Author: Admin

  • Kebenaran berpolitik: Guru jangan langgar syarat, abaikan tugas hakiki

    Kebenaran berpolitik: Guru jangan langgar syarat, abaikan tugas hakiki

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengingatkan guru-guru supaya tidak melanggar syarat kelonggaran yang membenarkan mereka terlibat dalam politik, selain perlu terus mematuhi peraturan-peraturan semasa jabatan.

    Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata meskipun belum ada sebarang garis panduan khusus berhubung perkara berkenaan setakat ini, guru-guru yang minat berpolitik diingatkan agar tidak mengabaikan tugas hakiki mereka sebagai pendidik.

    Katanya, beliau gembira dengan langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memberi kebenaran kepada guru untuk berpolitik, namun pada masa yang sama beliau juga bimbang sekiranya guru-guru melanggar syarat atau lebih berpolitik daripada bertugas.

    “Justeru saya mengingatkan semua guru, walaupun berpolitik, namun jangan lupa tugas hakiki dan jangan pernah meminggirkan tugas sebagai guru,” katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya sempena Lawatan Tindak Susul Parlimen di Sabah hari ini.

    Jumaat lepas, Ismail Sabri mengumumkan kebenaran kepada kesemua guru sekolah di seluruh negara untuk berpolitik sebagai menghormati prinsip demokrasi iaitu hak seluruh rakyat untuk berpolitik, dan kebenaran itu turut melibatkan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).- Bernama

  • PRN Johor:Pintu kerjasama Pas-UMNO masih terbuka

    PRN Johor:Pintu kerjasama Pas-UMNO masih terbuka

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERJASAMA antara Pas dan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih lagi terbuka sehingga kini.

    Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, walaupun Pengerusi Barisan Johor (BN), Datuk Hasni Mohammad menyatakan hasrat untuk bertanding solo, perkara itu masih belum dimuktamadkan.

    “Hasni selaku pimpinan tertinggi UMNO negeri boleh membuat kenyataan itu, tetapi keputusan muktamad hanya boleh diputuskan pimpinan tertinggi Pas dan juga UMNO.

    “Ini kerana BN dan UMNO Johor juga terikat dengan keputusan peringkat Pusat sama seperti Pas Johor, jadi soal kerjasama dalam PRN akan datang kita serahkan kepada Pusat tentukan.

    “Tetapi apa yang saya tahu, ketika ini masih ada ruang untuk kami menjalin kerjasama dalam PRN sekali gus menubuhkan kerajaan negeri yang diyakini akan dapat memberi manfaat kepada rakyat dan pembangunan negeri Johor.

    “Pada masa sama Pas Johor menghormati Hasni yang berhasrat mahukan BN Johor yang mahu secara solo dalam PRN Johor,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Pas Johor, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.

    Semalam, Hasni memaklumkan BN Johor berhasrat bertanding secara solo dalam PRN kerana yakin mampu memperoleh majoriti dua pertiga.

    DUN Johor dibubarkan kelmarin selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

    Hari ini SPR memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini
    yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh bagi akan membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan urusan PRN tersebut.

    Tarikh penting itu melibatkan seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

    Mengulas lanjut, Abdullah berkata, sepatutnya Muafakat Nasional (MN) negeri melibatkan Pas dan UMNO Johor sepatutnya berlangsung pada Isnin tetapi ditangguhkan ke satu tarikh yang masih belum ditetapkan.

    Pihaknya berharap tarikh baharu bagi pertemuan kedua-dua parti berkenaan akan ditetapkan dalam waktu terdekat dan bukan terus dilupakan.

    Sementara itu, beliau memberitahu, lebih 15,000 jentera Pas dari seluruh negara akan digerakkan dalam PRN Johor melibatkan 13,000 jentera Pas Johor manakala 1,500 jentera lagi jentera tambahan Pas Pusat dan dari negeri lain.

    “Setiap kawasan akan melibatkan 500 jentera. Jentera ini akan melibatkan semua peringkat daripada pemimpin atasan sehingga ke peringkat akar umbi yang datang membantu untuk berkempen,” katanya.

    Abdullah berkata, jumlah jentera yang bertugas itu adalah lebih besar berbanding jumlah jentera Pas semasa PRN Melaka tahun lalu.

