Author: Admin

  • Patuhi arahan parti dalam apa jua situasi termasuk tidak dicalonkan

    Patuhi arahan parti dalam apa jua situasi termasuk tidak dicalonkan

    AHLI Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mahukan setiap ahli Pas perlu mematuhi arahan yang ditetapkan parti dalam apa jua situasi kecuali bercanggah dengan Islam.

    “Seseorang ahli yang bertindak melanggar arahan boleh menyebabkan keahlian mereka terlucut.

    “Itu disiplin seorang ahli Pas, akibat tidak mengikut arahan parti terlucut keahlian,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai membalas hantaran Facebook calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Najib Lep yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Najib yang merupakan calon Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakan satu-satunya wakil rakyat parti berkenaan sebelum DUN dibubarkan pada 22 Januari lalu sekali gus memberi laluan kepada pelaksanaan PRN Johor.

    Pada Hari Penamaan Calon PRN Johor bagi kerusi DUN Bukit Pasir, Najib akan menentang Mohd Akhiri Mahmood (Pejuang), Mohamad Fazli Mohamad Salleh (BN), Elia Nadira Sabudin (PH), Muhd Nur Iqbal Abd Razak (PN) dan Johar Siraj (Bebas).

    Mohd Khairuddin pada masa sama berkata, pimpinan Pas juga perlu mengambil pendekatan muhasabah bagi mengenal pasti punca berlakunya perkara sedemikian.

    “Ia sebagai pengajaran dan sempadan kecualilah parti tidak pernah merasa kerugian dan kehilangan seorang ahli.

    “Percaturan politik dalaman mungkin menjadi sebab di saat ukhuwah dan semangat kekeluargaan tidak menjadi wadah penyelesaian,” jelasnya.

  • Empat sekeluarga maut dalam kemalangan

    Empat sekeluarga maut dalam kemalangan

    EMPAT beranak maut selepas terlibat kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur, hari ini.

    Dalam kejadian pukul 10.40 pagi, semua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex dilaporkan dirempuh pacuan empat roda Toyota Hilux yang hilang kawalan.

    Dalam satu kenyataan, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 10.52 pagi.

    “Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Sri Hartamas dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setiba di lokasi anggota melakukan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan terbabit,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Menurut kenyataan tersebut, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai P Milan Damani,32; C Thinisha, 31 dan dua kanak-kanak lelaki D Ishaan Ivaan,3 serta D Rihaan Ivaan,4.

    Sementara itu pemandu Toyota Hilux mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut

  • Najib diangkat sebagai ikon BN dalam PRN Johor?

    Najib diangkat sebagai ikon BN dalam PRN Johor?

    Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

    SELEPAS Datuk Seri Najib Tun Razak ‘meredah’ kawasan Felda dan luar bandar di negeri ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kini bekas Perdana Menteri itu bertemu komuniti Cina pula.

    Hari ini beliau mengiringi calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Tan Hiang Kee bertemu masyarakat Cina di sekitar Taman Bukit Indah, Pulai, Johor Bahru.

    Sebelum itu pada sebelah pagi, Penasihat BN itu melakukan kunjungan dalam program santai bersama-sama penduduk setempat di sebuah warong di Taman Cempaka, Pulai, Johor Bahru.

    Kedua-dua kawasan tersebut adalah dalam Parlimen Pulai iaitu kawasan yang menyaksikan BN kalah teruk termasuk penyandang kerusi Parlimen Pulai sebelum ini, Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada UMNO tersungkur .

    Kesimpulan yang boleh dibuat, kunjungan Najib itu adalah untuk melihat reaksi dan sentimen masyarakat Cina sama ada sudah membuat pusingan U atau tidak untuk PRN Johor.

    Semasa kunjungan itu, Najib berkata: “Saya lihat sokongan masyarakat Cina kian bertambah dan meningkat jika dibandingkan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, kini apa yang diharapkan adalah sokongan itu diterjemah dalam bentuk undi pada 12 Mac ini.

