Author: Admin

  • Harap masalah pembahagian kerusi tidak tidak halang Muda bersama PH

    Harap masalah pembahagian kerusi tidak tidak halang Muda bersama PH

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MASALAH pembahagian kerusi antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diharap tidak menjadi penghalang untuk Muda bersama-sama Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin, kerjasama politik antara Muda dan gabungan tersebut akan terjalin dan seterusnya bersama-sama dalam satu blok.

    “Sekiranya Muda mengikut semangat manifesto yang sama dan selesaikan masalah rundingan, saya tidak ada masalah untuk pastikan calon-calon muda turut menang pada PRN Johor.

    “Kita tunggu respon mereka dan saya percaya, InsyaAllah respons itu akan positif,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRN Johor di Pulai Spring Resort, Kulai, malam ini.

    Turut hadir Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengarah Pilihan Raya Pusat, Fuziah Salleh.

    Semalam, Syed Ibrahim menjelaskan pintu rundingan pembahagian kerusi PKR dengan Muda sudah tertutup selepas parti itu mengumumkan kesemua 20 calon PKR bagi kerusi yang akan ditandinginya.

    Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, memang ada rundingan awal tentang pembahagian kerusi membabitkan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

    “Belum pernah seawal ini Kita mencapai kata sepakat membabitkan tiga parti dalam soal pembahagian kerusi, di Johor ini adalah yang pertama,” katanya.

    Justeru beliau berharap, hubungan baik itu dapat diteruskan dalam meneruskan perjuangan PH sebelum melakar kemenangan dalam PRN Johor.

  • AMK persoal SOP PRN Johor

    AMK persoal SOP PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir mempersoalkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dilihat tidak praktikal semasa berkempen.

    Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, contohnya SOP yang hanya membenarkan ceramah terhad kepada 100 orang di bilik gerakan parti adalah terlalu sedikit.

    Jika sudah ada SOP tertentu untuk dipatuhi katanya, tidak perlu penganjuran ceramah hanya dibenarkan di bilik gerakan yang juga agak terhad keluasannya.

    “Kenapa tidak ambil kira juga pematuhan SOP itu di tempat-tempat di mana sesuatu ceramah itu berlaku.

    “Kalau ceramah, tidak perlu hadkan hanya di bilik gerakan, mungkin boleh dibuat di tempat awam dengan SOP sama dipatuhi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan ke Bilik Gerakan Utama PKR Johor di Larkin, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

    Sementara itu, Dr. Wan Azizah berkata, semua pihak perlu mematuhi SOP yang ditetapkan kerana kes Covid-19 masih tinggi.

    “Kita perlu seimbangkan, jika SOP itu dibuat untuk kita kurangkan kadar jangkitan, itu bagus tetapi kita perlu seimbangkan juga antara faktor kesihatan dan berkempen.

    “Kebimbangan itu perlu supaya kita lebih berhati-hari bagi mengelakkan diri dijangkiti virus berkenaan dan dalam masa yang sama tidak mahu membebankan kesihatan dan kos hidup jika dijangkiti,” katanya.

    Dr Wan Azizah berkata, satu usaha dan cara menangani masalah itu perlu difikirkan supaya PRN tersebut lancar

  • SOP PRN Johor untuk kebaikan semua

    SOP PRN Johor untuk kebaikan semua

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PROSEDUR operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah untuk kepentingan semua parti politik yang bertanding.

    Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, SOP berkenaan untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan dalam mengekang penularan Covid-19.

    “Parti politik harus bersyukur kerana masih diberi peluang untuk berkempen walaupun dalam keadaan terhad kepada seramai 100 orang sahaja.

    “Dulu ketika PRN Melaka, banyak perkara yang tidak boleh dilakukan, sekurang-kurangnya sekarang kita boleh duduk di bilik gerakan, di pejabat masing-masing dan mengadakan perbincangan atau membuat program.

