Author: Admin

  • Skandal 1MDB: Pendakwaan mohon tangguh perintah lucut hak barangan mewah

    Skandal 1MDB: Pendakwaan mohon tangguh perintah lucut hak barangan mewah

    PIHAK pendakwaan memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah melucut hak barangan mewah dirampas daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, anak mereka dan beberapa individu yang diputuskan Mahkamah Tinggi.

    Barangan itu termasuk beg tangan pelbagai jenama, 27 kenderaan dan wang tunai pelbagai mata wang yang disita daripada Najib, Rosmah, dua anak mereka dan lima lagi responden yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Pendakwaan selaku pemohon memfailkan notis usul permohonan penangguhan itu bersama afidavit sokongan pada 24 Nov lalu, dengan menamakan Najib, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib), anak mereka Nor Ashman Razak, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Goh Gaik Ewe, Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri Lim Hwee Bin sebagai responden pertama hingga kesembilan.

    Berdasarkan afidavit sokongan itu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong berkata pada 8 Nov lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta-harta diwartakan itu dan tiada perintah diberikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagi harta tersebut dipulangkan kepada pihak menuntut.

    Menurut Harris Ong, permohonan penangguhan tersebut dibuat sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan yang difailkan pada 16 Nov lepas.

    Beliau mendakwa terdapat keadaan khas yang menyokong permohonan pemohon untuk perintah penangguhan itu antaranya status quo harta disita perlu dikekalkan sehingga keputusan di Mahkamah Rayuan, bagi menjaga kepentingan kedua-dua pihak terutamanya pemohon yang mewakili Kerajaan Malaysia.

    “Harta disita tersebut melibatkan jumlah yang besar dan merupakan dana awam, maka kepentingan awam akan dapat dipelihara dengan membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan perintah ini.

    “Sekiranya permohonan ini (penangguhan) ditolak dan pemohon berjaya dalam rayuan di Mahkamah Rayuan, tiada jaminan pemohon akan memperoleh semula harta disita tersebut kerana dikhuatiri harta itu akan dilupuskan responden sebelum rayuan pemohon didengar Mahkamah Rayuan,” kata Harris Ong dalam afidavit itu.

    Sementara itu, Harris Ong ketika ditemui Bernama selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas hari ini, berkata mahkamah menetapkan 14 Jan 2022 untuk kesemua responden memfailkan afidavit jawapan selain menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 17 Feb 2022.

    Pada 8 Nov lepas, Hakim Mohamed Zaini juga membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak aset daripada lapan responden lain kerana mereka tidak membantah permohonan tersebut iaitu Mohd Kyizzad Mesran, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd dan tiga bekas pegawai 1MDB yang telah melarikan diri, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun.

    Jabatan Peguam Negara memfailkan notis usul pada 8 Mei 2019, berhubung pelucutan hak terhadap ratusan barangan, termasuk beg tangan pelbagai jenama dan 27 kenderaan yang dirampas daripada Najib, Rosmah, tiga anak mereka termasuk Nooryana Najwa serta 13 individu dan syarikat dikatakan berkaitan 1MDB.

    Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara membenarkan permohonan representasi anak Najib, Nooryana Najwa yang mahu barangan milik beliau antaranya beg tangan dan kasut dikembalikan.

    Antara barangan dinyatakan dalam notis itu ialah beg tangan, kasut dan jam tangan pelbagai jenama serta wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dirampas polis pada 17 Mei 2018 dan 11 Jun 2018 serta 27 kenderaan Nissan yang dirampas pada 2 Ogos 2018 dan sebidang tanah di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

    Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dalam beberapa akaun bank di Bank Islam Malaysia Bhd, Al-Rajhi Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, AmBank Bhd dan Hong Leong Bank Bhd, dibeku antara 16 Ogos, 2018 dan 11 Mac 2019. – Bernama

  • Arak tiruan RM1.2 juta dirampas PGA

    Arak tiruan RM1.2 juta dirampas PGA

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    ARAK seludup berjumlah RM1.2 juta dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam susulan penahanan dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah premis di Bukit Treh, Muar, semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, kedua-dua suspek yang berusia 29 tahun ditahan dalam Op Kontraban yang dilakukan pada pukul 11 pagi.

