SEORANG pengasuh kepada bayi perempuan berusia 10 bulan ditahan kelmarin kerana disyaki mencederakan bayi terbabit di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bentong.
Wanita berusia 26 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di bandar Bentong kira-kira pukul 12.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, hasil siasatan awal, suspek telah menarik telinga mangsa dan menyebabkan kecederaan ringan di telinga kiri bayi terbabit pada 8 Februari lalu.
“Mangsa dirujuk ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan susulan.
“Pusat jagaan itu juga didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Ujarnya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 14 Februari dan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Ibu bapa juga dinasihatkan supaya memastikan menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan yang memiliki kelulusan,” tambahnya lagi.
PENGGIAT teater dan pelakon Jit Murad, 62, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kuala Lumpur hari ini.
Berita pemergian Allahyarham disampaikan oleh beberapa aktivis teater dan rakan industri yang mengucapkan takziah dan berkongsi perkara tersebut melalui media sosial mereka.
Tidak dapat dipastikan apakah punca kematian Jit memandangkan belum ada kenyataan yang diberikan oleh pihak keluarga.
Allahyarham merupakan anak kepada pasangan bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Murad Mohamed Noor dan tokoh pendidik Puan Sri Sherina Aris.
Sepanjang bergiat dalam bidang seni, Jit Murad atau nama sebenarnya Aziz Mirzan pernah popular dengan filem Selubung, Mat Gelap, Mimpi Moon, 1957: Hati Malaya dan banyak lagi.
Dalam dunia teater pula, dia pernah terlibat dan menerbitkan banyak naskhah termasuklah Caught In The Middle, Gold Rain & The Hailstones dan Full Of Jit.
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih longgar berbanding PRN Sarawak dan Melaka sebelum ini.
Menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin berkata ia berdasarkan kajian daripada KKM yang mengambil kira kesan varian Omicron terhadap kesihatan awam dan liputan vaksinasi negara yang tinggi pada masa ini membolehkan SOP PRN Johor dilonggarkan sedikit.
“KKM dah muktamadkan (SOP PRN Johor). SOP masih lagi ketat, tapi ada perkara yang KKM tidak benarkan ada yang dibenarkan tapi lebih banyak kita benarkan. Kita tidak boleh jelaskan lagi, tunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.
“Kita tengok dari PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini, tiada lonjakan tidak ada kluster… dari segi kesihatan awam kita dah berjaya. Kita masih lagi yakin bahawa PRN boleh dilangsungkan sekali lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani pemeteraian kerjasama promosi kesihatan antara Wellness Hub KKM dan rakan strategik yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Dr Harlina Abdul Rashid, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata kepatuhan SOP dalam kalangan masyarakat termasuk pemimpin politik berdepan PRN Johor itu nanti amat penting bagi mengawal penularan COVID-19.
SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb dan pengundian awal pada 8 Mac.
Dalam pada itu, Khairy berkata sela masa lapan minggu antara dos pertama dan kedua bagi pemberian vaksin kanak-kanak masih dikekalkan susulan keberkesanan dan perlindungannya dalam tempoh berkenaan selain mendapati kesan sampingan lebih rendah sekiranya dijarakkan masa kedua-duanya.
“Saya dah rujuk perkara ini dengan jawatankuasa kerja teknikal dan kita masih kekalkan lapan minggu walaupun ada gelombang Omicron, namun apa-apa kedudukan dan pendirian jawatankuasa ini boleh disemak dari masa ke masa,” katanya.
Mengulas permintaan doktor kontrak berhubung perjawatan tetap disertakan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khairy berkata pihaknya ketika ini menawarkan skim berpencen kepada mereka.
“Ia melibatkan 4,186 jawatan tetap tambahan yang akan diwujudkan di KKM menjelang Jun ini, mungkin pengambilan baharu (kakitangan) pada masa akan datang kita tawarkan KWSP,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata KKM akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam terutama di premis makanan dengan kerjasama agensi dan orang ramai.- Bernama
SUSPEK yang memecah mesin juruwang Automatik (ATM) di Chendering, Kuala Terengganu berjaya ditahan polis, petang semalam.
Memetik laporan Berita Harian, suspek berusia 31 tahun yang merupakan seorang lelaki warga asing itu ditahan pada pukul 6 petang semalam di pekan Chabang Tiga, kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar, polis menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 3.55 pagi semalam, sebelum bergegas ke lokasi tersebut.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah mesin ATM sudah dibuka di bahagian penutup atas.
Bagaimanapun katanya, bahagian peti simpanan wang dalam mesin itu gagal dibuka dan tiada kerugian dan kehilangan wang tunai.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana memecah masuk dan Seksyen 427 KK kerana melakukan khianat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan cubaan seorang lelaki mencuri wang di dalam mesin ATM di sebuah bank di Chendering gagal apabila alat penggera premis berkenaan berbunyi.