    “Kalau sebelum ini tidak boleh berkempen rumah ke rumah, sekurang-kurangnya sekarang kita dapat buat walaupun tidak masuk ke dalam, di luar pagar atau di luar pintu sahaja mencukupi,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) Johor Bahru di Renaissance Hotel, Johor Bahru, pada Ahad.

    Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, keputusan SOP itu dibuat selepas SPR melakukan penilaian risiko melibatkan situasi semasa Covid-19 di negara dan negeri ini khususnya.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika berucap melancarkan Jentera Perikatan Nasional (PN) Ledang di Tangkak, pada malam tadi, menyifatkan SOP untuk PRN Johor tidak adil dan memihak kepada UMNO dan BN.

    Beberapa parti politik sebelum itu antaranya DAP dan PKR mengkritik SOP tersebut yang dianggap berat sebelah dan menyusahkan rakyat.

    Sehubungan itu mereka mendesak SPR mengkaji semula SOP berkenaan serta memberi lebih kelonggaran khususnya jumlah peserta dan tempoh berkempen yang dihadkan sehingga jam 10 malam dipanjangkan.

  • Mazlan Aliman akui Muhyiddin berjaya ubah nasib peneroka Felda

    Mazlan Aliman akui Muhyiddin berjaya ubah nasib peneroka Felda

    SEORANG pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mengakui Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa perubahan kepada nasib peneroka dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)

    Memetik laporan Malaysia Now, Datuk Mazlan Aliman berkata, dasar yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri itu untuk melupuskan 80 peratus hutang peneroka adalah salah satu kejayaannya.

    Beliau yang juga aktivis isu-isu Felda dengan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) memberitahu, kerajaan yang dipimpin Muhyiddin memiliki “keazaman politik” yang kuat dalam melakukan perubahan tersebut sehingga ia dialami sendiri oleh peneroka Felda.

    “Tidak dapat disangkal, Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri, mengambil langkah proaktif dalam membawa perubahan di Felda.

    “Pengambilalihan semula pegangan lebih 80 peratus kepentingan di FGV, pelupusan 80 peratus hutang peneroka dan pelaksanaan Program Pembangunan Peneroka (PPP) adalah antara kejayaan yang dilihat peneroka,” katanya.

    Sebaliknya, Mazlan berkata, tempoh 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) menyaksikan proses reformasi yang perlahan terhadap isu-isu yang menghambat peneroka Felda.

    Katanya, perkara itu menyebabkan warga Felda kecewa terhadap kerajaan PH walaupun alasan boleh diberikan mengenainya.

    “Ia mengundang kritikan dan kecaman hebat warga Felda yang mempersoalkan manifesto dan janji yang diutarakan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14,” jelasnya.

    Kenyataan Mazlan ini tampil menjelang PRN Johor, negeri yang menempatkan lebih 70 kawasan penempatan Felda yang sering dianggap sebagai kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN).

    Dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, 72 kawasan Felda berada di 20 DUN negeri itu dengan jumlah populasi sekitar 180,000 orang.

    “PRN Johor akan menjadi kayu ukur sebenar tahap sokongan pengundi Felda.

    “Adakah pengundi Felda yang terdiri dari peneroka dan generasi Felda sekitar 180,000, kembali sebagai simpanan tetap BN?”

    Sebelum ini, Mazlan membayangkan kekalahan PH dan memberi amaran jika gabungan itu memutuskan untuk menghadapi PRN Johor dengan kedudukan sekarang ini, ia akan berdepan kekalahan seperti apa yang berlaku pada PRN Melaka.

    Berikutan itu, Mazlan menggesa supaya gabungan PH memperluaskan kerjasama bagi menghadapi PRN Johor dengan melibatkan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya.

    “PH yang dianggotai PKR, Amanah, DAP dan UPKO ibarat ‘serah tengkuk’ kepada BN jika berada pada status quo seperti di Melaka dan Sarawak,” katanya.