    “Sungguhpun demikian, kita tidak boleh berasa terlalu yakin walaupun dalam fikiran nampak BN ada peluang yang baik, sebaliknya kita perlu tumpukan kepada soal pokok dahulu iaitu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pengundi Cina.”

    Tidak dapat dipastikan sama ada beliau membuat kenyataan itu sebagai ‘syok sendiri’ sedangkan umum mengetahui masyakat Cina di Pulai memang sudah lama menolak BN.

    Walaupun dalam keadaan kes 1Malaysia Develoupment Berhad (1MDB) sedang dibacarakan di luar negara, Najib dilihat selamba bertemu orang ramai dan seakan-akan tiada apa yang berlaku sedangkan kes tersebut menjadi perhatian dunia ketika ini malah semakin dilihat tidak menyebelahi beliau.

    Mungkin Ahli Parlimen Pekan itu menyangka, berita kes perbicaraan itu tidak diketahui rakyat Malaysia kerana kerajaan Pusat yang dipimpin UMNO boleh menyekat pengaliran berita itu daripada masuk ke media arus perdana.

    Amat pelik apabila Barisan Nasional (BN) dan UMNO masih ‘tergamak’ menggunakan beliau sebagai ikon atau tokoh yang mewakili gabungan itu untuk menarik pengundi dalam PRN Johor.

    Ini menimbulkan persoalan, adakah BN atau UMNO tidak mempunyai tokoh tempatan untuk diketengahkan? Adakah sudah ketandusan pemimpin-pemimpin di Johor yang berkaliber dan bersih?

    Mengapa masih ‘mengusung’ Najib ke hulu ke hilir, adakah orang Johor tidak tahu kes-kes rasuah dan salah guna kuasa yang sedang dihadapinya?

    Adakah BN tidak mempunyai perasaan malu? Oh ya, malu apa bosku!

    Bukan sahaja Najib malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut tidak segan silu apabila mengadakan perjumpaan dengan pengundi di Batu Pahat pada pagi ini.

    Kedua-dua pemimpin ini yang dikategorikan sebagai kluster mahkamah, masih ‘diberi muka’ dan peluang untuk berkempen dalam pilihan raya sedangkan kalau di luar negara, pemimpin seperti ini sudah lama dipecat daripada parti dan berkemungkinan sudah berada di balik tirai besi.

    Ini adalah sesuatu yang unik tentang BN dan UMNO. Mereka tidak kisah siapapun pemimpin bermasalah yang ditampilkan asalkan boleh menang pilihan raya walaupun itu menongkah atau melawan norma masyarakat moden hari ini.

    Isu pemimpin yang mempunyai integriti, bersih dan amanah bukan satu yang penting bagi BN, tidak seperti Perikatan Nasional (PN) yang menampilkan calon bersih serta bebas daripada kes rasuah atau mahkamah pada PRN Johor.

  • Muhyiddin mampu kekalkan pengaruh di kalangan orang Melayu – Penganalisis

    Muhyiddin mampu kekalkan pengaruh di kalangan orang Melayu – Penganalisis

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini bakal menguji apakah populariti bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu menyekat pengaruh UMNO di negeri tersebut.

    Penganalisis politik, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang membuat rumusan itu berkata, ini berdasarkan pengaruh Muhyiddin sejak penglibatannya dalam dunia politik di negeri itu.

    Johor yang merupakan negeri kelahiran UMNO merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak awal sehinggalah dikalahkan oleh Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018.

    Pada ketika itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Muhyiddin merupakan anggota PH yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Selain berasal dari Johor, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) merupakan bekas Menteri Besar negeri itu dari 1986 hingga 1995.

    Mazlan berkata, Muhyiddin masih berpengaruh di kawasan seperti Muar, Batu Pahat dan Segamat.

    “Meskipun tanpa Dr. Mahathir Mohamad, Muhyiddin masih mampu mengekalkan pengaruhnya dalam kalangan orang Melayu di Johor,” katanya, memetik laporan MalaysiaNow.

    Mazlan merujuk kepada perpecahan Bersatu yang menyebabkan Mahathir menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang turut bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Justeru, katanya, logik PRN Melaka tidak terpakai 100% untuk PRN Johor.

