Author: Admin

  • Tiada ladang penternakan babi di kawasan lokaliti JE

    Tiada ladang penternakan babi di kawasan lokaliti JE

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesahkan tiada ladang penternakan babi beroperasi di kawasan lokaliti wabak Japanese Encephalitis (JE) di daerah Kota Setar.

    Pengarahnya, Dr. Othman Warijo berkata, tinjauan pihaknya termasuk dengan menggunakan dron mendapati tiada sebarang lokasi berisiko di kawasan tersebut kecuali kehadiran burung hijrah di kawasan bendang.

    Dalam masa sama katanya, kalangan penduduk di situ juga tidak pernah mengadu mengenai kehadiran babi liar atau babi hutan di kawasan tersebut.

    “Sehubungan itu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Veterinar, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar telah mengenal pasti lokasi untuk menangkap burung hijrah bagi ujian virus JE.

    “Hasil kajian entomologi di lokaliti wabak juga telah menemukan 11 pembiakan nyamuk Culex Tritaeniorhynchus dan Culex Sitiens yang berpotensi menyebarkan virus JE,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sejak 25 November lalu, JKN Kedah memaklumkan terdapat dua kematian melibatkan kes JE yang mula dikesan pada 18 dan dan 25 November lalu.

    Secara keseluruhannya terdapat tiga kematian di Kedah akibat JE tahun ini dengan jumlah kes juga meningkat kepada 10 berbanding cuma lapan pada tahun lalu.

    Othman menambah, pengesanan kes secara aktif (ACD) turut telah dijalankan terhadap 674 daripada 2,926 penduduk yang tinggal di kedua-dua lokaliti wabak tersebut.

    “Sehingga kini, tiada penduduk didapati bergejala. Setakat ini kami juga telah melaksanakan semburan ruang termal di 412 premis dan semburan ruang Ultra Low Volume (ULV) di 912 premis bagi menghalang pembiakan nyamuk itu,” katanya.

    Tambahnya, JKN dalam masa sama turut menggunakan sebanyak 672 mililiter (ML) Abate 500E bagi tujuan ‘larvaciding’.  

  • Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia-Khairy

    Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia-Khairy

    MENTERI Kesihatan (KKM), Khairy Jamaluddin, hari ini memberitahu, kes pertama positif varian yang dibimbangi (VOC) Omicron telah dikesan di Malaysia.

    Beliau dalam sidang media memaklumkan, kes itu melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021.

    “Warga asing itu telah menjalani ujian RT-PCR COVID-19 setibanya di pintu masuk antarabangsa (PMA). Beliau merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak,” katanya dalam sidang akhbar tersebut.

    Kes telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.

    Perjalanan kes dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti.

    Kes menjalani kuarantin seorang diri di penginapan tersebut dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, beliau patuh kepada perintah yang dikeluarkan.

  • Dua jurujual ditahan bersubahat samun kedai jam

    Dua jurujual ditahan bersubahat samun kedai jam

    DUA jurujual yang bekerja di sebuah kedai jam ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kes samun di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, 7.30 malam kelmarin.

    Kedai jam berkenaan disamun seorang lelaki semasa kedua-dua suspek sedang bekerja di premis tersebut.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki berkenaan memakai pelitup muka sambil membawa beg galas berwarna hitam serta dua beg plastik berwarna putih dan hijau.

    “Hasil siasatan awal mendapati kali terakhir suspek (penyamun) dilihat berjalan kaki keluar menuju ke Jejantas Abdullah Hukum.

    “Buat masa ini, pihak polis menjalankan tangkapan ke atas pengadu iaitu seorang wanita tempatan berusia 41 tahun dan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang bekerja di kedai tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Amihizam berkata, sebanyak lapan utas jam tangan termasuk sebuah telefon pintar milik pengadu dilarikan oleh suspek dan nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM262,000.

    “Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Redmi berwarna hitam beserta kad sim bagi membantu siasatan,” katanya

    Menurutnya, kedua-dua suspek itu direman sehari.

  • Covid-19: 150 pelajar SSP Cyberjaya dipindah ke IAB

    Covid-19: 150 pelajar SSP Cyberjaya dipindah ke IAB

    SERAMAI 150 pelajar Tingkatan 5 Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya yang menjadi kontak rapat kepada pelajar sekolah berkenaan yang positif Covid-19 dipindahkan ke Institut Aminuddin Baki (IAB), Bandar Enstek, Seremban malam tadi.

    Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata, ia bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan dengan lebih dekat oleh pasukan perubatan dalam sebuah pusat kuarantin dengan setiap bilik menempatkan dua pelajar.

