetas.

Faktor lain ialah aspek pencemaran laut serta pembangunan di kawasan pantai.

Bagi mengatasi masalah ini disamping ke arah ‘meriuhkan’ semula pantai Rantau Abang, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Terengganu sejak beberapa tahun lalu termasuk penubuhan santuari penyu dan mengharamkan penjualan penyu jenis Belimbing.

Terkini, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu minggu lepas pula telah meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021), yang antara lain akan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan spesis penyu.

Ia melibatkan larangan penjualan semua spesis telur penyu dan tuntung laut yang akan dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun depan.

Pindaan itu bertujuan melindungi dan mengelakkan kepupusan semua spesis penyu termasuk tuntung laut sekali gus meningkatkan jumlah denda yang lebih tinggi terhadap kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu iaitu RM50,000 hingga RM250,000 berbanding hanya RM3,000 sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here