Author: Admin

  • 159 nelayan Vietnam ‘rompak’ hasil laut negara didenda RM38.25 juta

    159 nelayan Vietnam ‘rompak’ hasil laut negara didenda RM38.25 juta

    SEBANYAK 159 nelayan warga Vietnam yang bertindak menceroboh untuk ‘merompak’ hasil laut di perairan negara sejak Mac tahun lalu hingga awal Januari tahun ini didenda sebanyak RM38.25 juta.

    Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, dalam tempoh berkenan sebanyak 14 bot yang ditahan menerusi Op Naga Barat dan Op Kuda Laut turut dilucut hak.

    Menurut beliau, hukuman itu diputuskan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas semua nelayan asing berusia antara 18 hingga 60 tahun itu mengaku bersalah menceroboh perairan negara.

    Beliau berkata, Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd. Nazari dan Haryati Abdullah bersama Seksyen Siasatan Maritim Negeri Terengganu telah berjaya membawa pendakwaan 15 kes tersebut dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

    Justeru katanya, hakim telah memerintahkan kesemua bot dan peralatan menangkap ikan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia dengan nilai rampasan sekitar RM20 juta.

    Muhammad Sufi dalam satu kenyataannya hari ini memberitahu, warga Vietnam tersebut juga bakal berhadapan hukuman penjara sehingga tujuh bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang dikenakan.

    Semua nelayan asing berusia antara 18 hingga 60 tahun itu mengaku bersalah menceroboh perairan negara.

    Ujarnya, pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan dalam perairan Malaysia dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan tentang nama, bendera, lokasi, jalan dan destinasi serta keadaan vesel tersebut memasuki perairan perikanan Malaysia.

    “Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan memandang serius penglibatan nelayan tempatan yang bersekongkol dan menjadi tali barut nelayan asing.

    “Oleh itu, rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke masa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim.

    “Kita juga meminta kerjasama masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu,” jelasnya.

  • Tun M dedah Zahid Hamidi datang berjumpa untuk berbaik lepas BN tumbang

    Tun M dedah Zahid Hamidi datang berjumpa untuk berbaik lepas BN tumbang

    JIKA sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah bertemu dengannya untuk meminta pertolongan berkaitan kes mahkahmah.

    Terbaharu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula mendedahkan, Presiden UMNO itu juga pernah datang berjumpa dengan beliau tetapi tidak membabitkan kes mahkamah, sebaliknya, usaha Ahmad Zahid untuk berbaik-baik dengannya.

    Astro Awani melaporkan, Dr. Mahathir berkata, dalam pertemuan yang berlaku sebelum beliau menjadi Perdana Menteri kali kedua, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bertandang ke rumahnya bersama-sama beberapa orang lain.

    “Pada masa itu, ada kemungkinan saya jadi Perdana Menteri, sebab itu dia ingin baik dengan saya. Tapi saya dah tahu, masalah Zahid ialah dia ada kemungkinan akan dimasukkan dalam tahanan… masuk penjara kerana perbuatan curangnya, jenayah dilakukannya.

    “Selepas dia kembali berkuasa atau bersama dengan parti kerajaan, saya dengar bahawa dia juga cuba nak hapuskan tindakan terhadapnya melalui mahkamah. Itulah Zahid.

    “Siasatan masih ada dan dia nak bahawa siasatan itu dihentikan. Itu benar,” kata Dr Mahathir dalam sidang media Majlis Pelancaran Aspirasi Johor Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), hari ini.

    Media semalam melaporkan Muhyiddin menegaskan beliau tidak akan bersumpah laknat berhubung kenyataannya baru-baru ini yang menyentuh kes mahkamah melibatkan Ahmad Zahid.

    Dalam masa sama, Muhyiddin tidak kisah berapa kali pun Presiden UMNO itu mahu bersumpah, namun, beliau secara peribadi tidak akan berbuat demikian.

    Kenyataan itu hadir selepas Ahmad Zahid menafikan pernah berjumpa Muhyiddin ketika beliau masih Perdana Menteri dan meminta Ahli Parlimen Pagoh itu membantu kes mahkamahnya.

