Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor dijangka akan mengadakan mesyuarat membincangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Selasa atau Rabu ini.

Ketua Bersatu Bahagian Kulai, Tosrin Jarvanthi berkata, mesyuarat di peringkat negeri itu akan membabitkan 26 ketua bahagian parti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu bagaimanapun berkata, butiran mesyuarat termasuk lokasi belum dimuktamadkan.

“Ini membincangkan perkara berkaitan PRN Johor yang akan dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Bersatu Johor. Beliau dijangka memutuskan butiran penting mengenai PRN.

“Sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada Sabtu lalu, pucuk pimpinan parti belum memohon nama calon-calon secara rasmi.

“Setakat ini, kami belum menerima arahan atau makluman rasmi daripada pucuk pimpinan parti untuk kemukakan nama calon PRN.

“Jadi, kita menunggu amanat yang akan diberikan Presiden Bersatu termasuk soal pembahagian kerusi. Selepas itu, barulah semua ketua bahagian akan mengadakan mesyuarat di peringkat bahagian masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program penyerahan bantuan Tahun Baharu Cina di Dewan Raya Putra, Bandar Putra, Kulai, hari ini.

Pada program itu, Tosrin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada 150 warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas Tionghua daripada Yayasan Sejahtera Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Dalam pada itu, Tosrin menyatakan kesediaan untuk bertanding mempertahankan kerusi DUN Bukit Permai yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), jika pucuk pimpinan masih memerlukan khidmatnya.

“Insya-Allah jika parti masih perlukan khidmat saya sebagai calon, saya akan pertahankan jawatan dan terus berkhidmat sekiranya diberikan peluang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here