    Menurut Mazlan, polisi Muhyiddin semasa memerangi Covid-19 ketika menjadi perdana menteri pada 2020 menjadikannya lebih popular berbanding pemimpin lain.

    “Pengundi melihat Muhyiddin tidak mempunyai isu. Semasa menjadi perdana menteri, banyak perkara dia selesaikan, terutama dari segi kebajikan.

    “Muhyiddin juga membawa konsep perpaduan ummah, memandangkan beliau berada bersama Pas dalam PN. UMNO pula dilihat seperti tidak mahu bersama dengan perpaduan ummah,” katanya.

    Mazlan menjangkakan Muhyiddin mampu menarik undi kepada PN di kawasan-kawasan Felda di Johor.

    Antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor yang mempunyai kawasan Felda termasuk Bukit Permai, Bukit Batu, Pasir Raja, Pantai, Endau, Tenggaroh, Kahang, Paloh, Sedili, Tanjung Surat, Penawar, Johor Lama, Puteri Wangsa, Layang Layang, Bukit Kepong, Pemanis, Kemelah, Buluh Kasap, Tenang dan Gambir.

    Anwar gagal pikat Melayu

    Menurut Mazlan, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menjadi pemimpin yang masih gagal memikat hati pengundi Melayu.

    Di kawasan timur Johor seperti Mersing, UMNO masih mengekalkan pengaruhnya yang kuat manakala kawasan bandar cenderung untuk memilih pembangkang.

    PRN Johor kali ini dijangka lebih ‘meriah’ daripada PRN Melaka dengan kemasukan parti Parti Ikatan Demoktrik Malaysia (Muda) yang julung kali bertanding pada pilihan raya, selain Parti Warisan (Warisan) yang meluaskan sayap ke Semenanjung.

    Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, memberi amaran agar PN tidak terlalu bergantung kepada Muhyiddin semata-mata.

    Ini kerana ahli Parlimen Pagoh itu lebih dikaitkan dengan jenama PN berbanding pentadbiran negeri Johor.

    “Saya fikir strategi PN ini akan makan diri balik di Johor. Ini kerana segmen yang terdahulu menyokong PN menerusi BN sudah berpatah balik untuk menyokong BN selepas perpecahan UMNO dan Bersatu semakin jelas.

    “Ini kerana Bersatu tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat, tidak seperti UMNO atau Pas yang sudahpun mempunyai sokongan akar umbi daripada kelompok tertentu,” katanya kepada.

    Pada PRN kali ini, Muhyiddin tidak mempertahankan kerusi DUN Gambir kerana ingin memberi jalan kepada tokoh-tokoh lain di Johor.

    Menurut Mazlan, pengundi PRN Johor kali ini akan melihat faktor gabungan politik dan calon.

    “Parti-parti kecil memang tiada peluang, kerana PRN akan tertumpu kepada tiga gabungan besar iaitu BN, PN dan PH.

    “Daripada segi calon, rakyat Johor cenderung memilih calon muda yang boleh buat kerja. Mereka tidak mahu calon yang nampak macam sakit atau tidak cergas,” katanya.

    PRN Johor diadakan susulan pembubaran DUN Johor bulan lepas. Alasan yang diberikan kerajaan negeri ialah pengurangan majoriti satu kerusi menyukar pentadbiran.

    Ia selepas kematian bekas menteri besar daripada Bersatu, Datuk Osman Sapian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas.

  • Najib jangan jadi ‘ayam jantan kokok kuat’, Puad layak jadi MB…

    Najib jangan jadi ‘ayam jantan kokok kuat’, Puad layak jadi MB…

    *Ketika Najib berdegar-degar burukkan Muhyiddin

    SERONOK sungguh Najib Razak pertikai kemampuan  Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Johor jika PN menang dengan alasan Ahli Parlimen Pagoh itu menunjukkan rekod tidak baik dan gagal menguruskan negara sebagai PM.