    Ahmad Zahid juga menafikan membawa timbunan fail dan meminta untuk dilepaskan seperti yang didakwa Muhyiddin sebelum itu.

    Tegasnya, beliau sanggup dan bersedia untuk melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan jahat Muhyiddin terhadapnya.

    • Zahid tuntut Dr.Mahathir minta maaf

    SEMENTARA ITU, dalam satu kenyataan Ahmad Zahid menafikan, beliau pernah meminta Dr.Mahathir menggugurkan kesnya

    Berikut kenyataan penuh Presiden UMNO itu;

    Saya dijemput bersama-sama dengan Presiden-presiden parti oleh Tun Mahathir untuk menyokong Tun bagi membentuk kerajaan perpaduan. Mana mungkin saya minta digugurkan tuduhan di hadapan ramai. Saya tidak pernah sekalipun meminta Tun untuk berbuat demikian.

    Mana mungkin saya melobi untuk digugurkan tuduhan sebelum Tun menjadi PM-7, kerana ketika itu saya adalah TPM dan tiada sebarang siasatan rasuah, jauh sekali dikenakan pertuduhan. Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengeluarkan ‘letter of demand’ (LOD) kepada Tun untuk Tun memohon maaf atas pembohongan Tun.

  • Rayuan Anwar kembalikan saman untuk batal sabitan kes liwat gagal

    DATUK Seri Anwar Ibrahim kelmarin gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mengembalikan semula samannya terhadap kerajaan untuk membatalkan sabitan kes liwat membabitkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

    Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian, dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan presiden PKR itu dan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tepat dalam membatalkan saman pemula Anwar.

    Abu Bakar, yang menyampaikan keputusan itu berkata dakwaan Anwar bahawa ketua pendakwa dalam kes liwatnya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, telah menerima RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, adalah kenyataan semata-mata tanpa bukti sokongan.

    “Oleh itu, kenyataan bahawa Muhammad Shafee tidak bebas sebagai ketua pendakwa, tidak mempunyai sebarang merit.


    “Dalam apa jua keadaan walaupun terbukti wang itu telah dibayar kepada Muhammad Shafee oleh Najib, kami tidak berpendapat ini menjejaskan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan,” kata hakim itu.

    Abu Bakar berkata, keputusan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat Anwar diberikan oleh hakim mahkamah tersebut secara bebas dan tanpa pengaruh atau pengetahuan mengenai sebarang bayaran antara kedua-dua individu itu.

    “Oleh itu tidak menjadi isu jika ada pembayaran tersebut dibuat oleh Najib kepada Muhammad Shafee. Perkara itu menjadi urusan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menyiasat dan Peguam Negara untuk mendakwa jika terdapat pembayaran rasuah dan penerimaan dalam jumlah yang sama,” katanya.

    Beliau berkata Anwar juga tidak dinafikan peluang membela diri sehingga ke Mahkamah Persekutuan dalam kes liwatnya.
    Prosiding mahkamah dijalankan secara dalam talian. 

    Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Nov 2017 yang membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan samannya.

    Dalam saman pemulanya yang difailkan pada 9 Jun 2017, menamakan kerajaan sebagai defendan, Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa beliau tidak mendapat perbicaraan adil dalam prosiding rayuannya berhubung sabitan kes liwat.

    Anwar memohon satu deklarasi bahawa sabitannya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 adalah ultra vires atau di luar kuasa Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak sah.


    Beliau juga memohon perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan juga adalah ultra vires dan oleh itu, terbatal serta tidak sah.

    Afidavit Anwar mendakwa Muhammad Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan berhubung sabitan kes liwat beliau.


    Sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Bagaimanapun, Anwar telah diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

    Peguam J. Leela dan How Li Nee mewakili Anwar manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bagi pihak pendakwaan. Peguam Sarah Abishegam bertindak bagi Muhammad Shafee, yang dibenarkan mencelah dalam rayuan pada 2018. – Bernama 

  • UMNO-Pas perlu henti serangan, musuh utama adalah PH – Hashim

    UMNO-Pas perlu henti serangan, musuh utama adalah PH – Hashim

    PEMIMPIN UMNO dan Pas dinasihatkan supaya berhenti melakukan serangan terhadap sesama sendiri lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

    Teguran itu disuarakan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin seperti dilaporkan portal Malaysiakini.