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak akan mengarahkan sesi persekolahan dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 ditangguhkan walaupun kes Covid-19 naik mendadak ketika ini.
Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, perkembangan kes pada ketika ini menunjukkan peratusan pesakit baharu wabak itu yang melibatkan kategori empat atau lima adalah kecil.
“KPM komited untuk memastikan pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar, teratur dan selamat dengan memastikan kesemua Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dipatuhi.
“Komitmen ini dibuat dengan mengambil kira pengalaman pelaksanaan SPM 2020 pada Februari tahun lalu berjalan dengan lancar dan kita juga sudah mempunyai SOP yang lengkap berhubung perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar, di Trove Hotel, Johor Bahru, hari ini.
Radzi berkata, peperiksaan SPM tiada masalah untuk diteruskan kerana lebih 90 peratus pelajar Tingkatan 5 sudah lengkap divaksin, berbeza dengan pelajar yang menduduki SPM pada tahun lalu.
“Kita juga mengambil pertimbangan ini dengan melihat konteks kesihatan lebih besar iaitu jumlah kes baharu tidak memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara,” katanya.
Pihaknya bagaimanapun tidak menafikan terdapat jangkitan Covid-19 melibatkan guru-guru dan pelajar di kawasan sekolah namun peratusan itu terlalu kecil.
“Kluster sekolah terlalu kecil iaitu hanya melibatkan 0.5 peratus daripada keseluruhan jumlah sekolah tidak berasrama iaitu sebanyak lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara,” ujarnya.
Beliau berkata, KPM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan perjalanan operasi persekolahan dilakukan dengan mematuhi SOP ditetapkan.
Dalam pada itu, Radzi berkata, KPM menggalakkan lebih ramai ibu bapa mendaftar anak-anak mereka yang berusia antara 5 hingga 11 tahun untuk mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) bercadang untuk tidak membenarkan sekolah menengah digunakan sebagai tempat membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menterinya, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, ini kerana tidak mahu menganggu proses peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang berjalan ketika itu.
KPM katanya, akan menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya sekolah menengah dikecualikan daripada menjadi tempat buang undi.
“Saya baru dimaklumkan semalam menerusi sesi libat urus, terdapat guru-guru yang membuat rungutan menyatakan sekolah mereka akan digunakan sebagai pusat pembuangan undi untuk PRN Johor.
“Setakat ini kita belum menerima permohonan secara rasmi daripada SPR untuk menggunakan premis sekolah dan kita telah buat ketetapan sebolehnya sekolah menengah tidak digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar di Trove Hotel di Johor Bahru, hari ini.
Rabu lalu SPR mengumumkan hari penamaan calon bagi PRN tersebut ditetapkan pada 26 Februari ini manakala undi awal pada 8 Mac depan manakala pembuangan undi pula 12 Mac.
Mohd. Radzi berkata, sekiranya sekolah menengah digunakan sebagai pusat mengundi, banyak proses di sekolah terbabit yang akan terganggu dan perlu disusun semula.
Beliau tiada masalah sekiranya SPR mahu menggunakan sekolah rendah sebagai pusat membuang undi untuk tempoh berapa lama pun kerana tidak melibatkan sebarang peperiksaan.
“Sekolah rendah takpe berapa lama pun mahu digunakan, ini melibatkan masa depan anak-anak kita, jadi kita tak nak ada gangguan (peperiksaan SPM), sebelum ini guru-guru lalui tempoh sukar,” katanya.
Pihaknya mahu peperiksaan SPM dari 3 hingga 29 Mac ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan apatah lagi peperiksaan tersebut sangat penting.
NAJIB (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata RM42 juta duit SRC yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya digunakan untuk tujuan sedekah dan Corporate Social Responsibility (CSR).
Mari kita lihat bukti-bukti sahih tentang penggunaan duit ini yang telah dikemukakan di mahkamah.
Antaranya:
RM449,586.95 untuk bayar Kad Kredit Visa Platinum Najib;
RM2,833,147.21 untuk bayar kad kredit Mastercard Platinum Najib;
RM240,000 dibayar kepada Vital Spire Sdn Bhd milik seorang ADUN UMNO Johor untuk mengendalikan sebuah portal online;
RM2.5 juta dibayar kepada sebuah firma guaman untuk kerja-kerja “political intelligence”;
RM238,914 dibayar kepada seorang Tan Sri untuk kerja-kerja mempromosi Ah Jib Gor kepada masyarakat Cina;
RM100,000 dibayar kepada seorang kontraktor untuk membina bilik stor kediaman peribadinya di Kuala Lumpur;
RM56,500 dibayar kepada sebuah syarikat plumbing untuk kerja-kerja pemasangan tangki air di kediaman peribadinya di Kuala Lumpur;
RM77,300 dibayar kepada seorang kontraktor untuk membaiki kediaman peribadinya di Pekan; dan
Puluhan juta ringgit lagi untuk lain-lain kegunaan peribadi dan politik.