    “Sebentar tadi (malam tadi) saya ke IAB di Bandar Enstek, Negeri Sembilan bagi meninjau persediaan pusat kuarantin ini menerima kemasukan murid yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 di SSP.

    “Insyaallah murid lain juga akan terus dipantau di sekolah dan sebarang perkembangan lanjut kita akan maklumkan kepada ibu bapa secepat mungkin.

    “Alhamdulillah di sini (IAB) disediakan dengan baik dan selesa bagi memastikan anak-anak yang dikuarantin berada dalam keadaan kondusif,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik ke Facebooknya malam tadi.

    Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak dan agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam memastikan pemantauan dibuat dengan lancar dan baik termasuk sokongan dan dukungan ibu bapa.

    Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Sha’ari Ngadiman berkata, kes positif Covid-19 di sekolah terbabit kini adalah sebanyak 139 kes melibatkan 114 pelajar, 15 guru dan 10 petugas. – Bernama

  • Selepas 9 tahun melarikan diri, Datuk Paiman akhirnya meringkuk 13 tahun di penjara

    Selepas 9 tahun melarikan diri, Datuk Paiman akhirnya meringkuk 13 tahun di penjara

    ‘SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya ke tanah juga.’

    Mungkin perumpamaan ini sesuai digunakan untuk satu kes menarik yang dibicarakan di mahkamah hari ini apabila seorang ahli perniagaan yang pernah melarikan diri dari dikenakan hukuman penjara, akhirnya berjaya juga diberkas polis.

    Tidak diketahui punca ahli perniagaan itu kembali ke Malaysia selepas sekian lama di negara jiran, beliau yang menggunakan pasport Indonesia ditahan polis selepas ujian biometrik mendapati adalah ‘si pesalah’ yang pernah melarikan diri selepas dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

    Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan ahli perniagaan tersebut, Datuk Paiman Shakimon menjalani hukuman penjara 13 tahun yang pernah dijatuhkan terhadapnya sebelum ini.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memerintahkan Paiman, 62, yang hadir ke mahkamah menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadapnya yang disabitkan kesalahan menipu dan memalsukan dokumen.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Datin Asmah Musa memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh yang telah menghilangkan diri selama sembilan tahun berjaya diberkas polis.

    “Tertuduh didapati masuk ke Malaysia menggunakan pasport Indonesia. Hasil semakan menggunakan sistem biometrik cap jarinya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan dia sememangnya Paiman bin Shakimon,” katanya.

    Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria menafikan dia adalah ‘Paiman Shakimon’.

    Muhammad Jamil menolak penafian tertuduh itu atas alasan keputusan cap jari JPN jelas menunjukkan identiti sebenarnya.

    Paiman sebelum ini merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara 13 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadapnya pada 2011 selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta.

    Bagaimanapun, ketika rayuannya ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi, lelaki itu menghilangkan diri dan pada 20 Julai 2012, mahkamah mengeluarkan waran tangkap serta waran pemenjaraan juga dikeluarkan terhadapnya pada 11 Oktober tahun sama kerana gagal hadir pada prosiding rayuannya.

    Paiman dihukum penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 April 2011 selepas didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua Datuk lain dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.

    Bagaimanapun, Paiman hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun selepas Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan hukuman itu berjalan serentak. – Bernama

  • Tanam sendiri sayur elak kenaikan harga melambung

    Tanam sendiri sayur elak kenaikan harga melambung

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan pengguna di seluruh negara menanam sayur-sayuran sendiri bagi mengurangkan beban kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini.

    Perkara itu berikutan harga sayur-sayuran telah meningkat setiap hari secara beransur-ansur dan harga yang melambung tinggi itu dijangka bertahan untuk tempoh agak lama.

    Malah, Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, Persatuan Penjual Sayur-sayuran juga telah menegaskan keadaan kenaikan harga sayur itu mungkin berterusan sehingga Tahun Baharu Cina akan datang.

    Jelas beliau, menanam sendiri sayur di rumah boleh menjimatkan kos dan mudah dengan pengguna boleh bermula dengan menanam sayur-sayuran yang biasa dimakan.

    Subbarow menanam sendiri sayur-sayuran di rumah tidak memerlukan ruang yang besar

    Apatah lagi katanya, menanam sendiri sayur-sayuran di rumah tidak memerlukan ruang yang besar.

    “Tumbuhan berbuah seperti bendi, terung, cili dan sayur-sayuran berdaun seperti sawi, kangkong, kalian, bayam dan tanaman saka pudina, pegaga, kesum dan selom boleh ditanam dengan mudah walaupun di balkoni.