    Najib yang didapati bersalah atas kesemua tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM 42 juta milik SRC oleh dua buah mahkamah dan empat orang hakim berkata, sewaktu jadi PM , Muhyiddin gagal pulihkan ekonomi rakyat akibat Covid-19 apabila buat PKP paling lama.

    Inilah jugak hujah Najib sepanjang Muhyiddin jadi PM sehinggakan apa sahaja Muhyiddin buat bersama Kabinet yang turut dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen UMNO dilihat buruk dan gagal.

    Najib tak nak pula cakap pasal pakej rangsangan ekonomi yang beratus bilion dilaksanakan oleh Kerajaan PN untuk pulihkan ekonomi dan kurangkan beban rakyat. Sebenarnya kalau nak harap Najib puji Muhyiddin ‘sampai kiamatpun’ kita tak kan dengar.

    TT yakin kalau Muhyiddin buat macam manapun termasuklah laksanakan apa sahaja yang Najib cakap, Najib tak kan duduk diam! Muhyiddin tetap akan diserang disebabkan dendam politik!

    Betul lah Muhyiddin jadi PM dalam tempoh singkat tetapi siapa yang bertanggungjawab menyebabkan Muhyiddin terpaksa letak jawatan? Dan adakah dalam tempoh itu ada apa-apa kes salah guna kuasa dan rasuah dilakukan oleh Muhyiddin sehingga beliau terpaksa berundur?

    Najib pernah menjadi PM dan beliau tahu macam mana sesuatu keputusan dibuat apatah lagi dalam isu besar seperti Covid-19, tetapi Najib saja-saja buat tak tahu seperti mana beliau tidak rasa malu ke sana ke sini biarpun sudah didapati bersalah dalam kes SRC International.

    TT tak mahu ulas panjang apa Najib dok memekak pasal bagaimana Kerajaan PN menangani Covid sebab cakap macam manapun Najib tetap tak kan terima seperti mana sampai ke sudah dok kata beliau tak tahu pasal wang RM42 juta dalam akaun beliau.

    Sebenarnya Najib takut, kalau rakyat Johor betul-betul beri peluang kepada PN menerajui kerajaan negeri dan Muhyiddin menjadi Penasihat ekonomi maka pecahlah tembelang Najib selama ini bahawa Muhyiddin dan Kerajaan PN gagal.

    Kalau Kerajaan PN gagal dan kalau Pelan Pemulihan Negara (PPN) tak berjaya…Najib pun tak dapat tengok cucu kat Singapura sambil bermain golf dengan hartawan. Najib nikmati itu semua hasil usaha Muhyiddin yang buat Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) dan PKP yang Najib dok ‘meroyan’ kata ‘separuh masak’.

    TT nak ingatkan Najib, kalau bercakap soal rekod PM, sekurang-kurangnya negara sudah pun merasai hasil usaha Muhyiddin melalui PPN. Sebab itulah Kerajaan yang PMnya dari UMNO sekarang teruskan pelan itu.

    Muhyiddin pula dilantik Pengerusi MPN. Kerajaan tahu Muhyiddin boleh buat sebab Muhyiddin tak perlu habiskan masa di mahkamah dan tahu bagaimana Muhyiddin menguruskan negara ketika pandemik Covid-19.

    Ketika Najib berdegar-degar burukkan Muhyiddin, dunia sedang tekun mengikuti keterangan bekas Eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner dalam  prosiding berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat (AS). Macam-macam Leissner dedahkan termasuk nama Najib pun disebut.

    Tak fasal-fasal Malaysia malu kerana skandal 1MDB yang dianggap antara skandal kewangan yang menggemparkan dunia. Siapa buat 1MDB? Siapa yang tubuhkan 1MDB? Siapa kawan Jo Lho? TT tak nak sebut sebab satu dunia dah tahu, lagipun kalau sebut… ‘malu apa boss kau’.

    Cuma TT nak kata kat Najib, ‘’can I advise you something’’? -jangan jadi ayam jantan berkokok kuat tapi ekor bergelumang dengan najis!