    Hashim turut mengingatkan pemimpin UMNO dan Pas supaya menyedari bahawa musuh sebenar kedua-dua parti itu adalah Pakatan Harapan (PH).

    Beliau turut berharap semangat Muafakat Nasional (MN) dapat dipertahankan demi kepentingan ummah.

    “Nampaknya pertembungan tiga penjuru tak dapat dielakkan. Saya seru kedua-dua pihak iaitu Pas dan UMNO henti serangan antara dua parti.

    “Fikir panjang, kita ke hadapan, kita perlu berpadu. Kalau ada sedikit terluka, lupakan,” katanya.

    Mengulas lanjut, Hashim berkata, pemimpin Pas dan UMNO perlu menganggap PRN Johor hanyalah ‘pertandingan adik-beradik’ yang tidak perlu membawa kepada permusuhan.

    “Anggaplah ini pertandingan adik-beradik, musuh utama kita ada di hadapan.

    “Hentilah serang menyerang sesama sendiri,” jelas beliau.

    28 Januari lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap tindakan UMNO yang seolah-olah mengetepikan Pas umpama itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

    “Kita bukan nak ajar itik berenang tapi nak selamatkan itik yang patah kaki pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Malangnya, bila kaki dah sembuh, dia nak berenang sendiri, nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda tak bermoral, tak betul,” katanya.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sewaktu berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) menyindir dengan mengesyorkan Abdul Hadi menukar kerjaya daripada ahli politik kepada ahli zoologi.

  • Prosiding kes ‘Raja Bomoh’ tangguh dua bulan lagi

    Prosiding kes ‘Raja Bomoh’ tangguh dua bulan lagi

    MAHKAMAH Rendah Syariah di Ipoh hari ini menanggguhkan prosiding kes melibatkan Ibrahim Mat Zin atau ‘Raja Bomoh’ yang disiasat atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.

    Hakim Syarie Azman Saad menangguhkan kes itu untuk tempoh dua bulan selepas membenarkan permohonan Pendakwa Syarie, Suhaili Ishak untuk melengkapkan siasatan sebelum mengemukakan kertas pertuduhan.

    “Saya sebenarnya berhasrat untuk tidak memanjangkan tempoh siasatan ini. Saya dengan ini membenarkan penangguhan dua bulan dan ini adalah tempoh penangguhan yang terakhir.

    “Dilepaskan tidak bermaksud tidak didakwa, akan tetapi mengikut prosiding mahkamah, ini adalah tangguhan terakhir. Tidak boleh lama-lama,” katanya memetika laporan Astro Awani, hari ini.

    Azman menetapkan kes Ibrahim, 71 tahun, bersama sepupu, Suliaha Abdul Hamid, 62 tahun, yang dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’, akan disebut semula pada 25 April ini.

    Selain itu, beliau membenarkan permohonan Suliaha untuk menukarkan penjamin ekoran penjamin sebelum ini dijangkiti Covid-19 selain sukar untuk hadir ke mahkamah.

    Pada 7 Januari lalu, Ibrahim dan Suliaha dibebaskan dengan diperintahkan membayar wang jaminan RM3,000 bersama seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

    Kedua-dua individu itu disiasat di bawah Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 di sebuah rumah di Taman Rapat Jaya 1, Ipoh sekitar jam 3.45 petang, 6 Januari lepas.

    Siasatan ke atas mereka itu dibuat susulan satu ritual didakwa menolak musibah banjir yang dilakukan mereka di Dataran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Teluk Intan.

    Rakaman video ritual tersebut kemudian tular dalam media sosial dan mengundang pelbagai reaksi awam.

    Susulan itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.

