KETUA Pembangkang Perak, Abdul Aziz Bari memuji Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad yang menghadiri majlis dianjurkan ahli DAP, Nga Kor Ming di Taping, semalam.

Aziz berkata, tindakan itu memperlihatkan ketegasan Saarani mengambil pendekatan politik matang, khususnya menghadiri program anjuran pihak pembangkang di negeri itu.

“Sesungguhnya ketegasan itu adalah sesuatu yang baharu, bukan sahaja di Perak, malah di seluruh negara.

“Politik baharu dan politik matang amat perlu bagi mengurangkan pergeseran dan perselisihan yang tidak perlu dan melampau. Kebajikan rakyat harus diberikan keutamaan,” katanya seperti dipetik daripada laporan diFMT, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan dipelopori Saarani itu tidak bertentangan dengan kedudukan dan peranan kerajaan dan pembangkang, khususnya dalam konteks demokrasi Westminster.

Aziz berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ketua Pemuda MCA Perak Daniel Wa yang mempersoalkan keputusan Saarani berkongsi pentas bersama Nga.

Wa berkata, kehadiran Menteri Besar dalam majlis terbabit menunjukkan sikapnya yang tidak mengambil kira perasaan MCA dan MIC.

Semalam, Saarani berkata, beliau hadir dalam majlis berkenaan selepas mendapat jemputan daripada Nga atas kapasiti ahli DAP itu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here