Oleh RAHIMI MOHAMAD

KETIKA beberapa ahli di bahagian dan cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan, tindakan sebaliknya berlaku di Mersing melibatkan ahli UMNO bahagian itu.

Ini kerana, seramai 30 ahli UMNO melibatkan dua cawangan parti itu mengisytiharkan keluar UMNO dan mengumumkan penyertaan ke dalam Bersatu berkuatkuasa hari ini.

Mersing dikatakan antara kubu kuat UMNO sejak dahulu dan penyertaan kesemua ahli parti itu yang rata-rata golongan muda memberi tamparan hebat kepada UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bekas Ketua UMNO Cawangan Kampung Triang, Ahmad Ashri Othman berkata, kesemua 15 ahli dari cawangan itu mengambil keputusan itu selepas hilang kepercayaan susulan isu semasa dalam UMNO yang belum selesai sehingga kini.

“Dengan isu semasa yang berlaku dalam UMNO mereka yang keluar parti ini sudah hilang minat dengan parti itu lagi.

“Tambahan pula kita dapati bekas wakil rakyat Endau meskipun beliau dari UMNO dan menyertai Bersatu, beliau telah melakukan kerja yang terbaik demi membantu rakyat di sini,” katanya.

Selain ahli Cawangan Kampung Triang, 15 lagi yang keluar UMNO melibatkan ahli dari Kampung Baru Air Tawar yang menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Harun pada Majlis Ramah Mesra Bersama Jentera di sini.

Sementara itu, Ketua Pemuda PN Kampung Air Tawar, Mohd. Asni Hassan pula berkata, seramai 15 ahli dari kampung itu yang membuat keputusan keluar UMNO terdiri daripada golongan muda.

Katanya, mereka mendakwa tindakan itu diambil selepas melihat banyak bantuan parti daripada peringkat atasan tidak sampai kepada golongan bawahan sebaliknya hanya diterima kroni-kroni.

“Kami yakin dengan gerak kerja PN yang mengutamakan rakyat serta sentiasa turun padang mendekati penduduk. Tambahan pula bantuan diberikan PN kita dapati sampai kepada akar umbi berbanding UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib teruja dengan keputusan kesemua 30 bekas ahli UMNO itu yang masing-masing bersama perjuangan beliau.

“Sebelum ini digembar gemburkan pemimpin dan ahli Bersatu keluar dan masuk UMNO tetapi hari ini kesemua mereka ini semangat datang sendiri untuk menyerahkan borang keahlian dan menyertai PN.

“Saya amat terkejut namun saya hendak ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang membuka mata memilih PN.

“Apa yang berlaku ini juga menjadi satu kekuatan dalam diri saya sekali gus mengkuatkan PN dalam kalangan anak muda di Endau,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here