    “Hasil siasatan mendapati suspek sudah menjalankan aktiviti penjualan arak tidak bercukai dengan menjadikan premis tersebut sebagai tempat memproses arak tidak bercukai.

    “Dalam serbuan itu kita merampas dua tong biru mengandungi 200 liter (L) cecair pati arak, dua tong biru mengandungi 200L cecair tiruan, 35, 48 dan 80 kotak mengandungi 170 mililiter (ml), 350ml dan 700ml arak jenis Club 99,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dimin berkata, turut dirampas 110 dan 125 kotak mengandungi 375ml dan 750ml arak jenis Mcdowell’s selain 54 kotak mengandungi 350ml arak jenis Grand Royal.

    Hasil siasatan mendapati premis berkenaan menjalankan kegiatan haram memproses arak tidak bercukai

    Susulan serbuan tersebut katanya, PGA dipandu arah oleh suspek melakukan serbuan di Parit Kadir Darat, Bukit Pasir dan Parit Jamil, Parit Jawa di sini sebelum menemukan 14 tong biru mengandungi 200L cecair pati arak.

    Katanya, menerusi tiga serbuan tersebut pihaknya merampas kamera litar tertutup (CCTV) selain 10 kenderaan termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lima lori selain satu fortlift.

    Menurut beliau, jumlah keseluruhan nilai arak tersebut RM1.2 juta manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan RM3.5 juta.

    Siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 (kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak).

    Dimin menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280.

  • Profesor bunuh isteri, anak sebab takutkan Omicron

    Profesor bunuh isteri, anak sebab takutkan Omicron

    SEORANG profesor perubatan di India membunuh isteri dan dua anaknya di Apartmen Divinity di Indiranagar, timur Bangalore.

    Suspek yang dikenali Dr. Sushil Kumar memberi alasan melakukan demikian kerana mahu ‘membebaskan’ mereka daripada kesakitan.

    Profesor perubatan forensik bertugas di Kolej Perubatan Rama itu turut menghubungi adik lelakinya selepas insiden dan memintanya memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

    India Times melaporkan mangsa adalah isteri Sushil, Chandraprabha, 48, anak lelaki, Shikhar, 18, dan anak perempuan mereka yang berusia 10 tahun.

    Polis menemui nota dipercayai ditulis Sushil yang berbunyi, “saya sudah bosan mengira jumlah mayat dan tiada yang terlepas daripada Omicron.”

    Sushil juga memaklumkan yang tindakannya semata-mata ‘membebaskan semua orang daripada kesakitan’.

    Apabila adiknya yang bekerja di pusat kesihatan awam tiba, dia menemui kakak ipar, anak saudara lelaki dan perempuan terbaring dengan tukul yang dipercayai digunakan membunuh mereka terletak berhampiran.

    Omicron adalah varian baharu Covid-19 yang menjadi ancaman terbesar kerana dikatakan lebih berbahaya daripada varian sedia ada.

    Sekurang-kurangnya lima kes varian itu dikesan di India dan tiada kematian dilaporkan.

  • Mindef, ATM capai KPI libatkan enam aspirasi – Hishammuddin

    Mindef, ATM capai KPI libatkan enam aspirasi – Hishammuddin

    ENAM aspirasi yang disasar dalam tempoh 100 hari pertama Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan (Mindef) dicapai dengan jayanya, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu, keenam-enam aspirasi tersebut merangkumi memerangi Covid-19; mengawal sempadan negara dan mengeratkan kerjasama antarabangsa.

    Katanya, itu termasuk memenuhi keperluan kediaman anggota; membela kebajikan veteran ATM dan melaksanakan program jiwa murni.

    Hishammuddin berkata, pencapaian itu tidak berhenti di situ sahaja, sebaliknya beliau bersama-sama seluruh warga kerja Mindef enggan berlengah dan meneruskan perancangan untuk 100 hari akan datang mulai esok.

    “Esok, Mindef akan memulakan perancangan pasca 100 harinya dan Insya-Allah saya sendiri akan melihat apakah dasar dan inisiatif yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun 2022 melalui Pelan Tindakan 2022.

    “Mindef akan turut memberi tumpuan terhadap perancangan jangka masa panjang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Pelan Strategik Mindef 2021-2025 serta Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perbarisan Aspirasi Keluarga Malaysia – sempena 100 Hari Pertama Pentadbiran di bawah Menteri Kanan Pertahanan, di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengulas pencapaian ATM dan Mindef secara lanjut, Hishammuddin berkata, melalui operasi Combat Medic Vaccination Team khususnya di Sabah dan Sarawak, bantuan yang dihulurkan berjaya memberi vaksinasi kepada 25,092 penduduk pedalaman.