  • AS umum sekatan baharu ke atas Rusia

    AS umum sekatan baharu ke atas Rusia

    PRESIDEN Joe Biden mengumumkan satu set sekatan baharu  Amerika Syarikat (AS) ke atas sektor kewangan Rusia berikutan keputusan Moscow mengiktiraf kemerdekaan republik rakyat Donetsk dan Luhansk. 

    “Kami akan melaksanakan sekatan penuh ke atas dua institusi kewangan utama Rusia, VEB dan bank tentera mereka. Kami melaksanakan sekatan menyeluruh ke atas hutang kerajaan Rusia.

    “Bermakna kami menyekat kerajaan Rusia daripada pembiayaan Barat. Ia tidak lagi boleh mengumpul duit daripada Barat dan tidak boleh melakukan perdagangan baharu di pasaran kami mahupun pasaran Eropah,” lapor Sputnik memetik ucapan Biden di Rumah Putih.

    Lebih banyak sekatan terhadap Rusia akan diumumkan jika keadaan Ukraine bertambah meruncing. 

    Selain itu, Biden turut mengumumkan beliau telah meluluskan penempatan tentera AS ke wilayah Baltik untuk membantu memperkukuh pasukan NATO.

    Menurut Pentagon, 800 tentera AS akan dihantar dari Itali ke wilayah Baltik, selain 20 helikopter Apache.

    Sebanyak lapan jet pejuang F-35 dijadual dihantar ke lokasi yang tidak dinyatakan manakala 12 helikopter Apache dihantar ke Poland. – Bernama

  • JPN, PPD diarah baiki kerosakan empat sekolah di Kota Tinggi – Radzi

    JPN, PPD diarah baiki kerosakan empat sekolah di Kota Tinggi – Radzi

    JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor telah diminta mengambil tindakan segera terhadap kerosakan infrastruktur dan kemudahan di empat sekolah di Kota Tinggi.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kerosakan membabitkan tingkap, bumbung dan tandas itu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Jaafar Albar, SMK Bandar Easter, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Setia Jaya serta SK Bandar Easter.

    “Insya-Allah kami akan ikhtiarkan yang terbaik bagi menyediakan persekitaran lebih selesa buat seluruh warga sekolah,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook rasminya, hari ini.

    Beliau berkata, lawatannya di Kota Tinggi semalam bertujuan meninjau keadaan infrastruktur, pengoperasian serta persediaan sekolah-sekolah menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 pada 2 Mac depan.

    Di samping meninjau perjalanan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris bagi calon SPM 2021 yang sedang berlangsung di SMK Tan Sri Jaafar Albar dan SMK Bandar Easter, beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada calon-calon SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di sekolah terbabit.

    “Saya berkongsi tentang aspirasi untuk menerapkan konsep Sekolahku SEJAHTERA melalui 14 elemen utama seperti seronok, selamat, sihat, etika, empati dan artikulasi. Elemen ini perlu diterapkan secara semula jadi dalam kalangan anak-anak khususnya,” katanya.

    SPM akan berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini.

  • Pengawal keselamatan AADK mengaku tidak bersalah tipu lelaki

    Pengawal keselamatan AADK mengaku tidak bersalah tipu lelaki

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pengawal keselamatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dihadapkan ke di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua tuduhan memperdayakan seorang lelaki untuk memberi RM5,500 bagi membantu membebaskan tunangnya dari sebuah pusat pemulihan dadah.

    Tertuduh, Maslan Atan, 59, mengaku tidak bersalah atas keuda-dua tuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

    Bagi pertuduhan pertama, Maslan Atan, 59, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 11.10 malam 12 Oktober 2018 di mesin juruwang automatik (ATM) Maybank di Stesen Petron, Pasir Gudang East (F1) Lot 110911, Kilometer (KM) 29 Lebuhraya Pasir Gudang di sini.

    Dia didakwa menipu Muhammad Azam Mat Hassan, 28, untuk menghantar wang sebanyak RM500 menerusi akaun bank miliknya.

    Ia bertujuan membantu membebaskan, Izzairen Sasli, 25, daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok, Kelantan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu Muhammad Azam untuk menghantar wang tunai RM5,000 bagi tujuan sama pada pukul 10 pagi, 18 Disember 2018 di Kafe Bangunan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika, Johor Bahru.

    Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh yang bertugas di AADK Kota Tinggi didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ikhwan Ihsan Jalaluddin, manakala tertuduh diwakili Mohd. Salleh Tugimin.

    Ahmad Kamal membenarkan suspek diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

    Terdahulu, Ikhwan mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh.

    Mohd. Salleh kemudiannya memohon jaminan dikurangkan berikutan Maslan masih menyara isteri dan seorang anak berusia 21 tahun serta memiliki komplikasi kesihatan termasuk darah tinggi.

    Ahmad Kamal menetapkan 24 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.

  • Murid bawa pistol ke sekolah mahu tembak zombie

    Murid bawa pistol ke sekolah mahu tembak zombie

    SEORANG murid sebuah sekolah rendah di Carolina Selatan membawa pistol datuknya kerana dikatakan mahu menembak ‘zombie’.

    Tiada kejadian tidak diingini berlaku kerana kejadian itu disedari seorang kakitangan sekolah yang terlihat pistol di tempat duduk murid.

    Kakitangan sekolah tersebut segera memaklumkan kejadian kepada pengurusan sekolah untuk tindakan selanjutnya.

    “Bagaimanapun tiada ugutan dibuat terhadap kakitangan dan murid lain,” kata jurucakap polis Laurens, Leftenan Scott Franklin.

    Penguasa Sekolah Daerah 55 Laurens, Ameca Thomas berkata, tindakan pantas guru membolehkan kejadian itu diselesaikan dalam tempoh singkat.

    “Proses dijalankan dengan bantuan kakitangan sekolah berupaya memperoleh pistol itu tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

    Beliau berkata, ibu bapa juga diminta lebih berwaspada dan memeriksa beg sekolah anak masing-masing bagi mengelak kejadian sama berulang.

    Berdasarkan peraturan ditetapkan, murid yang didapati membawa senjata api akan dibuang sekolah.

    “Kami mengambil serius perkara ini dan bersyukur tiada kecederaan fizikal dilaporkan,” katanya.

    Dalam kenyataan media menerusi laman web sekolah berkenaan, Thomas mengesahkan tiada ugutan dibuat kepada murid dan kakitangan sekolah.

    “Seperti kebiasaan kami berharap sekolah akan menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak.

    “Jika ada sebarang masalah atau pendapat, boleh berhubung terus dengan pengetua atau guru di sekolah,” katanya.

    Datuk kepada pelajar terbabit akan bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan dan dikenakan bon jaminan oleh mahkamah.

  • Postif Covid-19: Hishammuddin jalani rawatan di HAT Tuanku Mizan

    Postif Covid-19: Hishammuddin jalani rawatan di HAT Tuanku Mizan

    MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan selepas disahkan positif Covid-19 semalam.

    Astro Awani melaporkan, Hishammuddin memaklumkan menerusi kenyataan bahawa beliau ketika ini mengalami gejala namun berada dalam keadaan yang baik.

    “Bagi memastikan tahap kesihatan saya terus berada pada tahap memuaskan, saya telah dinasihatkan agar menjalani isolasi di HAT Tuanku Mizan bagi tujuan rawatan dan pemantauan,” katanya.

    Beliau pada masa sama memohon maaf kerana tidak dapat membalas semua kiriman ucapan dan doa yang diterimanya.

    “Namun bagi pihak ahli keluarga, saya amat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat serta mendoakan kesembuhan saya. Semoga ia dimakbulkan oleh Allah SWT,” katanya.

    Semalam, Pejabat Menteri Kanan Pertahanan memaklumkan Hishammuddin yang telah menerima dos penggalak disahkan positif Covid-19 dan menjalani tempoh kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Beliau menjalani ujian pengesanan Covid-19 jenis RT-PCR secara berkala selain turut kerap melakukan ujian pengesanan secara kendiri melalui kaedah RTK Antigen.

    Kali terakhir beliau menjalani ujian pengesanan jenis RT-PCR dan mendapat keputusan negatif COVID-19 ialah pada Jumaat, 18 Februari lepas.