  • MCA elak perang mulut, rebut kerusi dalam BN

    MCA elak perang mulut, rebut kerusi dalam BN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MCA tidak akan mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum diumum secara rasmi kerana mahu mengelak berlaku ‘perang mulut’ atau tuntutan kerusi dalam komponen Barisan Nasional (BN).

    Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, jumlah kerusi yang ditandingi akan dimaklumkan selepas perbincangan dalam BN selesai dan diumum satu atau dua hari sebelum hari penamaan calon.

    “Perbincangan dilakukan secara musyawarah serta. Apa sahaja yang dibincangkan tidak boleh didedahkan dan apa yang belum dimuktamadkan tidak wajar dimaklumkan. Kita bukan nak tuntut kerusi melalui media (kalau ada laporan tuntutan kerusi dalam media) itu hanya perang mulut sahaja.

    “Kita akan cari formula terbaik untuk semua pihak,”
    katanya mengulas jumlah kerusi yang akan ditandingi MCA pada PRN johor.

    Beliau berkata demikian
    dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) Johor Bahru di Renaissance Hotel, Johor Bahru, hari ini.

    Apabila ditanya mengenai sentimen pengundi Cina pada PRN Johor, beliau berkata, secara umumnya rakyat perlu menilai pihak yang boleh membawa dan mengutamakan kestabilan politik di negeri ini.

    Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, apabila politik tidak stabil akan memberi kesan kepada kerajaan negeri malah sukar untuk satu-satu projek berjalan lancar termasuk tidak mampu menarik pelaburan domestik ataupun dari luar negara.

    Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, BN akan memastikan kestabilan politik wujud dan terus menumpukan isu-isu yang sedang dihadapi rakyat ketika ini apabila menang PRN Johor.

  • Wanita maut leher dikelar dalam pergaduhan

    Wanita maut leher dikelar dalam pergaduhan

    SEORANG wanita berusia 29 tahun maut akibat leher dikelar dalam insiden pergaduhan di Serdang Perdana, Seri Kembangan malam tadi.

    Memetik laporan BH, dia yang juga pemilik kedai menjual peralatan rumah dan pejabat ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di dalam kedainya.

    Kejadian dikatakan berlaku pada pukul 7 malam.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan tentang pergaduhan tersebut.

    “Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher.

    “Mangsa dipercayai pemilik kedai, di mana berlakunya kejadian pergaduhan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

    Anbalagan berkata, polis sedang mengenal pasti suspek dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Sementara itu, Bernama melaporkan, seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di Serdang Perdana, Seri Kembangan malam tadi sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pagi tadi.

    Anbalagan dalam kenyataan hari ini berkata, lelaki berumur 33 tahun yang juga teman lelaki mangsa menyerah diri pada pukul 11.30 pagi dan motif pembunuhan dipercayai kerana cemburu.

    Anbalagan berkata, ujian air kencing terhadap suspek yang bekerja sebagai pemandu lori adalah negatif dadah dan pihak polis sedang meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Hapuskan mitos hanya BN mampu bawa kestabilan

    Hapuskan mitos hanya BN mampu bawa kestabilan

    SATU perkara yang diuar-uarkan dan dicanang dengan gempak gempita ialah hanya Barisan Nasional (BN) yang boleh membawa kestabilan dan kemakmuran berikutan itu wujudlah  slogan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu.

    Kini slogan itu terus dilaungkan di PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini dan atas nama kestabilan jugalah BN/UMNO tanpa berunding dengan sekutu yang sama-sama membentuk kerajaan negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Dikatakan UMNO begitu yakin jika parti itu bergerak secara solo mereka akan mampu mencapai majoriti dua pertiga, oleh itu mereka tidak menjalin persefahaman atau kerjasama dengan mana-mana parti lain termasuklah Pas.

    Itu keputusan mereka. Tetapi soalnya adakah hanya BN/UMNO mampu membawa kestabilan? Apakah hanya BN/UMNO mampu membawa kemakmuran? Adakah Perikatan Nasional (PN) yang merupakan sekutu mereka di peringkat Kerajaan Pusat tidak berupaya melakukan perkara yang sama?