    Untuk inisiatif Vaksinasi Pandu Lalu pula, kata beliau, dalam tempoh kurang dua bulan, seramai 14,097 remaja menerima vaksinasi lengkap.

  • Seludup 29,930 kotak rokok, dua lelaki ditahan

    Seludup 29,930 kotak rokok, dua lelaki ditahan

    DUA lelaki tempatan ditahan kerana menyeludup 29,930 kotak rokok dan 2,993 karton rokok putih tidak bercukai dianggarkan bernilai RM300,000 di sebuah premis di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.

    Kedua-dua suspek yang ditahan kira-kira pukul 5.30 petang itu berusia 58 dan 38 tahun.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, hasil soal siasat seorang daripada suspek telah membawa polis ke sebuah lagi premis di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

    “Susulan itu polis menemukan 807 karton rokok jenama M-One warna merah berjumlah 8,070 kotak rokok pada 8 malam itu.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan kesemua suspek ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan, Kuala Lumpur manakala reman suspek dimohon di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah hari ini untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhammad Idzam menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 0083, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan untuk tindakan segera.

  • Guru wanita kerugian RM199,111 ditipu ‘ejen insurans

    Guru wanita kerugian RM199,111 ditipu ‘ejen insurans

    SEORANG guru wanita berusia 50 tahun diperdaya RM199,111 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans pada bulan lalu.

    Suspek menghubungi mangsa pada 10 Oktober lalu yang mendakwa kononnya daripada ejen insurans dan mengatakan guru wanita itu telah membuat tuntutan insurans sebanyak empat kali dengan jumlah RM76,800.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, Superitendan E. Sundra Rajan berkata, mangsa telah menafikan perkara tersebut, namun panggilan itu disambungkan ke Balai Polis Pudu.

    “Panggilan mangsa disambungkan kepada SM Azman yang mengatakan pengadu terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram berkait dengan seorang suspek lelaki bernilai RM2.8 juta.

    “Panggilan mangsa seterusnya disambungkan kepada Inspektor Mastura yang memberitahu dia boleh membantu mangsa menyelesaikan kes itu, sebelum mangsa menerima satu lagi panggilan daripada Puan Yong dan Tuan Chong yang menyamar pegawai bertugas.

    “Kedua-dua suspek itu memberitahu mangsa akan didakwa di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah, selain memintanya membayar wang jaminan sebanyak RM568,000,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sundra berkata, disebabkan mangsa tidak mempunyai wang untuk membayar wang jaminan itu, mangsa telah membuat pinjaman dengan dua bank berlainan bernilai RM380,888.

    Katanya, pada 12 November mangsa menerima panggilan daripada Puan Yong dan mengarahkan mangsa menukar nombor telefon pada kad bank milik mangsa kepada nombor telefon yang diberikan oleh suspek, selain mengarahkan semua wang simpanan mangsa yang ada dalam satu lagi akaun bank dipindahkan ke dalam satu akaun.

    “Tanpa rasa curiga mangsa telah mengikut semua arahan suspek dan selepas itu wanita itu telah dihubungi semula oleh Puan Yong yang memintannya membuat pinjaman dengan pihak pinjaman kredit namun tidak berbuat demikian kerana berasa curiga.

    “Mangsa kemudiannya membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati sejumlah wang RM199,111 telah dikeluarkan. Berasa diri diperdaya, mangsa membuat laporan polis semalam (7 Dis) di Balai Polis Tiang Dua,” katanya.

  • Portland Selatan lantik Datuk Bandar wanita Islam kulit hitam pertama

    Portland Selatan lantik Datuk Bandar wanita Islam kulit hitam pertama

    PERSPEKTIF negatif yang tinggi dan tanggapan ekstrem yang menebal dalam kalangan masyarakat di barat terhadap Islam semakin hari semakin menipis.

    Jika dahulu sebut saja mengenai umat Islam lebih-lebih lagi jika anda berketurunan kulit hitam mahu pun dari timur tengah, pasti penduduk di barat akan menggeletar ketakutan dan mula berfikir mengenai keganasan.