    • Puad layak jadi MB kalau BN menang…

    Siapa yang tak kenal Puad Zarkashi…beliau dianggap banyak orang ‘pembela tegar’ kepada Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi. Jika ada mana-mana pihak khususnya Muhyiddin Yassin bercakap soal kedua-dua pemimpin itu Puad paling ke depan ‘menyerang balik’.

    Baguslah sebab ada semangat pertahan ‘boss kau’ macam tu. Dalam PRN Johor 12 Mac ini, Puad dipilih jadi calon BN di DUN Rengit walaupun pernah kalah dalam PRU-13 bagi kerusi Parlimen Batu Pahat dan tak dicalonkan dalam PRU-14. Khabarnya masa tu Puad kecewa sangat dan semalam kekecewaan itu sudah ‘ditebus’.

    DUN Rengit ni kata orang kawasan selamat untuk BN, PRU-14 walaupun majoriti kurang sikit tetapi calon BN tetap menang di situ. Jadi TT percaya Puad akan menang walaupun khabarnya ramai pemimpin dan ahli UMNO terkejut beliau jadi calon.

    Tetapi itu rezeki Puad. Walaupun BN dah umum Hasni Mohamad jadi MB, tapi tak mustahil ia boleh berubah. Dari segi pengalaman rasanya  Puad  layak dilantik sebagai MB atau paling tidakpun Exco Kanan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

    Puad ada pengalaman jauh lebih hebat daripada Hasni. Hasni hanya pernah jadi exco sebelum jadi MB.

    Ramai kata  Hasni belum teruji sebagai MB  tetapi Puad sudah melalui banyak ujian, selain jawatan terakhir beliau sebagai Ketua Pengarah JASA yang hampir tiap malam keluar kat TV3 ‘belasah’ Dr.Mahathir Mohamad semasa kehangatan kempen PRU1-4, Puad pernah jadi Ahli Parlimen Batu Pahat, jadi Timbalan Menteri, Puah juga pernah jadi Senator. Maknanya Puad ada pengalaman dalam dua Dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta berada dalam Kabinet. Hasni hanya pernah jadi Ahli Parlimen saja.

    Jadi kalau beliau menang di Rengit, Puad akan jadi ADUN pulak.

    Wah! menarik rekod Puad, jadi kalau Puad jadi MB pun ok jugak kan? Kalau tak boleh jadi MB pun, Puad mesti dilantik jadi Exco kanan,  boleh bimbing Hasni yang baru setahun jagung jadi  MB.

    TT percaya Puad boleh main peranan penting dalam pentadbiran kerajaan negeri, mungkin sebagai ‘master mind’, Hasni ikut sahaja nanti apa Puad cakap, lagipun nama Puad lebih orang kenal berbanding Hasni, jadi TT nak pesan kalau BN menang, Hasni jangan lupa lantik Puad tau.

    • Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

  • Konsep WALi yang menutup isu integriti

    Konsep WALi yang menutup isu integriti

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    PENGERUSI BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa pengumuman calon parti itu pada PRN Johor berkata, BN memilih konsep WALi iaitu ‘winnable’, ‘acceptable’, ‘likeable’ dalam penentuan calon.

    Walaupun banyak lagi perkataan bahasa Melayu boleh digunakan, nampaknya BN lebih minat menggunakan bahasa asing dalam menunjukkan ciri calon mereka pada pilihan raya negeri kali ini.

    Bagi penulis isu itu tidak perlu diperbesarkan kerana yang penting adalah isi kandungan konsep WALi itu sendiri. Jika diterjemah ‘Winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (boleh diterima) dan ‘likeable’ (disenangi). Nampaknya pemilihan acuan itu direka untuk menutup asas penting yang sebenarnya perlu ada bagi seseorang calon wakil rakyat.

    Jika diteliti, apa faedah yang rakyat boleh dapat daripada seorang calon yang hanya boleh menang pilihan raya, boleh diterima dan disenangi. Ia tidak membawa pengertian besar kerana ciri utama yang sewajibnya ada ialah calon yang boleh berkhidmat untuk rakyat, rajin, ikhlas dan paling utama ialah berintegriti, amanah serta bersih.