    Kalau BN/UMNO menyeru Bangsa Johor menyokong dengan hujah kestabilan dan kemakmuran, PN pula jika diberikan peluang memerintah negeri itu pasti mampu mewujudkan kestabilan untuk Johor dan kemakmuran untuk Bangsa Johor dengan pentadbiran yang penuh integriti.

    Sudah pasti bagi mencapai misi mereka, pemimpin-pemimpin BN/UMNO akan terus menyebarkan dakyah bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal sebagai Perdana Menteri ketika Kerajaan Perikatan Nasional memimpin negara selama 18 bulan.

    Tetapi soalnya, siapa dalam Kerajaan PN itu? Benarkah Muhyiddin gagal menangani pandemik Covid-19? Bukankah dalam Kerajaan PN itu ada anggota Kabinet daripada UMNO? Dan empat daripada mereka menjadi barisan depan menangani wabak yang kali pertama berlaku dalam sejarah negara?

    Kalaulah Muhyiddin dianggap gagal maka keseluruhan Kabinet dianggap gagal, tak kan hanya Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sahaja bertanggungjawab?

    Sebenarnya ia bukan soal gagal tetapi ia digagalkan oleh sekelompok pemimpin UMNO yang tidak berada dalam kerajaan tetapi mahu ‘membalas dendam’ selepas kehilangan kuasa dan jawatan dalam PRU-14. Ketika pemimpin-pemimpin UMNO lain bersedia secara terbuka menerima kerjasama dalam Kerajaan PN tetapi ada pemimpin UMNO yang duduk tidak diam.

    Setiap hari mereka mengkritik apa sahaja dilakukan oleh Kerajaan PN, mereka menjalankan kerja-kerja pembangkang dan menjadi ‘makhluk perosak’ walaupun parti mereka adalah sebahagian kerajaan?

    Kenapa itu berlaku? Ia terjadi kerana selepas tertubuhnya Kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan, pembentukan Kerajaan PN adalah kali kedua menyaksikan pemimpin daripada parti berbeza dan pernah bermusuhan bekerjasama.

    Ia membuktikan pembentukan kerajaan itu tidak akan ke mana selagi ada pemimpin yang bertindak bagai ‘duri dalam daging’ dan ‘gunting dalam lipatan’. Tetapi bagaimana kalau PN memerintah secara solo seperti mana BN bercita-cita mahu melakukannya di Johor?

    Penulis yakin jika PN diberi peluang memerintah negeri itu tanpa parti yang di dalamnya ada watak ‘musuh dalam selimut’ , PN akan memerintah jauh lebih baik daripada BN. Jadi hujah yang mengatakan hanya BN/UMNO sahaja boleh membawa kestabilan hanya ‘mitos’.

    Mana-mana parti pun yang ada majoriti besar akan mampu memerintah dengan stabil apatah lagi jika di dalam parti itu tidak ada apa-apa masalah dan tidak ada pemimpin yang terpalit dengan masalah integriti sehingga tersebar seantero dunia.

    Tambahan pula, PN sudah membuktikan keupayaan menguruskan kerajaan yang prihatin kepada kebajikan rakyat dengan melancarkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi, cumanya segala kebaikan itu sudah ‘ditutupi’  propaganda segelintir pemimpin UMNO sehingga Kerajaan PN dianggap gagal.

    Perkara yang tidak betul, kalau diulang berkali-kali akhirnya dianggap betul, akhirnya ‘yang batil dianggap benar, yang benar dianggap batil’. Justeru adakah wajar rakyat khususnya Bangsa Johor yang akan memilih kerajaan baru pada 12 Mac ini akan terus termakan hasutan itu.

    Jangan lupa, PN sudah membuktikan semangat setiakawan apabila bersedia bersama dalam Kerajaan Perak dan Kerajaan Johor. Begitu juga di peringkat pusat, apabila sehingga kini terus menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menguruskan negara.