  • Bekas pengarah penguat kuasa direman kes rasuah RM3.1 juta

    Bekas pengarah penguat kuasa direman kes rasuah RM3.1 juta

    SEORANG bekas pengarah penguat kuasa agensi kerajaan direman tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan tender kontrak kerja pembersihan bernilai RM3.1 juta.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nadia Othman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut hari ini.

    Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah pada jam 2 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Lelaki itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan sejak Julai 2019 sehingga Mac 2021 daripada syarikat kontraktor dalam membantu mendapatkan tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

  • Polis tahan 73 individu, rampas dadah bernilai RM41,366

    Polis tahan 73 individu, rampas dadah bernilai RM41,366

    POLIS Melaka menahan 73 individu berumur antara 23 hingga 64 tahun dalam satu operasi selama tiga hari bagi membersih dan membanteras penyalahgunaan dadah di Melaka Tengah dan Alor Gajah.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Melaka Superintenda Zulkiflee Rashid berkata, operasi tiga hari itu dijalankan pada Jumaat lepas hingga semalam di Pot Krubong, Melaka Tengah dan Pot Apache, Alor Gajah yang disyaki menjadi tumpuan penagih dadah di kedua-dua daerah.

    “Dalam serbuan itu, sebanyak 953.03 gram (g) heroin, 73.3 g syabu dan 13.60 g ganja dirampas dianggarkan bernilai RM41,366.

    “Seramai enam pengedar dadah juga ditangkap dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Zulkiflee berkata, JSJ Narkotik Melaka akan terus berusaha membersihkan sarang penagihan dadah di kedua-dua daerah tersebut walaupun masih ada penagih yang berdegil melepaskan gian di lokasi tersebut.- Bernama

  • SPR adakan mesyuarat khas PRN Johor 9 Februari

    SPR adakan mesyuarat khas PRN Johor 9 Februari

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 9 Februari ini.

    Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia selepas pihaknya menerima notis rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 pada Ahad.

    “Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, yang akan membincangkan
    tarikh-tarikh penting PRN DUN Johor.

    “Ini melibatkan seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

    “Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut,” menurut satu kenyataan hari ini.

    DUN Johor dibubarkan kelmarin selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan SPR akan menentukan tarikh PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

  • PDRM siap siaga untuk PRN Johor – Timbalan Ketua Polis Negara

    PDRM siap siaga untuk PRN Johor – Timbalan Ketua Polis Negara

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk menggerakkan dan menambah anggota polis daripada negeri lain, dalam membantu kelancaran proses pilihan raya negeri berkenaan.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata pihaknya menyediakan keanggotaan mencukupi bagi tujuan itu, dan penyusunan gerak kerja berikutnya dilaksanakan oleh ketua polis negeri. 

    “Apabila dimaklumkan bubar sahaja (Dewan Undangan Negeri Johor), saya sendiri bercakap dengan Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat mengenai persediaan, bukan sahaja dari sudut keanggotaan yang mencukupi.

    “Sekiranya keanggotaan di daerah atau kontinjen (masih) tidak mencukupi, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan turut membantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Op Selamat 17 Tahun Baru Cina di Hentian Rehat dan Rawat Restoran Jejantas Sungai Buloh, Selangor, hari ini. 

    Sabtu lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.  

    Sementara itu mengenai Op Selamat 17 Razarudin berkata polis mengadakannya kembali, selepas kira-kira dua tahun ia dihentikan berikutan pandemik COVID-19. 

    Beliau berkata operasi itu mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi”, dan akan bermula pada 28 Jan hingga 6 Feb depan dengan dua objektif utama iaitu mencegah jenayah pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya.

    Menurutnya selain operasi penguatkuasaan biasa, pihaknya pada masa sama akan mempraktikkan tindakan penguatkuasaan secara digitalisasi dengan menggunakan alat kamera pengesanan had laju ‘In CarRadar‘ di sepanjang laluan lebuh raya bagi memastikan pengguna mematuhi had kelajuan ditetapkan. 

    “Begitu juga dengan penggunaan alat Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik, termasuk kenderaan yang terlibat dalam kes jenayah seperti kenderaan curi mahupun klon,” katanya.- Bernama

  • SPRM tahan reman bekas pengarah penguat kuasa agensi kerajaan

    SPRM tahan reman bekas pengarah penguat kuasa agensi kerajaan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG bekas pengarah penguatkuasa agensi kerajaan direman selama tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan tender kontrak kerja-kerja pembersihan bernilai RM3.1 juta di utara tanah air.

