SEORANG penolong pegawai perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,750, sejak tahun lalu.

Mohd. Fariq Ariffin, 34, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa memperoleh suapan RM100 hingga RM600 daripada seorang individu melalui akaun bank sebagai upah memberikan kerja pengurusan enam jenazah dari Unit Forensik Hospital Kajang kepada individu tersebut.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Bercham di Taman Medan Bercham, Ipoh pada 28 April 2020 hingga 5 Februari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) yang membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menerima wang berkenaan daripada individu sama tanpa balasan yang diketahui ada kaitan dengan tugas rasmi bagi kerja pengurusan jenazah pada tarikh dan tempat yang sama.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fadhli Ab. Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Syahrul Nizam Mohd. Rabi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Mohd. Fariq diikat jamin RM5,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut membenarkan kes tertuduh disebut semula pada 10 Januari 2022 di Mahkamah Sesyen Shah Alam bersama tertuduh lain dalam kes itu.

Pada 6 Oktober lalu, media melaporkan SPRM Selangor telah menahan lima kakitangan sebuah hospital kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di hospital berkenaan.

Menurut sumber SPRM, kegiatan tersebut dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga 2021 dan melibatkan jumlah suapan lebih RM20,000.

Pada Rabu, tiga kakitangan hospital yang sama telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here