    “Barangan rumah yang biasa digunakan seperti karton susu, jus dan botol minuman serta bekas kecil boleh digunakan untuk tumbuhan yang mempunyai sistem akar yang lebih kecil seperti sayur-sayuran berdaun.

    “Bagi tumbuhan yang mempunyai akar yang lebih besar seperti bendi dan terung, tin biskut bekas sejuk, botol minyak dan air lima liter boleh digunakan dengan mudah sebagai media tanam.

    “Dengan cahaya matahari yang betul, air dan kompos sesiapa sahaja boleh menanam dan menuai sayur-sayuran walaupun di tempat yang kecil,” katanya.

    Tambah beliau, CAP mengadakan latihan berkala pertanian bandar untuk mereka yang berminat untuk belajar terutamanya suri rumah menanam sayur-sayuran sendiri di rumah.

    Selain itu katanya, CAP juga mengeluarkan baja vermi dan penggalak pertumbuhan tumbuhan dan tanah yang diperkaya dengan harga yang berpatutan bagi mereka yang ingin memulakan berkebun.

    Subbarow menunjukkan bukan sahaja sayur daun tetapi juga serai ditanam di kawasan Pejabat CAP

    Tambah beliau, panduan berkebun di rumah dan pengurusan perosak yang ringkas untuk pelajar baharu juga tersedia dijual di pejabat CAP.

    “Memulakan taman rumah sendiri adalah berbaloi kerana akan memberi manfaat kepada seluruh ahli keluarga untuk menikmati sayur-sayuran segar dan bebas kimia.

    “Mereka yang tinggal di bangunan kediaman bertingkat tinggi yang mempunyai ruang terhad juga boleh mengamalkan taman bandar dengan berkesan selagi mereka dapat memastikan tanaman mereka mendapat cahaya matahari,” katanya.

    Mereka yang berminat untuk menyertai latihan pertanian semula jadi boleh mendaftar di pejabat CAP atau menghubungi talian 04-8299511 atau Subbarow di 012-5374899.

  • Penantian 20 tahun Orang Asli dapat bekalan elektrik sempurna berakhir

    Penantian 20 tahun Orang Asli dapat bekalan elektrik sempurna berakhir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah lebih 70 penduduk Kampung Orang Asli Berasau di Kahang, Kluang apabila secara rasmi mendapat bekalan elektrik daripada sumber tenaga solar hari ini, selepas lebih 20 tahun menantikannya.

    Seramai 17 keluarga yang berusia empat hingga 70 tahun di kampung itu sebelum ini bergantung dengan penjana elektrik menggunakan diesel bagi mendapatkan bekalan elektrik selama dua jam setiap hari.

    Kehidupan mereka berubah menerusi program Sentuhan Harapan MEKAR Johor@Kluang diusahakan Yayasan Petronas yang membawa ‘cahaya’ untuk 11 rumah, dua rumah adat dan sebuah balai raya di kampung itu, mereka dapat menikmati bekalan elektrik secara konsisten.

    Yayasan Petronas mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor, penduduk kampung itu dan Yayasan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dalam menjayakan dan merasmikan program tersebut, hari ini.

    Menurut Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria, program itu bertujuan membantu meningkatkan taraf hidup dan pertumbuhan ekonomi penduduk kampung melalui penyediaan bekalan elektrik daripada sumber tenaga solar.

    “Kampung Orang Asli Berasau yang terletak 50 kilometer dari bandar Kluang ini merupakan satu-satunya penempatan di Johor yang masih tidak mempunyai akses kepada rangkaian grid nasional.

    Vidyananthan (tengah) bersama-sama delegasi melawat rumah adat yang telah dipasang dengan sistem solar selepas Sentuhan Harapan MEKAR Johor@Kluang di Kampung Orang Asli Berasau, Kahang, Kluang, hari ini

    “Di bawah insiatif solar ini, setiap rumah akan menerima bekalan elektrik asas daripada sumber tenaga solar, bateri boleh dicas semula dan mampu bertahan tiga hari sewaktu musim hujan selain lampu LED, kipas dinding dan beberapa port USB untuk mengecas telefon.

    “Dengan adanya bekalan elektrik daripada sumber tenaga solar, setiap isi rumah boleh mendapatkan penjimatan sebanyak RM450 setiap bulan, sekali gus mengurangkan bebanan kewangan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program itu.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis dan Tok Batin kampung itu, Sari Achu.

    Sazli berkata, komuniti kampung tersebut sudah diajar dan dilatih untuk melakukan penyelenggaraan asas pada panel solar untuk memastikan kecekapan dan kemampanannya.