Ya, adalah juga duit yang diberi kepada anak-anak yatim. Tetapi jumlahnya tak seberapa jika dibandingkan untuk kegunaan peribadi dan politik. Ini tak termasuk RM4 bilion duit Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang dipinjamkan kepada SRC yang lesap entah ke mana.
Akhirnya, kerajaan terpaksa membayar hutang SRC kepada KWAP kerana hutang ini dijamin oleh kerajaan ketika Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mendapati Najib merompak syarikat SRC daripada wang KWAP, iaitu wang rakyat, wang orang pencen.
Ini kata hakim Mahkamah Rayuan dalam kes SRC:
“Hence, we agree with the learned trial judge that the all important element of misappropriation of entrusted property by the Appellant had been clearly established. The evidence clearly shows that the appellant not only misappropriated RM42 million, the subject of the 3 CBT charges, but also converted to his own use that which he had dishonestly misappropriated.
‘’The RM42 million, contrary to the appellant’s assertion that he used it for corporate social responsibility (CSR) programs of the company, had in fact been used for his personal benefit and for his political purposes”.
[Terjemahan: “Oleh yang demikian, kami bersetuju dengan Yang Arif hakim perbicaraan bahawa semua elemen penting penyalahgunaan harta yang diamanahkan oleh Perayu (Najib) telah dibuktikan.
‘’Bukti menunjukkan dengan jelas bahawa perayu bukan hanya menyalahgunakan RM42 juta, iaitu mauduk 3 dakwaan jenayah pecah amanah, tetapi juga telah memindahkan kepada kegunaan dirinya sendiri harta yang dia telah salah guna secara tidak jujur.
‘’ RM42 juta itu, berlawanan dengan dakwaan perayu bahawa dia menggunakannya untuk tujuan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, telah sebenarnya digunakan untuk manfaat peribadinya dan untuk tujuan politiknya.”
Kata hakim lagi:
“This is definitely not something that can be said to have been done in the national interest. There is no national interest here, just national embarrassment”.
[Terjemahan: Ini bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan sebagai telah dilakukan demi kepentingan negara. Tiada kepentingan negara di sini, (yang ada) hanyalah keaiban negara]
Inilah CSR Najib – Crook’s Self en-Richment! Sedekah kepada diri sendiri. Najib berulang kali tuduh saya khianat. Tapi tak ada satu mahkamah pun menjatuhi hukuman bersalah ke atas saya.
Dia juga tanya saya berapa wang yang saya belanjakan untuk rakyat? Sepanjang saya jadi PM, RM530 bilion saya sediakan untuk rakyat dalam macam-macam bentuk pakej bantuan dan rangsangan ekonomi. Satu sen pun tak masuk akaun saya.
Bukan macam dia, berbilion masuk akaun sendiri. Itulah dia boss awak.
*Artikel adalah kenyataan media Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipetik dalam Facebook beliau dan ia tidak mestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat
KEPUTUSAN Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah bukan kerana beliau bimbang tewas, tegas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Bersatu, Datuk Razali Idris.
Beliau berkata,keputusan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu adalah untuk menumpukan kerja keras ke seluruh Johor bagi memastikan parti lawan tidak berjaya membentuk kerajaan.
“Muhyiddin umum tidak bertanding bukan disebabkan bimbang tewas, sebaliknya bagi memberi laluan kepada muka baharu bertanding di DUN Gambir,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Tambahnya, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) memutuskan hanya seorang calon daripada parti itu diketengahkan untuk bertanding, sama ada di kerusi DUN atau Parlimen.
“Kaedah hanya seorang calon disenaraikan bertanding sama ada di kerusi DUN atau Parlimen itu bagi membolehkan mereka memberi sepenuh tumpuan untuk pembangunan di kawasan diwakili,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan kononnya Muhyiddin sengaja memberi alasan dijangkiti Covid-19 dan terpaksa kuarantin kerana takut berhadapan dengan UMNO di PRN Johor, Razali berkata, virus itu bukannya satu gurauan yang boleh dipermainkan kerana wabak itu digeruni seluruh dunia.
