PEMIMPIN UMNO dan Pas dinasihatkan supaya berhenti melakukan serangan terhadap sesama sendiri lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Teguran itu disuarakan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin seperti dilaporkan portal Malaysiakini.

Hashim turut mengingatkan pemimpin UMNO dan Pas supaya menyedari bahawa musuh sebenar kedua-dua parti itu adalah Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut berharap semangat Muafakat Nasional (MN) dapat dipertahankan demi kepentingan ummah.

“Nampaknya pertembungan tiga penjuru tak dapat dielakkan. Saya seru kedua-dua pihak iaitu Pas dan UMNO henti serangan antara dua parti.

“Fikir panjang, kita ke hadapan, kita perlu berpadu. Kalau ada sedikit terluka, lupakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, pemimpin Pas dan UMNO perlu menganggap PRN Johor hanyalah ‘pertandingan adik-beradik’ yang tidak perlu membawa kepada permusuhan.

“Anggaplah ini pertandingan adik-beradik, musuh utama kita ada di hadapan.

“Hentilah serang menyerang sesama sendiri,” jelas beliau.

28 Januari lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap tindakan UMNO yang seolah-olah mengetepikan Pas umpama itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

“Kita bukan nak ajar itik berenang tapi nak selamatkan itik yang patah kaki pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Malangnya, bila kaki dah sembuh, dia nak berenang sendiri, nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda tak bermoral, tak betul,” katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sewaktu berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) menyindir dengan mengesyorkan Abdul Hadi menukar kerjaya daripada ahli politik kepada ahli zoologi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here