    Bukankah sikap itu telah membawa kestabilan kepada negara? Bukankah di Perak masih aman sehinggakan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan, negeri itu tidak perlu buat PRN kerana sekutu dan pembangkang terus memberi sokongan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

    Di Peringkat Pusat pula Ismail Sabri sendiri menegaskan, beliau menjadi Perdana Menteri daripada UMNO dan mendapat sokongan dari rakan-rakan parti-parti lain. Siapa parti-parti lain? Bukankah di dalamnya ada komponen PN khususnya Bersatu?

    Oleh itu, sambutan hangat yang diterima oleh PN ketika Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Johor, kelmarin yang dihadiri oleh lebih 5,000 membuktikan gabungan itu boleh melakukan kejutan dan berhak diberikan peluang sama seperti BN untuk mewujudkan kestabilan di negeri tersebut.

    Kehadiran itu membuktikan kenyataan pemimpin UMNO bahawa PN tidak mendapat sambutan rakyat Johor dan Bersatu akan dikuburkan di negeri itu hanya satu perang psikologi dangkal.

    Justeru jika PN berjaya di Johor, ‘makhluk perosak’ itu pasti sudah tiada, maka gabungan tersebut akan menerajui penuh ketenangan bagi mewujudkan kestabilan, merancang dengan baik demi kemakmuran negeri dan mentadbir penuh integriti demi kesejahteraan Bangsa Johor.

  • Kisah ‘kluster mahkamah’, lantik penasihat jadi boneka’ dan karnival tak kena masa

    Kisah ‘kluster mahkamah’, lantik penasihat jadi boneka’ dan karnival tak kena masa

    • Kekuatan UMNO di tangan ‘kluster mahkamah’?

    Hebat betul Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi apabila secara sinis menggelarkan kumpulan yang sentiasa menyalahkan ‘kluster mahkamah’ sebagai ‘varian taksub’.

    Beliau juga kata ini bukan varian daripada virus yang disebarkan oleh penyakit fizikal tetapi penyakit hati.. Namanya ‘varian taasub kepada ‘kluster mahkamah’.

    Tebuan Tanah (TT) nak bagi tau Zahid, mereka yang dok ‘meratib’ pasal ‘kluster mahkamah’ ini bukan ‘taasub’ tetapi mereka pelik kenapa UMNO masih lagi bergantung kepada pemimpin dilihat bermasalah.

    Jadi bila ada pemimpin dalam UMNO dok pertahan ‘kluster mahkamah’ habis-habisan maka tahulah kita bahawa rupa-rupanya kekuatan parti itu terletak kepada pemimpin ‘kluster’ tersebut.

    Tetapi tak apalah kalau UMNO nak terus bergantung kepada pemimpin seumpama itu, cuma TT kesian tengok ramai lagi pemimpin dalam parti itu yang berwibawa dan berintegriti malangnya semua mereka ‘tenggelam’ sebab pemimpin ‘kluster mahkamah’ lebih popular dan paling berpengaruh.

    TT sembang dengan ramai orang, semua kata, mereka bukan tak nak UMNO tetapi mereka tak mahu pemimpin bermasalah. Sekarang ini, pemimpin parti itu ‘boleh dabik dada’ sebab walaupun ada ‘kluster mahkamah’ mereka tetap menang di Melaka, lepas ni mereka target Johor pula…TT harap Bangsa Johor akan beri isyarat kepada UMNO…

    • Bila lantik penasihat dianggap jadi boneka…

    TT gelak besar bila baca kenyataan seorang pemimpin Pemuda UMNO kata, ‘’dengan peranan Muhyiddin sebagai penasihat ekonomi Johor bermakna Menteri Besar Johor daripada PN – jika mereka memenangi PRN nanti, fungsinya tidak lebih sedikit daripada menjadi boneka’’.