    Perintah reman sehingga 30 Januari itu dikeluarkan oleh Majistret Nadia Othman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan berkenaan pagi ini.

    Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira pada jam 2 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Sumber memaklumkan, tertuduh dipercayai meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan dari Julai 2019 sehingga Mac 2021 daripada syarikat kontraktor dalam membantu mendapatkan tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman berkenaan.

  • Aziz Bari puji MB Perak hadir majlis DAP

    Aziz Bari puji MB Perak hadir majlis DAP

    KETUA Pembangkang Perak, Abdul Aziz Bari memuji Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad yang menghadiri majlis dianjurkan ahli DAP, Nga Kor Ming di Taping, semalam.

    Aziz berkata, tindakan itu memperlihatkan ketegasan Saarani mengambil pendekatan politik matang, khususnya menghadiri program anjuran pihak pembangkang di negeri itu.

    “Sesungguhnya ketegasan itu adalah sesuatu yang baharu, bukan sahaja di Perak, malah di seluruh negara.

    “Politik baharu dan politik matang amat perlu bagi mengurangkan pergeseran dan perselisihan yang tidak perlu dan melampau. Kebajikan rakyat harus diberikan keutamaan,” katanya seperti dipetik daripada laporan diFMT, hari ini.

    Beliau berkata, pendekatan dipelopori Saarani itu tidak bertentangan dengan kedudukan dan peranan kerajaan dan pembangkang, khususnya dalam konteks demokrasi Westminster.

    Aziz berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ketua Pemuda MCA Perak Daniel Wa yang mempersoalkan keputusan Saarani berkongsi pentas bersama Nga.

    Wa berkata, kehadiran Menteri Besar dalam majlis terbabit menunjukkan sikapnya yang tidak mengambil kira perasaan MCA dan MIC.

    Semalam, Saarani berkata, beliau hadir dalam majlis berkenaan selepas mendapat jemputan daripada Nga atas kapasiti ahli DAP itu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong.

  • Mesyuarat Bersatu Johor dijangka Selasa atau Rabu

    Mesyuarat Bersatu Johor dijangka Selasa atau Rabu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor dijangka akan mengadakan mesyuarat membincangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Selasa atau Rabu ini.

    Ketua Bersatu Bahagian Kulai, Tosrin Jarvanthi berkata, mesyuarat di peringkat negeri itu akan membabitkan 26 ketua bahagian parti itu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu bagaimanapun berkata, butiran mesyuarat termasuk lokasi belum dimuktamadkan.

    “Ini membincangkan perkara berkaitan PRN Johor yang akan dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Bersatu Johor. Beliau dijangka memutuskan butiran penting mengenai PRN.

    “Sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada Sabtu lalu, pucuk pimpinan parti belum memohon nama calon-calon secara rasmi.

    “Setakat ini, kami belum menerima arahan atau makluman rasmi daripada pucuk pimpinan parti untuk kemukakan nama calon PRN.

    “Jadi, kita menunggu amanat yang akan diberikan Presiden Bersatu termasuk soal pembahagian kerusi. Selepas itu, barulah semua ketua bahagian akan mengadakan mesyuarat di peringkat bahagian masing-masing,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program penyerahan bantuan Tahun Baharu Cina di Dewan Raya Putra, Bandar Putra, Kulai, hari ini.

    Pada program itu, Tosrin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada 150 warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas Tionghua daripada Yayasan Sejahtera Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

    Dalam pada itu, Tosrin menyatakan kesediaan untuk bertanding mempertahankan kerusi DUN Bukit Permai yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), jika pucuk pimpinan masih memerlukan khidmatnya.

    “Insya-Allah jika parti masih perlukan khidmat saya sebagai calon, saya akan pertahankan jawatan dan terus berkhidmat sekiranya diberikan peluang,” katanya.

  • Salah guna kuasa, pengurus pemasaran ditahan SPRM

    Salah guna kuasa, pengurus pemasaran ditahan SPRM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengurus pemasaran bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan kuasa membabitkan penyelewengan bayaran hasil buah tandan segar sawit berjumlah lebih RM85,000.

    Suspek lelaki yang berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru pukul 12.30 tengahari tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, pada 2018 hingga 2019, suspek yang bertugas sebagai pengurus pemasaran telah menyalahgunakan kuasa dengan menyeleweng wang bayaran bagi hasil jualan buah tandan segar sawit tersebut untuk kepentingan dirinya sendiri.

    Azmi Alias

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.