PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menggesa kerjasama politik dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dihentikan serta-merta.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, ini kerana Muda tidak menghormati kerjasama yang dijalinkan bersama-sama PKR dan Pakatan Harapan (PH) apabila meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.

“Umum mengetahui PKR telah meletakkan calon atas kesepakatan bersama PH di DUN tersebut dan tindakan Muda (meletakkan calon) bakal memecahkan undi pembangkang.

“Situasi itu akan memberikan kelebihan kepada calon Barisan Nasional,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Sementara itu Halimey berkata, jentera PKR dan PH perlu meningkatkan usaha memberikan pencerahan kepada rakyat Johor bagi memastikan perompak, perasuah dan pengkhianat tidak kekal berkuasa serta mentadbir Johor.

Penamaan calon berlangsung pada hari ini manakala hari mengundi ditetapkan pada 12 Mac ini.

Sebelum ini, media melaporkan DUN Larkin akan menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon daripada PKR, Muda, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang calon Bebas.

Itu juga merupakan satu-satunya kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan ditandingi oleh PKR dan Muda yang merupakan gabungan dan rakan strategik PH.

Muda sebelum ini menyatakan minatnya untuk bekerjasama bersama gabungan PH dan ia juga direalisasi apabila komponen parti, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju menyerahkan beberapa kerusi yang ditandingi mereka kepada parti berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here