    Oooo barulah TT ‘tahu’ bila seseorang pemimpin itu lantik penasihat maka pemimpin tersebut hanya boneka..aduhh kenapalah lawak sangat Pemuda UMNO ni. Kalau macam tu semua MB tak boleh lantik penasihat dan nak tinggi lagi PM pun tak boleh lantik Penasihat…takut dianggap jadi boneka..macam tu ke?

    Sebenarnya TT dah agak…hujah dangkal macam tu akan muncul..tetapi tak sangka pula daripada mulut insan-insan yang disebut-sebut bakal menjadi calon.

    Pemimpin Pemuda tu juga kata, idea yang ditawarkan PN itu menunjukkan gabungan terbabit ketandusan tokoh yang layak menjadi pemimpin. TT nak tanya lagi, kenapa dalam UMNO itu ada ke pemimpin? Kalau ada ramai pemimpin kenapa dok bergantung kepada pemimpin ‘kluster mahkamah’?

    Dan TT juga nak bagi tau pemimpin Pemuda itu, lain kali rajin-rajinla membaca…apa salahnya kalau Muhyiddin bercita-cita nak jadi PM lagi? Beliau bukan ada kes salahguna kuasa, kes rasuah atau pengubahan wang haram. Kenapa persoal Muhyiddin tak tanding kat PRN Johor? Kenapa tak tanya kat Khaled Nordin atau Puad Zarkashi yang selama ni bijak sangat bercakap…

    TT rasa lain kali, kalau pemimpin Pemuda tu nak cakap fikirlah dulu…paling bagus…cermin diri dan parti sendiri dulu..ye

    • Kenapa buat carnival kat MRSM?

    TT terkebil-kebil bila melihat gambar perasmian Karnival Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang ‘cukup meriah’ kat Batu Pahat dan dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    TT pelik siapalah punya idea untuk buat karnival tu di MRSM Batu Pahat ketika apabila ada ibu bapa pelajar mendakwa anak mereka  baru sahaja selesai kuarantin selepas positif Covid-19 baru-baru ini.

    Karnival tiga hari itu yang bermula Khamis mendapat bantahan ibu bapa. Di MRSM itu adalah 126 pelajar yang sedang menghadapi SPM. Jadi TT pelik, kenapa KPT tak fikir panjang sebelum buat kat situ. TT tahu la nak dekat PRN Johor ini macam-macam karnival, pesta dan ada pemimpin pi melancong ke Johor.

    TT tak kata salah nak buat karnival dan TT pun tak kata karnival tu bermotif politik, walaupun mesti ramai yang akan kaitkan dengan PRN. Tetapi waktu dan masa tak sesuai, sebab pada 28 Januari lalu terdapat kes positif melibatkan pelajar dan guru MRSM tersebut. Pada masa sama pelajar pun nak ketenangan bagi menghadapi SPM.

    Pelik juga TT, kenapa buat kat MRSM, rasanya kat kawasan Parit Sulong atau Batu Pahat atau daerah-daerah lain banyak IPT yang sesuai untuk dibuat karnival seumpama itu. Dulu TT ingat lagi, UiTM buat program ‘Selangkah Ke UiTM’ . Program tu mereka buat kat kampus sendiri, bukan kat sekolah-sekolah.

    Jadi kenapa KPT tak mencontohi langkah itu? Kenapa nak buat kat MRSM semasa pelajar nak duduki SPM? Bukankah lebih molek kalau Karnival tu dibuat selepas pelajar dah habis SPM dan semasa kes Covid-19 tak mencanak macam sekarang. Harap-harap Kementerian Kesihatan akan kenakan kompaun kepada penganjur.

    TT faham KPT berniat baik sebab ada pameran ‘Jom Masuk IPT’, karnival kerjaya, gerai jualan komuniti dan pemeriksaan kesihatan, cuma penga juran tak kena masa dan tempat, lain kali fikir panjang sikit lagi sebelum buat.

    *Tebuan Tanah (TT) adalah penganalisis politik yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

  • Lima anggota polis cedera letupan bom

    Lima anggota polis cedera letupan bom

    LIMA anggota polis cedera dalam satu insiden letupan bom di Yala, selatan Thailand pada Jumaat.