    Selain itu ujarnya, sistem tenaga solar tersebut juga telah diperiksa dan disahkan oleh pakar teknikal untuk tujuan keselamatan.

    Tambahnya, usaha di bawah Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) itu merupakan sebahagian tumpuan pembangunan dan kesejahteraan Yayasan Petronas, selari agenda kelestarian Petronas dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

  • Polis cekup 42 PATI baru mendarat dalam lori

    Polis cekup 42 PATI baru mendarat dalam lori

    SERAMAI 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang baru mendarat sebelum dibawa dalam sebuah lori berpenutup penuh ditahan polis di tepi jalan besar Parit 3, Sungai Burong, Kuala Selangor, awal pagi ini.

    Semua PATI berusia lingkungan 40-an ditahan pada pukul 2 pagi ketika baru sahaja mendarat dengan mengikut jalan tidak diwartakan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, PATI tersebut terdiri daripada 34 lelaki dan lapan wanita.

    “Mereka dibawa menaiki sebuah lori yang disyaki berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun katanya, pemandu lori melarikan diri dan polis merampas kenderaan terbabit.

    “Semua Pati dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom),” katanya.

  • Sultan Johor zahir penghargaan bantuan Singapura semasa Covid-19

    Sultan Johor zahir penghargaan bantuan Singapura semasa Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa terima kasih kepada Singapura atas segala bantuan yang dihulurkan ketika tempoh pandemik Covid-19 di negeri itu.

    Perkara tersebut disuarakan baginda yang berkenan menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan di Johor Bahru hari ini.

    Menerusi pertemuan itu, Balakrishnan menyampaikan surat daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang mempersilakan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membuat lawatan rasmi ke negara itu.

    “Saya gembira dapat berjumpa dengan Balakrishnan setelah sekian lama, akibat pandemik ini. Johor amat berterima kasih kepada Singapura atas segala bantuan yang dihulurkan ketika tempoh ini.

    “Apa-apa yang berlaku kepada kita memberi kesan kepada Singapura, begitu juga sebaliknya. Justeru, adalah amat penting untuk hubungan baik antara kita sentiasa dijaga dan dipelihara,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office (RPO) selepas pertemuan itu.

    Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

    Sultan Ibrahim menerima surat disampaikan Balakrishnan daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, mempersilakan baginda untuk membuat lawatan rasmi ke negara jiran itu

    Untuk rekod, Singapura menyumbang 100,640 dos vaksin Pfizer kepada kerajaan negeri Johor.

    Sebelum ini, pemerintah Singapura telah menyumbang sebanyak 20,000 dos vaksin Sinovac pada 29 Julai lalu.

    Selain itu, pada 28 Jun lalu, Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura menyumbangkan sebanyak

    500,000 pelitup muka dan 1,050 perkakas ventilator Non Invasive (BIPAP) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

  • Positif Covid-19: MRSM Pendang dinasihatkan henti operasi

    Positif Covid-19: MRSM Pendang dinasihatkan henti operasi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menasihatkan supaya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang menghentikan operasinya selama tiga hari bermula esok setelah tiga guru di situ disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

    Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo, ketiga-tiga guru tersebut kini diarahkan untuk menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO).

    Selain itu katanya, 30 lagi guru telah dikenal pasti sebagai kontak rapat dan turut diarahkan menjalani HSO.

    “Nasihat untuk menghentikan operasi itu dikeluarkan bagi tujuan sanitasi dan siasatan.

    “Dua daripada guru yang positif itu tinggal di taman perumahan manakala seorang lagi tinggal di kuarters MRSM tersebut,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.

    Beliau memaklumkan, kes positif melibatkan guru tersebut dikesan antara 26 November lalu hingga hari ini.

    “Walaupun MRSM tersebut tidak beroperasi untuk tempoh tiga hari ini, namun para pelajarnya tetap tinggal di asrama dan tidak pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

    Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman mengesahkan setakat ini tiada pelajar dikesan positif.

    “Pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sudah mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang penularan Covid-19 di sekolah tersebut.

    “Setakat ini siasatan lanjut sedang dijalankan bagi pasti kontak rapat serta punca penularan tersebut,” katanya.

    Tambahnya, tiga guru yang disahkan positif itu sudah menerima vaksinasi lengkap dan keadaan mereka juga stabil.

    Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman memaklumkan, setakat ini tiada pelajar di sekolah berkenaan didapati positif.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan dan saya harap orang ramai tidak bimbang kerana JKN sudah pun mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang penularan Covid-19 di sekolah itu.

    “Mereka yang disahkan positif itu sudah pun menerima dua dos suntikan vaksin dan keadaan mereka tidak teruk,” katanya.