    Namun kini senario itu telah berubah.

    Umat Islam tidak lagi dipandang serong dan mula diterima baik oleh masyarakat barat sepertimana yang dapat dilihat dengan pelantikan Deqa Dhalac, 53, sebagai Datuk Bandar di sebuah bandar di Maine, Amerika Syarikat (AS) yang 90 peratus penduduknya merupakan warga kulit putih.

    Dhalac mencipta sejarah di bandar itu dengan menjadi wanita Islam kulit hitam pertama dilantik Datuk Bandar Portland Selatan, bandar keempat terbesar di Maine, pada Selasa.

    Ahli Majlis Perbandaran Portland Selatan yang lain – semuanya berkulit putih – sebulat suara mengundi memilih Dhalac, yang datang ke AS pada 1992 selepas perang saudara meletus di Mogadishu, Somalia.

    Menurut New American Leaders – kumpulan yang melatih dan menyokong pendatang, pelarian, dan pelbagai calon lain untuk jawatan kerajaan – Dhalac ialah Datuk Bandar Somalia-Amerika yang pertama di AS.

    “Sebagai individu kulit hitam, pendatang, dan wanita Islam yang sebelum ini merupakan orang kulit hitam pertama dan Muslim pertama yang dipilih ke Majlis Bandaraya Portland Selatan, Datuk Bandar Dhalac adalah kuasa untuk perubahan positif dalam komunitinya.

    “Kami berbangga memilikinya dalam rangkaian pegawai terpilih Amerika Baru dan memandang ke hadapan terhadap semua perkara menakjubkan yang akan beliau capai sebagai Datuk Bandar Portland Selatan,” kata kumpulan itu di Instagram,

    “Orang ramai akan sentiasa mempunyai beberapa jenis kehendak, tetapi kami mahu mengetahui mengenai anda, mendengar anda dan melihat siapa anda,” kata Dhalac pada majlis meraikannya.

    Sambil menyatakan bahawa beliau memutuskan untuk menceburi politik menentang dasar Islamofobia bekas Presiden AS Donald Trump, Dhalac berkata, dia berharap pemilihannya akan menjadi contoh kepada kumpulan minoriti lain dan generasi baharu di negara itu.

    Ketika beliau bertanding untuk pilihan raya Majlis Bandaraya pada 2018, orang ramai takut untuk membuka pintu kepadanya apabila dia mengetuk untuk meminta undi mereka, katanya, sambil menambah ada yang menyangka dia tidak tahu berbahasa Inggeris.

    Beliau melahirkan rasa bangga kerana menunjukkan contoh kepada generasi akan datang yang berada dalam kedudukan yang sama seperti sekarang. – Agensi

  • Waris berhimpun depan sekolah tuntut guru tak divaksin, dipindahkan

    Waris berhimpun depan sekolah tuntut guru tak divaksin, dipindahkan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI tujuh waris pelajar Sekolah Kebangsaan Darulaman Heights (SKDH) di Bandar Darulaman dekat Jitra, Kedah berhimpun pagi ini bagi mendesak supaya seorang guru yang enggan divaksin, dipindahkan dari sekolah tersebut.

    Menurut salah seorang waris terlibat, M. Hasbee Fathil, 44, tindakan tersebut diambil kerana mereka bimbang dengan risiko yang bakal ditanggung pelajar di sekolah berkenaan terutamanya dari sudut kesihatan.

    Malah katanya, bebanan guru lain di sekolah itu juga dikatakan bertambah apabila mereka terpaksa menanggung tugasan guru yang enggan divaksin itu.

    “Difahamkan guru tersebut tidak dibenarkan untuk mengajar secara bersemuka dan kini ditempatkan di surau. Keadaan itu sudah tentu menambah beban kepada guru-guru lain yang terpaksa pula menggalas tugas ditinggalkan guru tersebut.

    “Kami berharap ada tindakan segera diambil untuk mengeluarkan guru tersebut dari sekolah ini. Kami amat risaukan keselamatan anak-anak di sini malah laporan polis juga sudah dibuat berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Selain berhimpun secara aman di depan sekolah, para waris itu turut menyerahkan memorandum berhubung perkara tersebut kepada pihak sekolah yang diterima Guru Besarnya, Burhanurdin Hasan.