    Ketua Polis Wilayah Yala, Mejar Jeneral Tinnakorn Rangmat berkata, kejadian berlaku ketika pasukan polis itu yang menaiki dua buah kenderaan berasingan sedang membuat rondaan di Pekan Raman.

    Dalam insiden kira-kira 8.45 malam (waktu tempatan), beliau berkata sebutir bom buatan sendiri seberat 15 hingga 20 kilogram itu dipercayai dipasang dalam sebuah tong gas di tepi jalan dan diletupkan dengan menggunakan walkie-talkie.

    “Letupan itu menyebabkan lima anggota polis yang sedang bertugas cedera. Mereka digegaskan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

    Kelima-lima anggota polis itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

    Sementara itu, seorang penolong ketua kampung maut ditembak di depan rumah di Pattani, malam tadi.

    Dalam insiden kira-kira 10 malam (waktu tempatan) semalam, lelaki berusia 45 tahun itu ditemukan maut di depan rumahnya di Kampung Thale, daerah Mai Kaen.

    Ketua Polis Mai Kaen Kol. Pol. Thalap Lengha berkata siasatan awal mendapati empat suspek lelaki menaiki dua buah motosikal tiba di depan rumah mangsa dan melepaskan tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri.

    Motif kejadian masih disiasat, katanya. – Bernama

  • Muda henti mengugut, isu rundingan kerusi sudah selesai-PKR Johor

    Muda henti mengugut, isu rundingan kerusi sudah selesai-PKR Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mengingatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) supaya tidak lagi mengugut atau membangkitkan isu pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ini kerana isu rundingan pembahagian kerusi antara dua parti itu sudah selesai.

    Syed Ibrahim berkata, memandangkan mereka adalah sama-sama parti pembangkang dan mempunyai musuh yang sama, maka ketepikan sikap mengugut dan mengancam antara satu sama lain.

    “Berbalik soal prinsip, PH ada kerjasama dengan Muda daripada segi pembahagian kerusi apabila Muda menerima kerusi daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP. PKR juga sebahagian daripada PH.

    “Jadi tak perlulah berkata kalau kita tak boleh runding dengan PKR, maka kita akan langgar, saya rasa itu sikap yang tidak betul,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlia pengumuman calon PKR zon tengah dan zon timur bagi PRN Johor di Dewan Serbaguna Kampung Kopok Baru, Pasir Gudang, hari ini.

    Ahli Parlimen Ledang itu berharap Muda bersifat terbuka, tidak lagi membuat ugutan dan menumpukan perhatian terhadap enam kerusi yang akan ditandingi pada PRN tersebut.

    Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berharap, bagi menjernihkan keadaan Muda tidak berterusan mempersoalkan perkara itu dan bersama-sama PH menjalankan tanggungjawab dan membantu antara satu sama lain di kawasan ditandingi.

    Katanya, PKR akan memberi tumpuan di 20 kerusi yang ditandingi manakala Muda perlu memastikan kerusi yang diperoleh hasil rundingan dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP tidak dipersiakan.

    “Ini bukan bermakna kita ketepikan terus Muda, jika kita bertanding di kawasan bersebelahan, kita akan saling tolong menolong membantu satu sama lain. Kalau berterusan mengugut seperti ini, kerja tak jalan,” ujarnya.

    Semalam Muda memaklumkan, tindakan PKR mengumumkan 20 calon mereka yang akan bertanding pada PRN Johor menjejaskan sekali gus menamatkan rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu.

    Syed Saddiq juga seperti membayangkan kemungkinan pertindihan kerusi susulan gagal mencapai kata sepakat dengan PKR.

    Dalam kenyataan balas PKR terhadap Muda, PKR menjelaskan bahawa Muda tolak tiga kerusi yang ditawarkan parti itu selain menuntut kerusi lain selain daripada kerusi yang ditawarkan PKR kepada mereka.