“Walaupun Muhyiddin kini sedang menjalani proses kuarantin, dia tetap bersemangat dengan memberi arahan dan mengatur strategi kepada semua pimpinan utama parti. Seluruh jentera pilihan raya PN kini sedang giat melaksanakan tanggungjawab seperti diarahkan Muhyiddin untuk memastikan semua calon PN, termasuk dari PAS menang kerusi yang ditandingi,” jelasnya.
PERSIAPAN Pas untuk menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Johor pada Mac depan tidak terjejas dengan isu pengguguran Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, ini kerana parti itu sudah melakukan persiapan awal terutama membabitkan strategi yang akan digunakan untuk PRN tersebut.
“Pengguguran itu tidak memberi kesan apa apa dan apabila masuk PRN, PRU atau PRK, semua parti yang mahu masuk, sudah tentu kita bersedia, dengan strategi. Tapi apabila kita maklum mengenai strategi, kita buat ini, buat itu, itu bukan strategi, itu sudah tragedi. Sudah tentu juga kita ada calon dari parti Pas tapi berapa jumlah calon kita tak akan dedahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Sijil Program EmpowerNCER di Dewan Cenderawasih, di Pendang, hari ini.
Terdahulu, Khairuddin digugurkan daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkuat kuasa kelmarin selepas tidak sampai sebulan digugurkan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat pada Rabu lalu berikutan masalah disiplin.
Abdul Hadi juga turut menjelaskan bahawa PAS sudah mempunyai anggaran kerusi yang akan ditandingi menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac nanti.
Pihaknya bagaimanapun akan mendapatkan perincian lanjut daripada Pas Johor sebelum penilaian dilakukan.
Sementara itu, Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, berkata, kerajaan mengambil serius untuk menangani amalan buruh paksa di negara ini walaupun kes itu terpencil.
Katanya, ia bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang buruh dapat dipertingkatkan dalam setiap sektor.
Beliau berkata, pindaan Akta Kerja 1955 yang akan dibaca kali kedua di Parlimen pada bulan depan pula membuktikan komitmen kerajaan yang mahu undang-undang buruh diperkasa
KETIKA beberapa ahli di bahagian dan cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan, tindakan sebaliknya berlaku di Mersing melibatkan ahli UMNO bahagian itu.
Ini kerana, seramai 30 ahli UMNO melibatkan dua cawangan parti itu mengisytiharkan keluar UMNO dan mengumumkan penyertaan ke dalam Bersatu berkuatkuasa hari ini.
Mersing dikatakan antara kubu kuat UMNO sejak dahulu dan penyertaan kesemua ahli parti itu yang rata-rata golongan muda memberi tamparan hebat kepada UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bekas Ketua UMNO Cawangan Kampung Triang, Ahmad Ashri Othman berkata, kesemua 15 ahli dari cawangan itu mengambil keputusan itu selepas hilang kepercayaan susulan isu semasa dalam UMNO yang belum selesai sehingga kini.
“Dengan isu semasa yang berlaku dalam UMNO mereka yang keluar parti ini sudah hilang minat dengan parti itu lagi.
“Tambahan pula kita dapati bekas wakil rakyat Endau meskipun beliau dari UMNO dan menyertai Bersatu, beliau telah melakukan kerja yang terbaik demi membantu rakyat di sini,” katanya.
Selain ahli Cawangan Kampung Triang, 15 lagi yang keluar UMNO melibatkan ahli dari Kampung Baru Air Tawar yang menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Harun pada Majlis Ramah Mesra Bersama Jentera di sini.
Sementara itu, Ketua Pemuda PN Kampung Air Tawar, Mohd. Asni Hassan pula berkata, seramai 15 ahli dari kampung itu yang membuat keputusan keluar UMNO terdiri daripada golongan muda.
Katanya, mereka mendakwa tindakan itu diambil selepas melihat banyak bantuan parti daripada peringkat atasan tidak sampai kepada golongan bawahan sebaliknya hanya diterima kroni-kroni.
“Kami yakin dengan gerak kerja PN yang mengutamakan rakyat serta sentiasa turun padang mendekati penduduk. Tambahan pula bantuan diberikan PN kita dapati sampai kepada akar umbi berbanding UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib teruja dengan keputusan kesemua 30 bekas ahli UMNO itu yang masing-masing bersama perjuangan beliau.
“Sebelum ini digembar gemburkan pemimpin dan ahli Bersatu keluar dan masuk UMNO tetapi hari ini kesemua mereka ini semangat datang sendiri untuk menyerahkan borang keahlian dan menyertai PN.
“Saya amat terkejut namun saya hendak ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang membuka mata memilih PN.
“Apa yang berlaku ini juga menjadi satu kekuatan dalam diri saya sekali gus mengkuatkan PN dalam kalangan anak muda di Endau,” katanya.