    Apa guna calon itu boleh menang pilihan raya tapi kerjanya hanya mahu songlap duit rakyat? Apa gunanya calon itu disenangi rakyat tapi di belakang rakyat sibuk menjarah duit untuk kepentingan peribadi?

    Dalam kempen pilihan raya, UMNO dan BN seboleh-bolehnya tidak mahu dan cuba mengelak untuk bercakap mengenai isu integriti. Kerana apa? Ia tidak lain tidak bukan kerana teraju utama mereka sendiri iaitu Zahid sedang berdepan dengan kes integriti.

    Zahid ketika ini telah diarahkan oleh mahkamah untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

    Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Zahid Hamidi, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid Hamidi didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

    Dia juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

    Pada masa sama, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak yang menjadi tulang belakang dan hadir semasa pengumuman calon pada 24 Februari lalu sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

    Kerana kesalahan-kesalahan itu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Namun disebabkan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman berkenaan, dia tidak perlu ke penjara dan masih bebas.

    Maka, rakyat boleh nilai sendiri kenapa BN dan UMNO sehabis mungkin akan mengelak daripada berbicara soal integriti kerana pemimpin mereka mengalami masalah integriti yang sudah terbukti di mahkamah.

    Oleh itu, sebagai pengundi yang bijak, yang tidak lagi boleh dibeli dengan gula-gula murahan, bertindaklah dengan bijak.

    Pilihlah calon daripada parti yang terbukti bersih dan tidak terpalit dengan segala macam skandal yang sudah heboh diperkatakan di seluruh dunia.

    • Penulis adalah penganalisis politik. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
  • 14 pemancing bersama 4 kru dikhuatiri hilang di Langkawi

    14 pemancing bersama 4 kru dikhuatiri hilang di Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 14 pemancing bersama empat kru dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka dilaporkan hampir karam di Pulau Beras Basah, Langkawi pukul 2 petang tadi.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata pihaknya melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi hari ini mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan bot tersebut di kedudukan sekitar 9.4 batu nautika barat pulau itu.

    Katanya, KM Tenggol, Blbot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 telah diatur gerak bagi operasi CARILAMAT sebaik menerima laporan daripada MRSC Langkawi berkaitan kejadian berkenaan.

    “Maklumat kejadian juga turut disalurkan kepada agensi sahabat seperti Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) , Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti nelayan setempat.

    “Sektor operasi diperluaskan daripada lima batu nautika hingga ke 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek timbul seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd Zawawi berkata, penemuan barangan tersebut adalah pada jarak 4.8 batu nautika, barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang.

    Katanya, sehingga kini pencarian masih dilakukan bagi mengesan bot terbabit.

    Sementara itu Warta Rakyat difahamkan,o kejadian tersebut dilaporkan oleh wakil pemilik bot tersebut yang menerima laporan mengenai keadaan berkenaan dari seorang kru dalam bot itu.

    Berikutan itu, KM Tenggol telah diarahkan ke lokasi namun tiada sebarang petunjuk ditemukan di situ.
    Habis

  • Onn Hafiz ‘lari’ ke DUN Machap, takut kalah di DUN Layang Layang?

    Onn Hafiz ‘lari’ ke DUN Machap, takut kalah di DUN Layang Layang?

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEPERTI sudah dijangka Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang Layang yang dimenangi dengan majoriti tipis sebelum ini, sebaliknya ‘lari’ ke DUN Machap.

    Anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu sah menjadi calon DUN Machap apabila menyerahkan borang pencalonannya bagi mewakili Barisan Nasional (BN) di Dewan Orang Ramai Simpang Renggam, Kluang, hari ini.

    Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam itu memberi alasan bertanding di DUN Machap kerana kawasan itu tidak asing lagi baginya.

    “Machap bukanlah tempat asing bagi saya. Program bertemu masyarakat dikawasan ini sudah pun dilakukan sejak empat tahun lalu,” katanya.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau menang dengan hanya 364 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

    Jumlah itu terlalu berbahaya dan berisiko sekiranyanya beliau terus mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Apatah lagi pada PRN Johor akan menyaksikan pertembungan empat penjuru di DUN Layang-Layang melibatkan calon daripada PKR, Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Ini lebih-lebih lagi Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik yang juga bekas Menteri Pendidikan bertanding pada kali ini.