    Sementara itu seorang lagi waris terlibat, Mohd. Huzainy Ahmad, 44, berkata, desakan tersebut mendapati sokongan ramai lagi ibu bapa pelajar di situ namun kebanyakannya tidak dapat hadir atas urusan kerja.

    “Lagi pun kita tak mahu beramai-ramai di sini kerana dibimbangi melanggar prosedur operasi standard (SOP).

    “Walaupun guru tersebut ditempatkan di surau, namun daripada cerita anak-anak, memang ada juga dia bergerak ke sana-sini. Sebagai waris, kami amat berharap ada tindakan tegas terhadap guru tersebut dan jika dia tak mahu divaksin, sila keluar dari sekolah ini,” katanya.

    Sementara itu JPN Kedah memaklumkan laporan berhubung perkara itu telah disiapkan dan akan dihantar ke Kementerian Pendidikan untuk tindakan lanjut. – SB

  • Kakitangan hospital dituduh terima rasuah urus jenazah

    Kakitangan hospital dituduh terima rasuah urus jenazah

    SEORANG penolong pegawai perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,750, sejak tahun lalu.

    Mohd. Fariq Ariffin, 34, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa memperoleh suapan RM100 hingga RM600 daripada seorang individu melalui akaun bank sebagai upah memberikan kerja pengurusan enam jenazah dari Unit Forensik Hospital Kajang kepada individu tersebut.

    Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Bercham di Taman Medan Bercham, Ipoh pada 28 April 2020 hingga 5 Februari lalu.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) yang membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menerima wang berkenaan daripada individu sama tanpa balasan yang diketahui ada kaitan dengan tugas rasmi bagi kerja pengurusan jenazah pada tarikh dan tempat yang sama.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fadhli Ab. Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Syahrul Nizam Mohd. Rabi.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan Mohd. Fariq diikat jamin RM5,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

    Mahkamah turut membenarkan kes tertuduh disebut semula pada 10 Januari 2022 di Mahkamah Sesyen Shah Alam bersama tertuduh lain dalam kes itu.

    Pada 6 Oktober lalu, media melaporkan SPRM Selangor telah menahan lima kakitangan sebuah hospital kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di hospital berkenaan.

    Menurut sumber SPRM, kegiatan tersebut dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga 2021 dan melibatkan jumlah suapan lebih RM20,000.

    Pada Rabu, tiga kakitangan hospital yang sama telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan sama.

  • Ketua turus tentera India, isteri maut dalam nahas helikopter

    Ketua turus tentera India, isteri maut dalam nahas helikopter

    KETUA Turus Tentera India Jeneral Bipin Rawat dan 12 yang lain disahkan terkorban dalam satu nahas udara di Tamil Nadu pada Rabu.

    Helikopter Mi-17V5 Tentera Udara India yang membawa 14 penumpang termasuk isteri Rawat dan pegawainya itu terhempas berhampiran Coonoor.

    “Dengan penuh dukacita, kini disahkan Jeneral Bipin Rawat, Madhulika Rawat dan 11 lagi penumpang yang berada di dalam helikopter itu disahkan terbunuh,” menurut Tentera Udara India.

    Seorang mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di hospital tentera.

    Helikopter malang itu berlepas dari pangkalan tentera udara Sulur di daerah Coimbatore dan dalam perjalanan ke Kolej Perkhidmatan Pertahanan di Wellington di daerah Nilgiris, lapor media India.

    Wellington terletak kira-kira 80 kilometer dari Coimbatore.

    Selepas bersara sebagai ketua tentera Rawat, 63, menjadi Ketua Turus Pertahanan (CDS) pertama India sejak jawatan itu diwujudkan pada 2019.

    Selaku CDS, beliau juga mengetuai Jabatan Hal Ehwal Ketenteraan (DMA), sebuah badan yang baharu diwujudkan untuk menyelaraskan hal ehwal tentera darat, laut dan udara.

    “Jeneral Rawat mengusahakan pelbagai aspek berkaitan angkatan tentera kita termasuk melaksanakan pembaharuan pertahanan. Beliau mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam tentera darat. India tidak akan melupakan jasanya,” kata Perdana Menteri Narendra Modi.

    Menteri Pertahanan Rajnath Singh menyifatkan pemergian Rawat satu “kehilangan yang tiada galang gantinya” bagi angkatan tentera dan negara India. – Bernama