    Walaupun Onn Hafiz merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, itu tidak memberi jaminan akan menang jika bertanding semula di DUN Layang Layang.

    Profile beliau juga sebagai cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dilihat tidak akan membantunya dalam meraih sokongan pengundi.

    Onn Hafiz ‘menyerahkan’ kerusi DUN Layang Layang kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang Layang, Abdul Mutalib Abd. Rahim yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor.

    ‘Penghijrahan kerusi’ Onn Hafiz yang mencari kerusi selamat itu juga menimbulkan tanda tanya sama ada diarahkan berbuat demikian kerana merupakan proksi kepada ‘kuasa elit’ di Johor.

    Sepatutnya beliau bersikap ‘gentleman’ dan berani bertanding di kerusi DUN Layang Layang berdepan dengan Dr. Maszlee yang dikatakan akan dipilih sebagai Menteri Besar sekiranya beliau dan PH menang PRN Johor.

    Beliau yang mempunyai darah pejuang mengalir daripada datuk dan moyangnya sepatutnya sanggup menempuh apa juga cabaran termasuk kalah bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

    Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai – jika takut jawatan ‘melayang’, jangan bertanding di DUN Layang Layang.

  • PKR Selangor gesa hentikan kerjasama politik dengan Muda

    PKR Selangor gesa hentikan kerjasama politik dengan Muda

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menggesa kerjasama politik dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dihentikan serta-merta.

    Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, ini kerana Muda tidak menghormati kerjasama yang dijalinkan bersama-sama PKR dan Pakatan Harapan (PH) apabila meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.

    “Umum mengetahui PKR telah meletakkan calon atas kesepakatan bersama PH di DUN tersebut dan tindakan Muda (meletakkan calon) bakal memecahkan undi pembangkang.

    “Situasi itu akan memberikan kelebihan kepada calon Barisan Nasional,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sementara itu Halimey berkata, jentera PKR dan PH perlu meningkatkan usaha memberikan pencerahan kepada rakyat Johor bagi memastikan perompak, perasuah dan pengkhianat tidak kekal berkuasa serta mentadbir Johor.

    Penamaan calon berlangsung pada hari ini manakala hari mengundi ditetapkan pada 12 Mac ini.

    Sebelum ini, media melaporkan DUN Larkin akan menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon daripada PKR, Muda, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang calon Bebas.

    Itu juga merupakan satu-satunya kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan ditandingi oleh PKR dan Muda yang merupakan gabungan dan rakan strategik PH.

    Muda sebelum ini menyatakan minatnya untuk bekerjasama bersama gabungan PH dan ia juga direalisasi apabila komponen parti, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju menyerahkan beberapa kerusi yang ditandingi mereka kepada parti berkenaan.

  • Proses penamaan calon PRN berjalan lancar-Polis Johor

    Proses penamaan calon PRN berjalan lancar-Polis Johor

    PROSES penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di 56 pusat penamaan calon berlangsung dalam suasana aman, terkawal dan lancar.

    Menurut Jurucakap bagi PRN Johor Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som, proses penamaan melibatkan 239 calon di seluruh negeri bermula pukul 9 pagi tadi.

    “Secara keseluruhannya, proses penamaan dalam suasana aman dan terkawal. Calon mempamerkan sikap yang profesional serta penyokong mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya.

    “Sehingga kini tiada insiden yang tidak diingin dilaporkan berlaku,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bahru, hari ini.

    Polis Johor menasihatkan semua parti, kumpulan penyokong dan orang ramai patuh segala prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dan undang-undang yang ditetapkan.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan seramai 239 calon akan bertanding di 56 kerusi DUN pada PRN Johor, 12 Mac ini.

    Pengerusinya, Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah berkenaan berdasarkan rekod sebaik selesai tempoh penamaan calon pukul 10 pagi.